Site icon MuslimahHTM News

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 23/46)

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 23/46)

 

Penulis: Abdurrahman al-Maliki

 

(Sambungan dari Bahagian 22/46)

 

Bagi kafir mu’ahid, iaitu mereka yang mempunyai perjanjian damai dengan Negara Islam, urusan perdagangan luar negara dengan mereka bergantung kepada ketetapan yang termaktub dalam perjanjian, sama ada berkenaan komoditi yang mereka import dari Negara Islam ataupun komoditi yang mereka eksport ke Negara Islam.

 

Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW, “Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat (perjanjian) mereka.” [HR Al-Bukhari, At-Tirmizi, dan Abu Dawud]

 

Memandangkan perjanjian adalah suatu amanah, menunaikannya adalah wajib sebagaimana firman Allah Ta‘ala: “Tunaikanlah segala akad.”

 

Sementara itu, golongan kafir harbi hukman (de jure) seperti orang Britain, Amerika dan Rusia, iaitu mereka yang tidak mempunyai sebarang perjanjian dengan Negara Islam, mereka tidak boleh memasuki Negara Islam kecuali dengan izin khas. Memberikan jaminan keselamatan kepada mereka bererti memberi keizinan untuk memasuki negara. Jaminan keselamatan kepada seorang harbi untuk dirinya juga merangkumi perlindungan terhadap hartanya.

 

Berdasarkan hal ini, seorang pedagang kafir harbi tidak boleh membawa masuk komoditinya ke Negara Islam tanpa izin negara. Jika dia memasuki negara bersama barangan tersebut, maka izin masuknya dianggap izin juga terhadap komoditinya.

 

Namun, jika dia tidak membawa komoditi itu bersamanya tetapi ingin memasukkannya melalui orang lain atau melalui mana-mana bentuk pengangkutan, negara boleh memberikan izin khas untuk hartanya. Dalam semua keadaan, hartanya tidak boleh masuk ke negara kita tanpa izin sama sekali.

 

Maka, orang asing memerlukan lesen import untuk membolehkan dia memasukkan komoditinya ke Negara Islam. Negara berhak memberikan lesen tersebut, dan negara juga berhak untuk tidak memberikannya. Ertinya, memberikan izin untuk memasukkan komoditi adalah hak penuh negara; negara boleh memberi izin dan boleh juga menahannya.

 

Apabila orang asing, iaitu seorang kafir harbi telah memasuki Negara Islam, dia dibenarkan menjalankan perdagangan di dalam negara dengan apa-apa komoditi yang dia inginkan, dan dia juga dibenarkan membawa keluar dari negara apa-apa komoditi atau harta miliknya tanpa memerlukan sebarang izin tambahan.

 

Hal ini kerana izin masuk yang diberikan kepadanya merupakan izin juga untuk hartanya. Malah, izin tersebut merupakan jaminan keselamatan yang mewajibkan perlindungan terhadap harta, jiwa dan kehormatannya sebagaimana halnya terhadap orang Islam dan kafir zimmi.

 

Dia tidak boleh dihalang daripada membawa keluar mana-mana harta miliknya kecuali jika terdapat komoditi tertentu yang, apabila dikeluarkan, akan membawa kemudaratan. Maka barangan itu sahaja yang dilarang, manakala barangan lain dan seluruh hartanya tetap dibenarkan untuk dibawa keluar.

 

Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW, “Jaminan (aman) kaum Muslimin adalah satu. Sesiapa yang mengkhianati seorang Muslim, maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan seluruh manusia.” [HR Al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, dan Ahmad].

 

Maksud “jaminan kaum Muslimin” ialah perlindungan keselamatan yang diberikan oleh mereka. Sesiapa yang menerima jaminan keselamatan daripada mana-mana Muslim, jaminan keselamatan itu menjadi hak atas semua kaum Muslimin untuk menghormatinya.

 

Memberikan jaminan keselamatan kepada seseorang bermakna dia dibenarkan untuk masuk, bekerja dan berdagang di dalam Negara Islam, kecuali jika khalifah menetapkan syarat tertentu pada jaminan keselamatan tersebut.

 

Jika Khalifah menetapkan had tertentu, seperti menetapkan tempoh tinggal selama sebulan, atau membenarkan tinggal tetapi tidak bekerja, atau membenarkan bekerja hanya dalam sektor tertentu, atau apa-apa syarat lain, maka dia wajib mematuhi semua ketetapan yang ditentukan oleh Khalifah tersebut.

 

Bagi kafir harbi yang sedang berada dalam keadaan peperangan yang benar-benar berlangsung dengan kita seperti Israel, kedudukan mereka adalah seperti pihak yang sedang kita hadapi dalam pertempuran. Darah dan harta orang bukan Islam di pihak mereka menjadi halal bagi kaum Muslimin.

 

Sudah tentu kita tidak membenarkan sesiapa pun daripada mereka menjalankan urusan perdagangan di dalam negara kita, sama ada mereka itu Muslim ataupun bukan Muslim, kecuali jika mereka berpindah dari Dar al-Harb ke Dar al-Islam.

 

Inilah hukum perdagangan luar negara (foreign trade) dalam Islam. Perdagangan luar negara dilarang sama sekali dilakukan dengan golongan kafir harbi yang sedang memerangi kita (de facto). Di sisi lain, perdagangan tersebut boleh dilakukan dengan memerlukan izin khas bagi golongan kafir harbi hukman (de jure).

 

Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.

 

 

#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam #Perdagangan

 

 

 

Exit mobile version