[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 34/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari bahagian 33/46)
Tiada Kenaikan Upah Tahunan untuk Pekerja
Upah yang ditetapkan kepada pekerja, sama ada pegawai kerajaan, kerani syarikat atau pekerja kilang ditentukan untuk tempoh tertentu, sama ada secara harian, bulanan atau tahunan. Kontrak dianggap selesai apabila tempoh tersebut tamat, dan apabila tempoh baharu bermula ia dikira sebagai akad baharu, walaupun kedua-dua pihak tidak memperbaharuinya. Namun demikian, kadar upah yang dipersetujui pada awal akad kekal menjadi kewajipan yang mesti dipatuhi oleh ajir (pekerja) dan mustaʿjir (majikan) sepanjang tempoh kontrak.
Apabila tempoh kontrak berakhir, kedua-dua pihak boleh memperbaharui akad ijarah dengan kadar upah baharu yang berbeza daripada kadar sebelumnya. Sekiranya pembaharuan tidak dilakukan, maka akad diteruskan dengan kadar upah yang sama seperti sebelumnya.
Sehubungan dengan itu, sistem kenaikan gaji tahunan bagi pegawai kerajaan mengikut gred-gred tertentu sebagaimana yang wujud pada hari ini tidak mempunyai asas dalam Islam. Ini kerana pekerja menerima upah mengikut kadar yang telah disebutkan dalam akad, dan tiada peningkatan upah berlaku dalam tempoh kontrak tersebut.
Pekerja telah pun diupah dengan kadar upah yang diketahui bagi tempoh tertentu; maka dia tidak berhak mendapat sebarang kenaikan (upah) dalam tempoh tersebut. Walau bagaimanapun, sekiranya pekerja diupah secara harian, bulanan, atau tahunan, dia dibenarkan berunding dengan musta’jir, sama ada kerajaan atau selainnya, mengenai kenaikan upah sebelum tempoh baharu bermula kerana sebab-sebab yang baharu. Sama ada kerana dia semakin mahir dalam kerjanya, atau kerana beban kerjanya bertambah, atau kerana skop tugasnya berubah, contohnya dipindahkan ke jawatan lain, atau kerana kadar upah sepadan (ajr al-mithl) bagi pekerjaan setara telah meningkat di pasaran, atau kerana sebab-sebab lain.
Jika mustaʿjir bersetuju, maka upah baharu yang lebih tinggi boleh ditetapkan. Musta’jir juga berhak menawarkan kenaikan upah kepada ajir pada permulaan tempoh baharu, dan apabila ajir bersetuju dengan tawaran tersebut, maka kadar upah baharu yang lebih tinggi boleh ditentukan untuknya. Namun, kedua-dua situasi ini bukanlah kenaikan tahunan automatik, tetapi ia merupakan akad baharu dengan kadar upah baharu yang meningkat daripada kadar sebelumnya melalui persetujuan bersama.
Adapun kenaikan upah tahunan yang terdapat dalam sistem pemerintahan hari ini adalah bersumber daripada sistem kapitalisme, dan ia merupakan suatu bentuk penipuan. Mereka menetapkan gred seseorang pegawai berdasarkan kadar upah yang sepatutnya diterimanya, namun diberikan dengan kadar yang lebih rendah. Kemudian upah itu dinaikkan setiap tahun, dan selepas beberapa tahun barulah dia mencapai kadar gaji penuh bagi gred tersebut, iaitu kadar yang sepatutnya diterimanya sejak mula bekerja. Namun begitu, ia tetap dianggap sebagai kenaikan tahunan.
Dalam Islam, seorang pekerja diberikan keseluruhan kadar upah sebenar menurut pasaran sejak hari pertama dia bekerja, tanpa sebarang pengurangan. Dengan kata lain, kadar gaji tertinggi bagi grednya diberikan sejak awal, maka tidak wujud konsep kenaikan gaji tahunan.
Jika terdapat peningkatan gaji bagi pegawai kerajaan, ia bukanlah kenaikan tahunan, tetapi akad ijarah baharu dengan kadar baharu, bukan penyambungan gaji lama yang dinaikkan secara berkala.
Demikian juga, pekerja tidak boleh diberikan kenaikan upah yang telah ditetapkan sepanjang tempoh akad ijarah, sama ada kerana tempoh bekerja semakin lama atau kerana sebab lain. Mereka hanya berhak menerima kadar upah yang telah disebutkan sejak awal.
Namun demikian, mereka dibenarkan untuk berunding sebelum tamat tempoh kontrak mengenai kadar upah baharu yang lebih tinggi daripada kadar semasa kerana sebab-sebab yang baru terjadi. Sebab ini boleh berupa perubahan kadar upah sepadan (ajr al-mithl) di pasaran bagi kumpulan pekerja tersebut, peningkatan tahap kemahiran mereka, atau faktor-faktor lain. Prosesnya berjalan sama sebagaimana hal yang berlaku kepada pegawai kerajaan kerana semuanya adalah pekerja.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam #Upah #Gaji #SumberTenaga

