Khabar Lelaki Masa Kini: Antara Tekanan Ekonomi dan Krisis Jiwa
Pendahuluan
Sepanjang tempoh 2020 hingga Oktober 2025, Malaysia merekodkan 5,857 kes bunuh diri dengan lebih 80 peratus melibatkan lelaki, majoritinya terdiri daripada belia dan individu dalam kelompok usia bekerja. Daripada jumlah tersebut, 1,813 kes melibatkan individu berusia antara 15 hingga 30 tahun, sekali gus mencerminkan corak yang membimbangkan terhadap kesejahteraan mental lelaki muda dalam konteks sosial dan ekonomi semasa.
Tekanan Hidup dan Peranan Sosial
Isu bunuh diri di Malaysia semakin ketara sejak 2014 susulan peningkatan yang signifikan. Menurut kajian oleh Lew et al. (2022), antara 2014 dan 2019, berlaku peningkatan kadar bunuh diri terutamanya dalam kalangan lelaki. Kajian tersebut, yang turut merujuk kepada penyelidikan Alothman & Fogarty, menunjukkan bahawa perbezaan kadar bunuh diri antara lelaki dan wanita juga boleh dipengaruhi oleh faktor seperti GDP per kapita dan tahap pembangunan jantina. Ia turut mencatat bahawa pada 2019, tenaga kerja Malaysia masih didominasi oleh lelaki, dengan kadar penyertaan 80.8 peratus berbanding 55.6 peratus bagi wanita, yang berpotensi menjadikan lelaki lebih terkesan oleh perubahan dan tekanan ekonomi. Dalam masa yang sama, peningkatan pemerkasaan wanita melalui pendidikan dan penyertaan dalam tenaga kerja dikaitkan dengan penurunan kadar bunuh diri dalam kalangan wanita, sekaligus melebar jurang perbezaan antara jantina yang memerlukan penelitian lanjut.
Oleh yang demikian, walaupun terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kejadian bunuh diri, peranan faktor ekonomi sebagai punca tekanan mental yang signifikan tidak boleh diketepikan dan wajar diberi perhatian serius. Selain itu, tekanan mental dalam kalangan lelaki usia belia juga lazimnya dipengaruhi oleh beban peranan sosial mereka sebagai pencari nafkah utama keluarga. Faktor-faktor seperti peningkatan kos sara hidup, ketidakstabilan pekerjaan, tekanan kewangan serta konflik keluarga bukan sahaja meningkatkan tekanan harian, malah berpotensi menjejaskan kestabilan emosi dan kesihatan mental mereka.
Hal ini selari dengan pendapat pakar psikologi dan kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad yang mengatakan bahawa kecenderungan untuk membunuh diri sering berpunca daripada perasaan putus asa, tidak berdaya dan tekanan yang melampau, yang boleh diperburukkan oleh faktor ekonomi dan sosial. Dalam laporan Sinar Daily (2024), beliau menyatakan bahawa kesukaran ekonomi yang berpanjangan, peningkatan kos sara hidup serta pengurangan subsidi telah menambah tekanan terhadap individu dan keluarga.
Selain itu, dapatan kaji selidik dalam Laporan Trend Pengguna Malaysia 2025 oleh Central Force International (CFI) yang melaporkan hampir tiga perempat rakyat Malaysia berasa terbeban dengan kos sara hidup, turut menggambarkan realiti mencabar yang berterusan sedang dihadapi masyarakat masa kini.
Justeru, tidak menghairankan apabila tekanan mental dilihat terus meningkat, lebih-lebih lagi dalam kalangan lelaki yang sering dilihat sebagai tunjang utama keluarga. Dalam kerangka sistem kapitalisme, nilai individu kerap diukur berdasarkan produktiviti dan pendapatannya, tanpa memberi penyelesaian tuntas terhadap tekanan ekonomi yang dihadapi secara peribadi. Individu seolah-olah diharapkan untuk terus bekerja keras demi memenuhi keperluan hidup semasa, tuntutan peningkatan taraf hidup, dalam masa sama berdepan pelbagai beban yang kian menekan.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan fokus pemerkasaan negara yang dilihat kurang seimbang, apabila perhatian lebih banyak diberikan kepada pemerkasaan wanita berbanding lelaki. Wanita sering digalakkan dan dipromosikan untuk menyertai dunia kerjaya serta menyumbang kepada pembangunan negara, namun usaha atau naratif pemerkasaan lelaki jarang diketengahkan, walaupun golongan ini turut berdepan pelbagai krisis, khususnya berkaitan peranan sosial dan tanggungjawab kepimpinannya.
Oleh yang demikian, isu bunuh diri dalam konteks sistem kapitalisme hari ini tidak wajar dilihat semata-mata sebagai masalah kesihatan mental individu, sebaliknya merupakan hasil tekanan berlapis yang berpunca daripada rangkaian faktor sistemik. Justeru, pendekatan penyelesaian yang bersifat menyeluruh dan mendasar amat diperlukan.
Bahaya untuk masa depan generasi
Situasi ini sememangnya berbahaya sekiranya dibiarkan berterusan. Hal ini kerana pemuda Muslim merupakan aset penting kepada ummah. Golongan lelaki berusia antara 15 hingga 30 tahun tergolong sebagai belia yang telah baligh, kebanyakannya berada dalam usia bekerja, dan seharusnya menjadi komponen utama dalam pembangunan masyarakat serta negara. Kehilangan mereka akibat tekanan mental dan bunuh diri bukan sahaja merupakan satu tragedi, malah kerugian yang berpotensi melemahkan kekuatan sosial secara menyeluruh. Lebih membimbangkan, stigmatisasi sedia ada terhadap isu kesihatan mental lelaki juga hanya akan terus melemahkan mereka, bukan menguatkan mereka.
Islam Mengurus Jiwa dan Faktor Tekanan Manusia
Islam sangat menghargai dan menjaga soal jiwa manusia. Allah SWT berfirman,
“…Janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” (TMQ An-Nisaa’ [4]:29)
“… dan janganlah kamu jatuhkan (diri sendiri) ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri …” (TMQ Al-Baqarah [2]: 195)
Berdasarkan ayat-ayat di atas, manusia dilarang daripada saling berbunuhan atau pun membunuh diri.
Oleh yang demikian, apa jua faktor yang mendorong seseorang terjerumus ke dalam tekanan jiwa atau sehingga membawa kepada tindakan membunuh diri perlu dikaji secara mendalam dan diberi perhatian serius untuk ditangani. Sekiranya tekanan tersebut berpunca daripada faktor ekonomi, maka punca itulah yang mesti dirawat segera dan tidak dibiarkan berlarutan. Apatah lagi sehingga menjadi masalah berangkai yang kian memburuk dari tahun ke tahun.
Berkaitan tekanan ekonomi, penting untuk diteliti tentang bagaimana Islam menangani permasalahan ekonomi secara asasnya. Hal ini kerana, Islam berbeza dengan sistem kapitalisme yang sering melihat masalah ekonomi individu sebagai isu peribadi semata-mata. Islam meletakkannya sebagai tanggungjawab bersama yang perlu ditangani secara sistemik. Pendekatan Islam bukan sekadar menekankan empati, sebaliknya menuntun individu keluar daripada tekanan melalui pemerkasaan fungsi dan peranan mereka dalam masyarakat secara adil, bijaksana dan seimbang, serta sesuai dengan fitrah masing-masing.
Keteladanan Rasulullah SAW sebagai pemimpin umat dan negara wajar kita renungkan. Dalam satu kisah yang masyhur, Rasulullah SAW mendidik seorang lelaki dari kaum Ansar yang datang meminta kepadanya. Berbanding memberikan sedekah secara langsung, Baginda terlebih dahulu bertanyakan apakah yang masih dia miliki. Setelah diketahui bahawa dia hanya mempunyai sehelai kain kasar dan sebuah mangkuk kayu untuk minum, Rasulullah SAW meminta keduanya, lalu melelongnya di hadapan para sahabat hingga terkumpullah dua dirham. Lalu Rasulullah SAW berkata,
“Belilah makanan dengan salah satunya dan berikan kepada keluargamu, dan belilah sebuah kapak dan bawakan kepadaku.”
Rasulullah SAW sendiri membantu menyempurnakan kapak tersebut dan memerintahkannya bekerja mencari kayu bakar dan menjualnya, serta tidak kembali selama dua minggu. Setelah masa itu, lelaki Ansar tersebut datang dengan hasil sepuluh dirham daripada kerja kerasnya. Rasulullah SAW menegaskan bahawa bekerja dan berdikari itu jauh lebih baik daripada terus meminta-minta.
Pelajaran yang dapat kita ambil daripada kisah ini adalah pendekatan Rasulullah SAW yang visioner dan transformatif. Baginda bukan saja menyelesaikan tekanan yang menimpa lelaki tersebut, malah Baginda memperkasakan sang penafkah keluarga, mendidiknya tentang kemandirian ekonomi, bukan kebergantungan.
Begitulah peranan pemimpin dan negara dalam Islam. Negara berkewajipan mengurangkan tekanan kelangsungan hidup lelaki dengan menjamin pemenuhan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, di samping menyediakan peluang pekerjaan serta menjamin kemandirian ekonomi setiap rakyat. Pada masa yang sama, negara juga wajib menutup ruang kepada aktiviti ekonomi yang tidak syarie seperti sistem berasaskan riba dan budaya konsumtif yang berleluasa dalam masyarakat. Kesemua tanggungjawab ini merupakan kewajipan dalam sistem pemerintahan Islam (Khilafah), yang mesti dipastikan dapat diakses oleh setiap individu rakyat melalui mekanisme yang bersih dan patuh syariat.
Berbeza dengan sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan hari ini, walaupun pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh negara, pendekatan tersebut sering bersifat sementara, tertakluk kepada dasar ayng berubah-ubah atas faktor politik, dan gagal menyelesaikan punca sebenar masalah ekonomi per individu.
Selain bantuan yang tidak tuntas, asas ekonomi yang bercampur aduk antara halal dan haram, khususnya kebergantungan kepada sistem riba, turut menjadi penyumbang utama kepada tekanan hidup. Hal ini sejajar dengan peringatan al-Quran bahawa riba menghilangkan keberkatan dalam kehidupan (Surah al-Baqarah: 275–276). Malah, pembukaan ruang kepada pelbagai aktiviti tidak syarie lain juga sebenarnya menyumbang kepada tekanan berlapis yang berpanjangan dalam kehidupan individu.
Di samping itu, Islam juga menjaga keutamaan serta kefungsian lelaki dan wanita berdasarkan fitrah masing-masing. Islam mewajibkan penerapan budaya kerja yang sihat, tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat. Setiap perkara mempunyai kadar dan batasnya, dan Islam menekankan keseimbangan antara tuntutan dunia dan akhirat. Tujuan utama kehidupan manusia adalah untuk beribadah kepada Allah, justeru aktiviti bekerja juga perlu didorong dalam rangka ibadah. Oleh itu, aturan kerja tidak boleh sampai mengorbankan ibadah dan kewajipan syariat yang lain yang merupakan `tali’ utama dalam menghubungkan hamba dengan Allah SWT.
Paling penting, Islam berperanan membentengi masyarakat daripada pengaruh idea sekularisme, iaitu fahaman yang memisahkan agama daripada urusan kehidupan. Sedar atau tidak, fahaman sekular telah berakar umbi dalam pelbagai ruang kehidupan kita dan ia merupakan antara punca utama kekosongan jiwa pada hari ini. Apabila aspek agama diketepikan dalam dasar pekerjaan dan kehidupan, manusia akan terdorong bekerja keras semata-mata untuk memenuhi keperluan material. Akibatnya, budaya materialisme dan gaya hidup konsumtif semakin mengakar, sekaligus membentuk masyarakat yang sentiasa tertekan dan tidak pernah merasa cukup.
Khatimah
Penyelesaian terhadap isu bunuh diri dan masalah jiwa yang saling berkaitan ini hendaklah dilihat daripada perspektif lebih luas kerana banyaknya faktor persekitaran. Faktor persekitaran ini pula bukan hanya dibentuk oleh lingkungan sosial terdekat, tetapi turut dipengaruhi oleh sistem yang menaungi kehidupan seperti dasar dan polisi yang diterapkan negara.
Oleh itu, selagi punca-punca struktural ini tidak ditangani, kempen kesedaran kesihatan mental semata-mata tidak akan mencukupi untuk memulihkan tekanan jiwa lelaki yang semakin terhakis. Pendekatan yang hanya mengurus simptom tanpa membetulkan asas sistem bukan saja tidak menyelesaikan masalah, malah berisiko memperbesar krisis pada masa hadapan.
Aliya Ab Aziz
Lajnah I’lamiyyah MHTM
Rujukan berita:
- https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/11/1476836/majoriti-kes-bunuh-diri-babitkan-lelaki
- https://www.utusan.com.my/nasional/2024/08/kes-kematian-akibat-bunuh-diri-meningkat-1087-kes/
- https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC8766712/
- https://www.sinardaily.my/article/220013/focus/exclusives/economic-strain-and-mental-health-the-link-to-rising-suicides
- https://www.bharian.com.my/sihat/2025/12/1479734/krisis-kesihatan-mental-dalam-kalangan-lelaki
- https://www.hadits.id/hadits/abudawud/1641
#StopSuicide

