Kepentingan Berfikir Tentang Perubahan
Selama bertahun-tahun, umat Islam telah melalui tempoh paling buruk dalam sejarahnya sejak kewujudannya; suatu tempoh di mana ia telah menderita, dan masih terus menderita, di bawah beban penghinaan, penaklukan, perpecahan dan kebergantungan, menjalani kehidupan yang sengsara dan pada asasnya tidak layak dengan kedudukannya sebagai `sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia’.
Umat hanya mempunyai dua pilihan, bukan tiga: sama ada terus melalui jalan menerima realiti yang ada dan terus menyerah diri, patuh dan tunduk; atau mengubah haluan dan memilih jalan untuk kembali kepada kegemilangan dan kehormatannya! Perlu diingatkan bahawa memilih untuk menerima realiti semasa, cuba menyesuaikan diri dengannya, dan mengasimilasikan diri ke dalamnya adalah satu pengisytiharan kematian perlahan-lahan bagi umat serta kesinambungan kejatuhan, kemerosotan dan kehancurannya daripada puncak tertinggi ke dasar paling hina!
Syeikh alim Taqiyuddin An-Nabhani rahimahullah, berkata dalam bukunya `Al-afkar’:
“Berfikir tentang perubahan adalah keperluan bagi kehidupan, kerana stagnasi hidup dan ketundukan kepada takdir adalah antara kejahatan terbesar yang menyebabkan sesuatu bangsa dan umat pupus dan lenyap seiring peredaran peristiwa dan zaman. Oleh itu, berfikir tentang perubahan adalah antara jenis pemikiran yang paling penting.”
Sesungguhnya umat telah melalui, untuk satu tempoh yang panjang, apa yang telah kita bincangkan: penyerahan diri, tenggelam dalam realiti, dan usaha untuk memperbaiki keadaan seadanya. Namun semua ini hanya memburukkan lagi tragedi, kehinaan dan kerendahannya, sehingga ia terumbang-ambing dipukul gelombang yang menghempaskannya berulang kali dari satu jurang ke jurang yang lain! Kemudian ia mula mencari jalan baharu, namun ia tidak mempertimbangkan dan tidak memilih laluan yang benar-benar membawanya kepada matlamat yang diinginkan, malah tidak menentukan objektif serta tujuan yang ingin dicapai. Maka ia gagal mencapai sebarang perubahan sebenar yang mampu membawa kebangkitannya.
Oleh itu, sebelum membuat sebarang pilihan, umat terlebih dahulu hendaklah sedar akan bahaya realisme, menerima status quo, dan cubaan untuk hidup bersama kemerosotan. Seperti yang disebutkan sebelum ini, ini bermaksud menandatangani sijil kematiannya sendiri dan menerima untuk terus berada di unit rawatan rapi, mati secara klinikal. Andai bukan kerana beberapa peralatan sokongan, ia sebenarnya telah lama “meninggal dunia”.
Menerima status quo, tunduk kepadanya, membiarkan minda menjadi beku dan lesu, tidak memikirkan jalan keluar, malah cuba menyatu dengan realiti dan menyesuaikan diri dengannya — semuanya ini tidak lain hanyalah pilihan golongan lemah yang melarikan diri dari medan pertempuran, menerima ketundukan dan mengambil posisi bertahan, bahkan lebih teruk lagi, berdamai dengan musuh dan merangkak kepadanya sedangkan musuh terus menyerang tanpa henti!! Dalam posisi ini, kekalahan sudah pasti tidak dapat dielakkan, dan pukulan kalah mati (K.O) hanyalah menunggu masa.
Jalan kedua, iaitu jalan konfrontasi, penuh dengan duri, jalan kegelisahan dan kebangkitan semula. Setelah menyedari betapa gentingnya keadaan umat, menjadi satu keperluan untuk berusaha menghentikan kemerosotan dan mencari jalan membangkitkan semula “gergasi” ini! Sesungguhnya, memang usaha ini telah dilakukan berulang kali, namun langkah awalnya bersifat tidak tersusun, kerana ia tidak berfikir dengan teliti sebelum meneruskan, dan pergerakannya juga tidak berasaskan landasan intelektual, penyelidikan dan pengetahuan yang kukuh. Ia seperti goyah, dan realiti tragis ini tetap tidak berubah! Hal ini seterusnya membawa kepada kemunculan kumpulan Islam tanpa ideologi yang jelas, gerakan seruan nasionalisme, malah revolusi Arab Spring. Walau bagaimanapun, disebabkan usaha untuk perubahan itu tidak lahir daripada ideologi yang mantap dan jelas serta kajian yang mendalam, dan kerana matlamat serta objektif tidak ditentukan dengan jelas, maka hasil yang dicari tidak tercapai dan tidak membawa kepada natijah yang diharapkan!
Kedua, apa yang mesti disedari oleh umat seterusnya, selepas kesedaran awalnya bahawa jalan penyerahan diri dan penerimaan status quo bermakna bunuh diri dan kehancuran pada akhirnya, ialah keperluan untuk berfikir secara mendalam tentang kebangkitan dan mengadopsi satu projek yang komprehensif, dan jelas, dengan penentuan matlamat serta objektif sebelum memulakannya. Ini penting agar ia tidak tersasar dari jalannya dan agar pergerakannya tidak seperti haiwan yang disembelih, terhuyung-hayang tanpa arah! Pemikiran yang mendalam dan tercerahkan membawa kepada kesimpulan bahawa satu-satunya projek yang mampu mengubah keadaan umat Islam hari ini dan mengembalikannya kepada kegemilangan serta puncak kekuatannya ialah projek Islam semata-mata. Walau bagaimanapun, yang dimaksudkan di sini bukanlah slogan kosong yang bersifat emosional akibat nostalgia terhadap masa lalu, tetapi satu projek yang lengkap dan bersepadu yang tidak mengabaikan sebarang perincian — berasaskan landasan intelektual yang kukuh, yang daripadanya akan terpancarlah penyelesaian, konsep dan keyakinan. Sejarah gemilang kita membuktikan bahawa inilah sebab kepada kemakmuran, kemajuan dan kebangkitan kita pada masa lalu, dan inilah juga yang pasti menjadi sebab kebangkitan kita sekali lagi!
Apabila projek perubahan dibina dari akar umbi, ia akan menjadi kukuh dan berakar dalam. Ia diadopsi oleh sekumpulan individu yang sedar yang menggerakkannya dengan penuh kekuatan dan tekad untuk mengubah keadaan umat dan realiti buruknya — dengan mengubah piawaian, konsep dan keyakinannya serta mengingatkannya tentang hakikat dan peranannya. Fikrah perubahan bermula dalam diri individu, kemudian umat terkesan dan seterusnya mengadopsinya pula, lalu bergerak dengan kejelasan tentang arah dan tujuan, serta sanggup menawarkan pengorbanan dalam segala yang diperlukan demi menjayakan projek kebangkitan umat.
Jalan kebangkitan penuh dengan bahaya dan halangan. Oleh itu, pemikiran yang benar ialah kompas umat yang akan membimbingnya ke arah yang betul dan membawa kepada matlamat akhirnya. Amat penting bagi umat untuk sedar bahawa akidah Islam adalah asas intelektual yang menjadi ukuran bagi setiap pemikiran, standard utama bagi semua piawaian ditentukan, dan satu-satunya keyakinan yang menolak keyakinan lain.
Dunia Islam telah berkali-kali mencuba dan gagal. Keinginan untuk perubahan melalui Islam jelas kelihatan dalam kebangkitan kumpulan Islam moderat ke tampuk kekuasaan di Tunisia dan Mesir, dalam tuntutan revolusi Syria, dan di tempat-tempat lain. Namun, kegagalan untuk mengangkat sepenuhnya projek Islam dalam semua aspeknya yang jelas telah membawa kepada kegagalan tersebut, dan menghalang umat daripada mencapai matlamatnya. Oleh itu, adalah penting bagi umat untuk belajar daripada pengalaman, mengkaji, merenung, dan meneliti serta memperhalusi projeknya sendiri agar berjaya dalam pada masa akan datang dan sampai ke pelabuhan yang selamat!
Dalam tubuh umat terdapat ramai individu yang telah mendedikasikan diri mereka untuk kajian mendalam terhadap Islam, membantah salah faham, menjelaskan konsep, membina dan memperincikan projek Islam, serta menghadiahkan umat dengan peluang keemasan untuk kebangkitannya. Tidakkah sepatutnya umat Islam menyedari akan hal ini, mengangkatnya, dan bertindak dengan kesedaran serta keyakinan — lalu meraih keredhaan Allah (swt) dan menjadi sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia?
Umat Islam mesti bersatu dari kalangan anak-anak lelaki dan perempuannya yang ikhlas, bergerak bersama dalam satu gerakan yang bersatu dan produktif untuk menggantikan para pemerintah (yang mengkhianat) ini dan menegakkan sebuah negara Islam. Hanya negara sebegini yang mampu meletakkan mereka di jalan kebangkitan yang sebenar.
Islam adalah satu-satunya ideologi yang benar, yang diperintahkan Allah untuk kita jadikan cara hidup, mengurus urusan, dan mengatur kehidupan kita. Menegakkan sebuah negara yang melaksanakan hukum Islam ialah satu-satunya jalan praktikal agar penyelesaian lahir daripada akidah Islam yang hidup dalam hati dan minda umat Islam. Ini akan membentuk sebuah masyarakat Islam yang tersendiri dan unik berbanding lainnya. Sudah tentu, ini akan membawa kepada pertembungan berterusan antara benih akidah yang disemai dalam hati dengan undang-undang ciptaan manusia, yang menghalang perubahan yang diingini dan kebangkitan yang diharapkan.
Wahai umat Islam: Hizbut Tahrir telah menyeru kalian, dan terus menyeru kalian, kepada apa yang diredhai Tuhanmu dan yang membawa kemuliaan bagimu. Ia menyeru kalian untuk berfikir dan memahami jalan keselamatanmu, serta berpegang teguh kepada Islam dan tiada yang lain. Ia telah membentangkan perlembagaan Islam yang lengkap dan terperinci kepada kalian di atas “dulang emas”, dan terus menyeru kalian kepada apa yang membawa kemuliaan di dunia dan akhirat… Jadi, adakah kalian akan menyahut seruannya, bersatu dengannya, bangkit dan menyingkirkan debu-debu kelemahan? Adakah kalian akan menyahutnya dan kembali kepada kegemilangan silam sebagai saksi ke atas seluruh bangsa, supaya halaman kehinaan dan aib itu dapat diselak (dibalikkan)?!
Kami yakin bahawa jawapan kalian kini lebih dekat daripada sebelumnya.
﴿وَيَقُولُونَ مَتَى هُوَ قُلْ عَسَى أَنْ يَكُونَ قَرِيباً﴾
“…sambil bertanya secara mengejek: Bila berlakunya?” Katakanlah: “Dipercayai akan berlaku tidak lama lagi!”
(Surah Al-Isra’: 51)
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
Oleh: Minnatullah Taher
#TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan #PerubahanHakiki
#DaripadaKegelapanMenujuCahaya #KemenanganHakiki
#KhilafahSistemIslam #TerapkanIslamKaffah #PemikiranIslam

