Site icon MuslimahHTM News

[Politik Ekonomi Islam] Hutang dalam Pandangan Syariat (Bahagian 1/3)

[Politik Ekonomi Islam] Hutang dalam Pandangan Syariat (Bahagian 1/3)

Penulis: Abdurrahman al-Maliki

Hukum syarak berkenaan hutang ialah harus bagi individu. Diriwayatkan daripada Abu Rafi‘ RA, beliau berkata: “Nabi SAW pernah meminjam seekor unta muda, kemudian datanglah unta-unta zakat kepada Baginda. Maka Baginda menyuruhku membayar semula kepada lelaki itu seekor unta muda. Aku pun berkata: ‘Aku tidak menemui dalam kalangan unta melainkan seekor unta yang baik lagi besar (unta jantan berumur empat tahun)’. Maka Baginda bersabda: ‘Berikan kepadanya unta itu,’ kerana sesungguhnya sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik dalam melunaskan hutang.” [HR At-Tirmizi, Abu Dawud, Malik dan Ad-Darimi].

Oleh itu, setiap individu dibolehkan berhutang daripada sesiapa sahaja yang dikehendakinya, sama ada daripada rakyat tempatan mahupun orang luar, dengan jumlah yang diingininya. Hal ini demikian kerana dalilnya bersifat umum dan tiada nas yang mengkhususkannya. Maka, hukum keharusan itu kekal berdasarkan keumuman tersebut.

Namun demikian, sekiranya sesuatu hutang atau bantuan itu mengakibatkan kemudaratan, maka hutang tersebut menjadi haram, berdasarkan kaedah fiqh: “Setiap perkara yang termasuk dalam perkara harus, apabila ia membawa kemudaratan atau menyebabkan mudarat, maka perkara yang tertentu itu menjadi haram, manakala hukum asal keharusannya tetap kekal.”

Berhubung dengan pinjaman yang dibuat oleh sesebuah negara, ia hanya dibenarkan dalam keadaan tertentu, iaitu bagi urusan yang tidak dapat ditangguhkan dan dibimbangi akan menimbulkan kerosakan atau kebinasaan sekiranya ditunda pelaksanaannya. Dalam keadaan sebegini, negara dibolehkan membuat pinjaman bagi tujuan tersebut, kemudian mengutip cukai daripada rakyat untuk melunaskannya, atau melunaskannya melalui hasil pendapatan lain.

Namun, bagi perkara-perkara yang boleh ditangguhkan dan tidak menimbulkan kerosakan, kebinasaan atau mudarat jika dilewatkan, maka tidak harus bagi negara membuat pinjaman. Sebaliknya, negara hendaklah menunggu sehingga terdapat dana, barulah melakukan perbelanjaan bagi tujuan tersebut.

Sebagai contoh, perbelanjaan untuk golongan fakir miskin, ibnu sabil, dan jihad merupakan perkara yang wajib dibelanjakan, sama ada terdapat dana di Baitulmal atau tidak. Jika terdapat dana, maka wajib disalurkan serta-merta. Jika tiada dana dan dikhuatiri timbul mudarat akibat kelewatan perbelanjaan, maka negara boleh membuat pinjaman untuk disalurkan segera. Namun, jika tiada kemudaratan yang ditakuti, maka perbelanjaan tersebut boleh ditangguhkan sehingga dana berjaya dikumpulkan, kemudian barulah disalurkan kepada yang berhak.

Contohnya lagi, elaun tentera dan gaji para pegawai seperti penulis, guru, hakim dan seumpamanya juga termasuk dalam perkara yang wajib dibelanjakan, sama ada terdapat dana dalam Baitulmal atau tidak. Jika ada dana, wajib disalurkan segera; jika tiada, dan dikhuatiri timbul mudarat akibat kelewatan pembayaran, maka negara boleh membuat pinjaman untuk menyalurkannya sementara dana dikumpulkan daripada umat Islam. Namun, jika tidak timbul mudarat, maka pembayaran boleh ditangguhkan sehingga dana mencukupi, kemudian diberikan kepada yang berhak.

Begitu juga bagi kejadian luar jangka seperti kebuluran, banjir besar, gempa bumi atau serangan musuh, hal-hal ini juga wajib dibelanjakan sama ada terdapat dana di Baitulmal atau tidak. Jika ada dana, maka wajib disalurkan serta-merta; jika tiada dan dikhuatiri berlaku mudarat, maka menjadi kewajipan bagi negara membuat pinjaman dan menyalurkannya dengan segera.

Keadaan-keadaan seperti yang disebutkan tadi serta yang seumpamanya merupakan keadaan yang membolehkan negara membuat pinjaman bagi melaksanakannya. Selain daripada itu, negara tidak dibenarkan membuat pinjaman.

Sebagai contoh, projek-projek infrastruktur seperti pembinaan jalan raya, sistem bekalan air, sekolah, hospital dan pelbagai pembinaan infrastruktur lain tidak boleh dijalankan melalui pinjaman negara. Namun, sekiranya ketiadaan kemudahan tersebut menimbulkan kemudaratan kepada umat sedangkan tiada dana dalam Baitulmal, maka negara wajib mengenakan cukai ke atas umat Islam bagi membiayai projek-projek tersebut, memungutnya secara paksaan, kemudian menggunakan hasilnya untuk melaksanakan projek berkenaan.

Sebaliknya, jika ketiadaan projek tersebut tidak menimbulkan kemudaratan kepada umat — seperti membina jalan kedua sedangkan sudah ada jalan lain yang masih berfungsi, atau membina hospital baharu sedangkan yang sedia ada masih mencukupi — maka jika negara mempunyai dana, bolehlah projek tersebut dilaksanakan. Namun, jika tiada dana, negara tidak boleh mengenakan cukai bagi tujuan itu, dan lebih-lebih lagi tidak boleh membuat pinjaman untuk melaksanakannya.

Projek-projek produktif juga mempunyai hukum yang sama seperti projek infrastruktur; negara tidak dibenarkan membuat pinjaman untuk melaksanakannya sama sekali. Namun, jika ketiadaan projek tersebut menimbulkan kemudaratan kepada umat, maka negara boleh mengenakan cukai ke atas rakyat bagi menampung pembinaannya. Sekiranya tiada kemudaratan, seperti pembinaan kilang pengeluaran besi yang tidak menjejaskan kehidupan umat sekiranya tiada, maka negara tidak boleh mengenakan cukai bagi tujuan tersebut.

Perlu diperhatikan bahawa terdapat perbezaan antara individu dengan negara dalam hukum ini. Bagi individu, syarak mengharuskan berhutang berdasarkan nas hadis, sebagaimana Rasulullah SAW pernah meminjam dan bersabda: “Sesungguhnya sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling baik dalam melunaskan hutang.” Maka, setiap Muslim dibolehkan berhutang, kecuali jika hutang tersebut mengakibatkan kemudaratan; maka hutang itu sahajalah yang dilarang, sedangkan hukum asal hutang kekal harus.

Manakala bagi negara, syarak telah menetapkan hak-hak yang dimiliki oleh Baitulmal serta tanggungjawab yang wajib ditunaikannya. Segala harta yang menjadi hak umat Islam tetapi tidak ditentukan pemiliknya secara individu tergolong dalam hak Baitulmal. Begitu juga setiap kewajipan yang mesti dibelanjakan untuk kemaslahatan umat Islam merupakan tanggungjawab Baitulmal.

Oleh itu, semua hasil pendapatan negara telah ditetapkan oleh syarak melalui penentuan sumber pendapatan Baitulmal, iaitu setiap harta yang menjadi hak umat Islam berdasarkan nas syarak tanpa ditentukan pemiliknya secara individu.

Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.

#PolitikEkonomiIslam #Hutang

Exit mobile version