Ayat 2 Surah An-Nur: Perintah Allah SWT Kepada Pihak Berkuasa.
Oleh: Syamsiyah Jamil
Aktivis Muslimah, Ustazah Ummu Huda menegaskan bahawa ayat 2 Surah an-Nur adalah perintah Allah SWT kepada pihak berkuasa untuk menerapkan hukum yang telah ditetapkan-Nya.
“Ayat 2 adalah ayat kepada pihak berkuasa untuk dia menerapkan hukum yang telah Allah dan Rasul tetapkan,” ujarnya di Roundtable Discussion Surah An-Nur : Wahyu Sebagai Lentera Pembinaan Masyarakat, Sabtu (24/01/2026).
Lanjutnya, “Ayat ini berkenaan dengan hukuman pada perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah oleh kamu. Kerana Khalifah menjadi wakil umat dalam penerapan hukum sebat dan seluruh hukum-hukum Islam, maka dialah yang diseru dengan firman tersebut,” katanya.
Beliau menjelaskan, seorang individu tidak boleh menegakkan hukum sebat atas orang lain. Jika seorang anak lelaki atau perempuan berzina, seorang ayah tidak boleh menjalankan hukuman ini.
“Yang boleh menerapkan hukum ini adalah seorang Khalifah. Khalifah adalah pemimpin umat Islam dalam satu negara. Oleh sebab itu, kewajipan umat Islam adalah untuk menegakkan semula adanya sistem Khilafah. Daulah Islam yang telah diruntuhkan pada 3 Mac 1924,” jelasnya.
Beliau mengatakan, apabila kehidupan masyarakat tidak menjadikan nilai wahyu sebagai satu undang-undang dalam kehidupan, ramai yang telah terjerumus dalam kes zina dan melahirkan anak yang tidak tentu nasabnya.
“Kita lihat fenomena di Malaysia ini dalam beberapa data yang direkodkan. Hampir 70 ribu anak tidak sah taraf mengikut perundangan Malaysia yang mana ini direkodkan dalam Akta Pendaftaran Kelahiran,” katanya.
Tambahnya lagi, “Yang kedua, daripada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, dalam tempoh 4-5 tahun, hampir 18 ribu kelahiran anak luar nikah. Ini dari perspektif hukum yang melibatkan remaja berusia kurang 18 tahun.”
Beliau berpendapat, statistik-statistik ini jelas menunjukkan bahawa isu anak luar nikah bukan fenomena kecil tetapi ia memberi impak besar kepada struktur sosial di Malaysia.
“Perbuatan ini boleh menggugat kesejahteraan sosial dan martabat manusia yang menimbulkan pelbagai kesan sosial,” ucapnya.
Beliau melanjutkan lagi, “Dalam konteks Islam dan juga undang-undang Malaysia, anak yang lahir di luar perkahwinan menghadapi isu pengiktirafan nasab, hak warisan, nafkah dan hadanah (hak penjagaan), mengakibatkan krisis identiti dan status sosial mereka.”
Beliau mengungkapkan, kerana itulah Islam menetapkan batas moral untuk melindungi masyarakat daripada kerosakan di mana menjaga maruah secara kolektif adalah tugas negara.
“Jadi, penyelesaian dalam Islam adalah menerapkan hukum Allah. Hukuman ini adalah bentuk tanggungjawab pemimpin dalam melindungi masyarakat. Pemimpin adalah penguasa. Pemimpin adalah seorang Khalifah. Dia bukannya pemimpin yang hanya nak mencari kemewahan tapi dia pemimpin yang bertakwa kepada Allah,” terangnya.
Beliau menyampaikan, dalam melindungi masyarakat, Khalifah akan berusaha untuk menerapkan keseluruhan hukum yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah.
“Kita tahu kini kita berada dalam zaman kapitalis. Ideologi kapitalis yang diterapkan dalam kehidupan umat Islam. Seorang pemimpin Islam tapi ideologinya kapitalis, tentunya dia tidak akan menerapkan hukum Allah. Yang akan menerapkannya (hukum Islam) adalah seorang Khalifah,” tegasnya.
Beliau menunjukkan bahawa Islam itu bukan hanya dalam ibadah khusus.
“Masuklah umat Islam ke dalam Islam keseluruhannya itu bukannya ibadah khusus, menunaikan rukun Islam yang lima. Tetapi juga adalah ibadah umum yang berkaitan dengan sistem pemerintahan, sistem pergaulan, sistem ekonomi dan lain-lain,” jelasnya.
Beliau memperingatkan, jika umat Islam yakin Allah adalah Maha Pencipta dan Allah Maha Pengatur dalam kehidupan manusia, maka kehidupan masyarakat perlu dibimbing dengan wahyu Allah kerana wahyu Allah adalah cahaya dalam kehidupan manusia.
“Apa peranan kita? Kita tahu, kita berada dalam zaman kegelapan, belum cahaya sepenuhnya. Jadi sama-sama kita berusaha untuk mewujudkan semula cahaya itu sepenuhnya,” tutupnya.
#WahyuLenteraPeradaban #AlQuranSumberPerundangan #SurahAnNur

