Penghancuran Berhala-Berhala di Mekah Merobohkan Kemusyrikan
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Peristiwa Fathu Makkah atau penaklukan Kota Suci Mekah merupakan salah satu kemenangan terbesar umat Islam dalam sejarah. Kemenangan ini bukan hanya menjadi momen penting dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat, tetapi juga diabadikan oleh Allah dalam beberapa ayat Al-Quran. Kejayaan Rasulullah dan para sahabat melumpuhkan kafir Quraisy makin mengukuhkan posisi Islam. Rasulullah menghancurkan segala bentuk kemusyrikan yang ada di Mekah sehingga hanya Islam yang wujud.
Setelah berjaya memasuki kota Mekah, Rasulullah SAW masuk ke Masjidilharam, kemudian melakukan tawaf. Baginda menghadap Kaabah, sedangkan di sekelilingnya ada kaum muhajirin dan ansar. Baginda membawa tongkat di tangannya. Ketika itu Kaabah dikelilingi oleh 360 berhala, Rasulullah mula menghancurkan berhala-berhala itu dengan tongkatnya sambil membaca firman Allah,
وَقُلْ جَاۤءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۖاِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوْقًا
“Dan katakanlah: “Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” [TMQ Al-Isra’ (17): 81]
Saat memasuki Kaabah, Baginda melihat banyak gambar di dalamnya. Di antaranya adalah gambar Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang sedang mengundi nasib dengan anak panah. Melihat itu, Rasulullah bersabda, “Semoga Allah membinasakan mereka! Demi Allah, sungguh mereka tahu bahawa keduanya tidak pernah mengundi nasib dengan anak panah sama sekali.” Baginda juga melihat ada gambar seekor merpati daripada kayu di dalam Kaabah. Baginda menghancurkannya dengan tangannya dan memerintahkan agar semua gambar dihapus.
Daripada Usamah bin Zayd RA, dia berkata, “Aku masuk bersama Rasulullah ke dalam Kaabah. Baginda melihat ada gambar, lalu Baginda meminta diambilkan air. Baginda pun mengusap gambar itu seraya bersabda, “Semoga Allah membinasakan suatu kaum yang membuat gambar sesuatu yang mereka tidak mampu menciptakannya.” Kemudian Baginda menyuruh para sahabat untuk menghancurkan dan menguburkan berhala terbesar, iaitu Hubal. Nabi Muhammad juga mengumumkan agar setiap orang di seluruh kota Mekah menghancurkan berhala di rumah mereka.
Rasulullah tinggal di Mekah selama 19 hari. Ibnu Abbas RA berkata, “Selama itu Baginda meneguhkan akidah tauhid, meruntuhkan simbol-simbol syirik dan jahiliah, mengajarkan agama kepada manusia, serta mengutus para sahabat ke berbagai penjuru untuk menghapus sisa-sisa berhala. Pada masa itu pula Rasulullah mengutus sebahagian sahabat untuk menyeru kepada Islam dan menghancurkan berhala-berhala di sekitar Mekah.
Kaum muslim pun berbondong-bondong menghancurkan patung-patung tersebut. Ketika itu ‘Ikrimah bin Abī Jahl ra.—yang saat itu belum masuk Islam—berkata, “Demi Allah, aku tidak pernah mendengar ada satu rumah di antara rumah-rumah Quraisy kecuali berhalanya dihancurkan.”
Setelah itu Hindun binti ‘Utbah RA (isteri Abu Sufyān) masuk Islam dan berkata, “Dahulu kami menyembah berhala-berhala itu. Ketika tamimah (azimat) itu rosak, kami merasa tertipu.” Berhala-berhala itu pun dihancurkan oleh kaum muslim.
Dalam kitab sirah Ar-Rahiqul Makhtum karya Syeikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfury disebutkan, setelah peristiwa Fathu Makkah, tepatnya lima hari sebelum berakhirnya bulan Ramadan tahun 8 H, setelah suasana menjadi tenang, Rasulullah SAW mengutus beberapa sahabat, di antaranya Khalid bin Walid RA, untuk mendatangi berhala Uzza dan menghancurkannya. Berhala ini milik orang-orang Quraisy dan semua Bani Kinanah dan termasuk berhala yang paling besar. Penjaganya adalah Bani Syaiban.
Mendengar berita kedatangan Khalid, As-Sulami sang penjaga kuil langsung menggantungkan pedangnya di patung berhala tersebut. Dia menyuruh berhala Uzza untuk menjaga dirinya sendiri dan membunuh Khalid. Jika tidak dapat ia melakukannya, dia akan kembali dengan dosa atau menjadi Nasrani. Khalid bersama 30 orang penunggang kuda tiba di sana, lalu menghancurkan kuil berserta berhalanya dan merobohkannya, kemudian dia kembali ke Mekah.
Sesampainya di Mekah, dia menemui Rasulullah SAW. Baginda bertanya, “Apakah engkau melihat sesuatu?” “Tidak,” jawab Khalid. “Kalau begitu engkau belum benar-benar merobohkannya, kembalilah ke sana dan robohkanlah!” perintah Nabi.
Dengan hati yang bergejolak Khalid pergi lagi sambil menghunus pedangnya. Di sana ada seorang wanita berkulit hitam yang keluar di hadapannya dalam keadaan telanjang dan menguraikan rambutnya. Orang ramai berteriak kerana helah wanita itu. Khalid menebaskan pedangnya ke tubuh wanita itu dan memotongnya menjadi dua bahagian.
Setelah itu dia kembali dan memberitahukan hal yang terjadi kepada Rasulullah SAW, kemudian Baginda bersabda, “Ya itu Uzza, dahulu aku sempat putus asa kalau-kalau Uzza akan disembah selama-lamanya di negeri kalian ini.” (Sirah Nabawiah, Ibnu Hisyam jilid 2 halaman 406).
Berhala besar lainnya adalah Al-Lata. Ia adalah sebuah berhala besar yang berada di ath-Thaif. Ia berbentuk patung yang memiliki ukiran relief dan dibangunkan rumah untuknya dan ditutup dengan kelambu agar menyerupai Kaabah. Di sekeliling Al-Lata terdapat teras dan dijaga oleh juru kunci. Untuk menghancurkan berhala ini, Rasulullah mengutus Abu Sufyan bin Harb dan Al-Mughirah bin Syu’bah.
Pada bulan yang sama Rasulullah SAW juga mengutus Amr bin Al-Ash untuk menghancurkan Suwa’, berhala milik Hudzail di Ruhath, sejauh tiga batu dari Mekah. Setiba di sana, penjaganya bertanya, “Apa mahumu?” “Aku diperintah Rasulullah untuk menghancurkan Suwa’,” jawab Amr. “Engkau tidak akan sanggup,” kata penjaga. “Mengapa?” tanya Amr. Penjaga menjawab, “Kerana engkau akan dihalangi.” Amr berkata, “Hingga detik ini engkau berada dalam kebatilan. Celakalah engkau, apakah berhala ini boleh mendengar dan melihat?” Kemudian dia mendekat ke arah Suwa’ dan menghancurkannya.
Rasulullah SAW juga memerintahkan sahabat-sahabatnya untuk menghancurkan tempat penyimpanan barang dan mereka tidak mendapatkan apa-apa di sana. Kemudian Amr bertanya kepada penjaganya, “Bagaimana menurut pendapatmu?” Lalu penjaganya berkata, “Kalau begitu aku menyatakan pasrah kepada Allah.”
Selanjutnya Rasulullah SAW mengutus Sa’ad bin Zaid al-Asyhaly bersama 20 orang sahabat untuk mendatangi Manat yang terletak di Al-Musyallal di wilayah Qadid. Manat adalah berhala yang dahulunya milik Aus, Khazraj, Ghassan dan lain-lain. Setibanya di sana, penjaganya bertanya, “Apa mahumu?” Sa’ad menjawab dengan tegas, “Menghancurkan Manat” Lalu penjaga itu berkata dengan pasrah, “Terserah apa mahumu.”
Sa’ad mendekati Manat, tiba-tiba muncul seorang wanita berkulit hitam tidak berpakaian menguraikan rambutnya, mendoakan kecelakaan sambil menepuk-nepuk dadanya. Penjaga itu berkata kepada wanita tersebut, “Manat sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi terhadapmu.” Sa’ad menghampiri wanita itu dan membunuhnya, kemudian menghancurkan Manat.
Demikianlah proses penghancuran berhala yang dilakukan Rasulullah SAW di Mekah setelah kota ini ditaklukkan. Penghancuran berhala ini menandakan berakhirnya era kemusyrikan di pusat ibadah umat Islam. Kaabah dikembalikan kepada fungsi aslinya sebagai tempat ibadah kepada Allah Taala. Tindakan Rasulullah menghancurkan berhala ini juga mengajarkan bahawa segala sesuatu yang menjadi perantara atau sarana kemusyrikan dan dosa perlu dimusnahkan dan tidak boleh dibiarkan sampai bila pun dan dalam keadaan apa pun.
Wallahualam bissawab.
#KisahRamadhan #FathuMakkah #KemenanganIslam

