[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 8/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan daripada Bahagian 7 daripada 46)
Tidak boleh dikatakan bahawa ijmak tersebut khusus bagi satu jenis tanah, iaitu tanah yang diberikan melalui iqṭāʿ kerana ijmak itu terbentuk berdasarkan tindakan Umar RA yang tidak mengembalikan tanah yang telah diberikan oleh Rasulullah SAW kepada kabilah Muzainah atau Juhainah, serta tindakannya mengambil semula tanah yang pernah diberikan Rasulullah SAW kepada Bilal.
Apabila ada pandangan mengatakan ia khusus bagi tanah iqṭāʿ dan tidak termasuk tanah yang dimiliki melalui pembelian, hibah, atau warisan, maka tidak boleh dikatakan demikian kerana ijmak itu bersifat umum dan tidak terbatas kepada tanah iqṭāʿ. Ini kerana lafaz yang diucapkan oleh Umar adalah umum, sebagaimana katanya: “Sesiapa yang mengabaikan tanah selama tiga tahun dan tidak mengusahakannya, lalu datang orang lain mengusahakannya, maka tanah itu menjadi miliknya.” Lafaz ini bersifat umum yang merangkumi semua jenis tanah.
Ungkapan “man ‘aṭṭala” (sesiapa yang mengabaikan) ialah lafaz umum, dan para sahabat telah mendengar ucapan tersebut daripada Umar tanpa seorang pun yang membantahnya. Maka, kesepakatan mereka itu merupakan ijmak atas keumuman lafaz tersebut.
Tambahan pula, hakikat bahawa peristiwa itu berlaku pada tanah yang diberikan melalui iqṭāʿ hanyalah merupakan sebab. Sedangkan kaedah syarak menetapkan bahawa “yang diambil kira ialah keumuman lafaz, bukan kekhususan sebab” (al-‘ibrah bi ‘umūm al-lafẓ lā bi khuṣūṣ as-sabab).
Oleh itu, lafaz umum “man ‘aṭṭala arḍanā” (sesiapa yang mengabaikan tanah kami) kekal dengan keumumannya, iaitu merangkumi semua jenis tanah, sama ada dimiliki melalui iqṭāʿ, pembelian, pewarisan, atau cara yang lain.
Maka, mana-mana tanah yang dibiarkan tanpa diusahakan selama tiga tahun berturut-turut, hukumnya ialah tanah tersebut diambil daripada orang yang mengabaikannya tanpa mengira apa jua sebab pemilikan asalnya, sama ada melalui iḥyāʾ (menghidupkan tanah), taḥjīr (pemagaran), pembelian, iqṭāʿ (pemberian oleh negara), atau selainnya.
Daripada semua ini, jelaslah bahawa pemilikan tanah membawa maksud kewajipan mengusahakannya secara pasti, kerana pengusahaan itu merupakan bahagian yang tidak terpisah daripada pemilikan. Maka, jika tanah tidak diusahakan selama tiga tahun, hak milik itu gugur secara pasti dan tanah tersebut diambil daripada pemiliknya secara paksa, berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Dan tiada hak bagi orang yang memagar tanah selepas tiga tahun,” serta berdasarkan ijmak para sahabat atas kata-kata Umar RA: “Sesiapa yang mengabaikan tanah selama tiga tahun dan tidak mengusahakannya, lalu datang orang lain mengusahakannya, maka tanah itu menjadi miliknya.”
Itulah pembahasan dari aspek cara pemilikan tanah. Manakala dari segi cara mengusahakannya, syarak juga telah menetapkannya dengan jelas. Seseorang diwajibkan untuk mengusahakan tanahnya sendiri. Pemilik tanah boleh menanam di tanahnya menggunakan peralatannya, benihnya, haiwannya dan para pekerjanya, atau mengupah orang lain untuk membantu mengusahakannya dengan bayaran upah tertentu.
Namun demikian, syarak melarang sama sekali penyewaan tanah untuk tujuan pertanian, sama ada dengan sebahagian hasil tanaman yang disebut muzāra‘ah, dengan bayaran tunai, atau dengan bentuk bayaran lain.
Islam melarang tanah dijadikan alat eksploitasi seperti rumah, haiwan tunggangan dan seumpamanya. Sebaliknya, pemilik tanah diwajibkan mengusahakan tanah itu sendiri secara langsung.
Oleh itu, haram menyewakan tanah untuk pertanian dalam apa jua bentuk sekalipun, sama ada tanah itu tanah ‘usyuriyyah atau tanah kharājiyyah, sama ada bayarannya berupa wang tunai atau selainnya, sama ada bayarannya berdasarkan hasil tanaman, atau kerana penyewa menanam di tanah milik tuan tanah sebagai ganti sewaan, atau apa jua bentuk yang lain.
Penyewaan tanah untuk pertanian adalah haram menurut syarak dengan pengharaman yang bersifat umum dan mutlak, tanpa sebarang pengkhusuan atau batasan.
Telah diriwayatkan dalam Ṣaḥīḥ al-Bukhārī bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memiliki tanah, maka hendaklah dia menanamnya, atau berikanlah tanah itu kepada saudaranya; dan jika dia enggan, maka hendaklah dia menahan tanahnya.”
Dan dalam Ṣaḥīḥ Muslim pula disebut bahawa Rasulullah SAW melarang mengambil upah atau bahagian hasil daripada tanah.
Juga diriwayatkan secara sahih bahawa Rasuulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memiliki tanah, maka hendaklah dia menanamnya sendiri, atau biarkan saudaranya menanamnya; dan janganlah dia menyewakannya dengan sepertiga, seperempat, atau dengan makanan yang ditentukan.” [HR An-Nasa’i, Abu Dawud dan Ahmad].
Hadis-hadis yang sahih dan jelas ini menunjukkan dengan sempurna larangan menyewakan tanah secara umum. Tidak ada dalil yang mengkhususkan larangan ini kepada jenis tanah tertentu, dan tiada juga dalil yang mengehadkannya dengan sebarang pembatas (qayyid). Maka, hukum larangan ini tetap bersifat umum dan mutlak.
Selain itu, larangan ini disertai dengan petunjuk (qarīnah) yang menunjukkan bahawa ia adalah perintah meninggalkan secara tegas dan pasti (ṭalab tark jāzim), yang bermaksud bahawa menyewakan tanah adalah haram.
Diriwayatkan oleh Abu Dawud daripada Jabir RA, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan (akad) al-mukhābarah, maka dia mengisytiharkan perang terhadap Allah dan RasulNya.” [HR Abu Dawud]
Hadis ini merupakan suatu ancaman yang menunjukkan pengharaman. Ia menjadi petunjuk (qarīnah) bahawa al-mukhābarah, iaitu al-muzāra‘ah, iaitu menyewakan tanah pertanian dengan bayaran sebahagian daripada hasilnya adalah haram menurut syarak.
Diriwayatkan oleh al-Nasa’i bahawa Rasulullah SAW melarang penyewaan tanah. Maka kami berkata: “Wahai Rasulullah, kalau begitu, bolehkah kami menyewakannya dengan sedikit biji-bijian?” Baginda bersabda: “Tidak.” Kami bertanya lagi: “Kalau begitu, dengan buah tin?” Baginda menjawab: “Tidak.” Kami berkata: “Dahulu kami menyewakannya dengan hasil tanaman di tepi sungai kecil.” Baginda bersabda: “Tidak. Tanamilah tanah itu, atau berikanlah ia kepada saudaramu.”[HR An-Nasa’i]
Al-Rabī‘ bermaksud anak sungai kecil atau lembah. Maksud hadis tersebut ialah, “Dahulu kami menyewakan tanah dengan syarat bahawa penyewa menanam untuk kami di atas tanah di tepi sungai itu sebagai bayaran bagi kerja penanaman di bahagian tanah yang lain.”
Hadis ini menjadi petunjuk (qarinah) bahawa larangan tersebut adalah perintah meninggalkan yang bersifat tegas, kerana di dalamnya terdapat penegasan yang kuat terhadap larangan tersebut. Hal ini jelas melalui pengulangan penolakan dalam larangan tersebut, yang berfungsi sebagai penegasan (ta’kīd).
Penegasan dalam hadis ini lebih kuat daripada penegasan secara lafaz. Ia lebih tegas daripada sekiranya baginda hanya mengulangi larangan dengan bersabda, “Jangan kamu sewakan tanah, jangan kamu sewakan tanah, jangan kamu sewakan tanah.” Hal ini kerana Rasulullah SAW melarang penyewaan tanah secara umum dan mutlak. Kemudian baginda diminta agar mengizinkan satu bentuk sewaan tertentu, namun Baginda menolaknya. Baginda kemudian diminta pula agar mengizinkan bentuk lain, tetapi Baginda tetap menolaknya. Kali ketiga, permintaan lain dikemukakan dan Baginda tetap menolak, sebelum akhirnya menetapkan larangan tersebut secara muktamad.
Ketika dikatakan kepada baginda: “Kalau begitu, bolehkah kami menyewakannya dengan sedikit biji-bijian?” Baginda menolak dan bersabda: “Tidak.” Kemudian dikatakan: “Kalau dengan buah tin?” Baginda menolak dan bersabda: “Tidak.” Seterusnya dikatakan: “Dahulu kami menyewakannya dengan hasil di tepi sungai kecil.” Baginda menolak dan bersabda: “Tidak.” Setelah itu, Baginda menegaskan larangan tersebut secara pasti dengan bersabda sebagai penutup kepada semua permintaan itu: “Tanamilah tanah itu, atau berikanlah ia kepada saudaramu.”
Ini merupakan petunjuk (qarinah) yang sangat bahawa perintah untuk meninggalkan perbuatan tersebut adalah perintah yang bersifat tegas dan pasti. Oleh itu, ia menjadi dalil kepada pengharaman.
Larangan ini turut diperkuatkan oleh riwayat Abu Dawud daripada Rafi‘ RA bahawa beliau pernah menanam di sebidang tanah. Rasulullah SAW melintasi kawasan itu ketika beliau sedang menyiram tanaman, lalu Baginda bertanya: “Tanaman ini milik siapa?” Rafi‘ menjawab: “Tanaman ini milikku. Aku menanamnya dengan benih dan tenagaku sendiri; aku memperoleh separuh hasilnya, dan Bani Fulan memperoleh separuh lagi.” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Kamu berdua telah melakukan riba! Kembalikan tanah itu kepada pemiliknya dan ambillah perbelanjaan yang telah kamu keluarkan.”
Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menyifatkan bentuk urusan tersebut sebagai riba, sedangkan riba adalah haram. Baginda juga memerintahkan agar tanah itu dikembalikan kepada pemilik asalnya dan hanya kos perbelanjaan diambil semula, iaitu suatu perintah untuk membatalkan (memfasakhkan) akad tersebut. Hal ini dengan jelas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah larangan yang bersifat tegas.
Oleh itu, hukum menyewakan tanah untuk tujuan pertanian adalah haram.
Kesemua dalil ini menunjukkan bahawa penyewaan tanah bagi tujuan pertanian adalah haram secara mutlak. Namun demikian, penyewaan tanah bagi tujuan selain pertanian adalah harus (dibenarkan), kerana larangan dalam hadis-hadis tersebut hanya tertumpu kepada penyewaan tanah untuk pertanian sahaja, dan bukan larangan umum yang meliputi semua bentuk penyewaan tanah.
Maka ketiga-tiga hukum ini, iaitu menjadikan tanah boleh dimiliki melalui tahjir (memagari), ihya’ (menghidupkan tanah mati), dan iqta’ (pemberian oleh negara), di samping pemilikannya melalui pembelian, pewarisan, dan hibah serta menjadikan pengusahaan tanah sebagai bahagian yang tidak terpisah daripada pemilikannya. Jika tanah tidak diusahakan selama tiga tahun, hak milik itu gugur dan pemilik dipaksa mengusahakannya atau tanah itu diambil daripadanya. Kemudian melarang pemilik tanah daripada menyewakannya untuk pertanian dengan larangan secara mutlak.
Ketiga-tiga hukum ini merupakan penyelesaian terbaik dan paling efektif dalam menangani isu tanah. Ia telah mengatur cara pemilikan dan pengelolaan tanah dengan cara yang menjamin pengeluaran hasil, kesinambungan pengeluaran, serta peningkatan produktiviti.
Dengan demikian, Islam telah menangani salah satu sumber utama ekonomi, iaitu sektor pertanian melalui hukum-hukum tanah yang ditetapkannya.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam #HukumTanah #KepemilikanTanah

