Site icon MuslimahHTM News

Negara Polis – Haram Hukumnya!

Negara Polis – Haram Hukumnya!

 

Pemerintahan (al-hukm) dan kekuasaan (as-sultan) dalam Islam ialah mengurus urusan manusia dengan hukum-hukum syariah. Ia berbeza daripada kekuatan (al-quwwah). Kekuatan dalam sesebuah negara bukanlah pengurusan urusan manusia dan juga bukan pengaturan perkara-perkara mereka.

 

Kekuatan ialah entiti fizikal yang berbentuk angkatan bersenjata (tentera) dan termasuk di dalamnya adalah pasukan polis. Melalui kekuatan inilah kekuasaan dapat melaksanakan hukum, menundukkan para penjenayah dan orang-orang fasik, menekan para penentang, mematahkan serangan pihak penyerang, serta menjadikannya sebagai alat untuk mempertahankan kekuasaan dan memelihara pelbagai pemahaman serta pemikiran yang menjadi asas kekuasaan tersebut, di samping menyebarkan pemahaman dan pemikiran itu ke luar negara.

 

Kekuatan tidak serupa dengan kekuasaan, walaupun kewujudannya, pembentukannya, pengurusannya dan penyediaannya tidak mungkin terlaksana tanpa kekuasaan. Begitu juga sebaliknya, kekuasaan itu berbeza daripada kekuatan, walaupun kekuasaan tidak akan dapat wujud tanpa kekuatan.

Tidak boleh menjadikan kekuasaan berteraskan kepada kekuatan. Hal ini kerana pengurusan terhadap urusan manusia akan menjadi rosak, apabila pelbagai kefahaman dan piawaian yang digunakan berubah menjadi kefahaman dan piawaian paksaan, penindasan dan kezaliman, bukannya kefahaman dan piawaian pengurusan urusan manusia.

 

Akibatnya, kekuasaan tersebut berubah menjadi pemerintahan yang bersifat militarisme (ketenteraan) atau sebuah negara polis yang sarat dengan keganasan, kezaliman, pengekangan, paksaan dan pertumpahan darah. Begitu juga, apabila kekuatan berubah menjadi kekuasaan (autoriti), manusia akan diperintah dengan logik kekuatan, dan urusan manusia akan diurus berdasarkan kefahaman ketenteraan serta piawaian paksaan dan penindasan.

 

Kedua-dua keadaan tersebut akan menyebabkan kerosakan dan kehancuran, menimbulkan ketakutan serta kegelisahan, dan menyeret umat ke tepi jurang kejatuhan. Pemerintahan militarisme di negara-negara Arab dan negara-negara Muslim yang lain adalah bukti terbaik bagi hal ini.

 

Sumber: “Nizham al-Hukmi fi al-Islam” (Syeikh Abdul Qadim Zallum)

 

 

#PoliceState #NegaraPolis #SistemPemerintahanIslam #IslamPolitik

 

Exit mobile version