RENUNGAN SYAABAN
Oleh: Ustaz Wahyudi Ibnu Yusuf
Kita telah berada di bulan Syaaban. Di antara kemuliaan bulan Syaaban adalah bulan diangkatnya catatan amal ibadah kita ke hadapan Allah SWT. Namun sekaligus menjadi bulan di mana banyak manusia lalai dalam beribadah. Nabi SAW bersabda:
ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ
“Itulah bulan yang manusia lalai darinya; -ia bulan yang berada- di antara bulan Rejab dan Ramadhan, iaitu bulan yang disana berisikan berbagai amal, perbuatan diangkat kepada Rabb semesta alam, aku senang amalku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” (HR. An Nasa’ie, disahihkan Ibnu Khuzaimah)
Oleh sebab itulah Nabi SAW banyak berpuasa di bulan ini. Kerana baginda sangat memahami keutamaan bulan Syaaban sekaligus persiapan menyongsong bulan Ramadhan.
Ibunda Aisyah RA meriwayatkan:
فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ
“Dan aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa selama sebulan penuh kecuali puasa Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda paling banyak melaksanakan puasa (sunat) kecuali di bulan Syaaban” (HR. Bukhari & Muslim)
Mengapa Nabi SAW menyebutkan bulan Syaaban adalah bulan kelalaian? Ibarat bateri, boleh jadi kerana kadar semangat ibadah kita berada dalam keadaan lemah kerana Syaaban adalah bulan terakhir daripada sebelas bulan selain Ramadhan. Boleh jadi juga kerana Syaaban adalah bulan menjelang Ramadhan sehingga ada pandangan bulan ini adalah kesempatan bermalas-malasan bahkan kesempatan mengumbar maksiat kerana semua syahwat dan maksiat akan dilarang ketika bulan Ramadhan. Sebagaimana kebiasaan bangsa Arab jahiliah yang melampiaskan syahwat berperangnya kerana telah dilarang berperang di bulan Rejab sebagai bulan haram.
Kita juga boleh menjadi lalai kerana sibuk menyiapkan persiapan harta menjelang Ramadhan dan Hari Raya.
Sebagaimana kebiasaan orang Arab jahiliah ketika memasuki bulan Syaaban, mereka berpencar dengan membentuk kelompok-kelompok (sya’bun) untuk mencari mata air.
Sebagai umat Nabi Muhammad yang syafaatnya kita harapkan mestilah berupaya mengikuti jejak langkah baginda. Kita hidup untuk taat dan mendekat kepada pencipta. Tidak boleh ada dalam benak kita, bahawa ada bulan, minggu, hari bahkan detik untuk bermaksiat. Setiap tarikan dan hembusan nafas kita akan dihisab. Alangkah indahnya jika ketika catatan amal kita dilaporkan kepada Allah dalam keadaan kita sedang taat kepada-Nya.
Dalam kitab Durratun Nashihin disebutkan dalam satu jam manusia bernafas 180 kali atau sebanyak 4320 kali sehari semalam. Pada hari kiamat tentang nafas akan ditanya dua hal yakni saat menghirup dan saat menghembuskan nafas apa yang sedang kita lakukan? (Durratun Nashihin, hlm 260)
الْيَوْمَ نَخْتِمُ عَلَى أَفْوَاهِهِمْ وَتُكَلِّمُنَا أَيْدِيهِمْ وَتَشْهَدُ أَرْجُلُهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
“Pada hari ini Kami tutup mulut mereka; sementara tangan mereka akan berkata kepada Kami dan kaki mereka akan memberi kesaksian terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan.” [TMQ Yasin (36): 65]
#MuhasabahSyaaban #Syaaban

