Site icon MuslimahHTM News

Satu Lagi Gergasi Teknologi Angkuh yang Memperlekeh Maruah Kita

Satu Lagi Gergasi Teknologi Angkuh yang Memperlekeh Maruah Kita

 

Berita:

Tiga negara Asia Tenggara—Indonesia, Malaysia dan Filipina—telah menyekat akses kepada Grok AI susulan kebimbangan terhadap penyalahgunaannya bagi menjana kandungan seksual tanpa persetujuan. Kerajaan Indonesia menyatakan bahawa sekatan sementara terhadap Grok AI, sebuah aplikasi kecerdasan buatan generatif milik X (dahulunya Twitter), masih berkuat kuasa. Kerajaan juga mendakwa telah berkomunikasi dengan pihak pengurusan X bagi mendapatkan penjelasan dan menangani isu tersebut.

 

Platform yang berpangkalan di Amerika Syarikat ini, bersama pengasasnya yang kontroversial, Elon Musk, kini berdepan tindak balas pengawalseliaan. Perkembangan ini menandakan satu perubahan penting: negara-negara Asia Tenggara sedang beralih daripada pengguna AI, kepada pengawal selia yang proaktif di medan sensitif keselamatan AI, kemudaratan dalam talian, dan tadbir urus platform yang kontroversi.

 

Fenomena AI “menanggalkan pakaian” di platform X telah menimbulkan keresahan mendalam sejak awal Januari 2026. Mangsa—baik wanita mahupun lelaki—mendapati foto mereka telah dimanipulasi oleh Grok, dengan bikini, pengikat mulut, atau pakaian dalam yang diedit secara digital untuk menggambarkan ketelanjangan.

 

Ambil contoh Kirana, seorang wanita Indonesia yang berkerusi roda dan sering memperjuangkan hak orang kurang upaya di media sosial. Pada 4 Januari, beliau menjadi cemas dan marah apabila sebuah akaun menyiarkan arahan (prompt) di X yang mengarahkan Grok mengubah suai gambarnya. Kirana segera menetapkan semula tetapan privasi aplikasinya untuk menghalang AI tersebut daripada mengakses datanya. Beliau malah meminta Grok secara langsung supaya menghalang pihak ketiga atau pengguna lain daripada menyalahgunakan imejnya, termasuk dengan menyekat keupayaannya. Walau bagaimanapun, aduan sebegini tidak dipandang serius oleh platform X dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elon Musk, seolah-olah memperlakukannya sebagai bahan jenaka—salah satu reaksinya ialah emoji ketawa bersama gambar dirinya memakai bikini.

 

Komentar:

X (dahulunya Twitter) mempunyai pangkalan pengguna yang besar di Asia Tenggara, dengan Indonesia mendahului rantau ini dan menduduki tempat ke-3 antara negara teratas di dunia dari segi pengguna aktif, dengan kira-kira 22.9 hingga 25.2 juta pengguna setakat akhir 2025.

 

Walau bagaimanapun, reaksi Musk yang kelihatan sambil lewa mendedahkan satu titik buta dalam tamadun Barat: di sebalik kehebatan teknologinya, ia sering memandang rendah maruah wanita dan peranan sosial mereka. Elon Musk, dengan segala kontroversinya, telah berterus terang kepada dunia—mengutamakan wang, kebebasan dan keseronokan berbanding maruah wanita.

 

Standard moral yang kabur ini memberi kesan mendalam kepada masyarakat Islam, khususnya golongan muda yang celik digital. Golongan muda ini berdepan ancaman berterusan terhadap maruah dan kesihatan mental mereka dalam ekosistem digital (malah di sekolah) yang menormalisasikan keganasan. Yang paling terdedah ialah kanak-kanak yang membesar sebagai mangsa dalam persekitaran toksik ini.

 

Tambahan pula, nilai liberalisasi seksual yang dipromosikan oleh mesin digital “big tech” diimport daripada masyarakat Barat kepada generasi muda Muslim. Justeru, apabila budaya kebebasan individu (seperti perkongsian yang mudah dan bebas hasil kemudahan teknologi) bertemu dengan nilai liberal yang menjamin kebebasan berkongsi aktiviti peribadi dalam ruang awam, keadaan ini sekali gus mengaburkan sempadan antara kehidupan peribadi dan awam.

 

Di Indonesia, sepanjang sedekad lalu, trend seksualisasi ini meningkat secara eksponen. Hal ini jelas melalui peningkatan mendadak keganasan terhadap wanita dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini—seiring dengan penggunaan internet yang meledak dan peluasan digital yang pesat di bandar-bandar majoriti Muslim. Projek seperti bandar pintar, kampung pintar dan inisiatif infrastruktur lain telah menghakis ruang peribadi dan mencemarkan ruang awam.

Seksualisasi wanita yang sudah berleluasa di ruang awam kini diperkuatkan lagi oleh alam digital. Seksualisasi merupakan masalah klasik tamadun Barat yang menjunjung nilai kebebasan, hedonisme, dan pandangan bahawa wanita ialah objek seksual serta sumber keseronokan.

 

Dalam Islam, ruang digital mesti melindungi akal dan maruah manusia—terutamanya terhadap wanita, kumpulan yang paling rentan. Pembangunan teknologi digital sepatutnya mematuhi Syariah Islam, berpandukan maqasid al-syariah (objektif paling mulia) iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan maruah manusia.

 

Islam mesti dizahirkan sebagai satu sistem kehidupan yang menyeluruh, dipimpin oleh seorang Khalifah yang bertakwa kepada Allah. Sistem ini akan menjadi perisai maruah bagi wanita dan umat Islam serta membungkam teknokrat angkuh seperti Elon Musk. Ingatlah firman Allah SWT:

 

﴿اِنَّ الَّذِيْنَ يُحِبُّوْنَ اَنْ تَشِيْعَ الْفَاحِشَةُ فِى الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَهُمْ عَذَابٌ اَلِيْمٌۙ فِى الدُّنْيَا وَالْاٰخِرَةِۗ وَاللّٰهُ يَعْلَمُ وَاَنْتُمْ لَا تَعْلَمُوْنَ﴾

“Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (TMQ an-Nur [24]: 19)

 

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Dr. Fika Komara

 

#ArtificialIntelligence #MediaSosial #sosmed #EtikaDigitial #KeselamatanSiber #CyberSecurity #CyberEthics #KapitalisasiDuniaDigital

 

Exit mobile version