[Politik Ekonomi Islam] Kerosakan Konsep Keadilan Sosial
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
Berdasarkan huraian sebelum ini, jelaslah bahawa keseluruhan fahaman sosialisme adalah rosak, sama ada sosialisme sejati seperti sosialisme Karl Marx dan seumpamanya, ataupun sosialisme palsu (pseudo-sosialisme), iaitu sosialisme negara atau sosialisme yang dipopularkan di negara-negara Islam melalui propaganda sebahagian pemimpin di negara-negara Arab. Maka, kini yang tinggal hanyalah isu keadilan sosial yang sudah menjadi wacana umum.
Namun demikian, keadilan sosial bukanlah sistem ekonomi seperti sosialisme. Ia hanyalah teori yang bertujuan mengurangkan kezaliman yang amat mengerikan akibat penerapan sistem kapitalisme dalam masyarakat. Hakikatnya, keadilan sosial adalah langkah tambal sulam bagi menampal keburukan sistem kapitalisme.
Meskipun bertujuan menampal kelemahan dan menutupi keburukan sistem kapitalisme, hakikatnya konsep keadilan sosial itu sendiri bersifat zalim. Kewujudannya hanya memanjangkan usia dan mengukuhkan sistem kapitalisme.
Sebagai contoh, antara konsep keadilan sosial ialah pemberian pencen kepada penjawat awam dan bonus kepada para pekerja; penyediaan rawatan percuma untuk golongan miskin; serta pendidikan percuma untuk anak-anak daripada keluarga miskin. Namun, perkara-perkara seperti ini sebenarnya bukanlah bentuk keadilan sosial, malah satu bentuk ketidakadilan dalam masyarakat.
Mengapa seorang penjawat awam yang berpangkat layak menerima pencen daripada negara apabila sudah tua, sedangkan pekerja bawahan seperti buruh, tukang penggilap kasut, tukang kebun, pemandu, dan golongan rakyat miskin yang lain tidak menikmati faedah yang sama? Mengapa pula pekerja menerima bonus, tetapi peniaga kecil di tepi jalan, penjual surat khabar, atau tukang penggilap kasut dan seumpamanya tidak memperolehnya? Mengapa pula rawatan kesihatan serta pendidikan diberikan secara percuma hanya kepada golongan miskin, tetapi tidak kepada seluruh rakyat?
Semua realiti ini dengan jelas memperlihatkan bahawa konsep keadilan sosial (dalam kapitalisme) sebenarnya hanyalah satu bentuk kezaliman. Ini kerana negara sememangnya bertanggungjawab memastikan pemenuhan keperluan asas seluruh rakyatnya, setiap individu seperti seperti rawatan kesihatan, pendidikan, pertahanan, dan keselamatan.
Tanggungjawab negara tersebut mencakupi semua golongan rakyat; miskin atau kaya, lemah atau kuat, secara sama rata. Negara juga bertanggungjawab menjamin pemenuhan semua keperluan asas bagi setiap individu rakyat, serta memberikan peluang kepada mereka untuk memenuhi keperluan sekunder masing-masing.
Jaminan ini terpakai secara umum kepada sesiapa sahaja yang tidak berkemampuan untuk memenuhi keperluan tersebut secara menyeluruh, sama ada dia seorang penjawat awam ataupun tukang penggilap kasut. Mereka berhak menerima bantuan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan asasnya sepenuhnya, bukan sekadar pencen yang terhad atau bonus yang kecil.
Oleh itu, konsep keadilan sosial sebenarnya merupakan satu bentuk kezaliman. Lebih daripada itu, kewujudannya ibarat ubat bius (dadah) yang menenangkan rakyat agar tidak menyedari keburukan sebenar sistem kapitalisme, sekaligus memanjangkan hayat serta memastikan kelangsungan penerapan sistem tersebut.
Maka, tidak wajar sama sekali untuk mempropagandakan atau berusaha menerapkan sosialisme.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam #kapitalisne #sosialisme
[Politik Ekonomi Islam] Kerosakan Konsep Keadilan Sosial

