The Battle of ‘Ain Jalut: Tatkala Mongol Tewas di Tangan Pasukan Mamluk
Penulis: Suci Gizela Pertiwi
Pada pertengahan abad ke-13, dunia Islam sedang berada dalam keadaan yang sangat lemah. Dari wilayah Asia Tengah, Pasukan Mongol bergerak cepat menakluki berbagai negeri dengan kekuatan pasukannya yang luar biasa. Kota-kota yang dilaluinya sering kali berakhir dengan kehancuran yang sangat dahsyat.
Peristiwa paling menggoncangkan terjadi pada 1258 ketika Hulagu Khan—pemimpin Mongol sekaligus cucu kepada Genghis Khan—menyerbu dan menghancurkan Kota Baghdad, serta membunuh Khalifah Al-Mu’tasim Billah. Peristiwa itu sekaligus mengakhiri Kekhalifahan Abbasiyah yang berdiri hampir lima abad lamanya.
Kehancuran itu bukan sekadar jatuhnya sebuah kota. Perpustakaan besar Baitul Hikmah dibakar, ribuan kitab ilmu pengetahuan musnah dan ramai ulama dibunuh dengan kejam. Bagi kaum Muslim saat itu, peristiwa ini terasa seperti runtuhnya peradaban Islam.
Ketakutan pun tersebar luas. Banyak negeri jatuh tanpa penentangan. Bahkan, sebahagian mula meyakini bahawa Mongol adalah kekuatan yang tidak mungkin dilawan, hingga ada yang menyamakannya dengan Ya’juj dan Ma’juj yang disebut dalam riwayat akhir zaman.
Hanya saja, sejarah tidak berhenti di situ. Di tengah suasana penuh keputusasaan, Mesir sebaliknya mempersiapkan penentangan. Dari negeri inilah kemudian lahir peristiwa besar yang dalam catatan sejarah dikenal sebagai the Battle of ‘Ain Jalut (Perang ‘Ain Jalut). Pertempuran ini mematahkan anggapan bahawa Mongol tidak dapat dikalahkan. Hanya dua tahun setelah jatuhnya Baghdad, kaum Muslim kembali berdiri di medan perang untuk menghadapi Pasukan Mongol.
Saifuddin Qutuz dan Keputusan Melawan Mongol
Pada masa itu, Mesir berada di bawah kekuasaan Dinasti Mamluk yang masih baru dan belum sepenuhnya stabil. Walau demikian, muncul seorang pemimpin yang kelak memainkan peranan penting dalam sejarah, iaitu Saifuddin Qutuz.
Qutuz bukanlah keturunan bangsawan. Pada masa mudanya, dia bahkan pernah menjadi hamba sebelum akhirnya naik menjadi salah seorang tokoh penting dalam pemerintahan Mamluk. Daripada latar belakang yang demikian, dia kemudian dikenali sebagai pemimpin tegas, berani dan bertekad kuat mempertahankan negeri kaum Muslim.
Ketika Hulagu Khan mengirim utusan ke Mesir dengan ancaman agar negeri itu tunduk kepada Mongol, Qutuz tidak memilih jalan kompromi. Atas saranan panglimanya yang terkenal cerdas, Ruknuddin Baibars, dia memerintahkan agar para utusan Mongol tersebut dihukum mati, sebuah keputusan yang menjadi isyarat bahawa Mesir tidak akan tunduk pada ancaman.
Hanya saja, Qutuz memahami bahawa perang tidak cukup bermodalkan keberanian, melainkan juga kos yang tidak sedikit. Maka, dia meminta fatwa daripada ulama besar saat itu, Izzuddin bin Abdussalam. Sang ulama menegaskan bahawa jihad untuk mempertahankan negeri adalah kewajipan, tetapi para pemimpin tidak boleh membebani rakyat sebelum mereka sendiri mengorbankan seluruh harta yang mereka ada.
Qutuz menerima saranan tersebut. Dia menjual hartanya dan para pemimpin pasukan mengikuti langkah yang sama. Sikap ini menumbuhkan kepercayaan kaum Muslim sehingga mereka bersedia memberikan sokongan penuh bagi perjuangan melawan Pasukan Mongol.
Ramadhan di Ambang Pertempuran ‘Ain Jalut
Pertempuran besar itu akhirnya pecah pada 25 Ramadhan 658 H. Bagi Pasukan Mamluk, bulan puasa bukan alasan untuk melemahkan semangat mereka. Sebaliknya, mereka memandang Ramadhan sebagai momentum kerohanian yang menguatkan tekad, mengenangkan banyak kemenangan besar dalam sejarah Islam juga terjadi pada bulan yang mulia ini.
Bagi mereka, Ramadhan bukan sekadar waktu menahan lapar dan dahaga, melainkan juga momen memperkuatkan ketundukan kepada Allah dan keimanan meneguhkan keyakinan terhadap pertolongan-Nya. Kesedaran inilah yang membentuk keteguhan mental Pasukan Mamluk.
Berbekalkan dorongan itulah, Pasukan Mamluk bergerak menuju wilayah Palestin. Dalam perjalanan ke sana, Qutuz memanfaatkan situasi politik yang ada dengan membuat kesepakatan agar Tentera Salib di Akka tidak campur tangan dalam konflik tersebut. Fokus utama mereka adalah menghadapi Pasukan Mongol yang dipimpin Kitbuqa Noyan, salah satu jeneral kepercayaan Hulagu Khan yang terkenal sebagai panglima yang kuat di medan perang.
Lokasi pertempuran dipilih di sebuah lembah di Galilea, Palestin, bernama ‘Ain Jalut. Medan yang sempit dan dikelilingi bukit-bukau itu dianggap sangat tepat untuk menjalankan strategi serang hendap. Sebahagian pasukan disembunyikan di sebalik bukit, sedangkan Baibars memimpin pasukan kecil untuk memancing Pasukan Mongol masuk lebih dalam ke lembah.
Terkepung di Lembah
Pasukan Mongol yang terkenal agresif segera mengejar pasukan kecil Baibars yang mereka anggap mudah dikalahkan. Lalu secara perlahan, Baibars mundur sambil terus memancing musuh agar semakin masuk jauh ke lembah. Ketika Pasukan Mongol berada di posisi yang diinginkan, pasukan utama Mamluk pun muncul dari sebalik bukit dan menyerang dari pelbagai arah. Berlakulah pertempuran yang sengit.
Pada satu ketika, sayap kiri pasukan kaum Muslim sempat mengalami tekanan berat daripada serangan Mongol. Pertempuran hampir saja berpihak pada Mongol. Melihat keadaan itu, Qutuz turun secara langsung ke medan perang. Dia memacu kudanya ke medan perang dan dengan lantang menyeru seruan yang kemudian dikenang dalam sejarah, “Wa Islama! Wa Islama!”
Seruan itu berjaya membangkitkan kembali semangat para tentera yang sempat goyah. Pertempuran berbalik menguntungkan Pasukan Mamluk. Salah satu panglima bernama Jamaluddin asy-Syamsi berjaya membunuh Kitbuqa Noyan. Tanpa pemimpin, Pasukan Mongol mula kucar-kacir. Qutuz kemudian mengejar mereka hingga ke Bisan dan menghabiskan sisa-sisa pasukan tersebut.
Kemenangan kaum Muslim di Lembah ‘Ain Jalut ini menjadi kekalahan besar pertama bagi Mongol dalam perluasan mereka ke wilayah barat. Jika Mesir jatuh saat itu, besar kemungkinan Mongol akan melanjutkan penaklukan hingga Afrika Utara dan wilayah lain di dunia Islam. Wajar jika kemenangan ini menjadi titik penting yang menghentikan kemaraan Mongol di kawasan tersebut.
Namun, kisah kemenangan ini ternyata diikuti kejadian pilu. Dalam perjalanan kembali ke Mesir, Sultan Qutuz terbunuh dalam sebuah konspirasi. Setelah itu, Ruknuddin Baibars naik takhta sebagai Sultan Mamluk yang baru. Di bawah kepimpinannya, kekuasaan Mamluk makin kuat dan menjadi pelindung dunia Islam daripada ancaman Mongol mahupun Pasukan Salib.
Pelajaran bagi Kaum Muslim Hari Ini
Perang ‘Ain Jalut memberikan sejumlah pelajaran penting bagi kaum Muslim:
Pertama, ketakutan yang berlebihan terhadap musuh dapat melemahkan mental, bahkan sebelum pertempuran dimulakan. Kemenangan di ‘Ain Jalut membuktikan bahawa kekuatan yang terlihat sangat besar sekalipun ternyata tetap dapat dikalahkan atas izin Allah Taala.
Kedua, keteladanan pemimpin berpengaruh besar dalam menggerakkan pasukan. Ketika seorang pemimpin bersedia berkorban terlebih dahulu, pasukan akan lebih mudah mengikuti arahan dan mengerahkan segenap daya upayanya.
Ketiga, Pasukan Mamluk tidak hanya bergantung pada strategi dan kekuatan fizikal, tetapi juga memiliki keyakinan kuat bahawa kemenangan sepenuhnya berada di tangan Allah. Kekuatan iman inilah yang membentuk keteguhan mental kaum Muslim ketika menghadapi Mongol yang selama puluhan tahun dianggap hampir mustahil dapat dikalahkan.
Keempat, peristiwa ‘Ain Jalut menunjukkan bahawa Ramadhan bukan hanya bulan ibadah, tetapi juga bulan yang menguatkan semangat perjuangan kaum Muslim. Pasukan Mamluk tidak memandang puasa sebagai penghalang, melainkan dorongan ruhiyah yang kian meneguhkan keyakinan bahawa pertolongan Allah selalu dekat bagi orang-orang yang berjuang di jalan-Nya.
Keyakinan yang sama juga perlu terus hidup dalam diri kaum Muslim sekarang, iaitu bahawasanya Islam akan kembali dimenangkan-Nya, serta umat ini pun kelak akan kembali dipersatukan di bawah kepimpinan yang menegakkan syariat-Nya secara kaffah, iaitu Khilafah ‘ala minhajin-nubuwwah.
#KisahRamadhan #PerangAinJalut #Jihad #KemenanganIslam #Mongol #Mamluk