Site icon MuslimahHTM News

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 24/46)

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 24/46)

 

Penulis: Abdurrahman al-Maliki

 

(Sambungan daripada Bahagian 23/46)

 

Dalam perdagangan luar negeri, perjanjian-perjanjian yang dimeterai dengan kafir mu‘ahid hendaklah diterapkan sebagaimana yang telah disepakati. Manakala bagi rakyat negara Islam, sama ada Muslim atau kafir zimmi, perdagangan luar negara adalah diharuskan secara mutlak, tanpa sebarang syarat atau ikatan, kecuali dalam dua keadaan sahaja.

 

Cukai kastam tidak boleh dikenakan ke atas mana-mana rakyat Negara Islam ke atas apa sahaja komoditi yang mereka import atau eksport. Hal ini berdasarkan riwayat daripada ‘Uqbah bin ‘Amir, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidak akan masuk syurga pemungut cukai.” [HR Abu Dawud, Ahmad dan Ad-Darimi].

 

Istilah al-maksu merujuk secara khusus kepada cukai kastam. Daripada Abul Khair, beliau berkata, Aku mendengar Ruwaiqi‘ bin Thābit berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Sesungguhnya pemungut cukai itu berada di dalam neraka.’ [HR Ahmad]

 

Ruwaiqi‘ menjelaskan bahawa yang dimaksudkan ialah al-‘asyir, iaitu orang yang mengambil cukai satu persepuluh (‘usyur) ke atas perdagangan luar negara.

 

Daripada Ibrahim bin Muhajir, beliau berkata: Aku mendengar Ziyad bin Hudayr berkata, “Aku adalah orang pertama yang memungut cukai ‘usyur dalam Islam.” Aku bertanya kepadanya, “Siapakah yang kamu kenakan cukai ‘usyur itu?” Beliau menjawab, “Kami tidak pernah mengenakan ‘usyur kepada seorang Muslim pun dan tidak juga kepada seorang mu‘ahid. Kami hanya mengenakan ‘usyur kepada Nasrani daripada Bani Taghlib.”

 

Daripada ‘Abd al-Rahman bin Ma‘qil, beliau berkata, “Aku bertanya kepada Ziyad bin Hudayr: ‘Siapakah yang kamu kenakan ‘usyur?’” Beliau menjawab, “Kami tidak pernah mengenakan ‘usyur kepada Muslim atau mu‘ahid.” Aku bertanya lagi, “Kalau begitu, kepada siapa kamu mengenakannya?” Beliau menjawab, “Kepada pedagang harbi (dari negara yang memerangi kita), sebagaimana mereka mengenakan ‘usyur kepada kami apabila kami memasuki negara mereka.”

 

Maka, tidak boleh dikenakan cukai kastam ke atas barangan perniagaan daripada mana-mana rakyat negara Islam. Sebaliknya, ia hanya dikenakan kepada selain rakyat Negara Islam, iaitu pedagang asing, dengan kadar yang sama seperti yang dikenakan oleh negara mereka ke atas para pedagang kita, sama ada pedagang Muslim atau bukan Muslim.

 

Hal ini berdasarkan riwayat daripada Abi Majaz Lahiq bin Humayd, bahawa mereka pernah bertanya kepada ‘Umar RA, “Bagaimana kita mengambil cukai daripada kafir harbi apabila mereka datang kepada kita?” Beliau menjawab, “Bagaimana mereka mengambil daripada kamu apabila kamu masuk ke negara mereka?” Mereka berkata, “Mereka mengenakan cukai satu persepuluh (‘usyur).” ‘Umar berkata, “Maka ambillah daripada mereka sama seperti itu.”

 

Khalifah ‘Umar RA melaksanakan perkara ini di hadapan para sahabat, dan tiada seorang pun yang membantahnya, padahal ia merupakan perkara yang boleh dibantah jika tidak benar. Maka ini merupakan suatu ijmak (kesepakatan).

 

Walau bagaimanapun, mengenakan cukai kastam ke atas pedagang asing adalah harus, bukan wajib. Negara boleh memberikan pengecualian cukai sepenuhnya kepada mereka, atau hanya kepada jenis barangan tertentu, mengikut apa yang dilihat sebagai mendatangkan maslahat untuk kaum Muslimin. Ini kerana pengambilan cukai kastam daripada orang asing adalah dibenarkan, tetapi bukanlah suatu kewajipan.

 

Mungkin ada yang berkata bahawa sistem perdagangan ini identik dengan kebebasan perdagangan (Free Trade). Hakikatnya ia tidak sama. Kebebasan perdagangan bererti pertukaran komoditi antara negara berlaku tanpa syarat atau sekatan, tanpa mengenakan sebarang cukai kastam, dan tanpa meletakkan sebarang halangan terhadap aktiviti import, yang bererti hilangnya kawalan negara terhadap perdagangan luar negara.

 

Sistem perdagangan dalam Islam adalah berbeza kerana negara mempunyai hak untuk menetapkan syarat atau sekatan ke atas perdagangan dengan negara-negara lain berdasarkan maslahat kaum Muslimin. Selain itu, keharusan perdagangan itu hanyalah diberikan kepada rakyat Negara Islam, bukan kepada pedagang asing.

 

Selain itu, keharusan perdagangan luar negara bagi rakyat tanpa sebarang syarat atau sekatan tidak termasuk dalam kategori kebebasan perdagangan. Ini kerana negara tetap berhak untuk melarang eksport sesetengah komoditi dan melarang import sesetengah komoditi. Sebagai contoh, negara boleh melarang eksport barangan yang jika dikeluarkan boleh mendatangkan kemudaratan seperti barangan yang dianggap strategik.

 

Negara juga berhak melarang import barangan yang, jika dibawa masuk, dapat menguatkan musuh. Begitu juga, negara boleh melarang sebarang bentuk eksport atau import dengan negara yang sedang berada dalam keadaan perang nyata dengan kita, sekiranya aktiviti tersebut berpotensi menguatkan kedudukan musuh, membantu mereka, atau melepaskan mereka daripada sebarang bentuk kesempitan.

 

Selain itu, terdapat jenis-jenis barangan yang ditegah oleh nas syarak daripada diperdagangkan, seperti arak, ganja, candu dan seumpamanya. Barangan sebegini tidak dianggap sebagai bahan ekonomi menurut perspektif Islam. Oleh sebab itu, sistem perdagangan dalam Islam sama sekali tidak serupa dengan konsep kebebasan perdagangan.

 

Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.

 

#PolitikIslamEkonomi #EkonomiIslam #Perdagangan

 

Exit mobile version