Site icon MuslimahHTM News

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 36/46)

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 36/46)

 

Penulis: Abdurrahman al-Maliki

 

(Sambungan dari Bahagian 35/46)

 

Upah merupakan imbalan atas manfaat atau perkhidmatan, manakala harga pula merupakan imbalan atas barang. Sebagaimana harga barang ditentukan melalui penilaian pasaran secara semula jadi, demikian juga upah ditentukan oleh pasaran tenaga kerja melalui pasar tenaga kerja.

 

Hak-hak yang diberikan oleh sistem kapitalis kepada pekerja hanyalah berbentuk tampal sulam. Dalam Islam, hal berkaitan kebebasan berhimpun sememangnya telah dibenarkan kepada semua rakyat, sama ada mereka pekerja ataupun bukan pekerja.

 

Namun berkenaan penubuhan kesatuan pekerja, Islam tidak mengiktirafnya. Ini kerana urusan menjaga dan mengurus hal ehwal masyarakat merupakan tanggungjawab negara secara eksklusif. Tiada sesiapa selain imam (ketua negara) yang berhak mengurus urusan tersebut sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya. Kesatuan pekerja secara hakikatnya berfungsi mengurus urusan ahlinya, sedangkan kuasa itu tidak diberikan dalam sistem pemerintahan Islam.

 

Mengenai hak untuk mogok pula, akad ijarah (kontrak kerja) ialah akad yang mengikat dan bukan akad yang boleh dibatalkan sesuka hati. Maka tidak ada hak bagi mana-mana pihak untuk membatalkan akad. Pekerja wajib melaksanakan kerja yang telah dipersetujui. Jika dia enggan melaksanakan kerja tersebut, maka dia tidak berhak menerima upah. Justeru, mogok tidak dianggap sebagai hak dalam Islam.

 

Adapun berkenaan pencen, gratuiti dan pampasan, semua itu hanyalah tampalan sistem kapitalisme bagi menutup kelemahan dan ketidakadilannya. Dalam Islam, sesiapa yang tidak lagi mampu bekerja berhak mendapat jaminan keperluan hidup daripada negara. Oleh itu, tidak wujud keperluan kepada skim pencen, gratuiti atau pampasan.

 

Pemenuhan keperluan asas bagi mereka yang tidak mampu adalah tanggungjawab negara, bukan majikan, kerana ia termasuk dalam urusan pemeliharaan rakyat. Begitu juga kemudahan lain seperti jaminan kesihatan bagi diri mereka dan keluarga mereka, pendidikan anak-anak dan pelbagai bentuk jaminan yang lain, semuanya berada di bawah tanggungjawab negara, bukan majikan. Perkara-perkara tersebut tidak termasuk dalam kontrak kerja (ijarah) antara majikan dan pekerja.

 

Jika seseorang kehilangan pekerjaan, nafkah serta keperluannya tetap menjadi kewajipan negara. Negara wajib menyediakan pekerjaan bagi mereka. Jika negara tidak mampu menyediakan pekerjaan, maka mereka secara hukum dianggap tergolong dalam kategori individu yang tidak berupaya mencari nafkah. Dalam keadaan itu, kewajipan memberi nafkah kepada mereka hendaklah dilaksanakan oleh negara.

 

Demikianlah keseluruhan isu yang dibahaskan dalam konteks pekerja menurut sistem kapitalisme, iaitu masalah-masalah yang berlaku hari ini dalam kilang, industri dan pasaran buruh hakikatnya tidak relevan dalam perbahasan pekerja (ajir) dalam Islam. Ini kerana keadaan tersebut tidak mungkin berlaku di bawah sistem Islam disebabkan berbezanya asas penentuan upah, berbezanya pihak yang bertanggungjawab menjamin kebajikan fakir miskin dan mereka yang tidak berupaya, serta berbezanya pihak yang wajib menyediakan pekerjaan bagi mereka yang tidak memiliki pekerjaan.

 

Selain itu, konsep negara dalam Islam juga berbeza dengan sistem demokrasi. Dalam Islam, negara merupakan satu entiti tunggal yang secara langsung mengurus seluruh urusan penjagaan rakyat. Sebaliknya dalam demokrasi, urusan tersebut dipecahkan kepada pelbagai institusi dan badan pelaksana, di bawah penyeliaan sebuah institusi pusat yang dinamakan kerajaan.

 

Inilah sumber keempat dalam perbincangan mengenai sumber ekonomi, iaitu tenaga atau usaha manusia, lebih tepat lagi, para pekerja (ajir).

 

Daripada garis-garis besar ini dapat difahami bahawa syarak membenarkan akad ijarah (kontrak kerja), dan membenarkan kedua-dua pihak yang berakad meletakkan syarat-syarat yang dipersetujui bersama berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang mereka tetapkan.” [HR Al-Bukhari].

 

Syarak juga menetapkan bahawa kadar upah ditentukan berdasarkan manfaat usaha (khidmat/tenaga) yang diberikan. Sekiranya berlaku perselisihan mengenai kadar upah, maka pasaran umum manfaat tenaga kerja menjadi penentu. Kedua-duanya hendaklah tunduk (terikat) kepada harga yang ditentukan oleh pasaran tersebut menurut penilaian para pakar.

 

Dengan prinsip ini, perselisihan berkaitan akad ijarah dapat dicegah, dan kedua-dua pihak; majikan serta pekerja, dapat bekerja dan meningkatkan produktiviti tanpa sekatan yang menekan mana-mana pihak.

 

 

Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.

 

#PolitikEkonomiIslam #PengurusanBuruh #HakPekerja #SumberEkonomi #SumberManusia

Exit mobile version