Mudharabah Termasuk Sebab Kepemilikan
Penulis: Ustaz Yahya Abdurrahman
عَنْ أَبِي هُرَيْرَة قَالَ : قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الله عَزَّ وَجَلَّ : أَنَا ثَالِثُ الشَّرِيكَيْنِ مَا لمْ يَخُنْ أَحَدُهُمَا صَاحِبَهُ, فَإِذَا خَانَ خَرَجْتُ مِنْ بَيْنِهِمَا
Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, “Aku adalah Pihak Ketiga daripada dua orang yang ber-syirkah selama yang satu tidak mengkhianati temannya. Jika dia berkhianat, Aku keluar dari keduanya.” (HR. Abu Dawud [w. 275 H], Ad-Daraquthni [w. 385 H], Al-Hakim [w. 405 H], dan Al-Baihaqi [w. 458 H]).
Imam al-Hakim (w. 405 H) di dalam Al-Mustadrak ‘alâ ash-Shahîhayn, setelah meriwayatkan hadis ini, mengulas, “Ini adalah hadis yang sanadnya sahih walaupun al-Bukhari dan Muslim tidak mengeluarkannya.”
Imam Adz-Dzahabi (w. 748 H) di dalam At-Talkhîsh, juga mengulas, “Riwayat tersebut sahih.” Menurut Ibnu al-Qaththan, hadis ini mempunyai ‘illat, Sa’id bin Hayyan, salah seorang perawinya, majhûl, tidak diketahui keadaannya dan tidak diketahui orang yang meriwayatkan daripada dia, selain Abu Hayyan, putranya.
Namun, menurut al-hafizh Ibnu Hajar al-‘Ashqalani, Ibnu Hibban menyebutkannya di dalam Ats-Tsiqât dan selain Abu Hayyan putranya, Al-Harits bin Yazid juga meriwayatkan daripadanya. Demikian disebutkan di dalam Mirqâtu ash-Shu’ûd.
Abu Thayyib mengatakan, nama Abu Hayyan adalah Yahya bin Sa’id bin Hayyan. Al-Hafizh Ibnu Hajar mengatakan di dalam At-Taqrîb bahawa dia tsiqah, ahli ibadah, bapanya adalah Sa’id bin Hayyan at-Taymi, di-tsiqah-kan oleh al-‘Ijliy.
Dari situ, Sa’id bin Hayyan tidaklah majhûl. Sebaliknya, dia ma’rûf. Jadi, hadis ini layak dijadikan hujah.
Menurut Al-Manawi (w. 1405 H) di dalam Faydh al-Qadîr, makna Allah menjadi tsâlitsu asy-syarîkayn adalah dengan memberi bantuan dan mewujudkan keberkatan dan pertumbuhan.
Menurut Mula al-Qari (w. 1014 H) di dalam Mirqâtu al-Mafâtîh dan Syaraful Haq al-‘Azhim al-Abadi (w. 1329) di dalam ‘Awn al-Ma’bûd, maknanya Allah menyertai keduanya dengan penjagaan, keberkatan rezeki, dan kebaikan dalam muamalahnya.
Adapun frasa “Allah keluar daripada keduanya ketika yang satu mengkhianati yang lain” bermakna bahawa Dia mencabut keberkatan daripada harta keduanya. Menurut Ath-Thayyibi, di dalam hadis ini ada anjuran syirkah dan bahawa di dalam syirkah ada keberkatan, dengan syarat, masing-masing amanah.
Di antara jenis syirkah itu adalah al-mudhârabah atau al-qirâdh. Abu ‘Umar Ibnu Abd al-Barr (w. 463 H) di dalam Al-Istidzkâr menjelaskan, al-mudhârabah istilah ulama Iraq, sementara al-qirâdh istilah ulama Hijaz.
Al-Mudhârabah atau al-qirâdh merupakan syirkah badan dengan harta, iaitu syirkah antara al-mudhârib atau al-‘âmil (pengelola) dengan rabbu al-mâl atau shâhib al-mâl (pemodal), dan keuntungan dibahagi antara mereka sesuai bahagian yang mereka sepakati.
Syirkah jelas dinyatakan kebolehannya oleh nas-nas syariat, termasuk dalam hadis di atas. Al-Mudhârabah juga termasuk dalam kebolehan yang dinyatakan oleh nas itu. Secara khusus, al-mudhârabah kebolehannya juga diambil daripada Ijmak. Dinyatakan di dalam Al-Istidzkâr, al-qirâdh diambil daripada Ijmak. Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan ahlul ilmi dalam perkara ini.
Al-Qirâdh sudah ada pada masa jahiliah, kemudian dipersetujui oleh Rasul SAW di dalam Islam. Ibnu Abbas RA mengatakan bahwa al-‘Abbas bin Abdul Muthallib,
إِذَا دَفَعَ مَالًا مُضَارَبَةً اشْتَرَطَ عَلَى صَاحِبِهِ : لَا يَسْلُكُ بِهِ بَحْرًا، وَلَا يَنْزِلُ بِهِ وَاديا, وَلَا يَشْتَرِي بِهِ ذَاتَ كَبِدٍ رَطْبَةٍ، فَإِنْ فَعَلَ فَهُوَ ضَامِنٌ، فَرَفَعَ شَرْطَه إِلى رَسُولِ الله صَلَّى الله عَلَيْه وَسَلَّمَ، فَأَجَازَهُ
Jika dia menyerahkan harta dalam bentuk mudharabah, dia mensyaratkan kepada rakannya, “Jangan melalui laut. Jangan menginap di lembah. Jangan digunakan membeli sesuatu yang memiliki bahagian dalam yang basah.” Jika dia melakukan demikian maka dia yang menjamin. Lalu dia mengangkat (menyampaikan) syaratnya itu kepada Rasulullah SAW dan Baginda memperbolehkannya.” (HR. Ath-Thabarani, Ad-Daraquthni dan Al-Baihaqi)
Imam Ath-Thabarani di dalam Mu’jam al-Awsâth menyatakan, “Hadis ini tidak diriwayatkan daripada Ibnu Abbas, kecuali dengan sanad ini. Muhammad bin Uqbah menyendiri dengannya.”
Imam ad-Daraquthni di dalam Sunan ad-Daraquthnî (hadis ini no. 3081) mengatakan, “Abu al-Jarud, salah seorang perawinya, dha’îf.” Imam al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubrâ (hadis nombor 11611 dan 11612) menyatakan, “Abu al-Jarud Ziyad bin al-Mundzir menyendiri dengannya. Dia orang Kufah dha’îf, Yahya bin Ma’in menilai dia kadzdzab (pendusta) dan yang lain men-dha’îf-kan dia.”
Ada beberapa riwayat lain. Diriwayatkan bahwa Umar ibn al-Khattab RA pernah menyerahkan harta anak yatim secara mudhârabah (HR. asy-Syafi’i di dalam Ikhtilâf al-‘Iraqiyin dan Al-Musnad, Ibnu Abi Syaibah di dalam Al-Mushannaf, al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra dan Al-Ma’rifah).
Al-Baihaqi juga meriwayatkan bahawa Uthman bin Affan pernah menyerahkan harta secara mudhârabah. Juga diriwayatkan bahawa Ibnu Mas’ud dan Hakim bin Hizam menyerahkan harta secara mudhârabah.
Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Umar dan Ubaidullah bin Umar ketika di Bashrah telah diserahkan oleh Abu Musa al-Asy’ari, yang menjadi ‘amil Bashrah, harta negara untuk diserahkan kepada Umar. Ketika itu Abdullah dan Ubaidullah boleh membelikan barang dan menjualnya di Madinah, dan harta itu diserahkan kepada Umar.
Singkatnya, setiba di Madinah, Umar meminta modal dan semua keutungannya. Abdullah diam saja, Ubaidullah menyatakan keberatan. Kemudian salah seorang sahabat yang duduk bersama Umar berkata, “Andai engkau jadikan qirâdh.” Umar pun menjadikannya qirâdh, mengambil modal dan setengah keuntungannya. Abdullah dan Ubaidullah mengambil setengah baki keuntungannya (HR. Asy-Syafi’i di dalam Al-Musnad dan Al-Baihaqi di dalam Al-Ma’rifah).
Menurut al-Baihaqi, ini menunjukkan bahawa al-qirâdh itu tersebar luas dalam kalangan para sahabat. Semua riwayat itu menunjukkan bahawa al-mudhârabah atau al-qirâdh itu tersebar luas dan diamalkan oleh para sahabat. Tidak ada seorang pun yang mengingkari sehingga menjadi Ijmak Sahabat atas kebolehannya.
Al-Mudhârib mendapat harta dengan amalnya di dalam al-mudhârabah atau al-qirâdh itu. Jadi, bagi al-mudhârib, al-mudhârabah atau al-qirâdh itu merupakan sebab pemilikan harta. Wallahualam wa ahkam.
#SyarahHadis #Mudharabah #AlQiradh #EkonomiIslam #PemilikanHarta

