Site icon MuslimahHTM News

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 43/46)

[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 43/46)

 

Penulis: Abdurrahman al-Maliki

 

(Sambungan dari Bahagian 42/46)

 

Disebutkan dalam al-Qāmūs al-Muḥīṭ: ‘Al-ḍiyā‘ juga bermaksud al-‘iyal (keluarga atau tanggungan).’ Al-Khiṭābī pula berkata dalam syarah hadis ini mengenai al-ḍiyā‘: ‘Ia merupakan sifat bagi orang yang ditinggalkan oleh si mati dalam bentuk kata masdar, iaitu seseorang yang meninggalkan ahli keluarga dalam keadaan serba kekurangan, iaitu mereka tidak mempunyai apa-apa.’

 

Maka ini menjadi dalil bahawa nafkah adalah wajib ke atas negara. Kewajipan nafkah ini tidak sama seperti kewajipan perbelanjaan negara yang lain, malah perbelanjaan untuk nafkah hendaklah didahulukan daripada segala perbelanjaan yang lain. Nafkah juga merupakan hak yang wajib ke atas Baitulmal sama ada dalam keadaan terdapat harta ataupun tidak. Jika terdapat harta di dalam Baitulmal, maka ia hendaklah dibelanjakan untuk tujuan nafkah.

 

Sekiranya Baitulmal tidak mempunyai harta, maka wajib ke atas negara untuk mengenakan cukai (ḍarībah) ke atas kaum Muslimin, memungutnya daripada mereka secara paksaan seperti cukai-cukai (dharibah) lain, lalu membelanjakannya bagi tujuan nafkah. Ini kerana nafkah termasuk perkara yang diwajibkan ke atas Baitulmal dan juga diwajibkan ke atas kaum Muslimin.

 

Adapun kewajipan nafkah ke atas Baitulmal adalah jelas berdasarkan dua hadis yang telah disebutkan sebelum ini. Manakala kewajipannya ke atas kaum Muslimin pula berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Mana-mana penduduk suatu kawasan yang pada waktu pagi terdapat dalam kalangan mereka seseorang yang kelaparan, maka terlepaslah daripada mereka jaminan Allah Taala.” [HR Ahmad].

 

Hadis ini berbentuk ikhbār (pemberitahuan) yang mengandungi ṭalab (tuntutan) dan disertai dengan celaan, maka ia merupakan tuntutan yang tegas. Oleh itu, hadis ini menunjukkan bahawa kewajipan tersebut merupakan satu kewajipan (fardu) ke atas kaum Muslimin.

 

Sehubungan itu, menjadi kewajipan ke atas khalifah, apabila tidak terdapat harta dalam Baitulmal untuk dibelanjakan kepada mereka yang berhak menerima nafkah, untuk mengenakan cukai (ḍarībah), memungutnya, dan seterusnya menunaikan pembayaran nafkah yang diwajibkan.

 

Jika dibimbangi berlaku kemudaratan akibat menunggu pelaksanaan dan pemungutan cukai (dharibah) sehingga memperoleh harta, maka negara wajib berhutang bagi menyediakan dana kepada mereka yang dikhuatiri akan ditimpa bahaya dan yang berhak menerima nafkah. Hal ini kerana menghilangkan kemudaratan adalah suatu kewajipan, berdasarkan riwayat daripada Ibnu ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak boleh menimbulkan mudarat dan tidak boleh membalas mudarat.” [HR Ibn Mājah dan Mālik]

 

Rasulullah SAW juga bersabda, “Sesiapa yang menimpakan mudarat, Allah SWT akan menimpakan mudarat ke atasnya; dan sesiapa yang menyusahkan orang lain, Allah SWT akan menyusahkan dirinya.” [HR Al-Bukhari, At-Tirmidzi, Abu Dawud, Ibnu Majah, dan Ahmad]

 

Kemudaratan terhadap mereka yang berhak menerima nafkah hanya dapat dihilangkan dengan menyegerakan pemberian nafkah kepada mereka. Oleh itu, negara wajib berhutang bagi mempercepatkan pembayaran nafkah tersebut. Hal ini menunjukkan sejauh mana syarak sangat menitikberatkan jaminan pelaksanaan nafkah oleh pihak negara.

 

Syarak meletakkan nafkah sebagai antara kewajipan perbelanjaan negara yang paling utama, serta mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya terhadap pelaksanaannya. Oleh itu, tidak boleh untuk mengatakan bahawa syarak hanya mewajibkan nafkah ke atas negara apabila kaum kerabat tidak mampu menunaikannya, dengan meletakkan beban nafkah sepenuhnya ke atas kaum kerabat terlebih dahulu.

 

Anggapan sedemikian akan memiskinkan kaum kerabat kerana mereka terpaksa membahagikan harta yang dimiliki antara diri mereka dan kerabat mereka, sekali gus menurunkan taraf hidup semua pihak. Hakikatnya, syarak tidak mewajibkan nafkah ke atas seseorang kerabat kecuali apabila dia memiliki lebihan harta selepas memenuhi keperluan asas serta keperluan sekunder dan tertiernya.

 

Adapun seseorang yang tidak memiliki lebihan harta walaupun setelah memenuhi keperluan sekunder dan tertiernya, maka tidak diwajibkan ke atasnya nafkah, kerana kewajipan nafkah hanya dikenakan ke atas orang yang berkemampuan. Yang dianggap berkemampuan menurut syarak ialah seseorang yang memiliki lebihan harta setelah memenuhi keperluan asas, keperluan sekunder dan tertiernya, sebagaimana yang lazim bagi orang sepertinya dalam masyarakat tempat dia hidup, termasuk makanan, pakaian, tempat tinggal, perkahwinan, pembantu, serta kenderaan yang digunakan bagi memenuhi keperluannya.

 

Imam al-Bukhārī meriwayatkan daripada Sa‘īd bin al-Musayyab bahawa beliau mendengar Abū Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda, “Sedekah yang terbaik ialah sedekah daripada orang yang berkecukupan.” [HR Al-Bukhari]

 

Ḥakīm bin Ḥizām RA juga meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Mulakan pemberian dengan orang yang berada di bawah tanggunganmu, dan sedekah yang terbaik ialah daripada orang yang berkecukupan.”
[HR Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa’i, Abu Dawud, Ahmad, dan Ad-Darimi]

 

Sedekah dan nafkah pada hakikatnya adalah sama, kerana sedekah diberikan tidak lain adalah bagi memenuhi keperluan nafkah. Yang dimaksudkan dengan al-ghinā’ di sini ialah kekayaan yang mencukupi keperluan seseorang sehingga dia tidak memerlukan orang lain, iaitu menurut kadar kecukupan yang diiktiraf dalam masyarakatnya bagi memenuhi semua keperluan asas serta keperluan sekunder dan tertier.

 

Allah SWT berfirman, “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya.” [TMQ At-Thalaq (65): 7]

 

Rasululah SAW bersabda, Jika salah seorang dari kamu fakir, mulailah (pemberian nafkah) dari dirinya sendiri. Jika masih ada lebihan, berikanlah kepada keluarganya. Jika masih ada lebihan, berikanlah kepada para kerabat dekatnya.” [HR An-Nasa’i, Abu Dawud, dan Ahmad]

 

Oleh itu, nafkah merupakan kewajipan yang lahir daripada lebihan kemampuan. Sesiapa yang memiliki lebihan keperluan, iaitu mampu memenuhi keperluan sekunder dan tertiernya serta masih mempunyai lebihan harta, maka perbelanjaan nafkah daripada lebihan tersebut tidak menjejaskan taraf hidupnya dan tidak menyebabkan sebarang penurunan padanya.

 

Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.

 

 

#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #JaminanKeperluanAsas #Penafkahan #Kapitalisme #Sosialisme

 

 

 

Exit mobile version