Site icon MuslimahHTM News

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 20/46)

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 20/46)

 

Penulis: Abdurrahman al-Maliki

 

(Sambungan daripada Bahagian 19/46)

 

Ketiga, negara tidak mendapat sebarang manfaat daripada perjanjian-perjanjian perdagangan dengan negara yang menjadikan komoditi sebagai asas dalam perdagangan luar negeri, selain daripada hasil penjualan barangan keluaran negara. Negara tidak memperoleh keuntungan perdagangan langsung daripada dasar tersebut.

 

Hal ini kerana sesiapa sahaja boleh membeli barangan yang dibenarkan oleh sesebuah negara dan mengambil keuntungan daripada jualannya, kemudian memperdagangkannya kepada pedagang daripada negara lain.

 

Padahal perdagangan bukan sekadar memasarkan hasil pengeluaran negara, tetapi tujuan utamanya ialah memperoleh keuntungan perdagangan. Seharusnya keuntungan perdagangan itulah yang menjadi asas. Tambahan pula, musuh-musuh negara boleh membawa masuk komoditi mereka ke negara kita, memperoleh harganya, dan turut meraih keuntungan. Hal ini secara tidak langsung memperkukuh kedudukan mereka terhadap kita.

 

Atas semua alasan ini, jelas bahawa menjadikan komoditi sebagai asas dalam perdagangan merupakan satu kesilapan. Sebaliknya, pedaganglah yang mesti dijadikan asas dalam kajian perdagangan serta penetapan hukum-hakam perdagangan.

 

Islam menjadikan pedagang, bukan komoditi, sebagai asas dalam perdagangan luar negeri. Komoditi sekadar mengikut pedagang dan menerima hukum yang dikenakan ke atasnya. Islam menetapkan pedagang sebagai asas perdagangan luar negeri kerana perdagangan ialah aktiviti jual beli, dan oleh itu hukum jual belilah yang terpakai.

 

Hukum jual beli ialah hukum yang dikenakan ke atas pemilik harta, bukan ke atas harta itu sendiri. Ia adalah hukum yang berkaitan dengan penjual dan pembeli, bukan barangan yang dijual atau dibeli. Allah SWT berfirman, “Allah telah menghalalkan jual beli.” [TMQ al-Baqarah (2): 275]

 

Maksudnya, jual beli dihalalkan bagi manusia. Maka, hukum jual beli berkaitan dengan perbuatan manusia, bukan barangan. Halal dalam ayat tersebut merujuk kepada perbuatan jual beli oleh manusia, bukan kepada komoditi yang menjadi objeknya.

 

Rasulullah SAW bersabda, “Dua orang yang berjual beli mempunyai hak memilih (untuk meneruskan atau membatalkan akad) selagi mereka belum berpisah.” [HR al-Bukhari, Muslim, al-Tirmizi, al-Nasa’i, Abu Dawud, Ibn Majah, Ahmad dan al-Darimi]

 

Hukum yang dinyatakan dalam hadis ini ditujukan kepada penjual dan pembeli, bukan kepada barang yang dijual. Begitu juga hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW melarang jual beli dengan lontaran kerikil dan jual beli gharar. Jual beli dengan lontaran kerikil ialah melemparkan kerikil kepada sesuatu barang sebagai penentu jual belinya. Manakala jual beli gharar ialah seperti menjual ikan yang masih berada di dalam air.

 

Larangan ini merupakan pengharaman terhadap bentuk jual beli tertentu, dan pengharaman itu dikenakan kepada manusia yang melakukan akad jual beli, bukan kepada barang yang dijual atau yang hendak dibeli. Oleh itu, hukum-hakam perdagangan luar negeri mesti berjalan berdasarkan status pedagang, bukan berdasarkan jenis barangan yang diperdagangkan.

 

Syarak mengatur perdagangan luar negeri berdasarkan pemilik barang, bukan berdasarkan barangan itu sendiri. Maka tidak wajar sama sekali mengatur perdagangan berdasarkan barangan tanpa mengambil kira siapa pemiliknya.

 

Menjadikan hukum perdagangan luar negeri sebagai hukum yang dikenakan ke atas barangan tanpa mengira siapa pemiliknya adalah bertentangan dengan syarak. Dengan kata lain, menjadikan komoditi sebagai asas serta melihat kepada asal-usulnya tanpa mempedulikan siapa pedagangnya adalah tidak sah menurut syarak.

 

Ini kerana hukum syarak ditetapkan ke atas pemilik barangan, bukan ke atas barangan itu sendiri. Nas-nas syarak berkaitan dengan orang yang memiliki barang, bukan dengan barangan tersebut.

 

Maksudnya, hukum berkaitan dengan pedagang tanpa mengira apa jenis barangannya dan bukannya berkaitan dengan barang tanpa mengira siapa pedagangnya. Oleh itu, menjadikan barangan serta asal-usulnya sebagai asas hukum adalah bercanggah dengan syarak dan nas-nas syariat.

 

Tidak boleh dikatakan bahawa syarak menetapkan banyak hukum berdasarkan jenis harta tanpa mengira pemiliknya seperti kharaj ke atas tanah lalu dijadikan alasan bahawa hukum perdagangan juga boleh ditetapkan berdasarkan barangan semata-mata.

 

Pendapat seperti ini tidak boleh diterima, kerana syarak memang menetapkan sebahagian hukum ke atas harta tanpa mengira pemiliknya, dan menetapkan sebahagian hukum lain ke atas pemilik harta tanpa mengira jenis hartanya. Kedua-duanya adalah dua kategori hukum yang berbeza dan tidak boleh dicampuradukkan sehingga hukum bagi salah satu daripadanya diberikan kepada yang lain. Sebaliknya, masing-masing wajib sesuai dengan nas syarak.

 

Syarak menetapkan kharaj sebagai hukum bagi tanah kharajiah, dan ‘usyur sebagai hukum bagi tanah ‘usyriyyah. Syarak juga menetapkan hukum riba ke atas jenis-jenis harta tertentu seperti emas, perak, tamar, gandum, garam dan barli. Hukum ini khusus kepada harta-harta tersebut.

 

Selain itu, hukum pertukaran mata wang (sharf) ditetapkan khusus bagi emas dan perak, maka hukumnya juga terpakai hanya pada kedua-duanya. Semua ini adalah contoh hukum yang ditetapkan ke atas harta, dan nas syarak menjelaskan secara khusus bahawa ia memang merupakan hukum yang dikenakan ke atas harta.

 

 

Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.

 

 

#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #EkonomiIslam #Perdagangan

 

 

 

Exit mobile version