[Politik Ekonomi Islam] Kaedah Pembiayaan Projek-projek Produktif
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
Kaedah untuk membiayai projek-projek produktif ialah dengan menilai sama ada pelaksanaan projek tersebut, jika tidak dilakukan, akan mendatangkan kemudaratan kepada umat atau sebaliknya. Jika ia termasuk dalam perkara yang tidak mendatangkan kemudaratan kepada umat sekiranya tidak dilaksanakan, maka perlu diteliti sama ada terdapat lebihan dana dalam Baitulmal selepas menampung keperluan asas. Jika ada, dana tersebut hendaklah digunakan bagi tujuan berkenaan; jika tiada, pelaksanaan projek tersebut hendaklah ditangguhkan sehingga terdapat dana dalam Baitulmal.
Namun, sekiranya kegagalan melaksanakan projek-projek tersebut boleh mendatangkan kemudaratan kepada umat seperti keadaan yang berlaku pada masa kini di negara-negara Islam, maka ketiadaan kilang-kilang pembuatan mesin dalam kalangan umat Islam menyebabkan negara-negara Islam bergantung kepada negara-negara kafir dalam bidang perindustrian dan persenjataan. Keadaan ini mengakibatkan mereka terikat kepada kuasa asing, dan hal tersebut merupakan antara kemudaratan yang paling besar.
Oleh itu, mendirikan kilang-kilang pembuatan mesin menjadi suatu kewajipan (fardhu) ke atas umat Islam, kerana kemudaratan tidak dapat dihapuskan daripada umat melainkan dengan mendirikannya. Menghapuskan kemudaratan merupakan kewajipan ke atas negara dan umat. Maka, menjadi tanggungjawab negara untuk mewujudkan kilang-kilang tersebut sama ada mempunyai dana atau tidak.
Jika di dalam baitulmal terdapat harta, maka harta tersebut wajib dibelanjakan untuk membangun projek-projek ini. Namun, jika di baitulmal tidak ada harta, negara hendaklah mewajibkan cukai (dharibah) kepada umat Islam sebanyak yang diperlukan bagi membiayai pembinaan projek tersebut dengan cara yang dapat menghapuskan kemudaratan.
Oleh kerana itu, kaedah untuk membiaya projek-projek produktif adalah negara perlu meneliti terlebih dahulu industri-industri peralatan yang diperlukan oleh umat. Kemudian negara melakukan kajian terhadap projek-projek tersebut bagi mengetahui jumlah kos yang diperlukan. Seterusnya, cukai (dharibah) diwajibkan kepada umat untuk membangun projek-projek ini. Cukai tersebut diambil secara paksa dalam kadar yang mencukupi untuk melaksanakan revolusi industri. Dengan cara inilah pembiayaan projek-projek tersebut dilakukan.
Dalam rangka menyegerakan kerja-kerja permulaan, negara tidak dilarang untuk menjalin hubungan dengan negara-negara asing dan syarikat-syarikat besar bagi mendapatkan kemudahan kredit. Hal ini dilakukan dengan mengimport mesin, peralatan, dan bahan-bahan yang diperlukan untuk projek-projek produktif. Pembiayaannya dilakukan melalui transaksi jual beli dengan bayaran tertunda (harga tangguh), bukan melalui transaksi riba.
Kaedah ini akan membantu negara dalam memulakan pembangunan projek-projek tersebut dan meneruskannya sementara menunggu kutipan cukai selesai. Inilah satu-satunya cara bagi negara untuk melaksanakan pembangunan projek-projek produktif ini. Negara tidak memiliki cara lain selain ini.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #PembangunanNegara

