Site icon MuslimahHTM News

Sang Pembebas

Sang Pembebas

 

Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar

 

Di bawah langit Syam yang biru, angin membawa kisah yang tak lekang. Tentang tanah yang Allah sucikan. Tentang para pembebas yang datang bukan untuk menjarah, melainkan untuk menyucikan bumi dari kezaliman.

 

Ketika Khalifah Umar bin al-Khattab RA memasuki Baitul Maqdis di Palestin, bumi seolah-olah menunduk dalam khusyuk. Beliau menuntun untanya. Tidak menunggangi kenderaannya itu. Agar tidak terlihat sombong di hadapan rakyat yang ditaklukkan dengan damai. Pengawalnya ikut berjalan di sisinya.

 

Ath-Thabari meriwayatkan: Khalifah Umar RA datang dengan pakaian sederhana. Penuh dengan debu perjalanan. Beliau lalu menandatangani ‘Ahd al-‘Umariyyah. Piagam Perdamaian yang menjamin keselamatan jiwa, harta dan tempat ibadah kaum Nasrani. Beliau tidak bersorak. Tidak menuntut rampasan. Tidak membangun istana. Beliau hanya bersujud cukup lama di tempat suci itu. Air matanya membasahi tanah yang pernah diinjak oleh para nabi tersebut (Lihat: Ath-Thabari, Târîkh al-Umam wa al-Mulûk, 4/449).

 

Allah SWT berfirman:

سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِيٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلٗا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِي بَٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ ١

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya.” [TMQ al-Isra’ (17): 1]

 

Ayat itu tentu selalu hidup di dada sang Khalifah. Di tangannya, Palestin pun dibebaskan tanpa setitis darah pun.

 

Sayang, empat abad berlalu, sejak Khalifah Umar RA menginjakkan kakinya di Palestin, Baitul Maqdis jatuh ke tangan Tentera Salib. Masjid al-Aqsa ternoda. Azan digantikan oleh dentingan loceng.

 

Namun, di antara reruntuhan itu, Allah SWT menyalakan cahaya. Ia bernama Salahuddin al-Ayyubi. Dia bukan sekadar panglima. Dia adalah seorang hamba yang biasa menangis di malam hari. Ibnu Katsir menulis: “Tidaklah Salahuddin tidur malam kecuali setelah menunaikan solat panjang dan berdoa dengan linangan air mata.”

 

Malam sebelum Perang Hittin, dia berdoa di bawah khemah dan membasahi bumi dengan air matanya. Dia tidak meminta kemenangan, hanya ampunan dan redha Tuhannya. Namun, Allah SWT lalu memberikan kedua-duanya. Keesokan paginya, pasukan Islam menang gemilang. Tiga bulan kemudian, Baitul Maqdis kembali ke tangan kaum Muslim. Sultan Salahuddin tidak menumpahkan darah. Dia masuk dengan takbir dan tangis. Dia sujud di tempat yang sama. Tempat Khalifah Umar RA pernah bersujud (Lihat: Ibnu Katsir, Al-Bidâyah wa an-Nihâyah, 12/233).

 

Khalifah Umar RA dan Sultan Salahuddin adalah dua sosok dari dua abad berbeza. Namun, keduanya memiliki jiwa yang sama. Mereka datang bukan untuk menguasai, melainkan untuk menunaikan amanah Allah SWT di bumi yang diberkati.

 

Berabad setelah itu, bayangan konspirasi melingkupi negeri-negeri Islam. Khilafah Uthmaniyah berdiri di hujung perjalanannya. Namun, masih ada satu jiwa yang teguh. Dialah Sultan Abdul Hamid II. Dia menolak tawaran Theodor Herzl, seorang Zionis Yahudi yang datang membawa kekayaan dunia untuk membeli tanah Palestin. Dia berkata tegas, “Aku tidak dapat menjual walau sejengkal tanah Palestin. Tanah itu bukan milikku, tetapi milik umat Islam. Mereka telah menebus tanah itu dengan darah mereka.” (Mudakhirât as-Sulthân ‘Abd al-Hamîd ats-Tsânî, hlm. 52),

 

Dia tahu, yang dijual bukan sekadar tanah, tetapi sekaligus kehormatan umat. Kerana itu dia mempertahankan kehormatan tersebut, dengan keyakinan yang lebih kukuh daripada tembok istananya.

 

Namun sayang, konspirasi dunia menjatuhkan dirinya. Khilafah diruntuhkan. Palestin kembali dijajah dan ditundukkan. Sejak itu tangisan dan air mata pun mengalir dari langit Syam. Selama puluhan tahun. Hingga detik ini.

 

Hari ini, di antara puing-puing Gaza, anak-anak kecil menulis huruf alif di atas tanah berdebu. Tangan mereka gementar, tetapi hati mereka kukuh. Mereka bukan anak-anak biasa. Mereka adalah cucu para pembebas. Darah mereka membawa kesabaran Khalifah Umar RA, doa Sultan Salahuddin dan keteguhan Sultan Abdul Hamid. Mereka lahir di bawah dentuman bom. Namun, mereka tumbuh dengan suara ayat-ayat suci al-Quran. Mereka tetap tersenyum di antara reruntuhan. Sebabnya, mereka tahu, janji Allah SWT lebih kuat dari dinding bangunan-bangunan yang runtuh. Rasulullah SAW bersabda:

 

«لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِى ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِىَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ»

Akan senantiasa ada sekelompok daripada umatku yang tegak di atas kebenaran. Tidak membahayakan mereka siapapun yang mengabaikan mereka hingga datang keputusan Allah, sementara mereka tetap demikian.” (HR. Muslim).

 

Dalam riwayat lain, baginda bersabda, “Mereka itu adalah penduduk Syam.”

 

Gaza adalah jantung Syam hari ini. Di sanalah janji Rasulullah SAW terus hidup.

 

Kini, kita menunduk. Kita memang bukan Umar RA. Bukan Salahuddin. Bukan pula Abdul Hamid. Namun, kita adalah sebahagian daripada doa mereka yang belum selesai. Setiap azan Subuh yang bergema di Gaza, seolah-olah ada bisikan dari langit: “Bangunlah! Bumi ini masih menunggu orang-orang yang berani sujud sebelum menang.”

 

Ya Allah, ajarkan kami kesabaran seperti kesabaran Khalifah Umar RA; ketawakalan seperti ketawakalan Sultan Salahuddin; dan keistiqamahan seperti keistiqamahan Sultan Abdul Hamid.

Jadikan kami sebahagian daripada pasukan yang Engkau janjikan, yang menegakkan kalimat-Mu di bumi-Mu yang diberkati.

Jangan biarkan kami hanya menjadi penonton sejarah.

Jadikan langkah kami sebahagian daripada takdir-Mu. Takdir kemenangan, dengan kembalinya Baitul Maqdis ke tangan kami.

 

Saudaraku, mereka telah membayar mahal dengan darah-darah mereka. Kini giliran kita. Membayar dengan darah yang sama. Dengan jihad yang sama. Juga dengan terus berjuang bersungguh-sungguh untuk menegakkan kembali Khilafah ‘alâ minhâj an-nubuwwah. Di bawah komando Khalifahlah—sebagaimana Khalifah Umar dan para pembebas sebelumnya—kita akan berjihad sekuat tenaga demi membebaskan kembali Palestin.

 

Wa mâ tawfîqî illâ bilLâh.

 

Sumber: Alwaie

 

 

#SangPembebas #KemenanganHakiki #1Ummah1Perjuangan #Khilafah #Khalifah #KepimpinanIslam #PeradabanAgung #FreePalestine #SaveGaza #ArmiestoAqsa #ArmiestoGaza

Exit mobile version