Perang Buwaib Ramadhan 13 H, Bangkit untuk Menang
Penulis: Arini Retnaningsih
Perang Buwaib memang tidak semasyhur Perang Qadisiyah dalam penaklukan Parsi. Namun, Perang Buwaib yang berlaku pada bulan Ramadhan tahun 13 H atau 634 M adalah titik perubahan kebangkitan kaum Muslim atas pasukan Parsi. Peristiwa ini menjadi awal kegentaran luar biasa pasukan Parsi terhadap pasukan kaum Muslim. Peristiwa ini pula yang mengawali kejayaan penaklukan Empayar Parsi Sassaniyah, salah satu daripada dua negara adidaya dunia saat itu selain Romawi, yang telah berdiri selama 410 tahun. Wilayah empayar tersebut meliputi Mesopotamia (Iraq), Iran, Asia Tengah, dan sebahagian Asia Selatan.
Inilah yang menjadikan Perang Buwaib sebagai momen sejarah yang layak dikenang dalam sejarah Islam. Namun, momen ini tidak hadir seketika, melainkan setelah torehan luka Perang Jisr, yang menjadi ujian dan cabaran besar bagi kaum Muslim pada awal pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab ra.
Perang Jisr, Mengambil Pelajaran Strategi
Pasukan Islam mengalami kekalahan teruk pada bulan Syaaban 13 H kepada pasukan Parsi dalam Perang Jisr. Panglima Abu Ubaid ats-Tsaqafi dan tujuh komandan penggantinya gugur dalam pertempuran. Sekitar 4,000 tentera Islam gugur atau lemas di sungai Eufrat.
Sebahagian kecil yang lain melarikan diri ke Madinah dan sebahagian lagi bergabung dengan pasukan Islam di bawah pimpinan Al-Mutsanna bin Haritsah Asy-Syaibani ra.
Ath-Thabari dalam Tarikhnya menjelaskan bahawa kekalahan kaum Muslim dalam Perang Jisr berlaku kerana kesilapan strategi, iaitu menyeberangi jambatan untuk menyerang musuh. Sedangkan, itulah yang diharapkan oleh pihak lawan. Dengan pengenalan medan yang lebih baik, jumlah pasukan yang lebih besar, dan persiapan yang lebih matang, mereka berjaya mengucar-kacirkan pasukan kaum Muslim.
Strategi dalam perang adalah perkara yang sangat menentukan kejayaan dalam memenangi pertarungan. Oleh itu, strategi seharusnya diambil dengan pertimbangan matang dan input daripada orang-orang yang telah mempunyai pengalaman. Rasulullah SAW sendiri dalam persoalan strategi, baginda bermesyuarat dengan kaum Muslim dan mengambil pendapat mereka. Malah, dalam persoalan teknikal yang hanya diketahui oleh pakar, baginda mengambil pendapat pakar tersebut dan meninggalkan pendapat baginda sendiri, sebagaimana dalam Perang Badar apabila baginda menerima cadangan Hubab bin Mundzir.
Al-Mutsanna yang kemudian dilantik sebagai panglima perang seterusnya, melakukan penilaian secara menyeluruh. Penyertaannya dalam Perang Jisr memberikan banyak pengajaran untuk menyusun strategi baru. Dia bermesyuarat dengan para pemimpin di bawahnya. Dia lebih mengutamakan pertimbangan yang matang daripada keputusan emosi serta mengawal seluruh pasukan dan pergerakan mereka, meluruskan yang menyimpang, dan menyuntik semangat apabila pasukan terdesak.
Al-Mutsanna membuktikan bahawa kemenangan tidak semestinya tercapai disebabkan adanya sosok hebat berkaliber seperti Khalid bin Walid. Al-Mutsanna menunjukkan bahawa kebijakan, keteguhan hati, dan kelapangan menerima masukan juga boleh menjadi kunci kemenangan, di samping keyakinan yang kuat akan pertolongan Allah Taala.
Persiapan Perang
Umar bin Khattab ra. yang pada ketika itu baru beberapa bulan menjawat sebagai khalifah menggantikan Abu Bakar, membesarkan hati saki-baki pasukan yang melarikan diri ke Madinah serta memberikan sokongan penuh tanpa sedikit pun menyalahkan mereka. Inilah watak pemimpin sejati yang sentiasa boleh membangkitkan kembali semangat dalam diri anak buahnya. Kemudian, Umar memerintahkan pasukan dari pelbagai kabilah yang telah memeluk Islam untuk berangkat ke Parsi menyertai Al-Mutsanna sebagai panglima perang. Jumlah keseluruhan pasukan yang terkumpul menurut Ath-Thabari dalam Tarikh-nya berjumlah sekitar 10,000 orang.
Di antara pasukan yang bergabung, menurut Ath-Thabari, terdapat juga beberapa kelompok bukan muslim. Anas bin Hilal an-Namiri datang bersama pasukannya yang beragama Nasrani, begitu juga Ibnu Mirda al-Qihri at-Taghlibi datang bersama Bani Taghlib yang beragama Nasrani. Hal ini diperbolehkan selagi mereka berperang di bawah bendera dan kepemimpinan kaum muslim. Berbeza hukumnya, iaitu haram, jika pasukan bukan Muslim tersebut memegang kawalan kepimpinan atau berperang bersama kaum Muslim dengan membawa bendera sendiri sebagai sekutu yang setara (Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Syakhshiyah Islamiyyah, Jilid 2).
Parsi rupanya telah mendengar pergerakan kaum Muslim. Mereka kemudian memobilisasi pasukan berjumlah 100,000 orang untuk menghalang pasukan Muslim. Sebagai panglima, diangkat Mahran, seorang jeneral Sassaniyah yang memiliki reputasi terbaik. Kedua pasukan tersebut kemudian bertemu di Buwaib, daerah berdekatan Kufah, Iraq, pada bulan Ramadhan 13 H, sebulan selepas kekalahan pasukan Muslim dalam Perang Jisr.
Kecamuk Perang Buwaib
Di Buwaib, kedua pasukan bertemu di tepi Sungai Furat (Eufrat) pada sisi yang berseberangan. Mahran mengirim utusan untuk bertanyakan adakah kaum Muslim yang akan menyeberang atau pasukan Parsi. Setelah mengambil pengajaran daripada Perang Jisr, Panglima Al-Mutsanna meminta pasukan Parsi yang menyeberang.
Ketika pasukan Parsi dipersilakan untuk menyeberang, mereka segera menuju Daru Rizq dan berkumpul di sana. Mereka menyiapkan tiga kelompok pasukan, masing-masing disertai seekor gajah. Pasukan berjalan kaki ditempatkan di depan gajah.
Al-Mutsanna lalu mengarahkan pasukan untuk berbuka puasa agar kekuatannya lebih optimal, dan pasukan mematuhinya. Seluruh kesatuan pasukan perang berada pada kedudukan bersedia untuk memperagakan pola serangan secara frontal strategik.
Al-Mutsanna menunggang kudanya dan mendatangi pasukan demi pasukan. Beliau menasihati para perajurit agar gigih dalam berperang serta mengingatkan mereka tentang besarnya pahala dari Allah Taala pada hari kemudian (akhirat). Lalu, Al-Mutsanna memberikan arahan, “Aku akan bertakbir sebanyak tiga kali. Maka, bersedialah. Apabila takbir keempat dikumandangkan, serbulah pasukan musuh!”
Ketika pekikan takbir pertama berkumandang, pasukan musuh mendahului menggempur pasukan Islam. Pertempuran pun berkecamuk. Suara gemuruh, derap kuda, dan dentuman keras mengiringi pertempuran. Setiap perajurit Muslim bertempur dengan gagah berani bersama panglimanya. Tidak sedikit daripada mereka yang gugur atau cedera parah. Bahkan, komandan pasukan infantri, Mas’ud bin Haritsah, yang merupakan abang kepada Al-Mutsanna, turut gugur dalam perang ini.
Al-Mutsanna terus meniupkan semangat juang kepada para perajurit setelah kematian Mas’ud, “Wahai kaum Muslim, janganlah kematian saudara kandungku melemahkan kekuatan kalian. Sesungguhnya seperti inilah kematian orang-orang terbaik kalian.” Benar, kerana kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.
Pengakhiran Pertempuran
Pada saat api pertempuran berkobar hebat, Al-Mutsanna mengajak para jaguh perang untuk maju dan melindunginya dari belakang. Pasukan khas ini menyusup dan menerobos formasi musuh dengan kewaspadaan tinggi. Maneuver luar biasa tersebut turut membuahkan hasil luar biasa. Formasi sekatan pertahanan musuh pun tercerai-berai sehinggakan pasukan penyerbu itu mampu menerobos ke posisi Mahran. Akhirnya, Mahran berjaya ditikam oleh Al-Mundzir bin Hassan adh-Dhabbi hingga jatuh tersungkur dari kudanya.
Tanpa menyia-nyiakan peluang, Jarir bin Abdillah al-Bajali ra. dengan cepat memenggal leher Mahran. Menyaksikan peristiwa itu, pasukan musuh kucar-kacir dan berupaya melarikan diri. Namun, mereka berjaya dihalang oleh pasukan Muslim di jambatan.
Seterusnya, para mujahid menghabisi para penyembah api tersebut. Fakta sejarah mencatat sekitar 100,000 perajurit Parsi terbunuh. Hal ini diriwayatkan oleh Rabi bin Amir bin Khalid dalam Tarikh Ath-Thabari, bahawa setiap seorang Muslim membunuh sekitar 9–10 orang musuh.
Kemenangan pun diraih. Usai perang, Al-Mutsanna mengumpulkan bala tenteranya di tapak arena pertempuran. Beliau menanyakan sepak terjang mereka selama pertempuran berlangsung, lalu memberikan penghargaan serta mendoakan mereka. Kaum Muslim juga memperoleh harta rampasan perang yang melimpah.
Sayangnya, panglima besar itu menemui ajalnya tidak lama setelah Perang Buwaib tamat. Luka yang dideritanya sejak Perang Jisr bertambah parah akibat Perang Buwaib hingga mencabut nyawanya. Beliau tidak pernah menyerah kepada musuh, melainkan hanya tunduk pada takdir Allah. Semoga Allah Taala merahmatinya.
Daripada Perang Buwaib, kita dapat mengambil banyak pelajaran, terutama ketika bertekad mengemban dakwah dan memperjuangkan kebangkitan Islam. Kebangkitan Islam bukanlah hal yang mudah. Ia memerlukan orang-orang yang teguh dan istiqamah serta sentiasa berpegang pada hukum-hukum Allah.
Kebangkitan juga tidak akan berlaku secara segera, melainkan perlu diperjuangkan dengan strategi yang matang, mengenali faktor pendukung sekaligus hambatan dan cabarannya. Semoga kita mampu menjadi generasi pejuang Buwaib yang membalikkan kekalahan menjadi kemenangan, daripada keterpurukan menuju kebangkitan. Allahu Akbar!
#KisahRamadhan #PerangBuwaib #muhasabahramadhan #motivasidakwah #kebangkitanIslam #steadfast #jihadsyarie

