Sebulan Pascabencana, Sumatra Masih Berduka dan Keselamatan Rakyat Dipertaruhkan
Sembilan buah kampung di Kecamatan Ketol, Kabupaten Aceh Tengah, masih terputus hubungan selepas tiga jambatan runtuh akibat banjir kilat dan tanah runtuh pada penghujung November lalu. Penduduk di sembilan kampung tersebut, yang dianggarkan dihuni oleh sekitar 700 keluarga, telah hampir sebulan terpaksa merangka strategi sendiri untuk terus bertahan hidup.
Ketika ini, mereka bergantung sepenuhnya kepada sebuah jambatan sementara berupa kabel keluli yang direntangkan di atas sungai berarus deras. Jambatan sementara itu menjadi satu-satunya laluan keluar-masuk yang digunakan oleh mangsa terselamat untuk mendapatkan bekalan makanan serta rawatan perubatan ke Kota Takengon atau Kabupaten Bener Meriah.
Sejak dua minggu selepas bencana, masyarakat di Aceh Tengah dan Aceh Tamiang telah mengibarkan bendera putih di sepanjang Jalan Lintas Sumatra, khususnya di sekitar Kecamatan Karang Baru hingga ke Kota Kualasimpang. Pengibaran bendera putih tersebut merupakan simbol mesej kepada negara bahawa mangsa bencana tidak lagi mampu menghadapi krisis bekalan makanan, kesihatan dan air bersih tanpa bantuan kerajaan. Ia juga menjadi simbol desakan kepada Presiden Prabowo Subianto agar menetapkan bencana banjir dan tanah runtuh di Aceh dan Sumatra sebagai bencana nasional.
Bahkan, demi mendesak pengisytiharan status darurat bencana nasional, di beberapa lokasi telah berlaku aksi masyarakat Aceh yang disertai pengibaran bendera simbol perjuangan Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Tuntutan kemerdekaan kembali kedengaran, walaupun ia pernah reda selepas tragedi tsunami Aceh 21 tahun lalu. Keadaan ini berpunca daripada kekecewaan rakyat terhadap perlahannya tindakan penanganan bencana.
Keselamatan Rakyat Dipertaruhkan, Terhalang Kekangan Belanjawan?
Hakikatnya, Aceh Tengah dan Aceh Tamiang hanyalah sebahagian kecil daripada wilayah-wilayah di Sumatra yang terjejas akibat bencana. Kini, sebulan selepas kejadian, keadaan di kawasan tersebut masih belum menunjukkan penambahbaikan yang sginifikan. Malah, dilaporkan masih ramai penduduk di kawasan pedalaman yang belum menerima sebarang bantuan. Begitu juga dengan penyediaan infrastruktur kecemasan, khususnya jalan dan jambatan, yang belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua penduduk pascabencana ini.
Selain itu, beberapa bencana susulan serta bencana alam lain turut berlaku, seperti banjir susulan di Kabupaten Pidie Jaya serta gempa bumi di Kabupaten Bener Meriah dan Aceh Tengah. Belum sempat pulih daripada trauma bencana sebulan lalu, masyarakat kini sekali lagi terpaksa menanggung penderitaan akibat bencana baharu.
Tidak dapat dielakkan, keadaan ini menimbulkan persoalan serius sama ada peruntukan belanjawan bagi pengurusan bencana benar-benar mencukupi dan sampai kepada sasaran yang tepat? Hal ini kerana keselamatan rakyat pascabencana masih dipertaruhkan. Jaminan hidup, sumber pendapatan dan mata pencarian mereka pun masih belum pulih sepenuhnya.
Meneliti hal ini, Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa menegaskan bahawa peruntukan belanjawan sebanyak Rp60 trilion bagi pengurusan bencana di Sumatra adalah sudah mencukupi. Kenyataan tersebut sekaligus dibuat sebagai respons terhadap cadangan seorang ahli legislatif yang mengusulkan agar dana program Makan Bergizi Percuma (MBG) semasa tempoh cuti dialihkan untuk keperluan pengurusan bencana.
Penyelidik Senior Jabatan Ekonomi, Centre for Strategic and International Studies (CSIS), Deni Friawan, pula menegaskan bahawa penyelamatan mangsa perlu menjadi fokus utama dalam penggunaan peruntukan tersebut, terutamanya bagi melindungi mereka daripada risiko banjir atau tanah runtuh susulan. Menurutnya, jumlah keperluan belanjawan bukanlah isu utama memandangkan kerajaan diyakini mempunyai kapasiti kewangan yang mencukupi.
Namun demikian, keterbatasan ruang fiskal menuntut kerajaan menetapkan keutamaan yang ketat. Ini kerana, menurutnya, perbelanjaan pemulihan bencana tetap akan memberi tekanan kepada fiskal negara yang sedia terbeban oleh hutang serta perbelanjaan rutin. Oleh sebab itu, beliau menekankan kepentingan pengawasan yang kukuh pada setiap peringkat penggunaan belanjawan.
Selain itu, baru-baru ini Menteri Dalam Negeri, Tito Karnavian, telah mengeluarkan Surat Edaran (SE) Nombor 900.1.1/9772/SJ berhubung Penggunaan Bantuan Kerajaan Pusat dan Bantuan Kewangan Kerajaan Daerah serta Peralihan Belanjawan dalam Anggaran Pendapatan dan Perbelanjaan Daerah (APBD) bagi wilayah bencana. Surat edaran tersebut ditujukan kepada ketua-ketua daerah di Aceh, Sumatra Utara dan Sumatra Barat sebagai panduan dalam memanfaatkan bantuan kewangan daripada pemerintah pusat mahupun daerah lain.
Dasar ini diperkenalkan bagi memastikan sokongan belanjawan dapat disalurkan secara pantas, tepat dan berakauntabiliti selaras dengan keperluan di lapangan. Namun begitu, Kementerian Dalam Negeri perlu melaksanakan pemantauan berterusan terhadap penggunaan peruntukan bantuan bencana oleh pihak berkuasa tempatan. Selain aspek akauntabiliti, pengawasan ini penting bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memenuhi keperluan asas masyarakat yang terjejas.
Kelemahan Pelaksanaan Undang-Undang Pengurusan Bencana
Bencana yang melanda Sumatera sewajarnya mendorong perhatian umum terhadap kelemahan dalam pelaksanaan Undang-Undang Pengurusan Bencana (UU No. 24 Tahun 2007), khususnya pada peringkat prabencana (mitigasi, dan pencegahan) serta kesiapsiagaan. Kelemahan ini berpunca daripada kekurangan kemahuan politik, peruntukan belanjawan yang tidak mencukupi, koordinasi yang lemah antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Daerah, serta kegagalan dalam penguatkuasaan perancangan guna tanah. Pelaksanaan undang-undang yang lemah telah mengakibatkan tindak balas kecemasan yang lambat, pengurusan bencana yang tidak optimum (sekadar diisytiharkan sebagai darurat peringkat wilayah dan bukannya nasional), serta ketiadaan infrastruktur pencegahan yang mencukupi, sedangkan Sumatera merupakan kawasan yang sangat terdedah kepada bencana alam.
Antara kelemahan utama pelaksanaan Undang-Undang Pengurusan Bencana yang dikenal pasti adalah seperti berikut. Pertama, aspek mitigasi dan pencegahan tidak diberi keutamaan. Walaupun undang-undang tersebut menekankan kepentingan pencegahan, realitinya di Sumatera usaha mitigasi seperti perancangan guna tanah dan pembangunan infrastruktur yang tahan bencana masih berada pada tahap minimum, sekali gus menyebabkan kesan bencana .
Kedua, kekangan peruntukan kewangan dan kemahuan politik. Pemotongan bajet mitigasi di Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) serta ketiadaan peruntukan yang mencukupi di peringkat daerah telah melemahkan institusi pengurusan bencana. Dalam masa yang sama, tindak balas Kerajaan Pusat sering kali lambat, sebagai contoh bantuan yang hanya tiba seminggu selepas bencana melanda.
Ketiga, kelemahan koordinasi antara Pemerintah Pusat dan Daerah. Penetapan status bencana sebagai darurat peringkat wilayah dan bukannya nasional dianggap memperlahankan serta menyukarkan penyelarasan. Walaupun alasan Pemerintah Pusat adalah untuk mempercepatkan pengendalian, hakikatnya bantuan dan pergerakan institusi sering terhalang oleh kekangan birokrasi.
Keempat, kelemahan penguatkuasaan undang-undang perancangan guna tanah. Wilayah Sumatera secara semula jadi terdedah kepada bencana tanah runtuh dan banjir, namun pembangunan di kawasan berisiko tinggi tidak diimbangi dengan perancangan ruang yang baik. Keadaan ini mencerminkan kelemahan serius dalam pelaksanaan aspek pencegahan, sedangkan perkara tersebut telah termaktub dalam undang-undang.
Kelima, tahap kesiapsiagaan yang masih belum optimum. Walaupun terdapat latihan dan program kesedaran, ketiadaan infrastruktur sistem amaran awal yang mencukupi serta kekurangan logistik di beberapa daerah menunjukkan bahawa kesiapsiagaan belum dilaksanakan secara menyeluruh.
Antara penyelesaian yang ditawarkan dalam Undang-Undang Pengurusan Bencana termasuklah pengukuhan peranan pemimpin daerah dalam usaha mitigasi dan pengurusan bencana, peningkatan peruntukan kewangan bagi pencegahan dan kesiapsiagaan, penguatkuasaan perancangan guna tanah berasaskan risiko bencana, serta peningkatan koordinasi dan kemahuan politik untuk menetapkan status bencana yang tepat demi memastikan penanganan yang optimal.
Pelaksanaan undang-undang seperti ini sepatutnya disertai dengan keikhlasan dan sistem pentadbiran yang telus dalam mengurus kepentingan rakyat tanpa dibelenggu oleh kerenah birokrasi. Para pegawai pelaksana pula perlu bersikap amanah, memiliki empati terhadap penderitaan rakyat, serta bukan hasil daripada produk politik transaksional.
Pakatan Pemimpin dan Pengusaha
Dalam sistem sekular kapitalisme, sebarang dasar berkaitan pengurusan bencana lazimnya hanya berakhir di atas kertas tanpa pelaksanaan yang berkesan. Lebih-lebih lagi apabila wujud dakwaan kuat berhubung kegiatan pembalakan haram dan penukaran guna tanah yang didakwa menjadi punca di sebalik bencana di Sumatera.
Hal ini demikian kerana pakatan sulit antara pemimpin dan pengusaha dalam sistem demokrasi sekular kapitalis merupakan suatu realiti yang sukar dinafikan. Bencana di Sumatera sepatutnya membuka mata dan hati masyarakat terhadap kewujudan pakatan tersebut. Bukti lain dapat dilihat apabila sehingga kini kerajaan masih dilihat lambat dalam mendedahkan serta mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat “nakal” yang terlibat dalam penukaran guna tanah di Sumatera, khususnya di kawasan yang kini terjejas akibat bencana.
Sedangkan, lokasi bencana jelas berdekatan dengan ladang kelapa sawit dan kawasan perlombongan. Banjir yang menghanyutkan jutaan batang kayu balak tidak mungkin dapat disangkal dengan pelbagai alasan untuk menafikan kebenaran. Selain itu, kewujudan lori-lori yang terus beroperasi secara senyap bagi mengangkut kayu balak, sebagaimana disaksikan oleh penduduk tempatan dan para sukarelawan, walaupun tragedi bencana Sumatera masih belum reda.
Kesemua ini merupakan satu bentuk “perselingkuhan ekonomi” yang dipamerkan secara nyata. Tidak ada ungkapan yang lebih tepat selain menyatakan bahawa pemerintah memang tidak berhati perut. Kepentingan perniagaan diutamakan tanpa mempertimbangkan kesan ekologi yang serius. Keadaan ini tidak menghairankan kerana golongan peniaga itu sendiri sering kali terdiri daripada individu yang sama yang memegang jawatan sebagai pemimpin dan pegawai kerajaan. Justeru, banyak dasar awam tersasar, malah bersifat tidak munasabah, kerana ditunggangi oleh kepentingan kapitalis.
Realiti “perselingkuhan” yang pahit bagi rakyat ini, sebaliknya menjadi sesuatu yang menguntungkan dan menyenangkan bagi pemimpin sistem kapitalisme. Golongan pemimpin sering bersikap acuh tak acuh terhadap nasib rakyat, sedangkan bencana alam berkait rapat dengan hak untuk hidup, khususnya bagi mangsa bencana. Keadaan ini merupakan antara akibat langsung daripada penerapan sistem sekular kapitalisme yang turut melahirkan sistem ekonomi neoliberal.
Bencana yang melanda tiga wilayah besar di Sumatera sepatutnya menyedarkan masyarakat bahawa negara ini sebenarnya kaya. Namun, kewujudan sistem yang rakus, rosak dan merosakkan telah menyebabkan belanjawan negara bergantung kepada hutang dan cukai. Akibatnya, aspek penanggulangan, pembiayaan dan pemulihan bencana menjadi kucar-kacir, malah sering terhalang oleh pertimbangan ekonomi yang rumit. Dalam masa yang sama, peruntukan bagi usaha mitigasi turut terkesan oleh langkah penjimatan belanjawan. Sekali lagi, rakyat menjadi mangsa utama.
Tanggungjawab Negara dalam Mengurus Mangsa Bencana
Kelewatan dalam penanggulangan bencana di Sumatera tidak lain merupakan kesan langsung daripada lenyapnya rasa tanggungjawab pemimpin dalam sistem sekular kapitalis. Sebagai pemimpin, mereka sepatutnya berperanan sebagai pengurus (raa‘in) dan pelindung (junnah) kepada rakyat. Namun, akibat penerapan sistem yang batil, tanggungjawab untuk mengurus mangsa bencana, termasuk menjamin keselamatan mereka sepanjang tempoh pemulihan, seolah-olah lenyap begitu sahaja.
Karakter pemimpin dalam sistem sekular kapitalis ini sangat berbeza dengan kepimpinan dalam sistem Islam (Khilafah). Para khalifah merupakan pemimpin yang meneladani kepimpinan Rasulullah SAW dalam memikul amanah mengurus urusan rakyat dan negara, termasuk menjamin keselamatan, menyelamatkan nyawa, serta memelihara kehidupan rakyat daripada ancaman bencana alam.
Rasulullah SAW bersabda,
الإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
“Imam (khalifah) adalah pengurus rakyat dan dia bertanggungjawab atas pengurusan rakyatnya.” (HR Bukhari).
Juga di dalam hadis,
إِنَّمَا الإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ
“Sungguh imam (khalifah) adalah perisai. Orang-orang berperang di belakangnya dan berlindung dengan dirinya.” (HR Muslim).
Dengan karakter kepemimpinan sebagai raa‘in (pengurus) dan junnah (pelindung), Khilafah akan memastikan keselamatan rakyat yang menjadi mangsa bencana secara menyeluruh. Pengendalian bencana dilaksanakan dengan pantas, berpusat dan terkoordinasi seoptimum mungkin, kerana setiap kelewatan merupakan suatu kecuaian terhadap amanah kekuasaan dan kepemimpinan yang akan dipertanggungjawabkan, bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat.
Negara bertanggungjawab sepenuhnya dalam menangani situasi pascabencana, tanpa terikat kepada kompromi atau pertimbangan ekonomi yang rumit, malah tanpa perlu menunggu tempoh berminggu-minggu atau berbulan-bulan. Negara akan menyediakan pelbagai kemudahan dan prasarana, antaranya dengan menghantar para pegawai serta menyediakan sarana pengangkutan dalam jumlah yang mencukupi bagi menjangkau seluruh kawasan bencana, termasuk kawasan yang yang sukar. Sarana pengangkutan tersebut merangkumi pesawat pengangkut logistik bantuan, pesawat amfibia, helikopter, bot getah, ambulans, serta jentera berat untuk membersihkan kawasan yang terjejas akibat bencana.
Negara juga perlu sentiasa siap siaga untuk bertindak pantas membina pelbagai infrastruktur kecemasan, seperti jambatan dan jalan alternatif, agar laluan bantuan ke kawasan terjejas dapat dibuka segera dan bantuan dapat disalurkan kepada para mangsa. Infrastruktur lain yang turut perlu disediakan adalah bekalan elektrik sementara dan kemudahan air bersih. Selain itu, negara perlu melakukan tindakan segera dengan membangunkan pusat penempatan sementara bagi mangsa bencana, hospital kecemasan dan pos keselamatan di beberapa lokasi strategik sebagai langkah menyelamatkan penduduk serta sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya bencana susulan.
Negara juga akan menjamin keperluan asas mangsa bencana—makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan dan keselamatan—tanpa terikat kepada logik keuntungan dan kerugian. Perkara ini selari dengan sistem ekonomi Islam yang diterapkan oleh Khilafah, iaitu kewujudan peruntukan khas bagi pembiayaan dalam situasi darurat, termasuk bencana alam.
Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menghuraikan perkara ini dalam karyanya Nizham al-Iqtishadi fi al-Islam (Sistem Ekonomi Islam), dalam bab “Baitulmal” dalam topik pembahasan mengenai perbelanjaan baitulmal. Perbelanjaan bagi peruntukan ini tidak ditentukan berdasarkan keberadaan harta /aset semata-mata, sebaliknya berdasarkan hak paten, sama ada harta/aset tersebut ada ataupun tiada.
Jika harta tersebut tersedia, maka ia wajib disalurkan dengan segera. Jika harta tersebut tidak tersedia, kewajipan pembiayaan bencana dipikul oleh seluruh umat Islam. Harta tersebut wajib dikumpulkan daripada umat Islam dengan segera, kemudian dimasukkan ke dalam baitulmal untuk disalurkan kepada pihak yang berhak.
Sekiranya dibimbangi berlakunya penderitaan akibat kelewatan pembiayaan sementara menunggu harta dikumpulkan, negara wajib meminjam harta/aset yang dipatenkan terlebih dahulu. Aset/harta pinjaman tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam baitulmal dan segera disalurkan kepada pihak yang memerlukan. Harta pinjaman tersebut akan dibayar semula daripada harta yang berjaya dikumpulkan dari kalangan kaum Muslim.
Sebagai langkah pencegahan selanjutnya, negara berkewajipan mencegah berlakunya bencana melalui pengelolaan alam sekitar yang adil dan mapan demi kemaslahatan umat. Hutan, sebagai harta milik umum, akan diurus dan dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat, bukannya individu tertentu secara penswastaan seperti yang dilakukan para kapitalis.
Demikianlah, Islam hadir membawa syariat yang akan memelihara harta, nyawa dan maruah manusia. Syariat Islam mampu mencegah seorang pemimpin daripada menyalahgunakan kuasa, di samping memastikan amanah kepimpinan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Melaluinya, hutan, hasil galian dan sumber daya alam yang lain akan dikelola demi kesejahteraan seluruh rakyat, bukannya untuk kepentingan segelintir korporat yang rakus dan oligarki tamak yang kaya raya dari hasil mencuri kekayaan milik rakyat dan negara. Wallahu a‘lam bissawab.
Sumber: https://muslimahnews.net/
#savesumatera #sumateraflood
Sebulan Pascabencana, Sumatra Masih Berduka dan Keselamatan Rakyat Dipertaruhkan

