Ketaatan kepada Ibu Tidak Boleh Mengorbankan Isteri: Kerana Islam Tidak Pernah Mengajarkan Kezaliman
Oleh: Nabila Zidane (Jurnalis)
Dalam Islam, ibu adalah sosok yang sangat dimuliakan. Redha Allah bergantung pada redha ibu bapa. Syurga berada di bawah telapak kaki ibu. Tidak ada Muslim yang berakal sihat akan membantah kenyataan ini.
Namun di sisi lain, Islam juga memuliakan isteri.
Menjadikannya amanah.
Menjadikannya penenang.
Menjadikannya pasangan hidup, bukan pelengkap penderitaan.
Masalah muncul ketika ketaatan kepada ibu difahami secara keliru, lalu dijadikan alasan untuk mengabaikan, menyakiti, atau menzalimi isteri.
Sedangkan Islam tidak pernah mengajarkan taat pada satu kebaikan dengan cara melakukan kezaliman yang lain.
Syaikh Ibnu Taimiyah menegaskan dengan sangat jelas bahawa ketaatan kepada ibu bapa tidak berlaku jika menyebabkan kemudaratan atau kezaliman terhadap isteri.
Maksudnya, seorang suami tidak dibenarkan menuruti kehendak ibunya yang akan menyebabkan hak isteri terabaikan, kehormatannya jatuh, atau batinnya terus terluka. Hal ini kerana dalam Islam tidak ada ketaatan dalam kemaksiatan.
Ibu memang wajib dihormati. Tetapi isteri wajib dilindungi.
Ibu adalah pintu syurga, namun isteri adalah amanah yang akan dimintai pertanggungjawaban.
Seorang suami bukan anak kecil yang berlindung di sebalik nama “bakti” untuk lari daripada tanggungjawab rumah tangga.
Syaikh Wahbah az-Zuhaili menjelaskan bahawa kewajipan utama seorang suami adalah menafkahi, melindungi, dan memperlakukan isterinya dengan makruf dan kewajipan ini tidak gugur kerana adanya perintah siapa pun, termasuk ibu bapa.
Islam itu adil dan keadilan tidak pernah lahir dari sikap yang tidak adil.
Sayangnya, banyak perempuan diajar untuk sabar, tetapi tidak diajar bahawa mereka juga berhak dihormati. Banyak isteri diminta mengalah, namun suami lupa bahawa mengalah yang terus-menerus boleh berubah menjadi kelelahan jiwa.
Islam tidak menuntut isteri hidup dalam luka demi label “isteri solehah”.
Ini kerana kesolehan tidak pernah bertentangan dengan kemanusiaan.
Syaikh Ibnu Qayyim al-Jauziyah menegaskan bahawa asas syariat adalah keadilan, rahmat, dan maslahat. Apa pun yang terkeluar dari tiga asas ini bukan bahagian daripada ajaran Islam, walaupun ianya dibungkus dengan dalil.
Maka, menjadi satu kekeliruan yang besar jika seorang suami merasa soleh tatkala membela ibunya dengan cara mengorbankan isterinya.
Apa yang benar adalah, suami perlu menjadi penyeimbang, bukan dapur gas (memicu api konflik).
Menjadi peneduh, bukan pencetus konflik.
Ibu tidak boleh dizalimi. Isteri juga tidak boleh disakiti.
Seorang lelaki dewasa dalam Islam adalah mereka yang mampu bersikap adil, tegas tanpa berkasar, lembut tanpa lemah. Dia tahu bila dia perlu mendengar kata ibunya dan bila dia perlu berdiri membela isterinya tanpa menderhaka dan tanpa menganiaya.
Ini kerana rumah tangga bukan arena perlumbaan cinta, melainkan tempat aman
di mana setiap peranan perlu dijaga kehormatannya.
Jika hari ini banyak isteri terluka,
bukan kerana Islam, tetapi kerana pemahaman yang salah.
Dan jika hari ini banyak ibu merasa kehilangan anaknya, bukan kerana isteri, tetapi kerana suami gagal menjadi pemimpin yang bijak.
Islam tidak pernah mengadu domba antara ibu dan isteri. Yang sering mengadu adalah keegoan, ketidakdewasaan dan ketidakmahuan belajar adil.
Kerana pada akhirnya, lelaki akan ditanya bukan hanya, “Sejauh mana kau patuh kepada ibumu?”,
tetapi juga, “Bagaimana kau menjaga amanah isterimu?”.
Dan di situlah keadilan Islam berdiri dengan tegak, ibu dimuliakan, isteri dilindungi,
dan suami bertanggungjawab penuh di hadapan Allah.
#muhasabah #peranansuami #tanggungjawabsuami #suamisoleh #suamimithali

