Wafatnya Khalid bin Walid, Si “Pedang Allah yang Terhunus”
Penulis: Retno Sukmaningrum, S.T., M.T.
Siapa yang tidak kenal Khalid bin Walid, panglima Islam yang tersohor? Di bawah kepemimpinannya, tidak ada satu pun peperangan kaum Muslim yang dikalahkan kaum kafir. Keberanian, kepemimpinan, dan kepakarannya mengatur strategi dalam berperang yang melayakkan Khalid mendapatkan gelaran sebagai “Pedang Allah yang Terhunus”.
Kehandalan Khalid dalam memimpin peperangan telah tampak sebelum beliau masuk Islam. Kita sudah tentu ingat akan peristiwa Perang Uhud (625 M), di mana dalam pertempuran di Bukit Uhud itu, awalnya kaum Muslim sudah meraih kemenangan, namun semuanya menjadi sebaliknya akibat pasukan pemanah tidak mengendahkan perintah Rasulullah SAW.
Pasukan pemanah keluar dari posisi mereka dengan menuruni bukit. Khalid yang memimpin pasukan berkuda Quraisy dengan jeli melihat celah kosong pertahanan tersebut sehingga dia mengambil jalan dari arah belakang dan menyerang pasukan Muslim dari belakang. Serangan mendadak ini mengepung pasukan Muslim dari dua arah serta menyebabkan kekacauan dan banyak yang syahid di pihak kaum Muslim.
Perang Mu’tah
Pada saat peristiwa Perang Mu’tah, Khalid belum lama masuk Islam. Di dalam pasukan Mu’tah, Khalid tidak ditunjuk sebagai panglima perang, tetapi pada akhirnya menggantikan posisi ketiga panglima yang gugur berturut-turut. Anas bin Malik ra. meriwayatkan bahawa Nabi ﷺ mengabarkan kematian Zaid bin Haritsah, Ja’far bin Abu Thalib, dan Abdullah bin Rawahah sebelum berita kematian mereka sampai ke Madinah. “Panji telah diambil oleh Zaid, dan dia gugur sebagai syahid. Kemudian panji dipegang oleh Ja’far, dan dia pun gugur sebagai syahid. Setelah itu diambil oleh Ibnu Rawahah, dan dia juga gugur sebagai syahid…” (HR Bukhari).
Setelah gugurnya tiga panglima awal, Khalid mengambil alih komando, menenangkan pasukan, dan menyusun kembali barisan yang porak-poranda. Khalid memerintahkan pasukan di barisan belakang pindah ke depan, dan sayap kiri ke kanan (atau sebaliknya) secara terus-menerus.
Dia juga memerintahkan pasukan menyeret pelepah kurma di atas pasir di belakang kuda untuk menimbulkan debu tebal dan menciptakan kesan seolah-olah ada tambahan bala bantuan besar dari Madinah. Dengan taktik tersebut, pasukan Romawi terkejut melihat wajah-wajah baru dan menyangka kekuatan pasukan Muslim bertambah. Hal ini membuat semangat mereka jatuh dan tidak berani menyerang secara terburu-buru.
Dengan jumlah pasukan yang sangat tidak seimbang dan waktu tidak memungkinkan untuk meminta bantuan dari Madinah, Khalid pun memutuskan mundur secara teratur dalam formasi tempur, bukan melarikan diri. Mundur adalah langkah cerdik untuk menghindari kehancuran total, dan strategi itu terbukti berhasil kerana Romawi takut mengejar, bahkan menyangka itu adalah perangkap.
Perlu diketahui, Perang Mu’tah merupakan pertempuran pertama melawan Kekaisaran Romawi yang sangat besar. Pasukan Muslim berjumlah 3,000 orang menghadapi 100,000 hingga 200,000 tentera Romawi. Khalid bin Walid mengambil alih komando dan memutuskan untuk mundur bagi menyelamatkan pasukan agar tidak musnah, sebuah keputusan strategik yang saat itu belum difahami oleh sebahagian penduduk Madinah. Rasulullah SAW bukan menyebut pasukan yang dipimpin Khalid sebagai pasukan pengecut (al-furrar), namun sebaliknya dijuluki dengan pasukan yang akan kembali berperang (al-kurrar).
Berjuang demi Redha Allah
Setelah Khalid bin Walid memeluk Islam, lebih daripada 100 pertempuran dipimpinnya dan tidak ada satu pun yang terkalahkan. Sehingga muncul di benak kaum Muslim, jika pasukan dipimpin Khalid diyakini pasti menang. Hal inilah yang dikhuatirkan oleh Khalifah Umar bin Khattab sehingga Khalid bin Walid dilucut daripada posisi panglima perang. Bukan kerana Khalid yang salah, namun Umar bimbang kaum Muslim akan mendewakan atau terlalu bergantung pada kehebatan Khalid daripada bertawakal kepada Allah SWT.
Setelah dilucut daripada posisi panglima, Khalid tetap menunjukkan kemahiran perang (militer) dan kesungguhannya dalam berjuang. Walaupun telah menjadi tentera biasa, Khalid tetap tegak berdiri di barisan kaum Muslim. Dia turut serta dalam berbagai pertempuran berikutnya dan menjadi saksi kemenangan-kemenangan Islam di wilayah Syam, termasuk dalam pengepungan Damaskus.
Empat tahun setelah pelucutannya, Khalid bin Walid jatuh sakit hingga membawa kepada kematiannya. Khalid wafat pada bulan Ramadhan 21 H (sekitar 642 M) di Homs, Syam (sekarang Syria). Keinginan besar Khalid untuk syahid di jalan Allah tidak kesampaian, walaupun seluruh tubuhnya pernah tertoreh luka sebagai saksi penglibatannya dalam ratusan pertempuran membela Islam.
Daripada Khalid kita belajar tentang keikhlasan, bahawa berjuang bukanlah kerana jawatan dan kedudukan, namun demi keredhaan Allah semata-mata. Di situlah tampak kematangan keperibadian Islam dan integriti seorang pemimpin.
Daripada Khalid juga kita belajar, bahawa tidak ada satu pun manusia yang tahu pengakhiran kematiannya. Seorang panglima perang pun belum tentu pengakhiran kematiannya syahid sebagaimana harapannya. Namun, seluruh luka di tubuh serta sepak terjangnya di medan jihad, menjadi saksi bahawa hidup Khalid telah dicurahkan dalam membela agama Allah.
Lalu bagaimana dengan kita? Sudahkah amal hidup selama ini cukup menjadi hujah kita kelak di hadapan Allah?
Wallahualam bissawab.
#KisahRamadhan #KhalidAlWalid #TokohInspirasi #Jihadfiisabilillah #PedangAllah #KejayaanIslam #KemenanganIslam #KekuasaanIslam #KeperibadianIslam #Takwa #IkhlasKeranaAllah #IntegritiPemimpin

