Mengapa Hizbut Tahrir Diperangi?
Oleh: Ustaz Haitham Al-Rajhi – Wilayah Yaman
Tidak menghairankan bahawa sebuah parti (hizb) yang tidak mengiktiraf peraturan sistem antarabangsa sedia ada, tidak meminta kebenaran daripada rejim pemerintah untuk menyebarkan ideologinya, dan menolak untuk memperoleh legitimasi daripada perlembagaan buatan manusia atau pengiktirafan politik, akan menjadi sasaran. Sejak penubuhannya, Hizbut Tahrir tidak terlibat dalam konflik separa dengan mana-mana rejim tertentu, sebaliknya melancarkan perjuangan radikal terhadap kerangka pemikiran dan politik yang menjadi asas kepada rejim-rejim tersebut. Oleh itu, Hizb telah menjadi sasaran yang lebih mendalam dan lebih agresif berbanding parti-parti lain.
Rejim-rejim yang wujud di negara-negara kita mensyaratkan bahawa sebarang aktiviti politik atau dakwah mesti mendapat kebenaran dan kelulusan mereka. Kebenaran ini bukan sekadar prosedur pentadbiran, tetapi merupakan kontrak penundukan intelektual dan politik. Ia menuntut pengiktirafan terhadap sempadan nasional yang dilakar oleh penjajah antara wilayah-wilayah umat Islam setelah Khilafah dimansuhkan, pengakuan terhadap legitimasi negara-bangsa (nation-state), serta penerimaan sistem demokrasi sebagai asas pemerintahan dan perundangan. Syarat-syarat ini bukan sekadar formaliti, kerana sesiapa yang menerimanya secara tidak langsung mengakui bahawa kedaulatan berada di tangan manusia, bukan pada Syariah Islam, bahawa umat telah dipecahbelahkan secara sah dari sudut politik, dan bahawa apa yang dipaksakan oleh penjajah telah menjadi realiti yang tidak boleh diubah.
Oleh itu, Hizbut Tahrir menolak prinsip memohon kebenaran atau mendapatkan kelulusan sejak awal lagi, kerana ia meyakini bahawa dakwah kepada Islam bukanlah suatu pemberian daripada pemerintah, dan bukan kebenaran daripada kementerian, tetapi merupakan kewajipan syarie daripada Allah SWT. Firman Allah:
[ادْعُ إِلِىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ]
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik.” (Surah An-Nahl: 125)
Dan firman-Nya:
[وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ]
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali ‘Imran: 104)
Dan firman Allah SWT:
[مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ]
“(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telah pun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.” (Surah Al-Jumu‘ah: 5)
Maka bagaimana mungkin seseorang yang memikul risalah ini diwajibkan untuk meminta kebenaran daripada mereka yang sistemnya berasaskan penggantungan terhadap hukum Syariah Allah SWT?
Tambahan pula, intipati konflik ini bukanlah tentang parti (Hizb) tertentu semata-mata, tetapi terhadap ideologi yang dibawanya. Hizbut Tahrir secara jelas menyeru kepada kesatuan umat Islam, menolak nasionalisme dan patriotisme, yang dianggapnya sebagai pemikiran asing yang telah memecah-belahkan umat Islam dan menukar mereka menjadi kelompok-kelompok yang saling bermusuhan demi kepentingan pihak lain. Dakwah inilah yang paling merisaukan kuasa-kuasa penjajah, kerana penyatuan ummah bermaksud runtuhnya alat-alat kawalan serta robohnya sistem pengaruh politik, ekonomi dan ketenteraan yang dibina atas perpecahan yang keji ini.
Memandangkan kuasa penjajah hari ini tidak lagi memerintah kebanyakan negara Islam secara langsung, tetapi melalui rejim-rejim nasionalis tempatan, maka konfrontasi terhadap Hizbut Tahrir kebanyakannya dilakukan oleh rejim-rejim ini. Hizb ditindas, diharamkan, ahlinya dianiaya, dan tuduhan-tuduhan palsu seperti “ekstremisme” dan “keganasan” direka-reka terhadap mereka — bukan kerana Hizb terlibat dalam keganasan atau tindakan bersenjata, tetapi kerana ia membongkar pengkhianatan rejim-rejim ini, mendedahkan hubungan mereka dengan kuasa penjajah, dan melucutkan legitimasi mereka untuk mewakili Islam di mata rakyat.
Bahaya yang ditimbulkan Hizbut Tahrir, menurut pandangan kuasa penjajah dan pemerintah boneka mereka, bukan terletak pada senjata atau ancaman ketenteraan, tetapi pada projek intelektualnya yang mendalam, yang meruntuhkan asas-asas negara sekular moden di dunia Islam. Hizb tidak menyeru kepada pembaharuan separa atau sekadar pertukaran wajah kepimpinan, tetapi berusaha meruntuhkan keseluruhan sistem yang dibina atas hukum bukan Islam dan diperintah dengan selain Syariah, serta membina sebuah sistem yang kedaulatan dan perundangannya bersumberkan wahyu Ilahi, bukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau kedutaan asing.
Oleh itu, memerangi Hizbut Tahrir bukanlah reaksi terhadap tindakan di lapangan, tetapi sebaliknya langkah pencegahan awal terhadap satu idea yang, jika dibiarkan berkembang, akan menghapuskan sebarang justifikasi bagi rejim-rejim sedia ada untuk terus berkuasa. Idea bahawa kedaulatan adalah milik Allah, bahawa ummah itu satu, bahawa penjajahan adalah musuh, dan bahawa para pemerintah hanyalah alat penjajah — adalah idea yang tidak boleh dibendung atau dijinakkan, maka ia tidak dibenarkan beroperasi sama sekali.
Ringkasnya, Hizbut Tahrir diperangi bukan kerana ia menentang satu rejim tertentu, tetapi kerana ia menolak semua sistem ciptaan manusia; bukan kerana ia menuntut keistimewaan, tetapi kerana ia enggan mengiktiraf legitimasi sistem sedia ada; bukan kerana ia menyeru kepada kekacauan, tetapi kerana ia menyeru kepada perubahan radikal yang mentakrif semula politik, kuasa dan legitimasi dari asasnya. Maka jelaslah bahawa pertempuran terhadap Hizbut Tahrir bukanlah peperangan keselamatan atau undang-undang, tetapi peperangan intelektual dan peradaban.
Sengitnya serangan terhadap Hizb tidak akan menghapuskannya, tidak akan menakutkan ahlinya, dan tidak akan melemahkan keazaman mereka. Sebaliknya, ia mendedahkan ketakutan musuh-musuhnya terhadap idea besar yang dibawanya dan negara yang ingin ditegakkannya — yang akan mengubah perjalanan sejarah, sebagaimana negara Islam pertama yang diasaskan oleh Rasulullah SAW dahulu. Ia adalah Khilafah Rasyidah yang Kedua, di atas Manhaj Kenabian. Inilah sebabnya seluruh dunia berdiri menentang Hizbut Tahrir dan memeranginya. Namun kemenangan (nasr) adalah sekutunya, dengan izin Allah SWT, sebagai janji daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT:
[وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُم فِي الأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ]
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” (Surah An-Nur: 55)
Dan firman Allah SWT:
[إِنَّا لَنَنصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الأَشْهَادُ]
“Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman – dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat).” (Surah Ghafir: 51)
Sumber: Akhbar Al-Rayah – Edisi 584 – 28/01/2026
https://www.alraiah.net/index.php/political-analysis/item/10095-editorial-why-is-hizb-ut-tahrir-being-fought
#PartiPolitikIslam #PolitikIslam #IslamKaffah #IdeologiIslam #Khilafah

