Hanya Dengan Al-Quran Umat Meraih Kembali Kemuliaan
Ramadhan adalah bulan al-Quran. Pada bulan mulia inilah al-Quran diturunkan. Allah SWT berfirman:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
“Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran; sebagai petunjuk bagi manusia, berisi ragam penjelasan mengenai petunjuk itu, serta sebagai pembeza (antara yang haq dan yang batil)” (TMQ al-Baqarah [2]: 185).
Imam Ibnu Katsir rahimahulLâh menjelaskan bahawa Allah SWT mengkhususkan Ramadhan dengan penurunan al-Quran sebagai bentuk pemuliaan bulan tersebut. Ini kerana al-Quran adalah sumber hidayah bagi para hamba yang mengimani, membenarkan dan mengamalkan al-Quran; juga sebagai pembeza antara yang haq dan yang batil serta antara yang halal dan yang haram (Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, 1/498).
Al-Quran tak hanya diturunkan pada bulan mulia, tetapi juga sekaligus pada malam yang mulia. Itulah Lailatul Qadar. Allah SWT berfirman:
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Sungguh Kami telah menurunkan al-Quran pada saat Lailatul Qadar” (TMQ al-Qadar [97]: 1).
Imam ath-Thabari rahimahulLâh mentafsirkan ayat di atas: “(Ertinya) Kami telah menurunkan al-Quran ini secara keseluruhan ke Langit Dunia pada masa Lailatul Qadar. Itulah ‘malam keputusan’ yang di dalamnya Allah menetapkan ketentuan-Nya.” (Ath-Thabari, Jâmi’ al-Bayân, 24/531).
Dengan demikian kemuliaan tertinggi Ramadhan yang sesungguhnya adalah kerana Allah SWT telah menurunkan di dalamnya al-Quran yang menjadi sumber cahaya, petunjuk dan kebangkitan umat. Al-Quranlah yang mengangkat darjat umat. Ketika al-Quran diterapkan dalam seluruh aspek kehidupan, umat memimpin dunia. Sebaliknya, tatkala al-Quran ditinggalkan, umat pun terpuruk, bahkan terjajah.
Kemukjizatan al-Quran dan Pemeliharaannya
Allah SWT berfirman:
قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ
“Katakanlah, “Andai seluruh manusia dan jin bergabung untuk membuat sesuatu yang serupa dengan al-Quran, mereka pasti tidak akan mampu melakukan itu.” (TMQ al-Isra’ [17]: 88).
Imam al-Qurthubi rahimahulLâh menyatakan bahawa ayat ini merupakan dalil tegas atas kemukjizatan al-Quran dari sisi lafaz (redaksi), makna mahupun hukumnya; termasuk berita-berita ghaibnya (Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, 10/318).
Allah SWT juga telah menjamin penjagaan al-Quran daripada segala bentuk perubahan dan penyimpangan. Demikian sebagaimana firman-Nya:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
“Sungguh Kami telah menurunkan al-Quran. Sungguh Kami pula yang menjadi Penjaganya.” (TMQ al-Hijr [15]: 9).
Maknanya, kata Syaikh Abu Bakar al-Jazairi, “Al-Quran Kami jaga daripada kebinasaan; juga daripada penambahan dan pengurangan. Sebabnya, al-Quran adalah hujjah Kami atas manusia sampai Hari Kiamat.” (Al-Jazairi, Aysar at-Tafâsîr, 2/275).
Oleh sebab al-Quran adalah mukjizat dan terpelihara sampai Hari Kiamat, maka tidak ada alasan bagi kaum Muslim untuk meninggalkan al-Quran sebagai pedoman hidup mereka.
Keberkahan al-Quran
Allah SWT berfirman:
وَهَٰذَا كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ مُبَارَكٌ فَاتَّبِعُوهُ
“Inilah (al-Quran) sebagai kitab yang telah Kami turunkan, yang dipenuhi dengan keberkahan. Kerana itu ikutilah oleh kalian al-Quran itu.” (TMQ al-An‘am [6]: 155).
Menurut Imam ath-Thabari, kata mubârak bermakna “banyak kebaikannya dan manfaatnya”. Oleh itu, “Jadikanlah oleh kalian al-Quran itu sebagai imam (pemimpin) yang kalian ikuti dan amalkanlah apa saja yang ada di dalamnya.” (Ath-Thabari, Jâmi’ al-Bayân, 12/229).
Keberkahan al-Quran tentu bukan hanya bagi individu, tetapi juga bagi masyarakat dan negara. Hal ini terealisasi ketika al-Quran dijadikan sebagai dasar bagi sistem pemerintahan, politik, perundangan, ekonomi, sosial, pendidikan dll. Sebaliknya, sesiapa pun yang jauh daripada al-Quran bukan saja bakal jauh daripada keberkahan, bahkan kehidupannya akan sempit.
Demikian sebagaimana yang telah Allah SWT peringatkan:
وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى
“Siapa saja yang berpaling dari peringatan-Ku (al-Quran) maka bagi dia kehidupan yang sempit dan Kami akan membangkitkan dirinya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.” (TMQ Thaha [20]: 124).
Di antara penjelasannya, kata Imam al-Baghawi, “Jika suatu kaum berpaling daripada kebenaran (al-Quran), walaupun mereka hidup dalam kelapangan dunia (berlimpah dengan kekayaan), mereka tetap dalam kesempitan hidup.” (Al-Baghawi, Ma’âlim at-Tanzîl, 5/301).
Sesungguhnya, inilah yang terjadi dan menimpa umat Islam pada saat ini, khususnya di negeri ini. Walaupun kekayaan alam negeri ini berlimpah-ruah, puluhan juta bahkan ratusan juta rakyatnya masih hidup miskin. Hanya segelintir orang yang menikmati kekayaan negeri ini.
Mengapa? Kerana al-Quran tidak dijadikan dasar dalam pengaturan kehidupan di negeri ini, termasuk dalam pengelolaan sumber alamnya.
Al-Quran sebagai Sistem Hidup yang Sempurna
Allah SWT berfirman:
وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَانًا لِّكُلِّ شَيْءٍ
“Kami telah menurunkan al-Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu”. (TMQ an-Nahl [16]: 89).
Mengutip Ibnu Mas’ud, Imam Ibnu Katsir mentafsirkan ayat ini, “Al-Quran itu mencakupi semua ilmu yang bermanfaat baik berisi informasi masa lalu mahupun pengetahuan tentang masa depan; mengandungi hukum semua perkara yang halal dan yang haram; serta mencakupi semua yang diperlukan oleh manusia baik dalam urusan agama, dunia mahupun kehidupan mereka.” (Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, 4/594).
Al-Quran menjelaskan sejumlah prinsip dalam perkara ibadah ritual seperti solat, shaum (puasa) dan zakat. Al-Quran juga mengatur sejumlah prinsip di luar ibadah ritual. Di bidang ekonomi, misalnya, Al-Quran menjelaskan:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
“Allah telah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba.” (TMQ al-Baqarah [2]: 275).
Sayangnya, di kebanyakan negara-negara umat Islam pada zaman kini, riba diabsahkan. Bahkan negara adalah pelaku riba terbesar. Lebih-lebih lagi apabila ia terlibat dengan hutang ribawi dengan badan kewangan antarabangsa.
Allah SWT juga telah berfirman:
كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ
“…Agar harta kekayaan itu tidak hanya berputar di kalangan orang-orang kaya saja di antara kalian”. (TMQ al-Hasyr [59]: 7).
Sayangnya, negara sebaliknya memberikan izin meluas kepada golongan kapitalis untuk menguasai aneka sumber alam yang menguasai keperluan orang ramai seperti: pelbagai jenis lombong (minyak, gas, emas, perak, nikel, arang batu, dll); hutan; dll. Sudah semestinya hasilnya lebih banyak dinikmati oleh mereka yang jumlahnya hanya segelintir. Sebaliknya, ratusan juta rakyat hanya berbagi sisa-sisanya sahaja.
Dalam aspek hukum (perundangan) dan pemerintahan, al-Quran pun telah menjelaskan:
إِنِ الْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ
“Sesungguhnya kekuasaan membuat hukum hanyalah hak Allah.” (TMQ Yusuf [12]: 40).
Imam ath-Thabari menyatakan bahawa ayat ini menetapkan bahawa undang-undang tertinggi adalah hukum Allah, bukan hawa nafsu manusia (Ath-Thabari, Jâmi’ al-Bayân, 13/44).
Sayangnya, negara sebaliknya menerapkan sistem demokrasi-sekular yang menyerahkan hak pembuatan undang-undang kepada manusia (legislatif). Mereka sama sekali tidak merujuk pada al-Quran. Wajar jika banyak undang-undang dan peraturan yang sering tidak adil. Sering lebih berpihak pada sebahagian orang (berkepentingan) dan mengabaikan kepentingan rakyat marhain.
Allah SWT pun telah berfirman:
وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“Siapa saja yang tidak berhukum dengan wahyu yang telah Allah turunkan maka mereka adalah para pelaku kezaliman.” (TMQ al-Ma’idah [5]: 45)
Imam al-Qurthubi menjelaskan bahawa meninggalkan hukum Allah SWT termasuk kezaliman besar kerana mengganti hukum yang adil dengan hukum yang didasarkan pada hawa nafsu manusia (Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkaam al-Qur’ân, 6/190).
Sayangnya, negara pada hari ini sebaliknya menerapkan undang-undang buatan manusia. Bukan hukum-hukum Allah SWT. Pelaksanaanya undang-undang tersebut juga selalunya berat sebelah (tidak adil). Tajam ke bawah (rakyat) dan tumpul ke atas (penguasa, pegawai, kapitalis/oligarki).
Wajib Kembali pada al-Quran dan as-Sunnah
Rasulullah SAW telah bersabda:
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا: كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّتِي
“Aku telah meninggalkan di tengah-tengah kalian dua perkara—kalian tidak akan tersesat selama-lamanya selama kalian berpegang teguh pada keduanya—iaitu: Kitabullah (al-Quran) dan Sunnahku (al-Hadis).” (HR al-Hakim).
Berpegang teguh pada al-Quran dan as-Sunnah bermakna menjadikan keduanya sebagai sumber hukum dan legislasi, bukan sekadar sumber bacaan dan inspirasi. Dalam hal ini Allah SWT telah menegaskan:
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ
“Demi Tuhanmu! Tidaklah mereka beriman sampai mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim dalam hal apa saja yang mereka perselisihkan di antara mereka.” (TMQ an-Nisa’ [4]: 65).
Imam Ibnu Katsir menjelaskan bahawa ayat ini menunjukkan kewajipan menjadikan Rasul SAW dan syariah yang Baginda bawa sebagai pemutus dalam segala seluruh urusan (Ibnu Katsir, Tafsîr al-Qur’ân al-‘Azhîm, 2/345).
Sebab itu keimanan kita pada al-Quran sebagai wahyu Allah SWT bukan hanya sebatas pengakuan lisan, tetapi hendaklah dibuktikan dengan komitmen kita untuk menerapkan hukum-hukumnya dalam seluruh aspek kehidupan.
Jalan Kemuliaan Umat
Sejarah membuktikan bahawa ketika al-Quran diterapkan secara kâffah, lahirlah kemakmuran dan kesejahteraan sosial; terwujudlah keadilan perundangan; serta tercipta masyarakat yang tertib, aman dan damai. Sebaliknya, ketika al-Quran disingkirkan, muncullah kemiskinan struktural, ketempangan sosial dan ekonomi, korupsi sistemik dan kemerosotan moral, ketidakadilan undang-undang, dll.
Kemuliaan umat tidak akan pernah terwujud selagi mereka tetap berpegang pada sistem sekular seperti kapitalisme-demokrasi, sebagaimana hari ini. Kemuliaan umat hanya akan kembali ketika mereka menjadikan al-Quran sebagai ideologi kehidupan; sebagai sistem perundangan dan dasar peradaban.
WalLâhu a’lam bi ash-shawâb. []
—*—
Hikmah:
Rasulullah SAW bersabda:
يُؤْتَى بِالْقُرْآنِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَهْلِهِ الَّذِينَ كَانُوا يَعْمَلُونَ بِهِ
“Didatangkan pada Hari Kiamat nanti al-Quran dan keluarganya, yakni mereka yang mengamalkan al-Quran”. (HR Muslim). []
Sumber: Edisi 435 – Buletin Dakwah Kaffah** dengan sedikit olahan.
#NuzulQuran #Ramadhan #AlQuran #CahayaAlQuran #CahayaIslam #MembumikanAlQuran

