Bukan Semua Urusan Boleh Diundi!
Tidak semua urusan boleh ditetapkan melalui musyawarah dan undian. Dalam Islam, syûrâ bukanlah proses penetapan membuat keputusan yang berdiri sendiri, apatah lagi jika ia dijadikan sumber hukum. Syûrâ hanyalah sarana atau cara untuk mencari pendapat. Syûrâ tidak berlaku secara umum untuk semua perkara, dan tidak semua keputusan boleh ditentukan oleh suara majoriti.
Dalam sesuatu persoalan, sama ada seseorang itu— adalah penguasa, rakyat, pengarah, pegawai, juruteknik, atau petani— tentu memerlukan pendapat yang benar. Maka mereka wajib merujuk kepada orang yang diyakini dan dipercayai mempunyai kemampuan memahami persoalan tersebut. Penguasa merujuk kepada penasihat yang mahir dalam urusan pemerintahan, hakim merujuk kepada fuqahâ dan mujtahid, jurutera merujuk kepada ahli teknik, dan doktor merujuk kepada pakar perubatan.
Tidak dibenarkan bagi seseorang untuk merujuk kepada orang yang tidak mempunyai kepakaran atau pengetahuan dalam persoalan yang ditanyakan kepadanya. Patutkah seorang panglima tentera bertanya kepada ulama fikah tentang keberkesanan pesawat atau peluru berpandu? Jika dia bertindak begitu, adalah tidak bijak dan tidak layak menjawat pangkat sebagai panglima.
Patutkah seorang mujtahid bertanya kepada jurutera tentang hukum syariah, sedangkan jurutera itu langsung tidak mengetahui mengenai feqah dan hukum? Maka hakikatnya mesti mengambil pendapat daripada orang yang sangat diyakini iaitu seseorang yang memiliki pandangan yang benar dalam permasalahan tersebut.
Maksudnya adalah, dalam bidang sains dan teknologi, atau segala perkara yang memerlukan kepakaran tertentu, pendapat hendaklah diambil daripada ahli atau pakar dalam bidang tersebut. Sama ada perkara itu berkaitan dengan bahasa, perubatan, teknik, perlombongan, penerokaan minyak, ilmu pelayaran, perdagangan, pertanian, dan lain-lain. Bukan melalui musyawarah apatah lagi undian. Tolok ukurnya ialah pendapat para pakar dalam kemahirannya, mengambil pendapat orang yang tidak mahir dalam bidang tersebut adalah sama sekali tidak berharga.
Rasulullah SAW bersabda:
“Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kehancuran”
[HR. Bukhari & Muslim].
Sumber: “Ad-Dimuqrathiyah wa Hukm al-Islam fiha” – Syeikh Hafizh
#musyawarah #syura #pendapat #fatwa

