Site icon MuslimahHTM News

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 1/46)

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 1/46)

 

Penulis: Abdurrahman al-Maliki

 

Sumber-sumber ekonomi primer (utama) di setiap negara dan jenis sistem yang diterapkannya terdiri daripada empat sumber, sama ada negara itu maju, seperti Amerika dan Rusia, atau kurang membangun seperti Yaman dan Ethiopia. Keempat-empat sumber ekonomi tersebut ialah pertanian, perindustrian, perdagangan, dan perkhidmatan.

 

Sumber ekonomi yang dikenali sebagai pendapatan sekunder, seperti pelancongan, insentif, dan sarana pengangkutan, kesemua ini tidak dianggap sebagai sumber ekonomi primer. Hal ini kerana, sumber-sumber ekonomi tersebut tidak terdapat di setiap negara, serta tidak memerlukan hukum-hukum dan penyelesaian khusus yang berasingan daripada empat sumber ekonomi tersebut. Oleh itu, sumber-sumber ini tidak dianggap sebagai sumber ekonomi yang mandiri.

 

Penyelesaian ekonomi hanya tertumpu kepada empat sumber ekonomi ini saja. Hal ini terpakai bagi negara yang mendasarkan pertumbuhan pendapatan negara sebagai dasar politik ekonominya, seperti sistem kapitalisme. Begitu juga bagi negara yang menjadikan pengagihan pendapatan negara sebagai dasar politik ekonominya, seperti sistem Islam atau sosialisme-komunis. Hal ini kerana tiada sumber ekonomi asas yang ditemukan selain empat sumber ini. Oleh itu, penyelesaian ekonomi pasti tertumpu pada aspek pemilikan serta pekerjaan (barangan dan perkhidmatan) yang berkaitan dengan empat sumber ekonomi ini.

 

Kapitalisme menjadikan pertumbuhan pendapatan negara sebagai asas sistem ekonominya, seraya memberikan kebebasan kepada setiap individu untuk memiliki dan bekerja dalam kaitannya dengan keempat-empat sumber ekonomi ini. Sosialisme-komunis pula memandang penting penghapusan pemilikan secara keseluruhan atau sebahagiannya sahaja, seraya memaksa setiap individu untuk bekerja. Islam sebaliknya membolehkan kedua-duanya pemilikan dan bekerja.

 

Allah SWT berfirman, “Berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah SWT.”[TMQ Al-Mulk (67):15].

 

“Bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah SWT.”[TMQ Al-Jumu’ah(62):10].

 

Perintah-perintah Allah SWT di atas menunjukkan kemubahan (kebolehan). Rasulullah SAW juga bersabda, “Tidaklah seseorang memakan suatu makanan yang lebih baik daripada memakan makanan hasil jerih payahnya sendiri.” [HR Al-Bukhari].

 

Perintah ini disertai dengan pujian. Perintah seperti ini dikategorikan dalam perintah yang tidak jelas (ghayr sharib) dan maksud daripada perintah tersebut ialah kebolehan (kemubahan). Berdasarkan hal ini, penyelesaian kepada keempat-empat sumber ekonomi ini dilihat sebagai penyelesaian ekonomi yang paling penting, malah paling asas. Selain daripada empat sumber itu, ia hanya merupakan sebahagian daripada sumber ekonomi primer tersebut atau sebagai pelengkap.

 

Islam membenarkan pemilikan mahupun kegiatan pengeluaran yang berkaitan dengan sumber-sumber ekonomi ini untuk manusia. Dengan membenarkan kedua-duanya, jelaslah bahawa keizinan ini akan merealisasikan politik ekonomi, iaitu membolehkan setiap individu rakyat memenuhi keperluan sekunder dan tertier sesuai dengan kemampuannya, apatah lagi keperluan primernya. Keupayaan bagi setiap individu untuk memiliki keempat-empat sumber ekonomi tersebut dan berusaha untuk meraihnya sesuai dengan kemampuannya, hal ini akan mewujudkan peluang untuk memenuhi keperluan primer, sekunder, dan selanjutnya tertier. Oleh itu, kebolehan untuk memiliki dan pekerjaan yang berkaitan dengan sumber-sumber ekonomi ini merupakan asas serta dasar utama ekonomi Islam.

 

Perlu diperhatikan bahawa kebolehan (ibahah) untuk memiliki dan bekerja ini tidak sama dengan kebebasan (buriyyah) untuk memiliki dan bekerja. Ini kerana, terdapat perbezaan antara kebebasan untuk memiliki dan bekerja dengan kebolehan untuk memiliki dan bekerja.

 

Kebebasan dalam hal pemilikan dan pekerjaan jelas telah mewujudkan ketidakadilan dan menjadikan masyarakat jatuh ke tahap seperti binatang. Kebebasan dalam pemilikan dan pekerjaan ini telah mendorong manusia untuk memiliki harta kekayaan dengan cara apa pun. Bahkan ada yang menipu, berdusta, berjudi, menimbun, menanam, mengeluarkan sekaligus memperdagangkan ganja, menjual candu, heroin atau seumpamanya, menjadi ahli silap mata (penyihir), pelacur (gigolo), ataupun melakukan pekerjaan-pekerjaan hina yang lain.

 

Keadaan seperti ini menyebabkan pihak yang berkuasa menindas yang lemah dan yang pintar mengeksploitasi orang yang jahil. Justeru, kebebasan ini mengakibatkan manusia ditimpa ketidakadilan dan menjadi punca kepada kemerosotan (hilangnya) interaksi antara manusia.

 

Sebaliknya, kebolehan untuk memiliki dan bekerja adalah berdasarkan hukum syarak, iaitu menetapkan bahawa keempat-empat sumber ekonomi tersebut hukumnya harus berdasarkan dalil-dalil yang umum. Namun demikian, terdapat dalil-dalil lain yang mengecualikan keumuman ini, iaitu yang merujuk kepada hukum mubah, agar tidak terjadi ketidakadilan atau mengakibatkan hilangnya interaksi antara manusia. Sebagai contoh, terdapat hukum-hukum yang melarang beberapa perkara seperti penimbunan, pelacuran, dusta, dan riba.

 

Justeru, kebolehan ini berkait dengan hukum syarak, iaitu perintah Allah SWT untuk memilih antara melakukan suatu perbuatan itu atau tidak. Hal ini berbeza dengan kebebasan yang tidak terikat dengan apa pun. Oleh itu, pemilikan dan pekerjaan demi memperoleh sumber-sumber ekonomi di atas hukumnya harus, bukan bebas.

 

Walau bagaimanapun, Islam tidak hanya membenarkan pemilikan dan pekerjaan yang berkaitan dengan keempat-empat sumber ekonomi ini seraya membiarkannya tanpa menjelaskan hukum-hukumnya. Islam memberikan penjelasan yang terperinci mengenai setiap sumber ekonomi itu, sekaligus menetapkan garis panduan untuk mengatasi segala persoalan yang berkaitan dengan keempat-empat sumber ekonomi tersebut.

 

Kemudian muncullah hukum-hukum yang berkaitan dengan pertanian, perindustrian, perdagangan, dan tenaga buruh. Islam menjelaskan setiap hukum tersebut secara terperinci berdasarkan garis panduannya. Islam mampu menghuraikan hukum-hukumnya dengan suatu penjelasan yang dapat menyelesaikan konflik dan memberikan penyelesaian yang sempurna.

 

 

Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.

 

 

#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam #Kapitalisme #Sosialisme

 

Exit mobile version