Kesatuan Umat Islam, Bukan Kesatuan Negara-Negara Islam (Negara Bangsa)
Jalan Menuju Kebangkitan Menyeluruh dan Perubahan Radikal
Daripada Abdullah bin Mas‘ud r.a., beliau meriwayatkan: Rasulullah SAW melukis satu garis dengan tangannya lalu bersabda:
«هَذَا سَبِيلُ اللَّهِ مُسْتَقِيمًا»
“Ini adalah jalan Allah yang lurus.”
Kemudian Baginda melukis beberapa garis di kanan dan kiri, lalu bersabda:
«هَذِهِ السُّبُلُ لَيْسَ مِنْهَا سَبِيلٌ إِلَّا عَلَيْهِ شَيْطَانٌ يَدْعُو إِلَيْهِ»
“Ini adalah jalan-jalan lain, dan pada setiap satunya ada syaitan yang menyeru manusia kepadanya.”
Kemudian Baginda SAW bersabda:
﴿وَأَنَّ هَذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكم عَنْ سَبِيلِهِ﴾
“Dan sesungguhnya inilah (iaitu, perintah Allah) jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain, kerana ia akan memecah-belahkan kamu dari jalan-Nya…”
(HR Ahmad dan al-Nasa’i)
Isu penyatuan umat Islam dan mengubah realiti mereka bukanlah perkara yang diperselisihkan dalam kalangan umat Islam. Majoriti besar umat Islam — sama ada golongan elit dan pemikir, masyarakat awam mahupun para ulama — sepakat tentang keperluan kebangkitan (revival) dan berusaha mencari jalan untuk mengumpulkan tenaga umat Islam serta menyatukan kekuatan mereka. Namun, dalam usaha ke arah kebangkitan ini, individu dan kelompok telah berbeza-beza dalam jalan yang ditempuh. Apabila kita meneliti hadis dan ayat dari Surah al-An‘am ini secara mendalam, kita menyedari bahawa umat Islam dalam perjuangan menentang kebatilan berhadapan dengan jalan-jalan yang meragukan dan doktrin-doktrin palsu yang hampir menyesatkan ramai orang, kecuali mereka yang dilindungi oleh Allah.
Perlu ditegaskan secara kukuh dalam minda setiap Muslim bahawa kita adalah satu umat, yang berbeza daripada semua umat lain. Oleh itu, ikatan yang menyatukan kita di jalan kebangkitan ialah akidah Islam. Inilah ikatan yang sebenar-benarnya mampu mengubah realiti Umat dan mengembalikannya ke kedudukan yang telah ditentukan oleh Tuhan Sekalian Alam: sebaik-baik umat, yang membebaskan manusia daripada penghambaan sesama manusia kepada penghambaan kepada Tuhan seluruh manusia (Allah Azzawajalla).
Konsep ini mesti hidup dalam diri umat, dalam masyarakatnya dan dalam gerakan-gerakannya — baik dalam bentuk pemikiran mahupun perasaannya — sehingga ia melahirkan tindakan politik yang sebenar, yang meleburkan gerakan umat dan mengubahnya daripada sekadar emosi yang dicurahkan melalui penerbitan dan trend media sosial, kepada pendapat umum yang lahir daripada kesedaran kolektif dan gerakan politik yang aktif dalam masyarakat, yang benar-benar berhasrat kepada perubahan radikal untuk menamatkan segala bentuk keberadaan yang menghalang kesatuan sebenar umat.
Apabila kita mengatakan bahawa konsep satu umat mesti berubah daripada perasaan kepada pemikiran — dan perasaan yang lahir daripada pemikiran — ia kerana kita adalah Muslim secara asasnya, bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasul Allah, dan kita membaca setiap hari:
﴿اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ * صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ﴾
“Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.” (Surah Al-Fatihah: 6–7)
Kita juga mengingati sabda Rasulullah SAW:
«الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ»
“Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain,”
dan sabda Baginda SAW:
«الْمُسْلِمُونَ أُمَّةٌ مِنْ دُونِ النَّاسِ، وَيَسْعَى بِذِمَّتِهِمْ أَدْنَاهُمْ»
“Orang-orang Islam adalah satu umat yang tersendiri, berbeza daripada manusia lain, dan jaminan keselamatan mereka boleh diberikan walaupun oleh orang yang paling rendah kedudukannya.”
Maka seorang Muslim Somalia lebih dekat kepada seorang Muslim di Palestin berbanding jiran Kristian di sebelah rumahnya; dan seorang Muslim di hujung India bahkan lebih dekat kepada seorang Muslim di Syria berbanding seorang Druze atau Alawi. Ini bukan isu adab berjiran, tetapi soal ikatan intelektual dan emosional yang menyatukan umat Islam, yang lahir daripada iman. Ia adalah ikatan yang dibawa oleh wahyu Ilahi, bukan ikatan kesukuan, kabilah, atau nasionalisme.
Ini bermakna prinsip asas umat Islam ialah berpegang teguh kepada akidah ini, yang menolak sempadan buatan yang memecah-belahkan tubuh umat Islam. Oleh itu, tidak dibenarkan seorang Muslim mencampur-adukkan kesetiaan kepada umat dengan kesetiaan kepada akidah, lalu kemudian mengaku cinta pada tanah airnya. Ini bukan sahaja dilarang, malah menunjukkan kelemahan neraca nilai dan kelonggaran pemikiran. Bagaimana mungkin seorang Muslim, setelah membaca sabda Nabi SAW….
«دَعُوهَا فَإِنَّهَا مُنْتِنَةٌ»
“Tinggalkan ia, kerana ia sesuatu yang menjijikkan,”
…masih boleh membenarkan dirinya menyeru kepada patriotisme, atau berani mendakwa bahawa cinta tanah air adalah sebahagian daripada Islam? Mencintai tempat kelahiran atau negara tempat membesar adalah satu perkara yang fitrah, tetapi mengaitkan perasaan itu dengan kesetiaan intelektual dan ikatan akidah adalah perkara yang sama sekali berbeza. Yang pertama bersifat semula jadi, manakala yang kedua bercanggah dengan prinsip al-wala’ wa al-bara’ (kesetiaan dan pemutusan kesetiaan).
Aspek lain dalam isu ini ialah mengubah idea kesatuan Umat — yang berasaskan ikatan akidah Islam yang dipilih Allah untuk kita, dan menolak semua ikatan lain sama ada kebangsaan atau etnik — menjadi pendapat umum dalam umat, yang melahirkan gerakan politik yang berkesan. Ini juga berkait rapat dengan hakikat bahawa Islam adalah risalah Allah untuk seluruh manusia, dan ia juga merupakan prinsip politik yang tulen. Akidah Muhammad ialah akidah yang melahirkan negarawan, bukan sekadar tokoh agama atau golongan ulama. Agama ini membentuk lelaki dan wanita yang memahami bahawa mereka adalah khalifah Allah di bumi, dan tugas tertinggi seorang Muslim ialah memperkenalkan manusia kepada Tuhan mereka, Yang Maha Tinggi. Ini adalah konsep-konsep politik yang memerlukan sebuah negara untuk menegakkannya, sebagaimana Negara Islam telah melakukannya selama lebih 13 abad, membawa Islam ke seluruh dunia melalui dakwah dan jihad.
Mesej para panglima dan pemerintahnya ialah: “Tunduklah, nescaya kamu akan selamat,” dan: “Allah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia daripada penghambaan kepada manusia, kepada penghambaan kepada Tuhan seluruh manusia.” Sesiapa yang merenung perkara ini akan melihat perbezaan besar antara Islam dan keprihatinannya terhadap manusia, rahmat dan keadilan para pemimpinnya, dengan kezaliman pemimpin Barat yang melakukan pelbagai kekejaman demi merompak kekayaan bangsa-bangsa lain dan melindungi kepentingan mereka.
Oleh kerana doktrin Islam membina kesetiaan berasaskan ideologi, dan menetapkan kesetiaan kepada umat dan iman, —bukan kepada sempadan, wilayah, atau keluarga pemerintah — maka ia secara fitrahnya adalah musuh kepada konsep negara-bangsa (nation-state). Kewujudannya sendiri merupakan ancaman kepada singgahsana semua rejim yang wujud di negara-negara Islam hari ini. Justeru, seruan kepada penegakan Khilafah merupakan bahaya terbesar bagi semua pemerintah negara-bangsa yang memahat sempadan dalam tubuh umat yang sepatutnya bersatu, dan menggunakan tentera mereka untuk mempertahankan sempadan tersebut serta takhta mereka — satu dosa dan jenayah besar yang tidak kurang beratnya daripada dosa menggantung hukum Islam.
Seruan kepada penyatuan umat adalah seruan politik yang jelas: agar umat kembali menjadi satu tubuh dengan satu pemerintah, yang diurus oleh akidahnya dalam seluruh urusannya: politik, ekonomi, sosial, pendidikan, serta pengurusan dalaman dan luaran. Satu umat yang terbentang dari Indonesia di Timur hingga Afrika Utara, tanpa sempadan dan halangan, luas wilayahnya, di mana seseorang boleh bergerak tanpa pasport dan tanpa pemeriksaan di sempadan nasional buatan. Baitul Mal dalam sistem ini diagihkan menurut prinsip Islam kepada seluruh umat Islam tanpa mengira geografi. Zakat dikutip daripada semua Muslim yang wajib membayarnya dan diberikan kepada mereka yang berhak, di mana sahaja mereka berada. Pasukan keselamatan dan polis pula bertanggungjawab pada satu negara. Maka undang-undang di Kuwait, sebagai contoh, tidak berbeza dengan undang-undang di seluruh Semenanjung Arab. Tiada lagi istilah seperti “persaudaraan rakyat” (persaudaraan atas sebab kerakyatan negara bangsa/tempat) atau “saudara Arab” (atas sebab kaum) apabila berlaku krisis di sebuah negara Islam, kerana prinsip asasnya ialah: kita adalah satu umat dengan satu negara. Apabila berlaku krisis di mana-mana wilayah dunia Islam, sama ada peperangan atau selainnya, seluruh umat — dipimpin oleh negara — akan bangkit melindungi umat Islam dan kepentingan mereka.
Maka tentera Khilafah akan menjadi tentera yang misinya ialah jihad dan melindungi umat dan negara: Umat Islam di mana sahaja ia berada — bukan umat yang kesetiaannya terikat kepada sempadan yang memisahkannya daripada umat yang lain. Keselamatan dalaman negara pula berfungsi melindungi kepentingan rakyat berdasarkan Islam, sekaligus mencegah perpecahan dan konflik dalaman. Sesungguhnya Islam melindungi kepentingan, maruah dan keselamatan semua manusia — Muslim atau bukan Muslim — dengan keadilan dan kesaksamaan.
Inilah kesatuan yang kita cari: satu negara yang kedaulatannya berada pada hukum Islam dan kekuasaannya di tangan umat — bukan negara-negara terpecah yang kedaulatannya berada di tangan duta Amerika atau Britain, dan kuasanya dipegang oleh kelas politik yang tunduk, yang berkhidmat kepada kepentingan sendiri dan kepentingan tuan-tuan mereka. Kemudian, untuk menipu rakyat, mereka berbicara tentang keperluan “kesatuan umat antara negara-negara Islam atau Arab” — sedangkan merekalah punca sebenar masalah dan bencana itu, dengan sistem mereka yang memerintah bukan dengan Islam dan melaksanakan kehendak musuh.
Para pembaca yang berfikir dengan mata hati yang tajam akan menyedari bahawa kesatuan sebenar umat Islam telah menjadi realiti yang hidup dalam kesedaran umat, dan tidak lama lagi akan terzahir dalam realiti politik, Khilafah, walaupun terdapat kezaliman dan penindasan oleh para rejim despotik. Ketika itu, orang-orang yang lalai akan menyedari kekuatan umat Islam dan potensi besar yang dimilikinya, dan dunia akan menyaksikan hakikat sebenar sebuah pemerintahan yang memerintah dengan rahmat dan keadilan.
﴿وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هُوَ قُلْ عَسَىٰ أَن يَكُونَ قَرِيباً﴾
“… bertanya secara mengejek: Bila berlakunya?” Katakanlah: “Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!”.’”
(al-Isra’: 51)
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Bayan Jamal
#ItsTimetobeOneUmmah #OneUmmah #KesatuanUmmah
#KhilafahSistemIslam #Khilafah #1ummah1perjuangan #kesatuanakidah