Menggapai Lailatul Qadar Ketika Haid atau Nifas
Oleh: Arini Retnaningsih
Sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan adalah hari-hari yang paling dinanti-nantikan oleh umat Islam. Pada salah satu malam dari sepuluh malam terakhir, terdapat malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ [٩٧:٣]
“Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (TMQ. Al Qadr [97]: 3)
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya bulan yang mulia ini telah datang kepada kalian. Di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barang siapa terhalang daripada mendapatkannya, nescaya telah terhalang daripada mendapatkan seluruh kebaikan. Dan tiada orang yang terhalang daripada mendapatkannya kecuali orang-orang yang merugi.” (HR Ibnu Majah, dinyatakan hasan oleh Al-Albani)
Muslimah tidak terkecuali, mereka juga ingin ganjaran yang besar disimpan pada malam mulia tersebut. Namun, perempuan menghadapi halangan dalam usaha meraih Lailatul Qadar ketika kedatangan haid atau nifas yang mewajibkan mereka berhenti dari solat, membaca al-Quran atau iktikaf.
Kemudian, jika perempuan sedang haid atau nifas di sepuluh hari terakhir, adakah mereka masih boleh meraih pahala Lailatul Qadar?
Amalan Fardhu yang Dilupakan
Amalan fardhu ternyata bukan hanya solat 5 waktu. Terdapat amalan fardhu lain bagi perempuan yang sering diabaikan. Ini termasuk berbakti kepada ibu bapa bagi anak perempuan, dan menjadi ibu serta pengatur rumahtangga bagi seorang isteri. Berbakti kepada ibu bapa adalah perkara yang sangat besar pahalanya. Allah SWT berfirman :
وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حُسْنًا
“Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) baik kepada kedua ibu bapanya…” (TMQ Al- Ankabuut [29]: 8)
Ibnu Abbas pernah didatangi oleh seseorang yang telah membunuh dan ingin bertaubat. Dia bertanya kepada orang itu adakah masih mempunyai ibu atau tidak. Ibnu Abbas menjelaskan mengapa dia bertanya tentang ibunya dengan berkata:
“Aku tidak mengetahui tentang amalan yang paling mendekatkan diri kepada Allah Taala selain berbakti kepada ibu.” (HR Baihaqi, disahihkan oleh Syeikh Al Albany)
Maka membahagiakan ibu bapa, meringankan beban mereka, dan membantu menyelesaikan masalah ibu bapa ada pahala yang besar, jika dilakukan pada malam Lailatul Qadar akan mendapat ganjaran seribu kali ganda.
Begitu juga seorang isteri yang melayani suami dengan sebaik mungkin, mentaati perintahnya, menyediakan semua keperluan untuk puasa dan ibadah yang lain, seperti menyediakan hidangan berbuka dan sahur, menjaga rumah dan anak-anak ketika suaminya beriktikaf, semua itu dapat menjadi amalan yang mendapat pahala.
Lailatul Qadar juga dapat diraih dengan menunaikan kewajipan dakwah. Dakwah kepada anak-anak dengan mengajar kepada mereka ilmu-ilmu agama, mengajak mereka menghafal al-Quran, mendengar bacaan mereka dan memotivasi mereka untuk tunduk patuh kepada Rabb mereka.
Mengajar agama kepada ibu-ibu yang lain juga menjadi sebahagian daripada dakwah, baik secara lisan mahupun bertulis. Oleh itu, menulis tentang ilmu-ilmu agama untuk dibaca oleh orang lain, menyebarkan buletin atau tulisan dakwah, dan sebagainya, adalah cara yang boleh kita tempuh agar boleh mendapatkan pahala.
Inilah ibadah-ibadah yang fardhu bagi perempuan tetapi tidak ramai yang melakukannya untuk meraih Lailatul Qadar.
Mengoptimumkan Ibadah Sunnah
Ibadah sunnah pada malam Lailatul Qadar sebenarnya tidak terbatas kepada solat qiyamur-ramadhan, yang kita lebih kenali sebagai solat tarawih, dan tilawah al-Quran sahaja. Terdapat banyak amalan sunnah lain yang boleh dilakukan oleh perempuan yang sedang haid dan nifas, antara lainnya ialah:
- Zikir: dengan membaca tasbih, tahmid, tahlil dan takbir. Setiap bacaan zikir ini adalah sedekah (HR Muslim), tahmid itu memenuhi timbangan amal, tasbih dan tahmid memenuhi ruang antara langit dan bumi (HR. Muslim).
Kita juga boleh berzikir dengan menyebut Asmaul Husna. Kita boleh berzikir pada bila-bila masa di setiap kesempatan. Contohnya sambil menjaga anak, menyusukan bayi, memasak atau melakukan kerja-kerja rumah yang lain. Lebih utama jika kita melakukan secara khusus sebagai pengganti ibadah solat malam kita.
- Berdoa, kerana bulan Ramadhan adalah bulan diijabahnya doa-doa. Dan doa adalah ibadah yang terbaik. Sehingga Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Doa adalah ibadah.” (HR. Tirmizi, 2895, disahihkan oleh Al-Albany dalam sahih Tirmizi, no. 2370)
- Membaca selawat untuk Rasulullah SAW, balasan setiap selawat adalah 10 kali selawat daripada Allah untuknya (HR Ahmad dan Nasa’iy).
- Belajar agama, contohnya dengan mempelajari tafsir al-Quran, hadis-hadis Rasulullah, fikih, sirah Rasulullah SAW, dan sebagainya melalui pelbagai sarana yang ada, baik ceramah, membaca buku, internet ataupun melalui media lain.
- Bersedekah, menyantuni anak yatim, meringankan beban orang lain seperti pembantu rumah, pekerja dan orang lain di sekeliling
- Menjalin silaturahim dengan keluarga yang telah diwajibkan.
- Memperbaiki akhlak dan menjauhi dari segala k
- Dan siapa kata perempuan haid dan nifas tidak boleh mendapat pahala tilawah al-Quran? Dalam surat Al-A’raf ayat 204. Allah Taala telah menyebutkan balasan orang yang mendengarkan bacaan al-Quran.
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
“Dan apabila dibacakan al-Quran, Maka dengarkanlah baik-baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.“
Insya-Allah, jika kita mendengar al-Quran dengan khusyuk, menghayati bacaannya dan memahami maknanya, kita akan mendapat pahala yang besar di sisi Allah.
Demikianlah, perempuan haid dan nifas masih boleh mendapat bahagian mereka pada malam Lailatul Qadar. Juwaibir pernah mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Adh Dhahak, “Apa pendapatmu tentang wanita nifas, haid, musafir dan orang yang tidur (namun hatinya dalam keadaan berzikir), adakah mereka boleh mendapat bahagian mereka dari Lailatul Qadar?” Adh Dhahak pun menjawab, “Ya, mereka masih boleh mendapat bahagian mereka. Sesiapa sahaja yang Allah terima amalannya, dia akan mendapat bahagiannya pada malam tersebut.” (Latho-if Al Ma’arif, hal. 331).
Ini bermakna, perempuan haid dan nifas tidak sepatutnya hanya duduk diam, pasrah untuk tidak melaksanakan ibadah. Sayang sekali jika, disebabkan kerana haid dan nifas, kita kehilangan malam yang lebih baik daripada seribu bulan, yang hanya datang berkunjung setahun sekali. Belum tentu tahun berikutnya kita akan dapat bertemu kembali.
#ramadhan #ramadan #fikihmuslimah #fikihramadhan #amalanramadhan #ibadah #haidh #nifas

