Bahaya 21 Poin Cadangan Trump
Oleh: Hasbi Aswar
Bagi menamatkan perang di Gaza, Trump telah mengemukakan 21 cadangan. Antaranya ialah: penghentian perang secara berperingkat, pembebasan semua tebusan, pengunduran tentera Israel serta pembentukan kerajaan peralihan teknokrat yang dipantau oleh komuniti antarabangsa. Trump turut mencadangkan pemusnahan sepenuhnya infrastruktur ketenteraan Hamas, proses deradikalisasi masyarakat Gaza serta penubuhan zon ekonomi khas untuk membangunkan semula wilayah tersebut.
Pelan ini juga menegaskan larangan terhadap Hamas daripada terlibat dalam pemerintahan baharu, disertai kehadiran pasukan penstabilan antarabangsa bagi menjaga keselamatan dan melatih polis tempatan. Dalam kerangka jangka panjang, cadangan ini membuka laluan ke arah pembinaan semula Gaza, reformasi Pihak Berkuasa Palestin dan kemungkinan penubuhan “Negara Palestin” yang hidup secara aman bersama Israel.
Pelan 21 poin mengenai Gaza ini menerima sokongan meluas daripada pelbagai negara dan blok antarabangsa. Antaranya negara-negara Islam seperti Qatar, Jordan, Mesir, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Turki dan Pakistan. Ia juga mendapat sokongan politik daripada Pihak Berkuasa Palestin yang menyambut baik gagasan pembinaan semula dan penghentian perang tersebut.
Sokongan turut datang daripada negara-negara Barat seperti United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Kanada dan Australia. Mereka melihat pelan ini sebagai peluang ke arah kestabilan serantau. Rusia, China, India dan Brazil juga menyatakan kesediaan untuk terlibat dalam pelaksanaan diplomatik dan pembangunan pascaperang. Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut menyambut baik inisiatif ini sebagai langkah ke arah penyelesaian dua negara dan penyah-eskalasi konflik Gaza.
Bahaya Besar
Hakikatnya, poin-poin tersebut mengandungi risiko besar terhadap masa depan Palestin.
Pertama, keseluruhan gagasan ini sarat dengan kepentingan Israel dan Barat dalam menilai konflik di Gaza. Naratifnya jelas menggambarkan bahawa masalah di Gaza berpunca daripada kewujudan para pejuang yang dianggap sentiasa mengancam Israel. Justeru, Hamas perlu di de-militerisasi malah digesa meninggalkan bumi Palestin.
Namun realitinya, pihak Zionis Israel sering melancarkan serangan ke negara-negara sekitar seperti Lebanon, Syria, Iran, Qatar, Yaman termasuk Tunisia. Sebaliknya, para pejuang Palestin tidak pernah melancarkan serangan ke negara-negara jiran. Bahkan kebangkitan penentangan dari Gaza berpunca daripada serangan berterusan dan sekatan yang dikenakan oleh Israel.
Cadangan Trump juga hanya memfokuskan kepada Gaza, sedangkan kekerasan oleh rejim, pemukim haram dan tentera di Tebing Barat masih berterusan. Petani ditembak, rumah diruntuhkan, penangkapan dilakukan secara berleluasa dan sekatan ketenteraan didirikan di merata tempat. Menurut laporan badan PBB, UNOCHA, dari 7 Oktober hingga akhir Disember 2024 sahaja, lebih 1,000 penduduk Tebing Barat terbunuh, termasuk 213 kanak-kanak.
Masyarakat Gaza dituduh sebagai radikal dan perlu melalui proses deradikalisasi. Namun sepanjang tragedi genosid yang mereka alami, tidak ada naratif anti-Yahudi yang dilontarkan oleh warga Gaza. Sebaliknya, kenyataan berunsur rasis dan pro-genosid sering datang daripada pihak Zionis sendiri. Yoav Gallant, Menteri Pertahanan Israel, pernah menyifatkan penduduk Gaza sebagai “human animal” (manusia binatang). Daniella Weiss, pemimpin pemukim Zionis, secara terbuka menyatakan hasrat untuk menguasai Gaza sepenuhnya dan memindahkan ribuan warga Yahudi ke wilayah itu. Kenyataan seperti inilah yang sewajarnya diperbetulkan, bukan masyarakat Palestin.
Kedua, Trump mencadangkan bahawa selepas gencatan senjata, Gaza akan dibangunkan semula dan bantuan kemanusiaan akan dibenarkan masuk. Walau bagaimanapun, keadaan ini bukan sesuatu yang baharu. Sebelum tragedi genosid, bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula juga pernah dibenarkan, namun ia tidak menghalang serangan berulang Israel pada tahun 2008, 2012, 2014 dan 2021 yang mengorbankan ribuan nyawa serta memusnahkan ribuan rumah dan bangunan.
Setiap kali serangan berakhir, bantuan berbilion dolar disalurkan untuk pembinaan semula. Namun, ia hanya bersifat sementara sebelum serangan baharu kembali memusnahkan Gaza. Tiada jaminan kukuh bahawa keganasan tidak akan berulang atau sekatan yang dikenakan sejak 2007 akan benar-benar ditamatkan, sehingga Gaza boleh menjadi negara berdaulat untuk mengurus urusan politik, ekonomi, ketenteraan, termasuk kerjasama antarabnagsa dengan berbagai negara.
Ketiga, cadangan pembentukan kerajaan peralihan sebelum diserahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin boleh ditafsirkan sebagai usaha mewujudkan kerajaan pro-Barat yang selari dengan kepentingan Amerika Syarikat dan sekutunya di Timur Tengah. Ia menyerupai pendekatan pasca pencerobohan Amerika di Iraq dan Afghanistan, di mana rejim yang terbentuk berfungsi melayani kepentingan kuasa luar.
Jika kerajaan baharu Gaza diwujudkan, besar kemungkinan ia akan berada di bawah pemantauan ketat Amerika Syarikat dan Israel melalui teknologi risikan serta sekatan darat, laut dan udara bagi memastikan tiada ancaman terhadap Israel. Strategi ini pasti akan dilakukan kerana AS-Israel sedar betul bahawa perlawanan di Gaza bukan sekadar oleh Hamas, tetapi juga oleh seluruh warga Palestin yang benci akan penjajahan Israel, Hal ini dilakukan bagi memastikan peristiwa 7 Oktober 2023 tidak berulang pada masa-masa akan datang.
Tidak menghairankan jika cadangan Trump dilihat menguntungkan Israel, memandangkan kepentingan politik Amerika Syarikat di rantau tersebut berkait rapat dengan Israel. Sejak 1946 hingga 2024, Amerika telah menyalurkan bantuan bernilai sekitar 300 bilion dolar kepada Israel, termasuk sokongan ketenteraan canggih seperti pesawat-pesawat tempur dan berbagai peluru berpandu ntuk menggempur tanah Palestin.
Dapat difahami jika poin-poin penyelesaian Trump terhadap isu Gaza menguntungkan pihak Israel kerana untung rugi Israel di Palestin turut memberi kesan kepada kepentingan politik Amerika Syarikat. Selama ini Amerika banyak menggunakan Israel untuk mengintip musuh-musuhnya, malah hingga melakukan pembunuhan terhadap individu yang dianggap mengancam kepentingan kedua-dua rejim tersebut di Asia Barat. Sejak tahun 1946 hingga 2024, Amerika telah menyalurkan bantuan bernilai 300 bilion dolar kepada Israel, termasuk sokongan teknologi persenjataan canggih seperti pesawat tempur dan pelbagai jenis peluru berpandu untuk menyerang bumi Palestin.
Trump memahami bahawa sekiranya para pejuang menang di Gaza, dan Israel serta Amerika menyerahkan kembali wilayah Gaza kepada Hamas, hal itu akan menjadi ancaman serius kepada kedua-dua entiti tersebut dalam jangka panjang. Impian “Israel Raya” dan normalisasi hubungan Israel–Arab tidak akan tercapai selagi Palestin terus bergolak.
Inilah makna penting di sebalik 21 poin yang sarat dengan sokongan terhadap kepentingan kolonial Israel di Palestin. Cadangan tersebut perlu difahami sebagai kesinambungan strategi perang global Trump bersama Netanyahu bagi menghancurkan penentangan di Gaza.
Yang menghairankan, para pemimpin Dunia Islam turut sama menyokong cadangan Trump tersebut, khususnya lapan menteri luar dari Jordan, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, Pakistan, Turki, Arab Saudi, Qatar dan Mesir. Mereka mengeluarkan deklarasi bersama menyokong kepimpinan Amerika Syarikat dalam mewujudkan perdamaian di Gaza berasaskan solusi dua negara.
Hakikatnya, menyokong cadangan Trump bererti menyokong naratif Amerika yang melabel para pejuang Gaza sebagai pengganas dan radikal. Ia juga seolah-olah merestui Gaza berada di bawah kawalan serta campur tangan Barat.
Sikap Dunia Islam ini sekali lagi memperlihatkan ketiadaan kebebasan politik dalam menyelesaikan isu Palestin. Melalui pelbagai deklarasi dan kenyataan menerusi organisasi seperti OKI, para pemimpin tersebut sekadar menyatakan kekesalan, mengecam dan mendesak masyarakat antarabangsa serta PBB agar bertindak tegas terhadap situasi di Gaza. Namun, tiada satu pun langkah realistik yang benar-benar mampu menghentikan genosid terhadap penduduk Gaza.
Kita berharap Dunia Islam mampu mengemukakan naratif alternatif yang lebih baik berbanding cadangan Barat dalam menangani penjajahan di Gaza. Jika Barat berani menyatakan bahawa masalah di Palestin ialah radikalisme dan terorisme yang perlu dihapuskan, sepatutnya para pemimpin Dunia Islam juga berani dan bersatu menyatakan bahawa Israel ialah pelaku genosid dan penjajah yang mesti dihentikan.
Jika Barat berani memberikan bantuan kewangan, ekonomi dan ketenteraan kepada Israel bagi memastikan kelangsungan dan penjajahannya, maka Dunia Islam juga seharusnya memberikan sokongan penuh kepada rakyat Palestin untuk membebaskan tanah mereka.
Begitu juga apabila Barat berani menyerang Iran, Yaman, Lubnan, Syria dan Qatar atas alasan menyokong penentangan Palestin, Dunia Islam sepatutnya turut bersikap tegas terhadap negara-negara yang menyokong Israel, sama ada dari Amerika, Eropah mahupun Asia.
Namun malangnya, hal itu tidak pernah berlaku. Yang terus berjuang menentang Israel hanyalah para mujahidin. Sebaliknya, sebahagian pemimpin Dunia Islam lebih sibuk merangka pelan normalisasi atau menjaga kepentingan nasional masing-masing. Justeru, benarlah ungkapan bahawa untuk membebaskan Palestin, yang terlebih dahulu perlu dibebaskan ialah para pemimpin di Asia Barat.
Penutup
Selagi penyelesaian terhadap Palestin tidak lahir daripada paradigma yang dibangunkan oleh umat Islam sendiri, selagi itulah isu Palestin tidak akan pernah benar-benar selesai. Cadangan Trump tidak lain hanyalah mewakili kepentingan penjajah yang selama ini berkolaborasi dalam menguasai dan menghancurkan tanah-tanah umat Islam di Asia Barat.
Maka, cukuplah sejarah menjadi bukti bagaimana nasib masa depan Palestin sekiranya ia terus berada di tangan Amerika Syarikat.
Wallâhu a’lam bissawab.
Catatan kaki:
- Lihat Taqiyuddin Al-Nabhani, Al-Syakhshiyyah Al-Islamiyyah, Juz II hlm. 120.
- Lihat Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Syakhshiyyah Al-IslamiyyahJuz III hlm. 35.
- Lihat Al-Qurthubi, Al-Jami’ Li Ahkam Al-Qur’an, Juz I hlm. 404.
- Lihat Abdul Qadim Zallum, Nizhamul Hukmi fil Islam, hlm. 111.
- Lihat Ajhizah Daulah Al-Khilafah, hlm. 74.
- Lihat Abdul Qadim Zallum, Nizhamul Hukmi fil Islam, hlm. 170.
#Afkar #Palestin #Amerika

