Site icon MuslimahHTM News

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 33/46)

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 33/46)

 

Penulis: Abdurrahman al-Maliki

 

(Sambungan dari Bahagian 32/46)

 

Tahap kehidupan dalam masyarakat tempat seorang pekerja tinggal tidak boleh dijadikan asas untuk menentukan kadar upahnya. Ertinya, upah tidak boleh ditetapkan berdasarkan kadar keperluan hidupnya, kerana tidak sepatutnya tahap kecukupan hidup dijadikan ukuran dalam menentukan kadar upah.

 

Berdasarkan penjelasan sebelum ini, jelaslah bahawa kapitalis dan sosialis telah tersilap dalam asas yang mereka gunakan untuk menetapkan kadar upah. Golongan kapitalis memberikan kepada pekerja apa yang mereka namakan sebagai “upah yang wajar”. Upah yang wajar menurut mereka ialah kadar minimum yang diperlukan oleh seorang pekerja untuk hidup pada tahap paling asas.

 

Mereka akan menaikkan upah apabila kos sara hidup minimum meningkat, dan menurunkannya apabila kos sara hidup minimum menurun. Maka, menurut pandangan mereka, kadar upah ditentukan berdasarkan kos sara hidup tanpa mengambil kira manfaat sebenar yang dihasilkan oleh tenaga pekerja.

 

Mereka berpegang demikian kerana mereka membina asas transaksi ijarah di atas asas transaksi jual beli, sehingga harga keperluan hidup menjadi faktor penentu kadar upah. Hasilnya, pekerja dalam sistem ini, iaitu apabila kos sara hidup dijadikan asas penentuan upah akan kekal berada pada tahap minimum kelangsungan hidup, sekadar cukup untuk memenuhi keperluan asas, bergantung kepada tahap hidup masyarakat tempat mereka tinggal.

 

Ada pekerja yang hidup hanya sekadar memenuhi keperluan asas sebagaimana berlaku di kebanyakan negara Islam, dan ada pula yang hidup sehingga mencapai keperluan primer, sekunder serta tertier sebagaimana keadaan pekerja di negara-negara maju seperti Eropah dan Amerika. Keadaan ini adalah satu bentuk kezaliman dan tidak menggambarkan realiti sebenar pekerja.

 

Adapun golongan sosialis pula menetapkan kadar upah berdasarkan prinsip: “Daripada setiap orang menurut kemampuannya, dan untuk setiap orang menurut kerjanya.” Yakni, upah diberikan mengikut kadar pengeluaran atau hasil kerja yang dicapai. Mereka berbuat demikian kerana mereka membina asas transaksi ijarah atas asas transaksi jual beli, lalu menjadikan upah sepadan dengan apa yang dihasilkan pekerja.

 

Walau bagaimanapun, cara ini tetap merupakan satu bentuk kezaliman dalam apa jua keadaan. Jika hasil pengeluaran sedikit akibat penurunan harga pasaran barangan yang dihasilkan, maka pekerja berada dalam keadaan dizalimi kerana upah yang diterimanya mungkin tidak mencapai kadar kecukupan, sehingga dia terpaksa meninggalkan pekerjaan. Sebaliknya, jika hasil pengeluaran meningkat akibat kenaikan harga pasaran barang tersebut, maka majikan pula dizalimi kerana keuntungan lebih banyak berpindah kepada pekerja, sedangkan keuntungan itu bukan hak pekerja.

 

Oleh sebab itu, penentuan upah berdasarkan hasil pengeluaran pekerja, iaitu mengikut harga pasaran bagi barang yang dihasilkannya, merupakan suatu bentuk kezaliman dan pada masa yang sama merupakan satu kesilapan kerana ia bercanggah dengan hakikat sebenar pekerja. Dengan melihat kembali realiti pekerja, jelas bahawa hakikatnya ialah dia mengerahkan tenaga semata-mata untuk memperoleh suatu barang atau memperoleh tenaga (perkhidmatan) pihak lain. Maka, tenaga yang dicurahkannyalah yang menjadi asas.

 

Namun, tenaga itu sendiri bukanlah sesuatu yang diusahakan untuk diperoleh kerana ia hanyalah tenaga, tetapi apa yang dicari daripadanya ialah manfaat yang terkandung di dalamnya. Oleh itu, manfaat (khidmat) tenaga itulah yang menjadi asas sebenar, bukan tenaga itu sendiri; kerana manfaat itulah yang menjadi objek pertukaran, sementara tenaga hanya dicurahkan untuk memperoleh manfaat tersebut. Justeru, manfaat tenaga pekerjalah yang menjadi asas penentuan kadar upah.

 

Manfaat ini, sebagaimana barang, mempunyai pasaran umum yang menampung penawaran serta permintaannya, dan harganya dinilai berdasarkan pasaran tersebut. Oleh itu, sebagaimana tidak wajar dikenakan penetapan harga secara paksa terhadap barang kerana tindakan tersebut akan melahirkan pasaran gelap dan memudaratkan pengeluaran, demikian juga tidak boleh ditetapkan kadar harga secara paksa bagi manfaat tenaga. Ini kerana tindakan itu akan menjejaskan kekayaan dengan membataskan pengeluaran serta menghalang aktiviti ekonomi. Maka, penentuan kadar manfaat tenaga, iaitu kadar upah hendaklah diserahkan kepada apa yang ditentukan oleh pasaran umum manfaat (khidmat) pekerja.

 

Sebagaimana akad jual beli terlaksana atas dasar kerelaan kedua-dua pihak, demikian juga pemanfaatan tenaga berlaku melalui persetujuan antara pekerja dan pihak majikan. Apa jua kadar upah yang dipersetujui bersama, iaitu ajra al-musamma (upah yang dinamakan), maka kedua-dua pihak terikat dengannya. Namun sekiranya tiada persetujuan diperoleh mengenai kadar upah, maka penentuannya hendaklah berpandukan penilaian para pakar berdasarkan pasaran umum manfaat tenaga.

 

Walau bagaimanapun, kadar upah tersebut tidak bersifat kekal; ia terikat dengan tempoh yang dipersetujui atau jenis pekerjaan yang disepakati. Apabila tempoh kontrak tamat atau kerja telah disempurnakan, maka kadar upah baharu hendaklah ditentukan berdasarkan pasaran manfaat tenaga pada waktu penetapan tersebut. Inilah realiti sebenar pekerja, dan inilah asas penentuan kadar upah.

 

Dalam hal ini, hukum Islam berjalan atas asas tersebut. Para fuqaha’ mendefinisikan akad ijarah sebagai akad atas manfaat (khidmat) tertentu dengan imbalan, menjadikan manfaat sebagai fokus akad dan imbalan sebagai gantian bagi manfaat tersebut. Dengan itu, manfaat (khidmat) dijadikan asas penentuan upah.

 

Para fuqaha’ juga menyatakan bahawa ijarah ialah pemindahan pemilikan manfaat daripada pekerja (ajir) kepada pihak yang mengupah (musta’jir), dan pemindahan pemilikan harta daripada musta’jir kepada ajir. Ketetapan ini disimpulkan daripada dalil-dalil yang membenarkan akad ijarah. Allah SWT berfirman: “Jika mereka (para isteri) menyusukan anak-anakmu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.” [TMQ At-Talaq: 6]

 

Jelas bahawa pemberian upah ditetapkan sebagai imbalan bagi kerja menyusui, yakni manfaat kerja. Rasulullah SAW juga bersabda: “Allah berfirman: Tiga golongan yang Aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat, iaitu lelaki yang berjanji atas nama-Ku kemudian mengkhianatinya; lelaki yang menjual orang merdeka lalu memakan harganya; dan lelaki yang mengupah pekerja, lalu mengambil manfaat penuh daripadanya tetapi tidak memberikan upahnya.” [HR al-Bukhari, Ibn Majah, Ahmad]

 

Hadis ini menegaskan bahawa apabila manfaat telah diperolehi, maka upah wajib diberikan. Justeru, manfaatlah yang menjadi asas penentuan kadar upah.

 

Dalam akad ijarah (kontrak kerja) ke atas pekerja, kontrak boleh berlaku sama ada ke atas manfaat kerja yang dilakukan oleh pekerja atau ke atas manfaat dirinya sebagai sumber tenaga kerja. Sekiranya akad tersebut ditujukan kepada manfaat kerja, maka objek akad yang dipersetujui ialah manfaat yang terhasil daripada pekerjaan tersebut seperti mengupah individu yang memiliki kemahiran dan kepakaran tertentu untuk melaksanakan kerja tertentu, contohnya tukang celup, tukang besi, tukang kayu, jurutera, doktor atau peguam.

 

Namun jika akad tersebut ditujukan kepada manfaat seseorang secara langsung, maka objek akad yang dipersetujui ialah manfaat dirinya sebagai tenaga kerja, seperti mengupah pembantu rumah atau tukang kebun. Dalam kedua-dua keadaan ini, kadar upah mestilah ditentukan dengan jelas, berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia mengupah seorang pekerja sehingga dia memaklumkan kepadanya kadar upahnya.”

 

Maka, jika upah tidak dinyatakan, atau berlaku perselisihan mengenai kadar upah yang dipersetujui, atau kadar upah disebut secara tidak jelas, seperti mengupah penuai dan membayar dengan sebahagian hasil tanaman, maka dalam semua keadaan ini upah pekerja hendaklah ditetapkan berdasarkan ajr al-mithl (upah sepadan), dan penentuannya diserahkan kepada pakar dalam bidang berkaitan.

 

Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.

 

 

#PolitikEkonomiIslam #SumberTenaga #Upah #Gaji

 

Exit mobile version