Pengaruh Akidah Islam Bagi Masyarakat
1. Masyarakat akan beriman kepada Rabb Yang Esa, agama yang satu, serta tunduk kepada aturan yang satu. “Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama (ummah) kamu semua, agama (ummah) yang satu, dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.” [TMQ al-Anbiya (21): 92]. Perkataan ‘ummah’ di sini bermaksud ‘deen’ (agama).
2. Akan mewujudkan masyarakat yang saling melengkapi, saling menjamin seperti halnya satu tubuh, serta mempunyai satu kesatuan pemikiran dan perasaan. Sabda Nabi SAW “Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal persahabatan dan kasih sayang adalah ibarat satu tubuh. Apabila salah satu anggota tubuh diserang sakit, maka seluruh anggota tubuh yang lain akan turut merasai demam dan susah tidur.”
3. Akan tercipta ikatan ideologi yang kuat serta kekal di antara anggota masyarakat Islam, iaitu ikatan ukhuwwah Islamiyyah.
Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara…” [TMQ al-Hujurat (49): 10]. Akidah Islam mencela segala jenis ikatan yang bersifat emosional-sementara, seperti ikatan kesukuan, nasionalisme (kebangsaan), patriotisme, dan ikatan kepentingan.
“Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbangi kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.” [TMQ at-Taubah (9): 24].
Akidah Islam menyatukan pelbagai bangsa yang berbeza-beza yang tersebar di merata wilayah yang saling berjauhan, ke dalam sebuah wadah yang satu. Akidah Islam menjadikan mereka umat yang satu, yang telah mengukir sejarah yang gemilang.
Akidah Islam adalah satu-satunya akidah yang boleh mengembalikan kejayaan dan kekuatan umat Islam. Allah SWT berfirman (yang bermaksud): “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa.” [TMQ an-Nur (24): 55].
Sumber: “Dirasat fi al-Fikr al-Islami” – Muhammad Husain Abdullah
Pengaruh Akidah Islam bagi Masyarakat

