Site icon MuslimahHTM News

[NF149] Kesatuan Umat: Tanggungjawab Aqidah, Bukan Pilihan

[NF149] Kesatuan Umat: Tanggungjawab Aqidah, Bukan Pilihan

 

Oleh: Nur Zuliyana Mustafa

 

Muqaddimah

 

Kedatangan bulan Syawal sentiasa dinanti-nantikan dan disambut dengan penuh kesyukuran oleh seluruh umat Islam, lebih-lebih lagi setelah kita melalui sebulan ibadah puasa Ramadhan. Syawal merupakan hari kemenangan buat umat Islam setelah berjaya menahan diri daripada lapar dan dahaga, mengawal hawa nafsu, memperbanyakkan amal ibadah, serta berusaha memperbaiki diri sepanjang Ramadan melalui pelbagai amalan wajib dan sunat.

 

Namun, penentuan 1 Syawal sering berbeza antara negara walaupun berada dalam rantau yang sama. Sebahagian pihak menjelaskan pada perspektif sains dan astronomi, manakala sebahagian yang lain dengan alasan perbezaan mazhab dalam penentuan rukyatul hilal. Perbezaan ini berlaku sekian lama semenjak dunia Islam terpecah menjadi puluhan negara tanpa naungan seorang pemimpin.

 

Walaupun hanya masalah cabang fiqh, tetapi kerana ini juga termasuk syiar, maka kesatuan itu adalah kewajipan utama. Allah SWT dengan jelas telah memerintahkan penyatuan umat melalui beberapa firmanNya,

 

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah.” [TMQ Ali-‘Imran (3): 103]

 

“Sesungguhnya umat kamu ini adalah umat yang satu, dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah Aku.” [TMQ Al-Anbiya’ (21): 92]

 

Rasulullah SAW turut mengumpamakan umat Islam seperti satu tubuh. Maka berdasarkan dalil-dalil tersebut, penyatuan umat adalah satu kewajipan berkait aqidah, bukan pilihan. Sebarang perkara yang membawa kepada bibit-bibit perpecahan adalah termasuk larangan Allah SWT.

 

Mengapa Umat Islam Berpecah?

 

Hakikatnya, terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada perpecahan umat Islam:

 

Pertama ialah perbezaan mazhab dan aliran dalam kalangan umat Islam. Sikap kepuakan dan fanatik terhadap mazhab atau aliran tertentu sering menjadi punca kepada permusuhan sesama kaum Muslimin. Islam sememangnya membenarkan kepelbagaian ijtihad dalam persoalan fiqh. Namun, perbezaan ini bertukar menjadi perpecahan apabila wujud sikap taksub yang melampau, merendahkan pandangan pihak lain serta menjadikan khilaf sebagai alasan untuk bermusuhan. Apatah lagi bagi syiar yang melambangkan kesatuan umat, kita seharusnya tidak berbeza. Umat Islam tetap bernaung di bawah Rabb, Rasul dan Al-Quran yang satu.

 

Kedua, kewujudan sempadan nasionalisme dengan bendera yang direka para penjajah bagi memecah-belahkan umat Islam. Setiap negara umat Islam dibiarkan pemimpin masing-masing membuat keputusan sendiri tanpa berpaksikan kesatuan umat. Alasannya demi kedaulatan negara bangsa, padahal ia adalah praktik fahaman asabiyyah dan wathaniyyah yang jelas dilarang oleh Allah SWT. Hanya ikatan akidah yang benar dapat menyatukan kaum Muslimin.

 

Ketiga, pengkhianatan pemimpin umat Islam. Dalam Islam, pemimpin berperanan sebagai pelindung dan penjaga umat. Namun realitinya hari ini, sebahagian pemimpin gagal mempertahankan kepentingan umat, bahkan sanggup menjadi boneka kuasa Barat demi kuasa dan kekayaan. Hal ini jelas terlihat dalam isu Palestin yang berlarutan, apabila rakyat Palestin terus dizalimi sedangkan ramai pemimpin umat Islam hanya berdiam diri malah sama-sama bersetuju dengan pelan pihak musuh. Tentera kita tidak bersatu untuk mempertahankan saudara yang dizalimi dengan nyata. Jelaslah penyatuan ini belum berlaku, kita belum lagi menang walau Syawal tetap diraikan.

 

Masyarakat Sebagai Agen Perubahan

 

Justeru, siapakah yang mampu menjadi pencetus perubahan kepada keadaan ini? Jawapannya ialah umat Islam sendiri. Untuk mencapai penyatuan umat, umat perlu diikat dengan satu pemikiran, satu perasaan dan satu peraturan yang sama. Apabila umat memiliki pemikiran Islam yang benar, akan melahirkan perasaan kebersamaan. Daripada kesatuan perasaan inilah akan muncul keinginan untuk diatur dan ditadbir di bawah satu sistem yang benar iaitu Islam.

 

Sirah telah membuktikan bahawa pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, di Madinah yang dahulunya dikenali sebagai Yathrib, kaum Aus dan Khazraj pernah bermusuhan selama ratusan tahun akibat sentimen kesukuan. Namun, setelah kedatangan Mus‘ab bin ‘Umair, keadaan ini berubah. Dakwah Mus’ab bukan sekadar menyampaikan ajaran agama, bahkan membersihkan pemikiran berpuak-puak, menghapuskan sentimen asabiyyah serta menyatukan perasaan umat. Kedatangan Rasulullah SAW dan  Muhajirin daripada Mekah dinanti-nantikan oleh masyarakat Yathrib agar Islam benar-benar berkuasa dalam menerapkan peraturan daripada Allah SWT. Kemudian, Piagam Madinah ditandatangani agar mereka bersatu, hidup dan mati mempertahankan keagungan Islam bersama.

 

Berjuang Merealisasikan Islam Kaffah & Kesatuan Umat

 

Kesatuan hanya dapat dicapai apabila Islam diterima sebagai cara hidup yang lengkap dan menyeluruh  merangkumi aspek aqidah, ibadah, akhlak serta sistem kehidupan. Namun realitinya hari ini, umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran yang menghalang kepada penyatuan.

 

Antara cabaran yang besar ialah penjajahan pemikiran. Penjajah tidak hanya menjajah tanah umat Islam, bahkan mereka juga mengubah cara berfikir umat. Melalui sempadan negara bangsa, semangat nasionalisme disuburkan dan sistem bukan Islam dinormalisasikan dalam kehidupan seharian. Akibatnya, umat dipecah-pecahkan, bukan sahaja secara geografi, tetapi juga dari sudut pemikiran dan identiti.

 

Oleh itu, menjadi tanggungjawab umat Islam bagi membongkarkan naratif penjajahan serta menyedarkan semua bahawa perpecahan bukan ajaran Islam. Perbezaan mazhab fiqh hanyalah melambangkan kesuburan ilmu dan keluasan ijtihad daripada para mujtahid yang ikhlas mencari gali hukum bagi setiap permasalahan baru manusia.

 

Selain itu, cabaran pemisahan agama daripada kehidupan melalui sistem sekular. Apabila Islam hanya difahami sebagai ibadah ritual semata-mata, sedangkan dalam aspek pemerintahan dan pengaturan umat ditentukan oleh sistem yang lain. Justeru, umat perlu mengubah pemikiran kepada kefahaman Islam yang benar, serta menjadikan Islam sebagai rujukan utama dalam semua aspek kehidupan. Perjuangan mengubah pemikiran ini adalah metod (thariqah) yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat RA.

 

Tidak kurang pentingnya juga adalah perjuangan membongkar pengkhianatan sebahagian pemimpin umat Islam. Kepimpinan bukanlah satu keistimewaan, tetapi amanah yang sangat berat. Pemimpin sepatutnya menjadi pelindung, penjaga dan pemersatu umat. Namun apabila kepimpinan disalahgunakan demi kuasa dan kepentingan peribadi, maka umat terus menjadi mangsa. Dalam hal ini, menjadi tanggungjawab umat Islam untuk melakukan muhasabah secara beradab, menasihati dengan hikmah serta menuntut kepimpinan yang adil, amanah dan terikat dengan hukum Allah.

 

Umat Islam yang terdiri daripada lelaki dan wanita, dan kedua-duanya mempunyai peranan yang sama penting dalam membentuk kesatuan umat. Dalam Islam, tanggungjawab dakwah bukan milik satu jantina sahaja, sebaliknya merupakan amanah bersama yang perlu dipikul mengikut kemampuan dan peranan masing-masing. Penyatuan umat tidak akan berlaku jika hanya segelintir yang bergerak, sedangkan yang lain terus berdiam diri.

 

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong bagi sebahagiannya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan..” [TMQ At-Taubah (9):71]

 

Khatimah

 

Dakwah yang berterusan dan tersusun akan melahirkan kesedaran umat, seterusnya membentuk kesatuan pemikiran dan perasaan sehingga muncul keinginan untuk hidup di bawah peraturan yang sama. Namun, kesatuan ini tidak akan kekal tanpa kekuasaan Islam yang sebenar kerana sistem dan peraturanlah yang menjaga perpaduan umat. Tanpa penerapan Islam secara menyeluruh, penyatuan akan terus bersifat sementara dan rapuh.

 

Rujukan :

 

 

 

#KesatuanUmat #1Ummah1Perjuangan #MuslimIdeal #MasyarakatMuslimIdeal

Exit mobile version