Site icon MuslimahHTM News

[Politik Ekonomi Islam] Kerosakan Sosialisme Negara (Bahagian 3/3)

[Politik Ekonomi Islam] Kerosakan Sosialisme Negara (Bahagian 3/3)

 

Penulis: Abdurrahman al-Maliki

 

Parti-parti sosialis di Perancis, Itali dan Jerman tidak berjaya meraih kekuasaan. Sosialisme Nazi juga gagal dalam menerapkan sosialisme. Sebenarnya, keperibadian Adolf Hitler (1889–1945) itulah yang memberi pengaruh besar terhadap Jerman dan melahirkan fahaman Nazisme di negara itu, namun beliau tetap tidak berjaya mewujudkan sistem sosialisme.

 

Dari sinilah pandangan umum di seluruh Eropah berpaling menentang sosialisme dan meninggalkannya, kerana telah nyata kepada mereka kebusukan sistem tersebut. Oleh itu, sosialisme tidak lagi mempunyai tempat dalam pandangan umum masyarakat Eropah. Semua ini berpunca daripada hakikat bahawa sosialisme itu tidak lahir daripada suatu pemikiran umum yang berasaskan prinsip tertentu. Sebaliknya, ia merupakan kumpulan pemikiran yang tidak sehaluan antara satu sama lain.

 

Dari sinilah timbul kebusukannya. Dalam erti kata lain, ia menjadi busuk kerana merupakan satu kesatuan yang terbentuk daripada pelbagai campuran, maka berlakulah pembusukan itu. Inilah keadaan sebenar sosialisme yang mereka propagandakan dan berusaha untuk diterapkan. Daripada keadaan tersebut dapat difahami dengan jelas bahawa propaganda kepada sosialisme ini sebenarnya propaganda kepada satu pemikiran yang busuk dan mustahil untuk diterapkan.

 

Hal ini demikian kerana pemikiran tersebut tidak berpotensi untuk melahirkan pandangan umum yang berasaskan kefahaman terhadap hakikat sebenar. Maka, dapat juga difahami sepenuhnya bahawa usaha untuk menerapkannya pasti akan menemui kegagalan, walaupun pelaksanaannya dilakukan oleh sebuah parti sosialis.

 

Bagaimana mungkin usaha tersebut dapat dijayakan hanya melalui individu atau segelintir orang melalui penggubalan undang-undang untuk mewujudkan sosialisme, sebelum wujudnya para sosialis itu sendiri?! Tidak diragukan lagi bahawa usaha seperti ini pasti akan menemui kegagalan.

 

Melihat kepada fenomena di beberapa negeri Islam, tidak dapat dikatakan bahawa di sana telah wujud pendapat umum mengenai sosialisme sehingga memungkinkan penerapannya. Hakikatnya, sosialisme ini tidak mempunyai pandangan umum, dan tidak mungkin akan wujud pandangan umum untuknya. Apa yang ada hanyalah propaganda terhadap istilah sosialisme itu sendiri. Propaganda inilah yang menjadikan istilah tersebut dikenal dan disebut-sebut oleh masyarakat, malah hanya oleh sebahagian mereka.  Akhirnya istilah sosialisme digemari oleh orang ramai kerana diselubungi dengan makna kesamarataan dan keadilan.

 

Adapun sosialisme ini, dengan maknanya dan sebagai suatu konsep tertentu, maka ia sebenarnya tidak mempunyai sebarang pengaruh pada sesiapa pun. Kewujudan istilah ini serta penerimaannya sebagai sesuatu yang digemari hanyalah berpunca daripada propaganda yang pernah dilakukan terhadapnya di Eropah dahulu.

 

Propaganda sosialisme itu kemudiannya berpindah ke negara-negara Islam dan ditiru oleh mereka. Seterusnya, sebahagian pemerintah Muslim menerima pakai istilah berkenaan atas dorongan negara-negara Barat, seperti Amerika Syarikat. Maka, tersebarlah propaganda sosialisme, dan ia menjadi istilah yang popular dalam kalangan masyarakat. Malah, ada yang mendakwa bahawa Islam itu sendiri adalah agama sosialisme. Seperti yang diungkapkan oleh penyair terkenal, Ahmad Syauqi, ketika memuji Nabi Muhammad SAW, “Engkaulah (wahai Muhammad) imam bagi kaum sosialis, meskipun golongan ekstrem itu tidak mengatakannya.”

 

Propaganda yang dijalankan oleh sebahagian pihak yang berusaha menyebarkan dakwah Islam turut dilakukan melalui penerbitan beberapa buku bertajuk Sosialisme dalam Islam. Sesungguhnya, usaha ini berpunca daripada propaganda Eropah dan Rusia terhadap sosialisme. Kemudian, sebahagian pemimpin Muslim menerima pakai sosialisme tersebut secara lisan, sehingga seolah-olah wujud “mahkota kebesaran sosialisme” dalam kalangan umat Islam.

 

Dengan demikian, kewujudan sosialisme itu hanyalah pada istilahnya, bukan kerana istilah tersebut mengandungi suatu pemahaman atau konsep yang sebenar. Sudah tentu keadaan seperti ini tidak mencukupi untuk membolehkan ia diterapkan dan dijalankan dengan sempurna.

 

Untuk membolehkan sesuatu konsep diterapkan dengan berkesan, mestilah terlebih dahulu wujud pendapat umum yang lahir daripada kefahaman terhadap hakikat pemikirannya, bukan hasil daripada propaganda lisan semata-mata.

 

Inilah sosialisme yang dipropagandakan serta diusahakan untuk diterapkan di negeri-negeri Islam. Inilah juga sosialisme yang oleh sebahagian pemerintah di dunia Arab dinamakan sebagai Sosialisme Arab.

 

Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.

 

#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam #Sosialisme

 

 

 

Exit mobile version