Site icon MuslimahHTM News

[Politik Ekonomi Islam] Peningkatan Kekayaan (Pembangunan Ekonomi)

[Politik Ekonomi Islam] Peningkatan Kekayaan (Pembangunan Ekonomi)

 

Penulis: Abdurrahman al-Maliki

 

Walaupun peningkatan kekayaan melalui pelaksanaan projek pembangunan ekonomi tidak bersandarkan kepada pandangan hidup tertentu, sebaliknya berasaskan maklumat sejagat, namun, pandangan hidup tetap mempengaruhi arah pelaksanaan projek-projek tersebut.

 

Di negara-negara kapitalis seperti Amerika Syarikat, projek-projek pengeluaran dijalankan oleh individu dan syarikat, bukan dilaksanakan oleh negara. Sebaliknya, di negara-negara sosialis, termasuk negara komunis seperti Rusia, projek pengeluaran dijalankan sepenuhnya oleh negara, malah individu tidak dibenarkan membangunkannya.

 

Manakala di negara Islam, apabila politik ekonomi Islam dijadikan dasar ekonomi, projek-projek pengeluaran sudah tentu akan dipengaruhi oleh pandangan hidup Islam.

 

Dalam projek-projek pertanian, hukum syarak yang berkaitan dengan tanah menetapkan bahawa projek pengeluaran hendaklah dijalankan oleh individu dan bukan oleh negara, kerana tanah pertanian bukan termasuk dalam kategori pemilikan umum mahupun pemilikan negara. Oleh itu, negara tidak mempunyai peranan secara langsung dalam pelaksanaan projek pertanian tersebut. Namun demikian, negara berperanan memberikan bantuan kewangan kepada petani yang tidak berkemampuan sebagaimana yang dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab RA, yang mengekalkan tanah-tanah taklukan di bawah pemilikan penduduk asalnya serta memberikan bantuan kewangan kepada para petani melalui Baitulmal.

 

Adapun projek-projek pembangunan seperti pembinaan empangan, penyediaan saluran air, ladang contoh dan seumpamanya, pelaksanaannya menjadi tanggungjawab negara, namun hendaklah dilakukan mengikut peraturan belanjawan negara. Oleh itu, projek-projek pertanian kekal sebagai tanggungjawab individu.

 

Bagi projek perindustrian, hukum syarak yang berkaitan dengan kilang menetapkan bahawa kilang yang menghasilkan barangan dalam kategori pemilikan umum hendaklah dijalankan oleh negara, dan tidak boleh dijalankan oleh individu. Namun, bagi kilang yang tidak termasuk dalam pemilikan umum, pelaksanaannya menjadi tanggungjawab individu, tetapi negara dibenarkan turut melaksanakannya.

 

Oleh itu, tidak timbul persoalan seperti pandangan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa sektor awam mesti menguasai sektor swasta dalam bidang pengeluaran atau pandangan bahawa sektor swasta perlu diberi ruang yang lebih luas.

 

Pandangan sebegini tidak berbangkit kerana hukum syarak telah menentukan dengan jelas jenis projek pengeluaran yang menjadi tanggungjawab negara dan yang menjadi tanggungjawab individu, serta perkara yang dilarang bagi individu dan yang dibenarkan bagi negara.

 

Maka, persoalan tentang bahagian yang sepatutnya diuruskan oleh sektor awam atau sektor swasta telah pun ditetapkan oleh syarak.

 

Namun,  kilang yang tidak termasuk dalam pemilikan umum boleh dijalankan oleh sektor awam walapun pada asasnya menjadi tanggungjawab sektor swasta. Dalam hal ini sahaja terdapat ruang ijtihad, sama ada hendak dikekalkan mengikut hukum asalnya atau dibenarkan negara melaksanakannya apabila pelaksanaan oleh negara dilihat membawa kemaslahatan kepada negara.

 

Oleh itu, pelaksanaan projek pengeluaran mestilah mematuhi hukum syarak dari segi penubuhannya, walaupun dari sudut teknikal pelaksanaannya bersifat sejagat; sama sahaja di Rusia mahupun di Amerika Syarikat. Namun, perbezaannya terletak pada aspek pelaksanaan, iaitu pemilikan.

 

Demikian jugalah seharusnya keadaan di negara-negara Islam. Berdasarkan asas inilah, kajian tentang peningkatan kekayaan dan pembangunan ekonomi hendaklah dilakukan.

 

Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.

Exit mobile version