Cukai Kapitalisme Vs Cukai Syariah
Oleh: Muis
Di dalam sistem Kapitalisme, cukai telah menjadi sumber utama pendapatan negara, termasuk di negeri-negeri Muslim. Sebahagian pendapatan tersebut digunakan untuk tujuan penting seperti perkhidmatan awam. Sebahagiannya lagi digunakan untuk perbelanjaan pegawai dan pembayaran faedah hutang. Adapun pendapatan dari harta milik umum seperti minyak, gas, mineral dan lombong arang batu semakin terbatas, sebab pengelolaannya diserahkan kepada swasta.
Besarnya kebergantungan negara terhadap cukai tersebut menjadikan negara berusaha agar berbagai barang dan perkhidmatan dikenakan cukai. Bahkan tarifnya dapat dinaikkan jika dirasakan hal tersebut boleh meningkatkan pendapatan negara. Untuk mendorong peningkatan ketaatan pembayaran cukai oleh masyarakat, pemerintah juga tidak terkecuali menggunakan jargon-jargon agama.
Salah satu usaha pemerintah untuk meningkatkan penerimaan cukai tersebut adalah menganggap bahawa cukai itu sama dengan zakat. Kenyataan ini sememangnya sangat melulu, sebab cukai dalam sistem Kapitalisme sangat berbeza dengan zakat dalam berbagai aspek:
- Pertama, Dimensi Kerohanian: Cukai dalam sistem Kapitalisme bersifat sekular dan hanya sebagai kewajipan awam untuk menyokong kehidupan bermasyarakat serta bernegara, tanpa ada kaitan dengan nilai ibadah. Sebaliknya, zakat merupakan rukun Islam yang ketiga, memiliki dimensi kerohanian yang sangat kuat, ditunaikan sebagai ibadah yang bernilai pahala, dan jika ditinggalkan termasuk dosa besar.
- Kedua, Dasar Penetapan: Penetapan cukai dilakukan melalui mekanisme sistem politik demokratik antara pemerintah dan parlimen. Kerana itu jenis, objek dan jumlah cukai boleh berubah sesuai keperluan fiskal dan dinamik ekonomi. Sebaliknya, kewajipan zakat ditetapkan langsung oleh Allah SWT melalui al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW sehingga bersifat mutlak, kekal dan tidak dapat diubah suai.
- Ketiga, Cakupan dan Subjek: Cukai mencakup hampir seluruh aktiviti ekonomi masyarakat, mulai dari penghasilan peribadi, perdagangan, penggunaan, hingga pemilikan aset. Cukai juga berlaku untuk semua warganegara tanpa membezakan agama, suku atau keyakinan. Sebaliknya, zakat hanya dikenakan pada harta tertentu yang telah ditetapkan syariah (seperti emas, perak, hasil pertanian, ternakan, perdagangan, rikaz dan zakat fitrah) dan hanya diwajibkan kepada umat Muslim yang memenuhi syarat nishaab dan haul.
- Keempat, Jumlah: Jumlah cukai dalam sistem kapitalis bersifat berbeza-beza. Boleh progresif, berkadar atau regresif. Cukai dapat berubah-ubah bergantung pada dasar fiskal pemerintah. Bahkan di beberapa negara-negara maju cukai dapat mencapai 40–50% dari pendapatan. Sebaliknya, zakat memiliki tarif tetap yang tidak boleh diubah, seperti 2,5% untuk zakat mal, 5–10% untuk hasil pertanian tergantung pengairannya, dan 20% untuk rikaz. Dengan begitu zakat lebih pasti dan konsisten sepanjang zaman.
- Kelima, Pengagihan: Dana cukai sepenuhnya berada di bawah kuasa pemerintah dan penggunaannya bersifat fleksibel sesuai keutamaan polisi. Contohnya untuk membayar hutang, bunga, sosial atau pembangunan infrastruktur. Sebaliknya, zakat dikelola oleh amil rsmi yang ditunjuk Negara Islam. Pengagihannya sudah diatur secara ketat dalam al-Quran. Hanya untuk lapan golongan penerima (fakir, miskin, amil, muallaf, hamba, gharim, fî sabilillah, dan ibnu sabil). Tidak boleh dialihkan kepada pihak lain.
- Keenam, Hukuman: Pelanggaran kewajipan cukai dikenai hukuman pentadbiran mahupun jenayah seperti denda, bunga keterlambatan, penyitaan aset, hingga penjara. Kepatuhan wajib cukai lebih didorong oleh ketakutan pada hukum undang-undang. Sebaliknya, pelanggaran zakat, selain dikenakan hukuman oleh Negara Islam, ia juga memberi kesan pada hukuman ukhrawi berupa dosa besar dan ancaman azab Allah SWT. Dengan demikian kepatuhan membayar zakat lahir bukan hanya dari paksaan hukum, tetapi juga dari iman dan ketakwaan.[1]
Dharîbah dalam Islam
Sumber-sumber pendapatan dalam Negara Islam seluruhnya didasarkan pada dalil-dalil syariah, bukan berdasarkan hawa nafsu manusia seperti dalam sistem Kapitalisme. Beberapa sumber pendapatan Islam antara lain adalah fai, jizyah, kharâj dan ’usyr, serta harta milik umum. Di dalam literatur fikih Islam juga dikenali sebagai dharîbah, yang dimaksudkan dengan cukai, walaupun memiliki konsep yang berbeza dengan cukai yang berlaku di negara-negara kapitalis.
Istilah dharîbah memiliki makna yang sangat spesifik dalam sistem pemerintahan Islam. Dharîbah didefinisikan sebagai pungutan yang diwajibkan atas kaum Muslim ketika Baitul Mal tidak memiliki dana yang mencukupi untuk menampung keperluan dan pos-pos yang diwajibkan atas mereka.[2]
Idealnya, berbagai pendapatan asli baitul Mal seperti cukup untuk memenuhi berbagai kewajipan tersebut. Namun, seiring dengan meningkatkan pengeluaran negara, jika pendapatan negara tidak cukup, dan sumbangan kaum Muslim tidak cukup untuk memenuhi keperluan tersebut, maka kewajipan tersebut berpindah kepada kaum Muslim. Konsep ini menunjukkan bahawa dharîbah bukanlah sumber pendapatan utama negara, melainkan merupakan penyelesaian darurat yang digunakan untuk membiayai kewajipan-kewajipan yang tidak dapat ditinggalkan oleh negara.
Secara lebih terperinci, dharîbah merupakan harta yang dipungut dari kaum Muslim untuk membiayai berbagai pengeluaran yang wajib ditunaikan oleh negara, yang hakikatnya merupakan kewajipan kaum Muslim. Penerapan dharîbah memiliki keadaan-keadaan yang sangat ketat dan spesifik.
Dharîbah hanya boleh dipungut jika Baitul Mal dalam keadaan kekurangan dana untuk menutup pengeluaran wajib (nafaqaat waajibah) yang perlu segera dilaksanakan.
Pengeluaran wajib tersebut termasuklah: pelaksanaan jihad beserta perlengkapannya; pengeluaran untuk industri ketenteraan beserta seluruh sarana yang diperlukan, termasuk industri dan kilang-kilang, untuk membolehkan pengeluaran senjata yang diperlukan; pemeliharaan fakir, miskin dan ibnu sabil; pembayaran gaji untuk pasukan, pegawai negara, hakim, guru dan pihak mana saja yang memberikan khidmat pelayanan pada kemaslahatan kaum Muslim; pengeluaran untuk peristiwa darurat seperti kelaparan, banjir atau serangan musuh; serta pengeluaran untuk kepentingan umum yang bersifat darurat, seperti pembangunan jalan, sekolah, universiti, hospital, masjid, penyediaan air dan sejenisnya.
Dharîbah hanya boleh dikenakan kepada kaum Muslim yang tergolong mampu, iaitu mereka yang memiliki kelebihan harta setelah terpenuhi keperluan primer seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal; serta keperluan sekunder sesuai standard hidup layak di wilayahnya.
Dharîbah hanya boleh ditetapkan sebatas keperluan dan kecukupan, untuk menutupi kekurangan dalam pembiayaan yang wajib di atas. Tidak boleh dipertimbangkan dalam penetapan dharîbah tujuan untuk menekan pengumpulan kekayaan, mencegah kemewahan, atau menambah pendapatan Baitul Mal, seperti tujuan cukai dalam sistem kapitalisme dan sosialisme. Dharîbah dipungut hanya sebatas untuk mencukupi pembiayaan yang wajib tersebut. Pungutan yang lebih dari keperluan dianggap sebagai bentuk kezaliman. Negara tidak diperbolehkan memungut cukai tidak langsung dalam bentuk apa pun, baik berupa Cukai Pertambahan Nilai, cukai atas khidmat awam, mahupun pungutan lain yang serupa, kerana semuanya termasuk cukai yang dilarang.
Sebelum menarik cukai darurat (dharîbah) tersebut, negara boleh membuat kempen sumbangan sukarela ketika terjadinya keperluan negara yang mendesak tersebut. Pada masa Nabi SAW, ketika ada keperluan yang sangat mendesak, sebahagian orang bersedekah untuk menampung keperluan itu, sebagaimana yang terjadi pada Jaisy al-‘Usrah (Perang Tabuk). Jika sumbangan sukarela itu tidak mencukupi, barulah negara diperbolehkan mengenakan cukai darurat (dharîbah).[3]
Pungutan harta tersebut, sebagaimana halnya penarikan sumber pendapatan yang syarie lainnya, perlu dilakukan dengan penuh kebijaksanaan dan tidak menyulitkan rakyat. Diriwayatkan bahawa kepada Khalifah Umar ibn al-Khaththab didatangkan harta yang sangat banyak. Abu ‘Ubayd berkata, “Aku kira, beliau mengatakan: dari jizyah.” Lalu Khalifah Umar berkata, “Sesungguhnya aku menyangka kalian telah membinasakan manusia.” Mereka menjawab, “Tidak. Demi Allah, kami tidak mengambil kecuali dengan cara yang ringan dan bersih (tanpa memberatkan).” Khalifah Umar bertanya, “Tanpa cambuk dan tanpa ikatan (pemaksaan)?” Mereka menjawab, “Ya.” Khalifah Umar berkata, “Segala pujian milik Allah yang tidak menjadikan hal itu melalui tanganku dan tidak dalam masa kekuasaanku.”[4]
Dharîbah Menurut Ahli Fiqih
Imam al-Ghazali telah menyinggung prinsip-prinsip penarikan dharîbah di atas dengan menyatakan:
”Seandainya ada seorang imam (ketua negara) yang ditaati, yang memerlukan banyak tentera untuk menjaga perbatasan dan melindungi wilayah kekuasaan yang semakin luas dan keselamatan perlu diperluaskan, sementara Baitul Mal kosong dari harta, dan keperluan para tentera untuk mencukupi hidupnya semakin mendesak, namun mereka tidak mendapatkan dana, maka imam diperbolehkan untuk mengambil harta dari orang-orang kaya sesuai yang dia pandang cukup untuk memenuhi keperluan mendesak itu, sampai ada harta yang muncul di Baitul Mal. Kemudian, dia perlu memperhatikan pembahagian itu pada berbagai pos pengeluaran dan keperluan, agar tidak terjadi bahawa pemberian beban itu hanya kepada sebahagian orang saja sehingga menimbulkan kebencian di hati, permusuhan dan perpecahan. Hal itu perlu dilakukan sedikit saja, tidak berlebihan, agar tidak menimbulkan mudarat kepada mereka, dan tujuan (pemenuhan keperluan) dapat dicapai.”[5]
Redaksi yang hampir sama juga disampaikan oleh Asy-Syatibi. Beliau menambahkan keterangan bahawa jika dasar tersebut tidak diambil maka “kekuatan Imam (Khalifah) akan runtuh dan negeri-negeri kita akan menjadi sasaran kekuasaan orang kafir.”[6]
Dalam kitab Radd al-Muhtaar, Ibnu Abidin menegaskan bahawa pungutan yang ditetapkan oleh Imam (Khalifah) atau Sultan atas rakyat demi kepentingan umum termasuk kewajipan yang sah secara syarie, bahkan menyerupai status kharâj. Beliau mencontohkan beberapa kemaslahatan yang dapat dibiayai dengan cara ini seperti kos penjagaan jalan dari perompak, pemasangan penghadang dan pintu-pintu lorong, serta pungutan di Khawarizm untuk memperbaiki tebing Sungai Jayhun. Semua itu, menurut beliau, merupakan kewajipan yang tidak boleh ditolak, dan bukan bentuk kezaliman. Namun, Ibnu Abidin memberikan batasan penting bahawa kebolehan pungutan ini “perlu dibatasi pada keadaan ketika tidak terdapat dalam Baitul Mal harta yang mencukupi untuk tujuan tersebut.”[7]
Ibnu Hazm juga menegaskan bahawa Khalifah dapat menarik harta selain zakat kepada orang-orang kaya jika tidak terdapat harta kaum Muslim di Baitul Mail untuk mendanai santunan kepada fakir miskin, sebab hakikatnya kewajipan tersebut merupakan kewajipan kaum Muslimin. Dia berkata:
”Diwajibkan atas orang-orang kaya dari setiap negeri untuk menanggung fakir miskin di antara mereka. Jika zakat tidak mencukupi keperluan mereka, juga tidak ada dari harta kaum Muslim yang dapat memenuhi, maka penguasa wajib memaksa orang-orang kaya tersebut untuk menanggung itu, iaitu dengan mencukupkan mereka makanan asas yang tidak boleh ditinggalkan, pakaian untuk musim sejuk dan musim panas, tempat tinggal yang melindungi mereka dari hujan, panas, sinar matahari dan dari pandangan orang-orang yang lalu.”[8]
Senada dengan pendapat Ibnu Hazm di atas, Al-Qurthubi ketika mentafsirkan surah al-Baqarah ayat 177 menyebutkan: “Para ulama sepakat bahawa jika kaum Muslim ditimpa suatu keperluan mendesak setelah (mereka) menunaikan zakat, maka wajib memperuntukkan harta untuk memenuhi keperluan tersebut.”[9]
Walaupun demikian, Imam an-Nawawi memberikan batasan tegas bahawa penarikan cukai tersebut perlu dimulai dengan penggunaan kelebihan harta yang dimiliki pejabat negara. Ketika Az-Zhahir Baybars meminta fatwa Imam an-Nawawi tentang kebolehan memungut cukai untuk memerangi pasukan Tartar di Syam, beliau menjawab:
”Aku tahu bahawa dulu engkau adalah seorang hamba milik Amir Bunduqar dan engkau tidak memiliki harta. Kemudian Allah memberi kamu kurnia, menjadikan kamu seorang pemimpin. Aku juga mendengar bahawa engkau memiliki seribu hamba dengan perhiasan emas, dan seratus gundik. Masing-masing dengan perhiasannya. Jika semua itu telah engkau habiskan, hamba-hambamu hanya tinggal dengan pakaian dari bulu tanpa perhiasan, dan para gundikmu hanya dengan pakaian mereka tanpa perhiasan, barulah aku izinkan engkau mengambil harta dari rakyat.”[10]
Penerapan Islam secara Lengkap
Dari keterangan tersebut dapat disimpulkan bahawa dalam Negara Islam, dharîbah hanya berfungsi sebagai pelengkap dari sumber-sumber penerimaan belanjawan yang telah dibolehkan syariah, seperti fai’, kharaj, jizyah, pengelolaan harta milik umum, dan zakat. Karakteristik dharîbah ini sangat berbeza dengan konsep cukai dalam sistem Kapitalisme kerana memiliki batasan yang sangat ketat, baik dari segi syarat penerapan, jumlah pungutan, mahupun tujuan penggunaannya.
Penerapan ajaran Islam secara komprehensif, termasuk pengelolaan belanjawan dengan memasukkan zakat dan dharîbah, memerlukan negara yang menjadikan Islam sebagai landasan sistem pemerintahannya. Sistem pemerintahan yang disebut sebagai Imamah atau Khilafah Islam tidak hanya menerapkan Islam secara sempurna, tetapi juga berusaha menyatukan negeri-negeri Islam dalam satu kepimpinan. Penyatuan umat akan memberikan kesan signifikan terhadap pengagihan dan pengembangan potensi ekonomi. Hal ini tidak hanya memperbesarkan kekuatan ekonomi serta sumber-sumber pendapatan negara, tetapi juga memungkinkan pengagihan kekayaan yang lebih adil di antara negeri-negeri Muslim. Selain itu, pengelolaan kekayaan negara, termasuk sumber daya alam, sesuai dengan hukum-hukum syariah akan menghentikan aliran kekayaan ke negara-negara penjajah, serta menekan perilaku koruptif para elit kekuasaan. Dengan demikian, rakyat akan hidup sejahtera dan –yang paling utama–hidup mulia di bawah hukum-hukum Allah SWT, Tuhan yang Maha Adil dan Maha Bijaksana.
WalLâhu a’lam bi ash-shawâb.
Catatan kaki:
- Lihat lebih lanjut perbezaan zakat dan cukai, antara lain, Yûsuf al-Qaradhâwı̂, Fiqh al-Zakâh, 8th ed. (Beirut: Muʾassasat al-Risâlah, 1973), 993ff.
- Lihat lebih lanjut: Abd al-Qadı̂m Zallûm, Al-Amwāl fı̄ Dawlat al-Khilâfah, thabʿah muʿtamadah (Beirut: Dār al-Ummah, 2004), 122-130.
- Mûhammad ʾUthmân Shubayr. “Al-Zakâh wa-al-Ḍarẚ̂ib fı̂ al-Fiqh al-Islâmı̂.” Majallat al-Sharı̂ʿah wa-al-Dirâsât al-Islâmiyyah11, no. 29 (1996). https://doi.org/10.34120/jsis. v11i29.1201
- Abû ʿUbayd al-Qâsim ibn Sallâm,Kitâb al-Amwâl, Taḥqı̂q Khalı̂l Muḥammad Ḥarrâs (Bayrût: Dâr al-Fikr, t.t.), 54.
- Abû Hâmid Muhammad ibn Muḥammad al-Ghazâlı̂, Sĥifẚ̂al-Ghalı̂l, (Baghdad: Mathbâ-ʿah al-Irshâd, 1971), 236.
- Abû Ishâq Ibrâhı̂m ibn Musâ al-Lakhmı̂ al-Gharnathı̂ Al-Shâthibı̂, al-Iʿṭiṣâm, (Saudi Arabia: Dâr Ibn âffân, 1992), 2: 619.
- Ibn ʿÂbidı̂n al-Ĥanafı̂ al-Dimashqı̂,Ĥâshiyat Radd al-Muĥtâr ʿalâ al-Durr al-Muĥtâr: Sharĥ Tanwı̂r al-Abŝâr. 2nd ed. (Cairo: Sharikat Maktabat wa Matbâʿat Musthafâ al-Bâbı̂ al-Ĥalabı̂ wa-Awlâdih, 1966/1386 H), 2: 36–
- Ibn Hazm al-ʾAndalusı̂ al-Zâhirı̂,al-Muḥallâ bi-al-ʾĀthâr, tahqı̂q ʿAbd al-Ghaffâr Sulâymân al-Bandârı̂ (Bayrût: Dâr al-Kutub al-ʿIlmiyyah, 1988/1408 H), 4:281.
- Abû ʿAbd Allâh Muḥammad ibn ʾAhmad al-ʾAnshârı̂ al-Qurthubı̂,al-Jāmiʿ li-Aḥkām al-Qurʾān, 2nd ed. (Câiro: Dâr al-Kutub al-Mishrı̂yah, 1964/1384 H), 2:242.
- Jalâl al-Dı̂n al-Suyûthı̂, Husn al-Muĥâḍarah fı̂ Târı̂kh Miṣr wa-al-Qâhirah (Cairo: Dâr Iḥyẚ̂ al-Kutub al-ʿArabı̂yah, Îsâ al-Bâbı̂ al-Ĥalabı̂ wa-Shurakẚ̂uhu, 1967), 2: 105.
Sumber: Alwaie
#Iqtishadiyah #SistemEkonomiIslam #Dharibah #Cukai #Kapitalisme #PolitikEkonomiIslam

