Site icon MuslimahHTM News

Merenungkan Perjuangan Rasulullah SAW Semasa dan Pasca-Ramadhan

Merenungkan Perjuangan Rasulullah SAW Semasa dan Pasca-Ramadhan

 

Penulis: Ustazah Rahmah

 

Apabila tiba bulan suci Ramadhan, yang terus terlintas di fikiran kita ialah Ramadhan bulan ketaatan, bulan ibadah. Umat Islam sibuk dengan pelbagai ibadah mahdhah, termasuk tadarus (membaca al-Quran), berzikir, bersedekah, menyediakan takjil untuk berbuka puasa, iktikaf, solat Tarawih, dan ibadah yang lain. Seolah-olah hanya itulah yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat, iaitu hanya mengisi Ramadhan dengan pelbagai aktiviti ibadah.

 

Memang benar bahawa Rasulullah SAW dan para sahabat mengisi Ramadhan dengan ibadah, malah rata-rata mereka mengkhatamkan al-Quran satu kali sehari. Akan tetapi, Rasulullah SAW juga mengisi Ramadhan dengan perjuangan, termasuk berperang.

 

Perang Semasa Ramadhan

 

Pada Ramadhan 8 H/630 M, Rasulullah SAW dan para sahabat menghadapi Perang Badar. Perang Badar merupakan perang besar, memerlukan pengorbanan besar yang luar biasa, baik secara fizikal mahupun mental. Ini kerana Perang Badar berlaku semasa puasa Ramadhan, dalam keadaan lapar dan dahaga. Tambahan pula, Perang Badar merupakan perang yang tidak dirancang. Bilangan sahabat yang menyertainya tidak setanding dengan jumlah pasukan musuh yang jumlahnya tiga kali ganda.

 

Untuk memenangi Perang Badar, strategi yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah dengan menanamkan dalam diri sahabat bahawa perang ini pasti dimenangkan kerana mereka adalah umat Islam yang memiliki sumber kekuatan yang luar biasa, iaitu quwwatur-ruhiyyah, kekuatan yang luar biasa, keyakinan akan pertolongan Allah Taala. Kekuatan seperti ini tidak dimiliki oleh orang-orang kafir. Penanaman keyakinan terhadap kemenangan ini kemudian disertai dengan memaksimumkan semua strategi, semangat juang yang tinggi, dan doa.

 

Perhatikan janji Allah SWT yang akan memberikan kemenangan kepada kaum muslim atas musuh-musuhnya, meskipun jumlah musuh mereka lebih banyak. Dalam surah Al-Baqarah ayat 249 Allah SWT berfirman,

 

كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةًۢ بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ

 

“Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.”

 

Allah SWT juga berjanji memenangkan (menolong) umat Islam yang menolong agama-Nya. Dalam surah Muhammad ayat 7 Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”

 

Perang Badar pun berakhir dengan kemenangan besar. Kemudian, ketika  masih Ramadhan 8 H/630 M, Rasulullah SAW dan para sahabat segera menyusun strategi Fathu Makkah (penaklukan Kota Mekah) dengan aman. Ibnu Hisyam menuliskan dalam kitab sirahnya bahawa Rasulullah SAW berangkat ke Kota Mekah pada 10 Ramadhan bersama 10,000 umat Islam. Dalam suasana Ramadhan itu, Rasulullah SAW dan para sahabat menempuh perjalanan kira-kira 500 kilometer.

 

Baginda SAW berusaha untuk memastikan bahawa perang ini tidak mencetuskan tentangan yang ketara daripada pihak Quraisy. Oleh sebab itu, baginda SAW berusaha keras untuk menyembunyikan maklumat tentang penaklukan Kota Mekah ini agar tidak sampai kepada pihak Quraisy. Tujuannya agar mereka tidak sempat menyediakan pasukan besar dan meminta bantuan dari pihak lain, serta menggerakkan kekuatan mereka yang pasti akan menimbulkan pertempuran besar, sengit, perlawanan ganas, dan jatuhnya banyak korban.

 

Seterusnya, pada saat beliau dan tentera kaum muslim sudah hampir sampai ke Kota Mekah, barulah baginda menunjukkan tentera kaum muslim dengan jumlah yang sangat banyak, persiapan senjata yang lengkap, dan kekuatan yang hebat kepada Abu Sufyan—yang ketika itu baru sahaja memeluk Islam. Tujuannya agar Abu Sufyan segera memaklumkan kepada pihak kafir Quraisy tentang tentera kaum muslim yang banyak, kekuatan mereka, dan kelengkapan persenjataan mereka, sehingga orang-orang kafir Quraisy tidak mampu menghadapi mereka. Dari sini, Abu Sufyan dijangka akan mempengaruhi orang-orang kafir Quraisy agar mereka menyerah kalah.

 

Dengan demikian, Fathu Makkah merupakan penaklukan yang aman, tidak berlaku peperangan atau rusuhan besar, kecuali peperangan kecil di Khandamah dan dengan cepat berjaya ditumpaskan oleh pasukan Khalid bin Walid.

 

Tidak berhenti sampai di situ, Rasulullah SAW terus membangkitkan semangat perjuangan pasca Ramadhan, malah selepas Fathu Makkah, diteruskan dengan Perang Hunain. Perang Hunain berlaku pada Syawal 8 H di Lembah Hunain, sebuah lembah yang menghubungkan Kota Mekah dan Thaif. Perang ini melibatkan 12,000 tentera, terdiri daripada 10,000 umat Islam yang tinggal di Madinah dan 2,000 dari Mekah. Manakala, Perang Thaif berlaku pada Syawal  8 H selepas tercetusnya Perang Hunain. Dalam peperangan ini, tentera kaum muslim mengejar saki-baki pasukan Quraisy yang telah melarikan diri dari Perang Hunain dan bersembunyi di dalam kubu kota yang kukuh. Sejarah mencatatkan kemenangan gemilang ada di tangan umat Islam.

 

Merenungkan Perjuangan Rasulullah SAW

 

Merenungkan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat, kita dapat menyaksikan bahawa Ramadhan, Syawal, dan Zulkaedah adalah bulan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat. Mereka adalah orang-orang yang layak mendapatkan Jannatul Firdaus. Mereka berjaya dengan gemilang menorehkan tinta emas, mencapai kejayaan dan kemenangan besar dalam Perang Badar, Perang Hunain, Perang Thaif, dan Fathu Makkah secara aman. Hal ini sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada hikmah ibadah Ramadhan yang mereka raih, iaitu ketakwaan.

 

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 183,

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٨٣

 

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.”

 

Rasulullah SAW dan para sahabat meningkatkan diri sehingga ke puncak ketakwaan, iaitu berjihad di jalan Allah. Inilah takwa yang sebenarnya, sebagaimana dalam firman-Nya surah Ali Imran ayat 102,

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ ١٠٢

 

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sesekali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.”

 

Imam Zamaksari mentafsirkan حَقَّ تُقَاتِهِ , iaitu benar-benar melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. (Imam Zamaksari, Tafsir al-Kassaf, Juz I, hlm. 306).

 

Ibnu Kathir mentafsirkan: hendaklah taat dan janganlah bermaksiat. Sedangkan Imam Jalalain mentafsirkan: Hendaklah taat, maka janganlah bermaksiat; hendaklah bersyukur, maka janganlah kufur; hendaklah ingat (kepada Allah), maka janganlah lupa. (Tafsir Jalalain, Juz I, hlm. 394).

 

Dengan demikian, Ramadhan hendaklah menjadi momen perubahan besar. Ramadhan memupuk individu yang bersifat takwa, keluarga yang bertakwa, sehingga masyarakat dan negara yang bertakwa. Bertakwa bermaksud melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya dalam semua aspek kehidupan. Dengan kata lain, orang yang bertakwa mestilah meninggalkan maksiat, meninggalkan undang-undang buatan manusia, meninggalkan kapitalisme, materialisme, liberalisme, dan ideologi lain sepenuhnya, dan bersegera menerapkan syariat Islam secara kaffah.

 

Allah SWT berjanji kepada orang-orang bertakwa bahawa mereka akan memperoleh kemenangan. Bertakwa memerlukan kita sentiasa melangkahkan kaki mengikut arahan al-Quran dan hanya dengan berpandukan al-Quran inilah menjadikan kita bertakwa dan mencapai kemenangan.

 

Rasulullah SAW bersabda,

 

“إنَّ هَذَا الْقُرْآنَ هو حَبْلُ اللهِ الْمتِينُ، وهو النور المبين وهُوَ الشِّفَاءُ النَّافِعُ، عِصْمةٌ لِمَنْ تَمَسَّكَ بِهِ، ونَجَاةٌ لِمَنِ اتَّبَعَهُ”

 

“Sesungguhnya al-Quran ini adalah tali Allah yang kukuh, ia adalah cahaya yang nyata, ia juga ubat yang bermanfaat, pencegah dosa bagi sesiapa pun yang berpegang teguh kepadanya, dan kemenangan bagi sesiapa sahaja yang mengikutinya.” (HR Hakim).

 

Ramadhan dan pasca-Ramadhan adalah bulan perjuangan dan pengorbanan. Inilah yang kita lihat pada diri Rasulullah SAW dan para sahabat. Setelah Perang Badar, mereka tidak hanya pulang berehat apabila kembali ke Madinah, tetapi sebaliknya mereka meneruskan dengan Fathu Makkah (penaklukan Kota Mekah) dan diikutikan dengan Perang Hunain, Perang Thaif, kemudian menunaikan umrah wadak.

 

Selama tiga bulan Rasulullah SAW dan para sahabat meninggalkan Kota Madinah. Rangkaian perjuangan itu berakhir selepas Perang Hunain, Perang Thaif, dan umrah pada Zulkaedah sebelum kembali ke Madinah. Mereka berangkat dari Madinah pada 10 Ramadhan. Mereka meninggalkan kampung halaman dan keluarga mereka. Mereka berpuasa dan berjihad di jalan Allah, serta berhari raya di medan jihad. Ketika Syawal, mereka berjihad dalam Perang Hunain dan menghabiskan puluhan hari mengepung musuh dalam Perang Thaif. Kemudian mereka kembali ke Madinah enam hari sebelum berakhirnya Zulkaedah.

 

Oleh itu, apabila kita merenungkan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat dalam meninggikan agama Allah, lalu Allah memberikan serangkaian kemenangan yang telah Dia janjikan, ini sepatutnya menjadi motivasi yang kuat bagi kita untuk lebih aktif dan bersemangat dalam perjuangan meneruskan kehidupan Islam secara kaffah.

 

Terlihat juga bahawa motivasi perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat bukanlah lahir dari semangat yang sesaat, tetapi lebih kepada iman yang teguh dan keyakinan sepenuhnya terhadap janji Allah Taala. Rasa lapar dan dahaga yang dialami semasa berpuasa hanya memperdalam ketundukan  mereka dan menguatkan keyakinan terhadap pertolongan-Nya.

 

Semangat inilah yang sepatutnya turut memotivasikan umat Islam hari ini. Ramadhan bukanlah masa untuk menyempitkan makna ibadah kepada ranah peribadi atau mahdhah sahaja, sebaliknya momentum untuk memperbanyakkan amal soleh dalam semua aspek kehidupan.

 

Khatimah

 

Pasca-Ramadhan nanti, umat Islam pasti lebih bersemangat untuk menyedarkan kesalahan-kesalahan solusi yang dilaksanakan—selain daripada solusi Islam—kerana semua itu tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Malah sebaliknya, masalah akan semakin rumit dan parah. Umat juga akan mengalami kehinaan dan kemunduran.

 

Imam Al-Qurtubi ketika mentafsirkan surah Al-Anbiya’ ayat 107 menjelaskan,

 

)وَما أَرْسَلْناكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعالَمِينَ) قَالَ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: كَانَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَحْمَةً لِجَمِيعِ النَّاسِ فَمَنْ آمَنَ بِهِ وَصَدَّقَ بِهِ سَعِدَ، وَمَنْ لَمْ يُؤْمِنْ بِهِ سَلِمَ مِمَّا لَحِقَ الْأُمَمَ مِنَ الْخَسْفِ وَالْغَرَقِ.

 

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. Sa’id bin Jubair berkata, dari Ibnu Abbas berkata, ‘Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh umat manusia, maka barangsiapa beriman dan membenarkannya, dia akan memperoleh kebahagiaan; dan barangsiapa tidak beriman kepadanya, maka dia akan menerima sebagaimana yang ditemui oleh umat (yang menolaknya), iaitu menemui kehinaan dan tenggelam (kemunduran).’” (Imam Al-Qurtubi, Tafsir Al-Qurtubi, Tafsir surah Al-Anbiya’ ayat 107).

 

Jika ingin segera keluar dari permasalahan yang kita hadapi, tidak ada jalan lain, kecuali menerapkan Islam secara kaffah dalam semua aspek kehidupan. Semoga dengan merenungkan pada perjuangan Rasulullah SAW semasa dan pasca-Ramadhan boleh menjadikan kita semakin semangat berjuang menampilkan Islam kaffah sebagai solusi kepada semua masalah kehidupan. Insya-Allah umat akan segera mencapai kemenangan, seperti janji Allah SWT kepada mereka yang membela dan menolong agama-Nya.

 

 

#KisahRamadhan #Jihadfisabilillah #SejarahUmatIslam #KemenanganIslam #KekuasaanIslam #KejayaanKhilafah #SolusiIslamKaffah #PolitikIslam

Exit mobile version