Site icon MuslimahHTM News

Fail Epstein dan Dunia Politik Kapitalis yang Menjijikkan

Fail Epstein dan Dunia Politik Kapitalis yang Menjijikkan

 

Berita:

 

Pada 30 Januari, berjuta-juta fail baharu berkaitan ahli kewangan bilionair serta pesalah seksual yang juga disabitkan dengan kesalahan pemerdagangan wanita dan kanak-kanak perempuan, Jeffrey Epstein, telah didedahkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat. Epstein telah disabitkan kesalahan pada tahun 2008 atas tuduhan mendapatkan khidmat pelacuran melibatkan individu bawah umur. Tiga juta muka surat dokumen serta ribuan imej dan video yang didedahkan kepada umum telah membongkar dengan lebih jelas hubungan rapat antara penjenayah yang disabitkan ini dengan golongan elit kaya dan politik dari Amerika, Britain serta negara-negara Barat yang lain.

 

Antara yang terlibat termasuklah bekas Setiausaha Perniagaan Britain dan kemudiannya Duta Besar UK ke Amerika Syarikat, Peter Mandelson, yang terus mengekalkan persahabatan erat dengan Epstein walaupun selepas sabitan jenayahnya. Dia didakwa menghantar mesej sokongan kepada Epstein selepas pemenjaraannya, serta menyalurkan maklumat kerajaan yang sensitif terhadap pasaran kepada ahli kewangan Amerika itu selepas krisis kewangan global 2008 ketika dia menjadi anggota kabinet kerajaan Britain. Dokumen yang didedahkan juga menunjukkan bahawa bayaran sebanyak USD75,000 daripada Epstein telah didepositkan ke dalam akaun yang berkaitan dengan Mandelson. Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, turut berada dalam perhatian apabila dia mengakui secara terbuka di Parlimen bahawa dia mengetahui tentang hubungan persahabatan berterusan Mandelson dengan Epstein susulan sabitan kesalahannya kerana mendapatkan khidmat pelacuran bawah umur, ketika dia melantik Mandelson sebagai Duta Besar ke Amerika Syarikat pada Disember 2024. Keir melantiknya ke jawatan berprofil tinggi itu disebabkan hubungan Mandelson dengan Trump dan dengan kepercayaan bahawa dia mampu memperoleh perjanjian perdagangan penting dengan Amerika. Ini berlaku walaupun Mandelson pernah dipaksa meletak jawatan dua kali daripada jawatan kabinet sebelum ini akibat urusan-urusan meragukan, serta fakta yang sudah pun menjadi pengetahuan umum bahawa Mandelson pernah menginap di salah satu hartanah Epstein ketika Epstein dipenjarakan — mencerminkan hubungan rapat mereka tanpa mengira betapa teruk pun jenayah yang dilakukan Epstein.

 

Seterusnya, Andrew Mountbatten-Windsor (dahulunya Putera Andrew), yang pernah berkhidmat sebagai Wakil Khas UK bagi Perdagangan dan Pelaburan Antarabangsa yang bertanggungjawab mempromosikan firma-firma Britain di luar negara, juga disebut berulang kali dalam fail Epstein. Dia telah didakwa mempunyai hubungan dengan beberapa wanita yang diperdagangkan oleh Epstein serta terus mengekalkan persahabatan dengannya walaupun selepas Epstein mengaku bersalah atas kesalahannya, termasuklah menjemput Epstein makan malam di Istana Buckingham selepas pemenjaraannya.

 

Tokoh-tokoh lain yang turut dikaitkan dalam fail Epstein kerana mempunyai hubungan rapat dan masih meneruskan hubungan dengannya walaupun terlibat dengan jenayah pemerdagangan wanita dan kanak-kanak , termasuklah Presiden Trump, Steve Bannon (salah seorang penasihat tertinggi Trump), serta hartawan kaya-raya seperti Elon Musk (pemilik Tesla dan syarikat media sosial X), Bill Gates (pengasas Microsoft) dan Richard Branson (pengasas Virgin Group).

 

Komentar:

 

Melodrama yang menjijikkan ini bukan sekadar kisah seorang lelaki dengan gaya hidupnya yang keji, urusan rasuah dan aktiviti jenayah, dan bukan juga semata-mata kisah dunia gelap golongan kaya dan terkenal. Ia adalah realiti dunia kotor keseluruhan sistem Kapitalisme yang korup, nilai dan kepercayaannya, sistem politiknya yang tidak bermoral yang dikuasai dan dimanipulasi oleh kekayaan, serta keutamaan-keutamaan rosaknya yang dibentuk oleh usaha mengejar kuasa dan keuntungan berbanding etika dan kehormatan. Ia adalah satu sistem yang tidak mempunyai sebarang  kompas moral; sebaliknya tindakan ditentukan hampir sepenuhnya oleh kepentingan material (wang).

 

Kepercayaan liberalnya tentang kebebasan peribadi dan seksual meraikan gaya hidup hedonistik yang lucah, serta melahirkan individu, ahli politik dan pemimpin yang dikuasai materialisme dan kepentingan diri sendiri— sehingga sanggup berkawan dengan seorang penjenayah dan pemerdagang seks yang telah disabitkan kesalahan, atau melantik individu yang bersahabat dengannya ke jawatan tinggi jika ia akan membantu mereka mendapatkan perjanjian perdagangan, atau meningkatkan baki akaun bank peribadi mereka, atau dapat mendaki tangga politik kapitalis yang kotor dan licik.

 

Fail Epstein juga mengajar dunia apa yang sebenarnya sudah kita ketahui — jaringan kusut yang wujud antara politik, perniagaan besar dan golongan elit kaya dalam sistem kapitalis, di mana “wang bercakap” dan perjanjian dicari tanpa mengira nilai moral atau pencabulan maruah baik wanita mahupun lelaki — sama ada di Barat atau di negeri-negeri Islam. Walaupun kononnya memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak perempuan serta keprihatinan terhadap mangsa pemerdagangan seksual, kita sebenarnya telah menyaksikan para pemimpin, ahli politik dan ketua-ketua syarikat besar dalam negara-negara kapitalis ini mengabaikan perbuatan pelaku penderaan serta eksploitasi wanita dan kanak-kanak — demi agenda politik dan ekonomi mereka.

 

Hubungan antara kekayaan, perniagaan besar dan politik hanya boleh diputuskan oleh satu sistem yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat, yang prinsip dan undang-undangnya tidak boleh dimanipulasikan oleh keinginan manusia, dan yang dipimpin oleh pemimpin yang bertakwa kepada Allah, bukan didorong oleh keegoan, kuasa ataupun keuntungan kewangan peribadi. Sistem Khilafah berdasarkan manhaj kenabian (Khilafah `ala Minhaj nubuwwah), adalah model sistem kepimpinan yang mengandungi prinsip-prinsip ini.

 

Pertama, pemerintah diwajibkan oleh Islam untuk menjadi penjaga kepada rakyatnya, memiliki ketakwaan dan memahami bahawa kepimpinan membawa tanggungjawab dan akauntabiliti yang besar kepada Allah (swt), sehingga mendorongnya untuk benar-benar menjaga keperluan dan kepentingan rakyat, bahkan mengatasi kepentingan dirinya sendiri.

 

Satu contoh yang indah ialah Umar bin al-Khattab (ra), Khalifah kedua Islam. Semasa kebuluran di Madinah, beliau enggan memakan apa-apa selain makanan kasar supaya dapat merasai penderitaan rakyatnya, walaupun mengakibatkan kesihatannya sendiri merosot. Contoh lain ialah Khalifah abad ke-8, Umar bin Abdul Aziz, yang merupakan seorang kaya sebelum menjadi pemimpin, tetapi meninggal dunia hanya dengan sehelai baju walaupun Khilafah berada dalam kemakmuran ekonomi, kerana beliau telah menghabiskan hartanya untuk berkhidmat kepada rakyat. Beliau bahkan enggan menggunakan setitik minyak awam untuk menyalakan lampu bagi urusan peribadinya kerana rasa tanggungjawabnya yang tinggi terhadap harta negara.

 

Kedua, Khilafah ialah sistem yang benar-benar menjaga keperluan semua rakyat, bukan segelintir elit, kerana undang-undangnya datang daripada Pencipta manusia. Perundangan bersumberkan al-Quran dan Sunnah, bukan kehendak manusia seperti demokrasi dan sistem sekular, maka prinsip tidak boleh dibuang dan undang-undang tidak boleh dibentuk oleh kuasa dan kekayaan. Kita lihat sebagai contoh, bagaimana Sultan Abdul Hamid, apabila golongan Zionis menawarkan untuk melangsaikan hutang Khilafah sebagai balasan pertukaran dengan tanah Palestin, beliau menolak dan enggan menyerahkan walau seinci pun Tanah yang Diberkati itu, sambil menyatakan bahawa ia bukan miliknya untuk diberikan, tetapi milik seluruh umat Islam.

 

Ketiga, Khilafah secara terang-terangan mengharamkan objektifikasi dan eksploitasi wanita untuk keuntungan atau apa jua sebab, serta mewajibkan agar maruah wanita dan lelaki sentiasa dilindungi.

 

Keempat, Khilafah menggalakkan rakyatnya aktif secara politik, melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan melakukan muhasabah terhadap kelompok kepimpinan sebagaimana yang diwajibkan oleh Islam. Hal ini, bersama institusi-institusi seperti Majlis al-Ummah dan Mahkamah al-Mazhalim (mahkamah yang menyiasat kezaliman dan kecuaian pemerintah), serta parti-parti politik dalam negara, akan memastikan undang-undang Islam dilaksanakan dengan betul dan tidak dimanipulasi oleh golongan elit berkuasa atau kaya.

 

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Asma Siddiq
Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir

 

Exit mobile version