Mahram Dan Ketentuan Syariat Tentangnya
Oleh: Ummu Nashir N.S.
Keberadaan mahram merupakan hal penting yang perlu difahami oleh umat Islam kerana ia berkaitan dengan beberapa hukum syarak. Ketidakfahaman terhadap masalah mahram ini boleh membawa kepada pelanggaran hukum syarak. Mahram juga merupakan salah satu ketentuan Allah SWT dan kesempurnaan Islam yang mengatur seluruh aspek kehidupan. Oleh kerana itu, sudah semestinya umat Islam mengetahui dan memahami siapa saja orang-orang yang termasuk mahramnya dan ketentuan syarak terkait dengan mahram ini agar tidak salah dalam melangkah.
Tidak sedikit hukum syarak dikaitkan dengan masalah mahram, di antaranya hukum tentang safar (perjalanan), khalwat (berdua-duaan), pernikahan, perwalian dan lain-lain. Ironinya, masih banyak kaum muslim yang belum memahaminya. Mereka menganggap permasalahan ini adalah permasalahan biasa, sedangkan jika dibiarkan begitu saja akan menambah terjadinya kemaksiatan, bahkan boleh membawa pada kerosakan umat.
Berbagai kes gangguan seksual yang terjadi kebelakangan, misalnya, pelakunya adalah keluarga terdekat. Kes pernikahan mertua dan menantu (yang sudah bercerai dengan anaknya mertua tersebut) yang pernah muncul di negeri ini juga menjadi bukti ketidakfahaman tentang masalah mahram. Bahkan, pernah terjadi pernikahan seorang kakak dengan adik kandungnya.
Belum lagi kes muslimah melakukan perjalanan atau safar lebih dari 24 jam tanpa disertai mahram, pergi haji atau umrah tanpa disertai mahram, dan banyak lagi kes lainnya. Sesungguhnya, ini semua membuktikan bahawa masalah mahram belum difahami dengan benar oleh umat Islam atau boleh jadi malah belum menjadi perhatian atau kurang diperhatikan oleh umat Islam. Di sinilah pentingnya bagi kita untuk mengkaji kembali tentang mahram ini dan beberapa ketentuan syariat terkait dengannya.
Apa yang Dimaksudkan dengan Mahram?
Secara bahasa, “mahram” berasal dari kata “harama”. Dalam kamus Al-Munawwir, perkataan مَحْرَمٌ berasal dari kata حَرَمَ – يَحْرُمُ – حَرَمًا وَمَحْرَامًا yang bermaksud ‘mencegah’. Sedangkan perkataan مَحْرَمٌ sendiri bermaksud ‘yang haram’ atau ‘terlarang’.
Sedangkan secara istilah, mahram bermakna semua orang yang haram untuk dinikahi selama-lamanya kerana sebab nasab, penyusuan, dan pernikahan. (Imam Ibnu Qudamah dalam kitab Al-Mughni). Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari dan Imam an-Nawawi dalam Syarah Shahih Muslim menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan mahram adalah ‘setiap lelaki yang haram menikahinya; selamanya, disebabkan oleh faktor yang mubah, lantaran kemuliaannya’.
Syeikh Atha’ bin Abu Rusytah dalam Soal Jawabnya 31 Mei 2003 yang berjudul Safar al-Mar’ah, mengemukakan bahawa mahram adalah lelaki yang termasuk kelompok muhaarim perempuan (orang yang haram dinikahi perempuan). Sebahagian fukaha memang ada yang memposisikan perempuan-perempuan yang tepercaya sebagai mahram bagi seorang perempuan. Dalam hal ini, kami memilih (pendapat) yang kuat (me-rajih) bahawa safar perempuan adalah bersama mahram lelaki dalam jarak yang diperlukan.
Siapa yang Dikategorikan Mahram bagi Perempuan?
Tentang siapa saja mahram, Allah SWT telah menjelaskan dalam Surah An-Nisa’ ayat 23.
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ اُمَّهٰتُكُمْ وَبَنٰتُكُمْ وَاَخَوٰتُكُمْ وَعَمّٰتُكُمْ وَخٰلٰتُكُمْ وَبَنٰتُ الْاَخِ وَبَنٰتُ الْاُخْتِ وَاُمَّهٰتُكُمُ الّٰتِيْٓ اَرْضَعْنَكُمْ وَاَخَوٰتُكُمْ مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَاُمَّهٰتُ نِسَاۤىِٕكُمْ وَرَبَاۤىِٕبُكُمُ الّٰتِيْ فِيْ حُجُوْرِكُمْ مِّنْ نِّسَاۤىِٕكُمُ الّٰتِيْ دَخَلْتُمْ بِهِنَّۖ فَاِنْ لَّمْ تَكُوْنُوْا دَخَلْتُمْ بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ ۖ وَحَلَاۤىِٕلُ اَبْنَاۤىِٕكُمُ الَّذِيْنَ مِنْ اَصْلَابِكُمْۙ وَاَنْ تَجْمَعُوْا بَيْنَ الْاُخْتَيْنِ اِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ اِنَّ اللّٰهَ كَانَ غَفُوْرًا رَّحِيْمًا ۔
“Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan saudara-saudara bapa kamu, dan saudara-saudara ibu kamu dan anak-anak saudara kamu yang lelaki, dan anak-anak saudara kamu yang perempuan, dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu, dan ibu-ibu isteri kamu, dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya). Dan (haram juga kamu berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak kamu sendiri yang berasal dari benih kamu. Dan diharamkan kamu menghimpunkan dua beradik sekali (untuk menjadi isteri-isteri kamu), kecuali yang telah berlaku pada masa yang lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Berdasarkan ayat tersebut, mahram terbahagi menjadi tiga kelompok:
Pertama, mahram kerana nasab (keluarga/keturunan).
Mahram dari nasab adalah yang disebutkan oleh Allah SWT dalam TMQ An-Nur ayat 31, iaitu bapa/ayah (termasuk dalam kategori bapa adalah datuk, baik datuk dari bapa mahupun dari ibu, juga bapa-bapa mereka ke atas); anak lelaki (termasuk dalam kategori anak lelaki adalah cucu, baik cucu dari anak lelaki mahupun anak perempuan dan keturunan mereka); saudara lelaki, baik saudara lelaki kandung mahupun saudara sebapa ataupun seibu saja; anak lelaki saudara (anak saudara), baik anak saudara dari saudara lelaki mahupun perempuan dan anak keturunan mereka; dan pakcik, baik pakcik dari bapa ataupun pakcik dari ibu.
Syeikh Abdul Karim Zaidan berkata, “Tidak disebutkan pakcik termasuk mahram dalam ayat ini (An-Nur: 31) dikeranakan kedudukan pakcik sama seperti kedudukan orang tua, bahkan kadang-kadang pakcik juga disebut sebagai bapa. Jumhur ulama juga memasukkan pakcik sebagai mahram.”
Kedua, mahram kerana penyusuan.
Jika seorang perempuan menyusui seorang bayi, bayi itu akan menjadi anaknya—tepatnya anak susuannya—dan dia akan menjadi mahramnya. Anak hubungan susuan ini memiliki kesamaan dalam hal mahram, maksudnya menjadi haram dalam pernikahannya antara ibu susuan atau dengan anak susuannya; atau dengan anak kandung dari ibu yang menyusui kerana menjadi saudara sesusuan baginya. Dalil tentang hubungan mahram dari hubungan penyusuan adalah firman Allah SWT tentang perempuan-perempuan yang haram dinikahi, “…dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu.” [TMQ An-Nisa’ (4): 23]
Dari Abdullah Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda, “Diharamkan kerana faktor penyusuan seperti yang diharamkan kerana hubungan nasab.” (Muttafaq ‘alaih). Dalam hadis lain disebutkan, “Penyusuan itu akan mengharamkan apa yang diharamkan oleh sebab kelahiran.” (HR Muslim).
Berdasarkan ayat dan hadis di atas, mahram perempuan atas sebab penyusuan adalah seperti mahram dari nasab, iaitu bapa sesusuan. Datuk sesusuan juga termasuk mahram, iaitu bapa dari bapa atau ibu sesusuan, juga bapa-bapa mereka ke atas, anak lelaki dari ibu susu (termasuk cucu dari anak susu, baik lelaki dan perempuan terus ke bawah), saudara lelaki sesusuan (baik saudara susu kandung, sebapa, mahupun cuma seibu), anak saudara sesusuan (anak saudara penyusuan), pakcik sesusuan (saudara lelaki bapa atau ibu susu).
Hanya saja, bukan setiap bayi yang menyusu kepada selain ibu kandungnya secara automatik langsung menjadi anak susuan, melainkan perlu memenuhi berbagai ketentuan yang ditetapkan syariat Islam. Di antaranya, adanya laban (susu), sampai kenyang dan anak yang disusui masih dalam usia susuan.
Ketiga, mahram kerana mushaharah (mahram kerana pernikahan).
Mahram kerana pernikahan adalah orang yang haram berkahwin dengan perempuan tersebut selama-lamanya. Hal ini adalah berdasarkan dalil, “…dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka…” [TMQ An-Nur (24): 31].
Juga firman Allah SWT, “Dan janganlah kamu berkahwin (dengan perempuan-perempuan) yang telah diperisterikan oleh bapa kamu…” [TMQ An-Nisa’ (4): 22].
Imam Qurthubi berkata, “Makna bu’uulatihinna adalah ‘suami dan tuan bagi hamba perempuan’.”
Dari ayat-ayat tersebut, dapat kita fahami bahawa yang termasuk mahram kerana pernikahan adalah suami, bapa mertua (mencakup bapa suami, bapa dari ayah dan ibu suami, juga bapa-bapa mereka ke atas), anak tiri (anak suami dari isteri lain), dan seterusnya, iaitu cucu tiri (baik cucu dari anak tiri lelaki mahupun perempuan), bapa tiri, dan menantu lelaki (suami dari puteri kandung).
Beberapa Ketentuan Terkait Mahram
- Tidak Boleh Berkahwin dengan Mahram
Dari penjelasan sebelumnya, yang dimaksudkan dengan mahram adalah perempuan-perempuan yang haram untuk dinikahi. Dengan demikian, berdasarkan surah An-Nisa ayat 23, Allah SWT telah menetapkan perempuan-perempuan yang tidak boleh dinikahi oleh seorang lelaki. Demikian juga sebaliknya, iaitu siapa saja lelaki yang tidak boleh dinikahi oleh seorang perempuan.
Dalam surah An-Nisa 23 Allah SWT berfirman bahawa seorang lelaki haram berkahwin dengan ibunya, anak-anaknya, saudara-saudaranya, ibu saudara dari ayah mahupun ibu, anak saudara-anak saudara, ibu susuan, saudara sesusuan, mertua, anak tiri, dan menantu.
- Boleh Menjadi Wali Pernikahan
Islam telah memberikan garis panduan bahawa ketika seorang perempuan berkahwin, dia perlu dinikahkan oleh walinya. Mahram yang boleh menjadi wali bagi perempuan adalah ayahnya, pakciknya, abang atau adik lelakinya, dan sebagainya sesuai urutan yang telah ditetapkan oleh hukum syarak.
Keberadaan wali dari perempuan yang akan berkahwin adalah syarat sah sebuah perkahwinan. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Siapa saja perempuan yang berkahwin tanpa izin walinya, maka nikahnya batil, maka nikahnya batil, nikahnya batil.” (HR Abu Dawud, Tirmidzi, Ahmad).
- Mahram Menjadi Penggugur Khalwat
Allah SWT telah melarang umat Islam berkhalwat. Di dalam kitab An-Nizhamul Ijtima’ie karya Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, dijelaskan bahawa khalwat adalah bersepi-sepi, iaitu berdua-duaan atau berkumpulnya seorang lelaki dan seorang perempuan di suatu tempat yang tidak memungkinkan orang lain untuk bergabung, kecuali dengan izin keduanya.
Rasulullah SAW bersabda,
مَحْرَمٍ ذُو وَمَعَهَا لاَّإِ بِإِمْرَأَةٍ رَجُلٌ يَخْلُوَنَّ لاَ
“Seorang lelaki tidak boleh berkhalwat dengan seorang perempuan, kecuali perempuan itu disertai mahramnya.” (HR Muslim).
Dari hadis ini dapat difahami bahawa keberadaan mahram yang mendampingi atau menemani perempuan tersebut akan menggugurkan khalwat. Mahramnya ini menjadi orang yang ketiga sehingga tidak berdua-duaan lagi.
- Tidak Boleh Menampakkan Perhiasan, kecuali kepada Mahramnya
Dalilnya adalah firman Allah SWT, “…dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan…” [TMQ An-Nur (24): 31]
Syeikh Atha’ bin Abi Rusytah menyatakan bahawa mereka semua boleh memandang dari perempuan mahramnya, berupa rambut, lehernya, tempat kalung, anting-anting, gelang; dan bahagian tubuh lainnya yang boleh disebut tempat perhiasannya, iaitu kepala yang merupakan tempat mahkota, wajah tempat celak, leher tempat kalung, telinga tempat subang dan anting-anting, lengan atas tempat gelang, lengan bawah tempat gelang tangan, telapak tangan tempat cincin, betis tempat gelang kaki, dan kaki tempat pengilat kuku. Ini kerana Allah SWT berfirman, “Walâ yubdîna zînatahunna (dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka), iaitu tempat perhiasan mereka.”
Dalam ayat tersebut disebutkan “mahram-mahram” sehingga mahram boleh memandang tempat-tempat perhiasan. Sedangkan selain tempat-tempat perhiasan perempuan, maka tetap merupakan aurat perempuan di hadapan mahramnya, kecuali suaminya.
- Keberadaan Mahram Membolehkan Perempuan Safar Lebih dari Sehari Semalam (24 Jam)
Dinyatakan dalam Mukhtâru ash-Shihâh karya Zaynuddin Abu Abdillah Muhammad, hlm. 148, bahawa as-safaru qath’u al-masâfah (safar adalah menempuh jarak). Dengan kata lain, safar adalah melakukan perjalanan dari satu tempat ke tempat lain. Dari Sa’id bin Abiy Sa’id dari bapanya dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda,
«لَا تُسَافِرُ امْرَأَةٌ مَسِيرَةَ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ إِلَّا وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ»
“Janganlah seorang perempuan melakukan safar dengan perjalanan sehari semalam, kecuali bersama mahramnya.” (HR Tirmidzi).
Berdasarkan hadis ini, maka haram bagi seorang perempuan safar tanpa mahram dalam jangka waktu “yawmun wa laylatun” atau sehari semalam (24 jam), dan bukan atas jarak. Dengan adanya mahram inilah, keharamannya menjadi gugur. Hanya saja, perlu difahami bahawa mahram yang dimaksudkan adalah mahram lelaki yang sudah baligh. (Syeikh Atha’ Abu Rusytah, Soal-Jawab).
- Keberadaan Mahram untuk Menemani Perempuan Berhaji atau Umrah
Ibadah haji merupakan salah satu kewajipan setiap muslim yang mampu, sebagaimana firman-Nya,
وَلِلّٰهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ اِلَيْهِ سَبِيْلًا ۗ وَمَنْ كَفَرَ فَاِنَّ اللّٰهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعٰلَمِيْنَ
“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” [TMQ Ali Imran (3): 97]
Hanya saja, ketika seorang muslimah hendak berhaji, dia perlu ditemani oleh mahramnya, walaupun perjalanannya tidak lebih dari sehari semalam (24 jam). Tentang hal ini, Syeikh ‘Atha bin Abu Rusytah dalam Soal Jawab 12 April 2010 menyatakan bahawa mahram dalam haji mestilah lelaki mahram yang sudah baligh. Beliau juga menyatakan, “Adapun tentang haji, sebahagian ulama fikih, seperti Imam Syafie, membolehkan (pergi) haji bersama para perempuan yang dipercayai.” Namun, yang rajih menurut kami adalah mahram lelaki. Dalil tentang hal ini tercantum dalam kitab An-Nizhamul Ijtima’ie hlm. 31 karya Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani.
Dari Ibnu ‘Abbas ra. bahawa Nabi SAW bersabda, “Janganlah sekali-kali seorang lelaki dan seorang perempuan berkhalwat (bersepi-sepi), kecuali perempuan itu disertai mahramnya. Dan janganlah seorang perempuan melakukan perjalanan, kecuali perempuan itu disertai mahramnya.” Lalu seorang lelaki berdiri dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya isteri saya hendak berangkat haji, sedangkan saya telah diwajibkan untuk mengikuti perang ini dan ini.” Maka Rasulullah SAW bersabda, “Pergilah dan berhajilah bersama isterimu!” (HR Bukhari no. 1763; Muslim no. 424).
Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa keberadaan mahram atau suami adalah syarat wajib bagi perempuan berhaji. Jika bukan syarat wajib, tentu Nabi SAW tidak akan memerintahkan suami untuk menemani isterinya naik haji dan meninggalkan kewajipan berperang (sebagaimana diperintahkan dalam Surah Al Baqarah ayat 216).
Kaedah fikih menetapkan, “Al-waajibu laa yutraku illa li waajibin (suatu kewajipan tidak boleh ditinggalkan, kecuali untuk melaksanakan kewajipan lain).” Oleh kerana itu, ketika Nabi SAW memerintahkan lelaki itu untuk meninggalkan kewajipan berperang, bermaksud hukum adanya mahram atau suami adalah wajib, bukan sunah atau mubah. (Jalaluddin as-Suyuthi, Al-Asybah wa al-Nazha’ir, hlm. 148).
Lalu bagaimana dengan umrah? Adakah hukumnya sama dengan haji? Dalam kitab Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, XVII/35, dijelaskan bahawa tidak ada perbezaan pendapat di antara para ulama bahawa jika hajinya bersifat sunnah, hukumnya tidak boleh bagi seorang perempuan naik haji tanpa disertai mahramnya. Termasuk berhaji untuk kedua kalinya, ketiga kalinya, dan seterusnya, serta umrah yang hukumnya sunnah.
Demikianlah, Islam menjelaskan dengan sangat terperinci mengenai siapa saja yang termasuk mahram perempuan beserta dengan hukum dan ketentuan lain yang berkaitan dengannya. Wallahualam bissawab
#mahram #kerabat #keluarga #hukumsyarak #keluargamuslimideal #silaturrahmi

