[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 45/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari Bahagian 44/46)
Hal ini merupakan dalil bahawa syarak telah menjamin pemenuhan keperluan asas secara menyeluruh. Jaminan ini dilihat dari dua sudut: pertama, jaminan keperluan asas bagi setiap individu secara peribadi; dan kedua, jaminan keperluan asas bagi seluruh rakyat, yang mana syarak meletakkan tanggungjawab tersebut secara langsung ke atas negara untuk memastikan penyediaannya.
Ia berbeza daripada keperluan setiap individu, kerana keperluan setiap individu telah dijamin oleh syarak dengan mewajibkan nafkah secara mengikat ke atas kaum kerabat. Nafkah itu diambil daripada mereka sekiranya mereka enggan menunaikannya, bahkan dengan penegasan yang lebih kuat berbanding pemungutan hutang-hutang lain, kerana nafkah merupakan hutang yang paling utama untuk dilunaskan.
Setelah itu, syarak meletakkan tanggungjawab tersebut ke atas negara serta memberi kuasa kepada negara untuk mengenakan cukai (ḍarībah) ke atas kaum Muslimin bagi menjamin penunaian nafkah kepada golongan fakir.
Adapun dari sudut jaminan keperluan asas bagi seluruh rakyat, maka syarak meletakkan tanggungjawab tersebut secara langsung ke atas negara. Rasulullah SAW bersabda, “Imam (pemimpin) adalah penjaga, dan dia bertanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpinnya.”
[HR al-Bukhari dan Muslim]
Baginda menjadikan antara tanggungjawab kepimpinan itu ialah menyediakan keperluan asas bagi seluruh rakyat.
Keperluan asas tersebut ialah keselamatan, rawatan kesihatan dan pendidikan. Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang bangun pagi dalam keadaan aman di tempat tinggalnya, sihat tubuh badannya, dan memiliki bekalan makanan untuk hari itu, maka seolah-olah dunia telah dihimpunkan untuknya.” [HR al-Tirmidzi dan Ibn Mājah]
Dalam hadis ini, Baginda menyamakan keselamatan dan kesihatan dengan bekalan makanan harian, sekali gus menunjukkan bahawa keselamatan, kesihatan dan nafkah termasuk dalam keperluan asas menurut syarak.
Adapun pendidikan, ia juga tergolong sebagai keperluan asas. Hal ini berdasarkan riwayat al-Bukhari daripada Abu Musa bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Perumpamaan apa yang Allah utuskan aku dengannya berupa petunjuk dan ilmu adalah seperti hujan yang turun ke bumi. Maka sebahagian daripadanya adalah tanah yang subur, menerima air lalu menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dan rumput yang banyak. Sebahagian daripadanya pula adalah tanah keras yang menahan air, lalu Allah memberi manfaat kepada manusia dengannya; mereka minum, memberi minum (ternakan), dan bercucuk tanam. Dan sebahagian yang lain ialah tanah datar yang tidak menahan air dan tidak pula menumbuhkan tumbuh-tumbuhan. Demikianlah perumpamaan orang yang memahami agama Allah dan mendapat manfaat daripada apa yang Allah utuskan aku dengannya, lalu dia mengetahui dan mengajarkannya; dan perumpamaan orang yang tidak mengangkat kepalanya untuk itu serta tidak menerima petunjuk Allah yang aku diutuskan dengannya.” [HR al-Bukhari]
Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menyerupakan petunjuk dan ilmu dari segi penerimaan dan penolakan manusia terhadapnya dengan hujan, iaitu dari segi penerimaan bumi serta manfaat yang diperolehnya atau ketiadaannya. Oleh kerana hujan merupakan keperluan asas bagi manusia, maka demikian juga petunjuk dan ilmu. Ini menunjukkan bahawa ilmu termasuk dalam keperluan asas.
Hal ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW, “Antara tanda-tanda Kiamat ialah diangkatnya ilmu dan tersebarnya kejahilan,” [Riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi, Ibn Mājah dan Ahmad]. Dan dalam riwayat lain, “Antara tanda-tanda datangnya Hari Kiamat ialah berkurangnya ilmu dan bertambahnya kejahilan.” [HR al-Bukhari]
Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa hilangnya ilmu merupakan tanda keruntuhan kehidupan dunia, yang menegaskan bahawa ilmu adalah sesuatu yang bersifat darurat dan keperluan asas.
Meskipun hadis-hadis tersebut merujuk kepada ilmu-ilmu Islam, namun ilmu tersebut merupakan keperluan asas untuk mengenal agama. Oleh itu, ilmu-ilmu lain yang diperlukan bagi kehidupan manusia diqiyaskan kepadanya berdasarkan persamaan unsur keperluan (darurat) pada kedua-duanya.
Daripada keseluruhan perbahasan ini, jelaslah bahawa syarak telah menetapkan keselamatan, rawatan kesihatan dan pendidikan sebagai keperluan asas. Kewajipan negara untuk melaksanakan penyediaan keperluan asas ini pula jelas berdasarkan dalil-dalil yang telah diriwayatkan mengenainya.
Berkaitan keselamatan luar, iaitu pertahanan negara, kewajipannya jelas dan masyhur berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW dalam peperangan-peperangan Baginda serta ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan jihad.
Berkenaan keselamatan dalaman, kewajipan tersebut juga jelas berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW, ketetapan hukum-hukum hudud dan ta‘zīr terhadap pelaku pencerobohan ke atas manusia, serta sabda Baginda SAW, “Sesungguhnya darah kamu dan harta kamu adalah haram ke atas kamu (tidak boleh dicerobohi),” dan dalil-dalil lain seumpamanya.
Adapun dalam bidang pendidikan, telah berlaku ijmak para sahabat tentang pemberian nafkah kepada para guru pada kadar tertentu daripada Baitulmal sebagai upah bagi mereka. Diriwayatkan oleh Ibn Abī Shaybah melalui Ṣadaqah al-Dimashqī daripada al-Waḍī‘ah bin ‘Aṭā’ bahawa beliau berkata, “Di Madinah terdapat tiga orang guru yang mengajar kanak-kanak, dan ‘Umar bin al-Khaṭṭāb memberikan kepada setiap seorang daripada mereka nafkah sebanyak lima belas (dinar) setiap bulan.” [Ibn Abī Shaybah, al-Muṣannaf, IV/341; Ibn Ḥazm, al-Muḥallā, VIII/195]
Lebih daripada itu, bahkan sebelum itu lagi, Rasulullah SAW telah menjadikan tebusan bagi tawanan Perang Badar sebagai kewajipan mengajar sepuluh orang anak kaum Muslimin. Hal ini menunjukkan bahawa pendidikan merupakan tanggungjawab yang dipikul oleh negara.
Dalam hal perubatan pula, Rasulullah SAW memerintahkan agar manusia mendapatkan rawatan. Baginda bersabda, “Wahai hamba-hamba Allah, berubatlah kamu, kerana Allah tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan Dia juga menurunkan penawar atau ubatnya.”
[HR al-Tirmidzi, Abū Dāwūd, Ibn Mājah dan Ahmad]
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #JaminanKeperluanAsas #Penafkahan #Pendidikan #Kesihatan #Kapitalisme #Sosialisme

