بسم الله الرحمن الرحيم
Tragedi Semenanjung Gaza: Perjuangan untuk Membentuk Kesedaran Generasi Baharu dan Landskap Media
Oleh: Ustaz Hayatullah al-Uzbeki
Pada abad ke-21, kemenangan tidak lagi diukur semata-mata melalui keunggulan ketenteraan seperti kereta kebal, pesawat tempur atau sistem peluru berpandu. Sebaliknya, landskap media yang membentuk kesedaran awam serta mempengaruhi pemikiran generasi baharu telah menjadi faktor penentu utama dalam hasil sesuatu konflik. Cara sesuatu peristiwa ditafsirkan, bagaimana gambaran mental dibentuk, serta pemilihan kata yang disasarkan kepada masyarakat awam kini menjadi sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada realiti politik semasa.
Dari perspektif ini, satu peristiwa penting telah muncul: pemeteraian perjanjian kewangan berskala besar oleh entiti Yahudi dengan sebuah syarikat media swasta untuk menghasilkan kandungan berita yang disasarkan kepada generasi muda baru dan mencipta pendapat umum global.
Aspek terpenting dalam peperangan media bukanlah peristiwa itu sendiri, tetapi konteks bagaimana ia dipersembahkan. Apabila sesuatu peristiwa berulang kali digambarkan sebagai “mempertahankan diri”, manakala peristiwa lain dilabel sebagai “ancaman”, tafsiran ini akhirnya diterima sebagai kebenaran dalam minda kolektif dari semasa ke semasa.
Terdapat satu hakikat asas dalam hukum alam: apa yang ditampilkan tidak semestinya mencerminkan realiti. Sebagaimana kertas lakmus mendedahkan keasidan air yang berbahaya walaupun ia kelihatan jernih, begitulah juga sesetengah peristiwa bertindak sebagai “lakmus politik” yang memecahkan persepsi yang dibina selama puluhan tahun hanya dalam sekelip mata.
Antara peristiwa paling ketara ialah genosid yang dilakukan oleh entiti Yahudi di Gaza. Ia telah menyingkap wajah sebenar sistem politik Barat yang sekian lama menggambarkan dirinya sebagai pelindung hak asasi manusia, kanak-kanak dan wanita. Ia juga membongkar realiti entiti Yahudi yang selama ini dipromosikan sebagai “negara kebal yang berada dalam keadaan mempertahankan diri”. Namun, pendedahan ini tidak terhad kepada medan ketenteraan sahaja; ia berkait rapat dengan pertarungan menyeluruh di platform digital dan dalam minda generasi baharu.
Maklumat sumber terbuka menunjukkan bahawa entiti Yahudi telah menandatangani kontrak bernilai hampir enam juta dolar dengan syarikat Clock Tower X LLC untuk mempengaruhi kesedaran generasi baharu. Perjanjian ini bukan sekadar kempen pengiklanan biasa, ia sebaliknya merupakan sebahagian daripada strategi berita jangka panjang.
Sebanyak lapan puluh peratus kandungan yang dihasilkan akan disasarkan khusus kepada “Generasi Z”, iaitu generasi yang kesedarannya dibentuk dalam persekitaran digital. Pemilihan ini bukan secara rawak, kerana generasi ini bakal memainkan peranan penting dalam keputusan politik pada masa hadapan.
Pelan ini bergantung kepada kandungan pendek yang berimpak tinggi melalui platform seperti TikTok, Instagram, YouTube dan podcast. Di platform-platform ini, maklumat dan berita tidak diterima melalui analisis mendalam, sebaliknya melalui kesan emosi.
Melalui video pendek, imej dan mesej yang dipermudahkan, fakta politik yang kompleks dipersembahkan dalam konteks satu hala dan telah ditentukan lebih awal. Keadaan ini melemahkan pemikiran kritikal dan mendorong penerimaan kesimpulan yang disiap sediakan.
Realiti Gaza juga ditafsirkan secara berbeza menggunakan kaedah yang sama. Di satu pihak, tumpuan diberikan kepada pembunuhan beramai-ramai terhadap kanak-kanak dan wanita serta kekejaman yang belum pernah berlaku sebelum ini, namun pada masa yang sama usaha justifikasi dilakukan untuk mewajarkan keadaan ini melalui kempen media tertentu.
Laman Web Media Baharu dan Konteks Maklumat:
Perjanjian ini merangkumi pelancaran laman web berita serta penerbitan bahan analisis dan artikel yang pada zahirnya kelihatan sebagai sumber bebas, tetapi hakikatnya berkhidmat kepada satu agenda politik yang bersatu.
Pengaruh Tidak Langsung terhadap Sistem Kecerdasan Buatan (AI):
Salah satu isu sensitif dan moden ialah kemungkinan yang mempengaruhi jawapan sistem Kecerdasan Buatan (AI) dengan membanjiri kandungan digital menggunakan sudut pandang tertentu. Sistem seperti ChatGPT dan Gemini bergantung dalam analisis mereka pada sejumlah besar kandungan yang tersedia, yang boleh menyebabkan naratif rekaan menjadi sumber utama bagi algoritma.
Hal ini menimbulkan persoalan asas: jika sumber maklumat diperbanyakkan secara buatan, di manakah sempadan antara kebenaran dan maklumat palsu? Dan siapakah yang menentukan piawaian kebenaran?
Selama beberapa dekad, pemikiran politik Barat mempromosikan dirinya sebagai sistem yang berasaskan kebebasan dan hak asasi manusia. Namun, tragedi Gaza telah membatalkan nilai praktikal dakwaan tersebut. Pengeboman tanpa diskriminasi yang mensasarkan ke atas kawasan perumahan, pembunuhan wanita dan kanak-kanak, serta pemusnahan institusi perubatan dan pendidikan semuanya telah mendedahkan kepalsuan slogan hak asasi manusia. Masalahnya bukan hanya tindakan ketenteraan itu sendiri, tetapi juga sikap berdiam diri masyarakat antarabangsa dan dwistandard yang mengesahkan bahawa apa yang berlaku di Gaza adalah satu dasar yang disengajakan, bukannya kejadian kebetulan.
Operasi Taufan Al-Aqsa muncul sebagai simbol penolakan jelas terhadap kezaliman, dwistandard, dan krisis intelektual yang telah lama terkumpul dalam kesedaran manusia. Seruan ini tidak terhad kepada agama atau bangsa tertentu, tetapi berakar umbi pada nilai-nilai kemanusiaan sejagat, sehingga menjadikan protes di Washington, London, Paris dan Berlin sebagai ujian luar biasa, yang belum pernah terjadi terhadap sistem politik sedia ada.
Walaupun terdapat pelbagai usaha untuk memesongkan realiti melalui platform digital dan kecerdasan buatan, kebenaran tidak dapat dihapuskan sepenuhnya. Namun begitu, anak-anak lelaki dan perempuan umat Islam mestilah sentiasa berwaspada dan meneliti setiap berita serta setiap sumber dengan cermat sebelum menerimanya.
Kemanusiaan hari ini berdiri di persimpangan sejarah: sama ada menerima sistem yang berasaskan penipuan media, atau membina piawaian politik dan intelektual baharu yang berasaskan nilai kemanusiaan sebenar, keadilan dan kesedaran yang jelas. Tragedi Gaza meletakkan kita secara langsung di hadapan pilihan ini dengan penuh beban dan kejelasan.
Allah SWT berfirman:
[يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَأٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَى مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ]
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
(TMQ al-Hujurat [49]: 6)
Dan Rasulullah SAW bersabda:
«كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ»
“Cukuplah seseorang (dianggap) berdusta apabila dia menceritakan semua apa yang didengari.” (HR Muslim, no. 5 dan Abu Dawud, no. 4992.)
*Diterjemah daripada Akhbar Al-Rayah – Edisi 583 – 21/01/2026
#ArmiestoGaza #FreePalestine
#CabaranDigital #DuniaInformasi #JeratEraKapitalismeDigital #PropagandaZionis #MediaHoax

