[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 37/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari bahagian 36/46)
Kedua: Jaminan Keperluan Asas
Jaminan keperluan asas dalam Islam sama sekali tidak menyamai jaminan yang diwujudkan dalam sistem kapitalisme melalui pendekatan tampal-sulam seperti jaminan sosial dan keadilan sosial. Ia juga tidak serupa dengan konsep jaminan keperluan asas dalam sistem sosialisme yang sedang dipropagandakan di negara-negara Islam hari ini, iaitu sosialisme negara. Ia juga berbeza sepenuhnya daripada sosialisme sejati, termasuk sosialisme Marxis.
Perbezaan ini timbul kerana dalam Islam, jaminan keperluan asas merupakan asas terpenting dalam politik ekonomi. Pencapaian jaminan ini pula menjadi asas kepada tujuan kedua politik ekonomi Islam, iaitu memastikan setiap individu dapat memenuhi keperluan pelengkap (sekunder/tersier) mereka.
Politik ekonomi Islam menetapkan bahawa keperluan asas seluruh rakyat, seorang demi seorang mesti dipenuhi secara menyeluruh. Selain itu, Islam turut membantu setiap individu untuk memenuhi keperluan pelengkap mereka pada kadar maksimum berdasarkan kemampuan mereka. Justeru, jaminan keperluan asas adalah teras utama dalam politik ekonomi Islam.
Sebaliknya, dalam sistem kapitalisme, asas yang dijadikan keutamaan adalah peningkatan pendapatan negara. Hanya setelah munculnya kerosakan dan kezaliman akibat penerapan sistem tersebut, sebahagian peraturan diperkenalkan untuk memberi hak kepada pekerja, penjawat awam, serta golongan fakir miskin. Tujuannya bukan untuk memastikan hak mereka dipenuhi, tetapi sekadar mengurangkan kadar kezaliman dan menutup kelemahan sistem tersebut.
Maka jelas, jaminan dalam kapitalisme bukanlah dasar utama sistem itu. Ia hanyalah peraturan tambahan yang diperkenalkan kemudian untuk menampal kerosakan yang timbul daripada sistem tersebut.
Berbeza halnya dengan sosialisme negara, kerana jaminan dalam sistem tersebut hanyalah sebagai usaha menangani masalah yang timbul akibat kerosakan sistem kapitalis dalam aspek pemilikan, kadar upah pekerja serta penguasaan keuntungan oleh golongan kapitalis. Oleh itu, ia bukan asas kepada sistem berkenaan, sebaliknya hanya merupakan ketetapan tambahan yang diwujudkan kemudian, itu pun jika bentuk sosialisme seperti ini mampu dilaksanakan.
Berbeza juga dengan sosialisme sejati, termasuk sosialisme Marxis, kerana sistem ini tidak menjadikan jaminan keperluan asas bagi setiap individu sebagai tujuannya. Fokusnya hanyalah untuk mewujudkan kesamarataan dalam pemilikan, tanpa mengambilkira sama ada kesamarataan tersebut benar-benar menjamin pemenuhan keperluan asas atau tidak. Dengan kata lain, sistem ini melarang pemilikan alat produksi, pada masa yang sama, juga tidak menyediakan jaminan keperluan asas bagi setiap individu.
Jaminan Sosial Dalam Sistem Kapitalisme
Untuk memahami secara jelas perbezaan antara jaminan keperluan asas dalam Islam dengan sistem lain yang cuba mencapai tujuan yang sama, seseorang perlu meneliti kembali hukum-hukum yang terdapat dalam setiap sistem tersebut berkenaan jaminan ini.
Dalam sistem kapitalisme, negara memperkenalkan konsep jaminan sosial dan keadilan sosial, yang kemudian dizahirkan melalui pembentukan skim jaminan sosial. Skim ini memberi perhatian hanya kepada dua kategori rakyat di bawah pemerintahannya:
Pertama, para pekerja yang menerima upah termasuk pegawai kerajaan, pekerja institusi awam, pekerja tetap kilang, bengkel dan pengendali mesin pertanian. Sebahagian pandangan turut memasukkan pekerja ladang secara umum, namun sebahagian pandangan lain hanya memasukkan pekerja ladang yang menggunakan mesin sahaja. Pekerja kontrak binaan, buruh pelabuhan (stevedores), dan pekerja sementara lazimnya dikecualikan dari skim tersebut. Maka pekerja yang layak menerima manfaat jaminan sosial dalam kategori ini adalah mereka yang bekerja dengan pihak lain dan menerima upah.
Kedua, golongan fakir miskin.
Hanya dua golongan inilah yang termasuk dalam skim jaminan sosial, dan negara memberikan perhatian kepada mereka bagi membantu keperluan hidup mereka. Adapun selain daripada dua golongan ini dalam kalangan rakyat, mereka tidak berhak untuk mendapat jaminan tersebut. Bentuk perhatian negara terhadap golongan pekerja dalam sistem ini diberikan melalui pampasan (compensation) dan pencen usia tua.
Jika seorang pekerja mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas, contohnya kecederaan pada lengan, kaki atau mana-mana anggota tubuh sehingga dia tidak lagi mampu menjalankan pekerjaannya dengan sempurna atau hanya mampu bekerja sebahagian sahaja, maka dia akan diberikan rawatan percuma sehingga pulih, dan diberikan pampasan atas kecederaannya.
Jika kecederaanya itu menyebabkan dia langsung tidak mampu bekerja, maka dia diberikan bantuan namun ia tidak sebanding dengan kadar upah hariannya, malah lebih rendah, mungkin sekitar 80% daripada kadar upah yang diperolehinya, sehinggalah dia sembuh. Sekiranya, ketidakupayaan itu bersifat kekal, dia akan menerima pampasan bulanan yang juga tidak menyamai gaji asalnya; yang mana kadarnya mungkin sekitar 60% hingga 70% daripada gaji bulanannya. Pampasan tersebut diberikan sehingga dia mencapai usia persaraan, iaitu 55, 60 atau 65 tahun mengikut ketetapan undang-undang. Demikianlah ketentuan dalam kes kecederaan pekerja.
Adapun jika pekerja jatuh sakit, dia akan menerima rawatan percuma dan tetap dibayar upah sepanjang tempoh sakit. Selain itu, pekerja diberikan satu atau dua hari cuti rehat setiap minggu, cuti perayaan, serta cuti tahunan; dan bagi semua hari ini, dia tetap menerima upah penuh. Sekiranya pekerja meninggal dunia ketika sedang bekerja, maka warisnya diberikan pampasan tertentu mengikut jumlah tahun perkhidmatannya dalam jabatan, institusi atau kilang tersebut. Demikianlah mengenai aspek pampasan.
Adapun pencen usia tua (pencen persaraan) diberikan kepada sesiapa yang mencapai umur persaraan ketika dia masih berada dalam perkhidmatan, sama ada pada usia 55, 60 atau 65 tahun, bergantung kepada undang-undang pencen yang ditetapkan.
Sesiapa sahaja yang mencapai umur persaraan ketika masih dalam perkhidmatan akan diberikan sama ada gratuiti berupa bayaran sekali gus dengan jumlah tertentu berdasarkan tempoh perkhidmatannya, atau pencen bulanan yang ditentukan mengikut bilangan tahun perkhidmatan. Nilai pencen ini hampir tidak pernah menyamai gaji bulanan asalnya; malah dalam keadaan terbaik sekalipun, jumlahnya lazimnya tidak melebihi separuh daripada gaji bulanannya semasa bekerja. Pembayaran pencen tersebut akan diteruskan sehingga penerima meninggal dunia.
Jika seseorang diberhentikan sebelum mencapai usia persaraan, dia akan menerima saguhati dalam bentuk sejumlah wang tertentu, mengikut bilangan tahun perkhidmatannya.
Di sesetengah negara, pemberhentian pekerja boleh mencetuskan krisis yang menjejaskan kilang-kilang dan bahkan kestabilan negara, seperti yang pernah berlaku di Amerika Syarikat. Oleh itu, pekerja yang diberhentikan dan menjadi penganggur akan diberikan bantuan tertentu. Namun, kadar bantuan tersebut tidak semestinya menyamai upah harian asal mereka; ia boleh lebih tinggi atau lebih rendah, bergantung kepada tahap ancaman sosial dan ekonomi yang mungkin ditimbulkan oleh pengangguran terhadap industri dan negara. Demikianlah secara ringkas bentuk jaminan sosial yang diberikan kepada para pegawai dan pekerja.
Namun hakikatnya, pihak yang memberi jaminan sosial ini bukanlah negara, tetapi majikan yang menggaji mereka. Jika kerajaan menjadi pihak majikan, maka kerajaanlah yang membayar jaminan tersebut. Tetapi jika seseorang bekerja dengan institusi awam, syarikat, kilang, atau sektor swasta, maka pihak tersebutlah yang menanggung pembayaran jaminan itu, bukan negara.
Peranan negara terhadap mereka hanyalah melalui penggubalan undang-undang untuk menjamin kewujudan skim jaminan ini. Adapun pembayaran sebenar datang daripada pihak majikan dan hanya pekerja kerajaan sahajalah yang jaminannya dibayar oleh negara.
Berhubung sumber kewangan skim ini, kerajaan akan memotong sebahagian daripada upah pekerja sejumlah 5% atau 10%, kemudian menambah jumlah sumbangan yang setara dengannya. Dana tersebut kemudiannya dilaburkan melalui instrumen riba, dan daripada hasil riba itulah dibayar pampasan, bantuan serta pencen kepada para pekerja.
Bagi pegawai kerajaan, pencen mereka dibayar terus daripada perbendaharaan negara. Manakala bagi institusi-institusi lain, kadar tertentu daripada gaji pekerja; 3%, 5%, 10% atau sekitar kadar tersebut dipotong, dan pihak institusi akan menyumbang jumlah yang sepadan dengannya. Dana yang terkumpul ini kemudian dilaburkan melalui instrumen berasaskan riba, disertai bantuan atau sumbangan lain yang dikumpulkan untuk para pekerja. Kadangkala, negara turut menyumbang sedikit kepada dana tersebut.
Daripada wang yang terkumpul inilah skim jaminan sosial dibayar. Hakikatnya, jaminan tersebut datang daripada sumbangan orang ramai dan daripada gaji pekerja itu sendiri. Majikan pula tidak memberi apa-apa selain sumbangan yang sama dengan potongan gaji pekerja. Baki dana yang digunakan datang daripada hasil pelaburan yang berasaskan riba.
Maka sumber kewangan skim ini sebenarnya terdiri daripada hasil pelaburan dana tersebut, sumbangan masyarakat, dan kadangkala sedikit bantuan daripada negara. Demikianlah bentuk jaminan yang diberikan kepada para pekerja.
Berhubung golongan fakir miskin pula, dalam sistem kapitalisme perhatian terhadap mereka bukanlah dalam bentuk pemberian wang sara hidup, dan bukan juga bekalan makanan, pakaian atau tempat tinggal. Perkara-perkara ini langsung tidak termasuk dalam struktur asas sistem kapitalisme. Sebaliknya, jaminan yang diberikan kepada golongan fakir miskin hanyalah perkhidmatan kesihatan percuma dan pendidikan percuma. Negara membuka klinik serta hospital untuk merawat golongan fakir secara percuma, dan menyediakan pendidikan percuma di sekolah bagi kanak-kanak miskin.
Tambahan lagi, bantuan turut diberikan kepada kanak-kanak miskin, para ibu miskin yang menjaga anak-anak, warga tua, dan golongan fakir yang memiliki kecacatan. Bantuan ini lazimnya berupa makanan dan pakaian dalam kadar tertentu sebagai sedekah, namun ia tidak memadai untuk memenuhi keperluan mereka secara menyeluruh. Mereka hanya menerima pakej makanan, susu, dan sedikit pakaian pada musim sejuk.
Inilah gambaran umum tentang jaminan keperluan asas dalam sistem kapitalisme, dan perkara yang sama berlaku dalam sistem sosialisme negara. Hakikatnya, sosialisme negara hanyalah kapitalisme yang diberi nama “sosialisme”. Ini kerana sosialisme negara memberikan jaminan yang sama seperti kapitalisme, hanya ditambah dengan beberapa langkah lain seperti memberikan pekerja sebahagian pemilikan modal, menetapkan had minimum upah, menghadkan kadar faedah dan sewaan, mengehadkan pemilikan dalam banyak sektor, serta menasionalisasikan beberapa kemudahan awam.
Oleh itu, cara mereka menjamin keperluan asas tetaplah cara kapitalis, cuma ditampal dengan beberapa peraturan tambahan agar kelihatan berbeza.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #JaminanKeperluanAsas #Kapitalisme #Sosialisme

