Site icon MuslimahHTM News

Perang Ahzab dan Optimisme Kemenangan pada Bulan Syawal

Perang Ahzab dan Optimisme Kemenangan pada Bulan Syawal

 

Penulis: Wardah Abeedah

 

Syawal sering dikaitkan dengan kemenangan. Kebanyakan umat Islam mentafsirkan kemenangan pada Hari Raya Aidilfitri sebagai meraikan keutamaan Ramadhan. Kita sepatutnya merenungkan peristiwa agung kemenangan umat Islam yang berlaku pada bulan Syawal.

 

Peristiwa tersebut diabadikan dalam al-Quran dalam surah Al-Ahzab yang menggambarkan kekuatan iman umat Islam. Kekuatan iman melahirkan ketenangan di tengah-tengah ancaman besar dan menimbulkan optimisme untuk kemenangan di tengah-tengah kesulitan besar, iaitu pengepungan ahzab (pasukan bersekutu). Allah Taala berfirman,

 

“Dan ketika orang-orang mukmin melihat golongan-golongan (yang bersekutu) itu, mereka berkata, ‘Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.‘ Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu menambah keimanan dan keislaman mereka.‘” (Surah Al-Ahzab: 22)

 

Perang Ahzab atau Khandaq, digambarkan oleh para ulama sebagai salah satu peperangan paling sukar yang dihadapi oleh Nabi SAW. Pada bulan Syawal tahun kelima Hijriah, Bani Nadhir yang telah diusir dari Madinah, memprovokasi dan mengumpulkan kekuatan kaum kafir. Huyai bin Akhthab mengajak kaum musyrik Quraisy, suku Ghathafan, Bani Fuzarah, Bani Asyja’, Bani Salim, Bani Sa’ad, Bani Asad, dan pihak-pihak lain yang menyimpan dendam terhadap umat Islam untuk membentuk koalisi bagi menyerang Rasulullah SAW. Mereka bersepakat untuk bergabung dalam pasukan Ahzab dengan satu tujuan, iaitu memusnahkan Madinah dan membunuh Nabi SAW. Tidak kurang daripada 10,000 tentera Ahzab bergerak menuju Madinah di bawah pimpinan Abu Sufyan.

 

Strategi Pintar Umat Islam

 

Berita keberangkatan Pasukan Ahzab sampai kepada Nabi SAW. Bagi melindungi Madinah daripada serangan gabungan tersebut, sebuah parit dibina sebagai strategi pertahanan bagi mencegah serangan langsung oleh pasukan Quraisy dan Bani Nadhir. Strategi ini merupakan cadangan dari sahabat Rasulullah SAW, Salman al-Farisi, yang berasal dari Parsi. Strategi ini belum pernah terjadi sebelumnya dalam tradisi peperangan Arab sehingga peristiwa ini dikenali sebagai Perang Khandaq (Perang Parit).

 

Sebuah parit telah digali dari Ajam Syaikhan hingga ke Mazad. Setiap seorang daripada sepuluh sahabat menggali sepanjang 40 hasta. Parit itu bukan sahaja panjang, tetapi juga lebar dan dalam, menjadikannya sukar untuk dilompati oleh kuda. Jika kuda terjatuh ke dalamnya, ia akan menjadi sangat sukar untuk keluar. Nabi SAW turut serta menggali parit bersama para sahabatnya selama enam hari, bahkan dalam riwayat lain disebutkan mengambil masa sehingga belasan hari.

 

Besarnya kekuatan musuh sempat membuat rasa takut menyelinap ke dalam hati sebahagian kaum muslim. Allah Taala menggambarkan situasi tersebut dalam firman-Nya, “Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.” (Surah Al-Ahzab: 10).

 

Beratnya ujian saat itu menyebabkan Mu’attib bin Qusyair berkata, “Muhammad berjanji kepada kita akan menguasai kerajaan Kisra dan Kaisar, namun hari ini salah seorang daripada kita tidak berasa selamat untuk pergi ke tempat buang air.” Aus bin Qaidhi kemudian meminta izin untuk meninggalkan Madinah dengan alasan rumahnya berada di luar kota. Situasi tegang ini menampakkan kemunafikan sesetengah orang.

 

Optimisme Kemenangan

 

Iman menjadikan umat Islam lebih yakin dengan janji kemenangan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW daripada pada apa yang dilihat oleh mata. Inilah hakikat iman, iaitu mampu melihat melampaui apa yang terindera.

 

Sepuluh ribu tentera bersenjata lengkap, kepungan yang ketat, kelaparan, kerasnya tanah ketika menggali parit, dan pengkhianatan Bani Quraizah tidak mengikis keyakinan mereka terhadap pertolongan Allah dan berita gembira daripada Nabi SAW.

 

Al-Barra’ bin Malik berkata bahawa ketika para sahabat menggali parit dan terhalang oleh tanah yang sangat keras, Nabi SAW mengambil cangkul dan memukulnya sambil bertakbir,“Allah Maha Besar, aku diberi tanah Parsi. Demi Allah, saat ini pun aku masih dapat melihat Istana Madain yang dicat putih.” Kemudian, baginda memukul untuk kali ketiga, dan berkata, “Bismillah … ” Kemudian hancurlah tanah yang masih tersisa itu. Baginda kembali bertakbir, “Allah Maha Besar. Aku diberi kunci-kunci Yaman. Demi Allah, dari tempatku ini aku dapat melihat pintu-pintu gerbang Shan’a.”

 

Mendengar berita tersebut, hati para sahabat menjadi tenang dan dipenuhi kegembiraan. Mukjizat juga berlaku, seperti kurma yang dibawa oleh anak perempuan Basyir bin Sa’ad menjadi bertambah banyak dan kambing kecil yang dimasak oleh isteri Jabir bin Abdullah mencukupi untuk memberi makan seluruh tentera muslim.

 

Datangnya Pertolongan Allah

 

Kemenangan sentiasa datang bersama sababiyah. Nabi SAW membuat strategi yang bijak dengan menggali parit dan Allah mendatangkan Nu’aim bin Mas’ud yang memeluk Islam tanpa masyarakat mengetahuinya. Dia menawarkan diri untuk menolong agama Allah Taala. Atas perintah Nabi SAW, dia mencerai-beraikan Yahudi Bani Quraizah dengan kaum musyrik. Dia mengingatkan Bani Quraizah agar tidak memulakan perang menentang Muhammad sebelum kaum musyrik memberikan jaminan tidak akan meninggalkan mereka jika keadaan menjadi tidak seperti yang dijangkakan.

 

Dia juga datang kepada kaum Quraisy dan mengatakan bahawa Bani Quraizah menyesali pelanggaran perjanjian mereka dengan Muhammad. Malah, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kembali keredhaan baginda, termasuk lebih mengutamakan baginda daripada para tokoh Quraisy yang boleh memenggal leher mereka atas pengkhianatan tersebut. Nu’aim melakukan perkara yang sama kepada Ghathafan, seperti yang telah dilakukannya kepada kaum Quraisy. Strategi cerdas ini kemudiannya berjaya mencerai-beraikan pasukan Ahzab. Terutamanya apabila Abu Sufyan menghantar surat kepada Bani Quraizah untuk menyerang Nabi SAW pada hari Sabtu. Mereka menolak dengan alasan tidak boleh melanggar hari Sabtu.

 

Strategi cerdas ini diikuti dengan pertolongan Allah. Di tengah malam, tiba-tiba Allah mengirimkan angin taufan bercampur kilat disertai hujan yang sangat lebat. Khemah-khemah mereka porak-peranda. Periuk dan peralatan dapur terbalik antara satu sama lain. Ketakutan menyelubungi jiwa mereka. Mereka membayangkan bahawa kaum muslim pasti akan mengambil kesempatan ini untuk menyeberangi parit dan menyerang mereka. Abu Sufyan memimpin pasukan Quraisy untuk kembali ke Mekah. Begitu juga dengan Ghathafan dan pasukan Ahzab yang lain, mereka semua bergegas pulang.

 

Sebulan selepas pengepungan pasukan Ahzab, umat Islam telah diselamatkan oleh Allah Taala. Allah telah memenuhi janji-Nya kepada orang-orang yang beriman untuk memenangkan peperangan.

 

“Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang kepadamu tentera-tentera, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan adalah Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Ahzab: 9).

 

Inilah ujian iman. Umat Islam menghadapinya dengan iman, doa,  dan tawakal. Mereka yakin bahawa Allah Taala akan menolong sesiapa pun yang menolong agama-Nya. Mereka berjuang menyusun strategi sambil berhusnuzon kepada Allah. Doa yang masyhur diajarkan oleh Nabi SAW ketika menghadapi musuh,

 

“Ya Allah, Engkau yang menurunkan kitab, dan cepat dalam menghisab, hancurkanlah pasukan gabungan Ahzab! Ya Allah, hancurkanlah dan binasakanlah mereka!” (HR Bukhari, No.4115, Fath Al-Bari, 7:406).

 

Begitu juga hari ini. Ketika umat Islam di Gaza dikepung oleh musuh dan sekutu mereka melalui strategi BoP mahupun pasukan IDF dan lain-lain, serta apabila perjuangan umat Islam untuk menegakkan hukum Allah diboikot melalui kuasa politik oleh Barat dan sekutunya, akhirnya Allah pasti akan memenangkan dakwah ini. Kemenangan itu datang melalui usaha dan strategi dakwah, disertai dengan keimanan, doa, dan tawakal, seperti yang  dijanjikan-Nya.

 

“… Dan Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (Surah  Al Hajj: 40).

 

Wallahualam.

 

 

#KisahRamadhan #PerangAhzab #Ramadhan #Syawal #KemenanganIslam #PertolonganAllah #Jihadfiisabilillah #Dakwah

Exit mobile version