Site icon MuslimahHTM News

Berapakah Gaji dan Pampasan yang Layak bagi Pegawai yang Berkhidmat untuk Negara?

Berapakah Gaji dan Pampasan yang Layak bagi Pegawai yang Berkhidmat untuk Negara?

Oleh: KH. Hafidz Abdurrahman

Soalan:

Apa bezanya antara gaji dan pampasan yang diterima oleh pegawai negara di dalam Islam? Mengapa pegawai negara tidak menerima gaji, sementara pegawai negeri menerima gaji? Apa implikasi daripada keduanya?

Jawapan:

Sebelum membahas perbezaan antara gaji dan pampasan, terlebih dulu perlu difahami perbezaan antara jabatan Hukkâm, dan Muwazhzhaf. Al-‘Allamah al-Qadhi Syeikh Muhammad Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan perbezaan keduanya dalam Muqaddimah ad-Dustûr, sebagai berikut:

Hukkâm adalah jamak dari Hâkim, iaitu orang yang diangkat untuk menerapkan hukum (Munaffidz al-Hukm). Menurut istilah:

«اَلْحُكْمُ هُوَ عَمَلُ الإِمَارَةِ الَّتِي أَوْجَبَهَا الشَّرْعُ عَلَى الْمُسْلِمِيْنَ.. وَعَمَلُ الإِمَارَةِ هَذِهِ هُوَ السُّلْطَةُ الَّتِي تُسْتَعْمَلُ لِدَفْعِ التَّظَالُمِ وَفَصْلِ التَّخَاصُمِ.. وَبِعِبَارَةٍ أُخْرَى اَلْحُكْمُ هُوَ وِلَايَةُ الأَمْرِ، وَعَلَيْهِ تَكُوْنُ وِلَايَةُ الأَمْرِ، وَالإِمَارَةُ، وَالْمُلْكُ، وَالسُّلْطَانُ هِيَ الْحُكْمُ مَا عَدَاهَا فَهُوَ الإِدَارَةُ»

Pemerintahan adalah aktiviti kepimpinan yang diwajibkan oleh syariah atas kaum Muslim…Aktiviti kepimpinan ini adalah kekuasaan yang digunakan untuk mencegah perbuatan saling menzalimi dan menyelesaikan persengketaan…Dengan kata lain, pemerintahan itu merupakan aktiviti mengurusi urusan (rakyat). Maka dari itu, wilâyatu al-amr, imârahh, mulk dan sulthân termasuk pemerintahan (Hukm), sedangkan yang lain, selain itu, merupakan pentadbiran.[1]

Kerana itu apa yang dilakukan oleh seorang Khalifah dan ketua daerahnya, seperti Wali (ketua daerah level I) dan ‘Amil (ketua daerah level II), dalam mengurus urusan umat, dengan menerapkan syariah, dan melaksanakan keputusan para Qadhi adalah bahagian dari pemerintahan (Hukm). Selain daripada itu tidak termasuk pemerintahan, tetapi sebahagian daripada pentadbiran. Orang yang diangkat untuk melakukan aktiviti pentadbiran ini disebut Muwazhzhaf, bukan Hâkim.

Syeikh An-Nabhani kemudian menjelaskan perbezaannya:

«وَهَذَا بِخِلَافِ الْمُوَظَّفِيْنَ فَإِنَّهُمْ تُحَدَّدُ لَهُمْ وَظَائِفُهُمْ وَيَقُوْمُوْنَ بِمَا طُلِبَ مِنْهُمْ »

Ini berbeza dengan Muwazhzhaf (pegawai pentadbiran negara). Mereka telah ditentukan tugas-tugasnya. Mereka pun mengerjakan apa yang diminta untuk mereka kerjakan.[2]

Perbezaan antara Hukkâm dan Muwazh­zhaf ini nampak secara jelas dari tindakan Nabi SAW.

Nabi SAW telah mengirim sejumlah Sahabat menjadi Wali (ketua daerah tingkat I), dan memerintahkan mereka untuk menerapkan hukum-hukum syariah. Pada masa yang sama, Nabi SAW mengangkat orang untuk menjadi Muwazhzhaf untuk melakukan aktiviti tertentu, bukan untuk menerapkan hukum-hukum syariah.

Sebagai contoh, Nabi SAW pernah mengangkat Amru bin Hazm sebagai Wali, dan menulis surat untuknya. Nabi SAW juga mengangkat Muadz bin Jabal, kemudian bertanya kepada dia tentang bagaimana caranya memutuskan perkara, kemudian beliau menjawab, dan disepakati Nabi SAW. Baginda juga mengangkat ‘Atab bin Usaid sebagai Wali untuk menerapkan syariah. Adapun Bisr bin Said diangkat sebagai Muwazhzhaf oleh Nabi SAW untuk mengumpulkan zakat, tetapi tidak melaksanakan tugas menerapkan hukum syariah, sebagaimana layaknya Wali, selain pentadbiran.[3]

Dengan demikian, nampak jelas perbezaan antara aktiviti Hâkim dan Muwazhzhaf.

Aktiviti Hâkim adalah menerapkan hukum-­hukum syariah. Adapun aktiviti Muwazh­zhaf adalah menjalankan aktiviti pentadbiran negara, bukan menerapkan hukum-hukum syariah.

Lalu siapa yang termasuk kategori Hukkâm ini? Ada empat:

Pertama, Khalifah.

Kedua, Mu’âwin Tafwîdh (wakil Khalifah).

Ketiga, Wali (ketua daerah level I).

Keempat, ‘Âmil (ketua daerah level II), atau siapa saja yang statusnya sama seperti mereka.

Selain itu, mereka tidak disebut sebagai Hukkâm, tetapi Muwazhzhaf.[4]

Yang statusnya sama dengan Hukkâm adalah Qâdhi Mazhâlim dan Qâdhi Qudhât (Ketua Qadhi).[5]

Hukkâm dan Muwazhzhaf ini juga mempunyai syarat yang berbeza.

Orang yang menjadi Hukkâm ini wajib: Muslim, lelaki, merdeka, baligh, berakal, adil dan mampu.

Adapun Muwazhzhaf tidak disyaratkan perlu memenuhi ketujuh-tujuh syarat di atas.

Perbezaan keduanya juga terletak pada perbezaan siapa yang mengangkat dan akad pengangkatannya.

Khalifah, contohnya, diangkat oleh umat, dengan akad baiat. Baiat adalah akad sukarela umat dengan Khalifah untuk menjalankan hukum-hukum syariah secara kâffah.

Adapun Mu’âwin Tafwîdh (wakil Khalifah), Wali (ketua daerah level I), ‘Amil (ketua daerah level II), atau siapa saja yang statusnya sama seperti mereka diangkat oleh Khalifah untuk menerapkan hukum-hukum syariah. Kerana itu akad pengangkatan mereka semua berbeza dengan akad pengangkatan Muwazhzhaf.

Adapun Muwazhzhaf itu diangkat oleh para penguasa di atas untuk melaksanakan aktiviti teknikal dengan akad ijarah, dengan perkhidmatan, waktu dan tempat tertentu. Kerana itu status mereka adalah Âjir daripada penguasa (Hâkim), untuk membantu mereka dalam melaksanakan tugas-tugas teknikal (pentadbiran).

Kerana itu para Muwazhzhaf ini mendapat gaji dari negara, dengan jumlah tertentu, sesuai dengan perkhidmatan yang mereka berikan. Status mereka merupakan Âjir Khâsh bagi negara. Ini berbeza dengan Hukkâm. Ia tidak diangkat dengan akad ijârah. Kerana itu status mereka bukan Âjir Khâsh, yang terikat dengan waktu dan tempat tertentu.

Jika Âjir Khâsh ini mempunyai tempoh kerja, misalnya, 8 jam perhari, maka hal ini berbeza dengan Hukkâm. Hukkâm, tempoh kerjanya adalah 24 jam. Maksudnya, bila-bila saja umat memerlukan perkhidmatan untuk mengurus urusan mereka, maka Hukkâm tersebut perlu bersedia. Sebaliknya, jika Muwazh­zhaf, setelah bekerja 8 jam sebagai Âjir Khâsh, mahu menjadi Âjir bagi yang lain, maka dibolehkan. Berbeza dengan Hukkâm. Sebab itulah Hukkam perlu berstatus Tafarrugh (lapang) selama 24 jam untuk melaksanakan tugas kenegaraan.

Jika demikian, maka pampasan (ta’wîdh) yang diberikan kepada Hukkâm jelas berbeza dengan Muwazhzhaf. Jumlahnya sangat relatif. Bergantung pada keperluan masing-­masing Hukkâm tersebut. Hanya secara umum, Khalifah Umar bin al-Khattab RA meng­gunakan sandaran:

وَلَا تَأۡكُلُوهَآ إِسۡرَافٗا وَبِدَارًا أَن يَكۡبَرُواْۚ وَمَن كَانَ غَنِيّٗا فَلۡيَسۡتَعۡفِفۡۖ وَمَن كَانَ فَقِيرٗا فَلۡيَأۡكُلۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ ٦

“dan janganlah kamu makan harta anak-anak yatim itu secara yang melampaui batas dan secara terburu-buru (merebut peluang) sebelum mereka dewasa. Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak-anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya. Kemudian apabila kamu menyerahkan kepada mereka hartanya, maka hendaklah kamu adakan saksi-saksi (yang menyaksikan penerimaan) mereka. Dan cukuplah Allah sebagai Pengawas (akan segala yang kamu lakukan).” [TMQ an-Nisaa’ (4): 6]

Harta kaum Muslim yang diambil sebagai pampasan bagi para Hukkâm ini statusnya seperti harta anak yatim. Sebagaimana harta anak yatim, maka para Hukkâm ini tidak boleh mengambil melebihi had yang sepatutnya. Bahkan kalau mampu tanpa perlu mengambil harta tersebut sebagai pampasan, maka dia lebih baik menahan diri, dengan tidak mengambil pampasan yang diberikan oleh negara. Namun, kalau memang tidak ada, atau memerlukan, maka dia boleh mengambilnya dengan ukuran yang layak (sewajarnya).

Dengan kaedah di atas, bahkan tidak sedikit dari kalangan Sahabat yang diangkat menjadi Hukkâm tidak mahu dibayar, sebagaimana riwayat berikut ini:

Abdullah bin as-Sa’di pernah datang kepada Khalifah Umar bin Khattab pada masa Kekhalifahannya. Khalifah Umar berkata kepada dia, “Bukankah aku pernah mendengar bahawa engkau bertanggungjawab atas sebahagian pekerjaan orang-orang. Namun, ketika engkau diberi pampasan, engkau tidak menyukai itu?” Aku menjawab, “Ya.” Khalifah Umar bertanya, “Apa yang engkau inginkan dari itu?” Aku berkata, “Aku mempunyai kuda dan hamba. Aku kaya. Aku ingin pekerjaanku menjadi sedekah bagi kaum Muslim.” Khalifah Umar berkata, “Jangan lakukan itu, kerana aku telah menginginkan apa yang aku inginkan, tetapi Nabi SAW memberi aku pampasan, dan aku berkata, ‘Berikanlah kepada seseorang yang lebih memerlukan wang itu daripada aku.’ Suatu ketika, baginda memberi aku wang. Aku berkata, ‘Berikanlah kepada seseorang yang lebih memerlukan wang itu daripada aku.’ Nabi bersabda, ‘Ambillah. Jadikanlah itu hartamu dan sedekahkanlah. Apa pun daripada harta ini yang datang kepada kamu, sementara kamu tidak berlebih-lebihan dan tidak meminta-minta, ambillah. Apa pun yang tidak, janganlah kamu mengikuti hawa nafsumu.’” [6]

Ketika Umar menjadi khalifah, beliau bertanya kepada Ali, berapa besar pampasan yang diberikan oleh negara kepada dirinya?

”Aku adalah seorang pedagang. Allah telah mencukupi keluargaku melalui perdaganganku. Kalian benar-benar telah menyibukkan aku dengan urusan kalian ini. Menurut engkau, apa yang boleh aku ambil dari harta ini?” Ali tetap diam. Sebahagian besar orang pun berbicara. Lalu ‘Umar berkata, “Apa pendapatmu, Ali?” Ali menjawab, “Apa yang layak untuk dirimu dan keluargamu dengan ukuran yang benar. Selain itu, bukan hakmu.” Orang-orang itu pun berkata, “Apa yang dikatakan Ali itu benar.” Lalu Khalifah ‘Umar pun mengambil makanannya.[7]

Jadi, pampasan yang diberikan kepada Hukkâm itu sesuai dengan keperluannya dan keperluan keluarganya dengan ukuran yang sesuai.

WalLâhu a’lam bi as-shawâb.

Catatan kaki:

  1. Al-Allamah al-Qadhi Syaikh Muhammad Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimatu ad-Dustur aw al-Asbab al-Mujibah lahu, Dar al-Ummah, Beirut, cet II, 1430 H/2009 M, Juz I, hal. 90-91.
  2. Al-Allamah al-Qadhi Syaikh Muhammad Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimatu ad-Dustur aw al-Asbab al-Mujibah lahu, Dar al-Ummah, Beirut, cet II, 1430 H/2009 M, Juz I, hal. 92.
  3. Al-Allamah al-Qadhi Syaikh Muhammad Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimatu ad-Dustur aw al-Asbab al-Mujibah lahu, Dar al-Ummah, Beirut, cet II, 1430 H/2009 M, Juz I, hal. 92-93.
  4. Al-Allamah al-Qadhi Syaikh Muhammad Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimatu ad-Dustur aw al-Asbab al-Mujibah lahu, Dar al-Ummah, Beirut, cet II, 1430 H/2009 M, Juz I, hal. 94.
  5. Al-Allamah al-Qadhi Syaikh Muhammad Taqiyuddin an-Nabhani, Muqaddimatu ad-Dustur aw al-Asbab al-Mujibah lahu, Dar al-Ummah, Beirut, cet II, 1430 H/2009 M, Juz I, hal. 95.
  6. Bukhari dan Ahmad. Lihat, Al-Allamah al-Muhaddits Sayyid Muhammad ‘Abd al-Hayyi al-Kattani al-Idrisi as-Syafii, Nidham al-Hukumah an-Nabawiyyah Aw al-Musamma bi at-Taratib al-Idariyyah, Dar al-Arqam bin Abi al-Arqam, Beirut, t.t, Juz II, hal. 111.
  7. Lihat, Al-Allamah al-Muhaddits Sayyid Muhammad ‘Abd al-Hayyi al-Kattani al-Idrisi as-Syafii, Nidham al-Hukumah an-Nabawiyyah Aw al-Musamma bi at-Taratib al-Idariyyah, Dar al-Arqam bin Abi al-Arqam, Beirut, t.t, Juz II, hal. 113.

Sumber: https://alwaie.net/

#Gaji #Upah #Pekerjaan #PegawaiNegara

Exit mobile version