Penjajahan Gaza: Kesedaran Politik Yang Benar Sangat Diperlukan
Oleh: Rahmah
Dalam Slot Muslimah Tea Break yang bertajuk Mengembalikan Kedamaian Ghazzah pada Ahad (8/3/2026), Aktivis Muslimah Dr Aslam menegaskan perlunya kesedaran politik Islam yang benar dalam menanggapi keadaan yang berlaku di Gaza.
“Kesedaran politik yang benar di kalangan umat Islam itu sangat-sangat diperlukan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan bahawa umat Islam tidak boleh hanya melihat apa yang berlaku di Gaza dari sudut bantuan kemanusiaan semata-mata, tetapi perlu memahami realiti percaturan politik global di sebaliknya.
“Apa yang berlaku di Gaza sepatutnya ada panggilan dari umat Islam dari sudut ketenteraan, bukan sekadar bantuan kemanusiaan” katanya.
Menurutnya lagi, serangan yang terjadi di Iran baru-baru ini memperlihatkan kesinambungan kezaliman yang dilakukan oleh pihak yang sama.
“Kita sendiri sebagai umat Islam kena melihat isu sekarang ini yang berlaku di Iran dan Gaza ada kesinambungan, tidak boleh lihat dari aspek yang berbeza kerana pelaku yang terlibat adalah sama juga, US dan Israel adalah sekutu” terangnya.
Beliau turut mengungkapkan bahawa tindakan US ini tidak lain adalah untuk mengekalkan kedudukannya sebagai superpower dunia walau dikecam sekalipun.
Dr Aslam turut menyentuh tentang perbezaan visi antara kuasa besar dan dunia Islam hari ini sekaligus menyerlahkan lagi kelemahan kepimpinan umat Islam pada hari ini. Menurutnya, negara-negara besar bergerak dengan strategi dan ideologi yang jelas bagi mengekalkan pengaruh mereka di peringkat global.
“Kita boleh bezakan negara Islam dan negara kafir sekarang ini, mereka mempunyai visi, itu perkara yang kita lack of sebagai umat Islam,” kesalnya.
Keadaan ini menurutnya menyebabkan umat Islam mudah terperangkap dalam percaturan kuasa-kuasa besar dunia. Beliau menggambarkan situasi umat Islam dalam percaturan kuasa dunia dengan analogi permainan catur.
“Sekarang mereka namakan Board of Peace, kita (umat Islam) seolah berada di chess board; selagi kita berada di bawah mereka, memang check-mate”, ungkapnya.
Justeru itu, beliau menyeru agar umat Islam membina kesedaran politik berdasarkan pemikiran Islam yang benar, dan bukan sekadar mengikut arus atau fokus hanya kepada ibadah ritual. “Sebagai individu, kita kena ada kesedaran yang benar dan perlu ada perbincangan sebegini,” katanya.
Malah menurutnya menjadi tanggungjawab bersama umat Islam dalam menyampaikan naratif yang benar kepada generasi akan datang. “Sebagai Muslim yang mengimani Allah dan Rasul, kita mesti mempunyai dinamika kesedaran tentang politik kuasa global. Individu Muslim mesti menjadi amplifier yang menyampaikan pandangan-pandangan ini kepada umat; menjelaskan naratif-naratif yang terpesong dari landasan yang benar perlu diusahakan,” tambahnya.
Beliau menyatakan pentingya umat memahami solusi yang benar yang datangnya dari Islam itu sendiri iaitu sistem khilafah.
“Sebenarnya sistem yang tepat untuk mengatasi permasalahan umat Islam adalah dari sistem Islam itu sendiri iaitu di bawah sistem kekhilafahan, bukan sistem kapitalis, sistem Trump, sistem Israel itu sendiri”, tegasnya.
Dengan penegasan ini, Dr. Aslam menyeru umat Islam terutama di sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan agar tidak hanya fokus kepada ibadah ritual semata, tetapi juga membina kesedaran politik, kefahaman strategik, dan tanggungjawab terhadap umat Islam di seluruh dunia.
“Inilah momen Ramadhan yang terakhir yang penuh berkat, untuk lebih dekat kepada Allah sambil mengambil tahu politik umat Islam yang ada di luar sana seperti firman Allah dalam surah Ar-Ra’du, Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan pada suatu kaum, melainkan kaum itu sendiri yang berusaha untuk mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”, tegasnya.
Sumber: https://www.facebook.com/share/1776NqqpdH/
#MuhasabahRamadhan #KesedaranPolitik #1Ummah1Perjuangan #MuslimIDeal #PeduliUmat #ArmiestoGaza #ArmiestoAqsa #TrueVision4Change

