Kita Tidak Boleh Membiarkan Sebarang Halangan Menghalang Kita daripada Meraih Kejayaan dalam Visi Sejati Demi Perubahan
Apa yang semakin jelas seiring berlalunya hari, bulan, dan tahun ialah bahawa struktur politik semasa—kapitalisme sekular—tidak dibina untuk menjaga manusia, atau mewujudkan sebuah masyarakat yang memiliki ketenangan dan keselamatan. Di Barat, kita melihat hasil daripada undang-undangnya—perkauman, misoginis, rogol, keganasan dalaman yang sengaja direka, kemiskinan, jurang pendapatan yang besar, kebejatan moral, dan sebagainya. Kita juga amat mengetahui hasil dasar luar Barat—peperangan tanpa henti, rogol, kemiskinan, sumber yang dirampas, perpecahan, campur tangan politik, dan ketiadaan autonomi politik sepenuhnya.
Fail Epstein, walaupun tidak didedahkan sepenuhnya dan banyak disunting, telah menyingkap betapa jijik dan hipokritnya tamadun Barat. Dalam setiap aspek—ahli politik liberal dan konservatif, golongan diraja, ahli akademik, dan tokoh perniagaan—kerosakan moral golongan elit telah terbongkar. Ketika mereka mempromosikan apa yang dipanggil nilai liberal kepada dunia, sering kali sebagai alasan untuk campur tangan secara ganas ke dalam negara-negara, atau mengenakan undang-undang yang keras yang mengikatnya dari segi kewangan, mereka sendiri malah melakukan jenayah keji yang sama di dalam negara mereka. Walaupun telah sekian lama kita mengetahui bahawa mereka menyebabkan penindasan, penderaan secara seksual, penyeksaan, dan pembunuhan populasi di luar negara namun bebas tanpa sebarang hukuman, kini kita semakin mengetahui bahawa golongan elit ini mempunyai sistem tersusun di mana kanak-kanak dan wanita diperdagangkan, didera, dan dibungkam. Terdapat institusi, peguam, dan rangkaian yang mengurus risiko untuk melindungi reputasi—yang menunjukkan bagaimana sistem Barat sering terpalit skandal dan mengekalkan kuasa (kawalan), berbanding menjamin keadilan dan perlindungan, terutamanya terhadap golongan yang paling rentan. `Paya lumpur’ ini hakikatnya jauh lebih besar dan dalam daripada yang dibayangkan oleh sesiapapun. Tamadun Barat telah rosak dari segi moral, ekonomi, dan politik.
Persoalannya sekarang, mengapa masih wujud halangan dalam usaha kita untuk merealisasikan visi perubahan? Walaupun keadaan ini sepatutnya menjadi pemangkin bagi umat Islam untuk bergerak ke arah mewujudkan satu-satunya sistem yang mampu membawa perubahan sebenar—Khilafah Islam—namun, kita masih mendapati diri kita berfikir bahawa visi ini terlalu radikal, terlalu menakutkan, atau lebih baik kekal bekerja dalam kerangka politik sedia ada.
Pemikiran-pemikiran seperti ini masih mempengaruhi minda umat Islam, bahkan lebih ketara dalam kalangan Muslim yang tinggal di Barat. Padahal kita sedang menyaksikan kemerosotan empayar Amerika dan jeritan golongan tertindas kedengaran dari seluruh pelosok dunia.
Mari kita lihat mengapa kita perlu mengubah cara kita melihat dunia dan bagaimana ia membantu merealisasikan visi sejati atau sebenar demi perubahan yang berjaya, sebagaimana Nabi (saw) memimpin para Sahabat (ra) menuju kejayaan tanpa berkompromi terhadap Islam sehingga mereka berjaya menubuhkan negara di Madinah dengan keyakinan penuh kepada Allah (swt).
Jika kita membandingkan masyarakat ketika itu dengan pada masa sekarang, kita dapat melihat bahawa ia agak serupa. Terdapat pelbagai fitnah yang berlaku dalam masyarakat, umat Islam dilayan dengan kasar dan tidak adil, mereka diharapkan untuk berkompromi agar sesuai dengan status quo, dan wujud kuasa besar yang jauh lebih maju dari segi kewangan, teknologi, dan sumber manusia. Namun, Nabi (saw) tidak pernah menerima untuk menjadi sebahagian daripada sistem politik Quraisy atau mana-mana empayar ketika itu. Malah, apabila Baginda ditawarkan kepimpinan dengan ganjaran kuasa, harta, dan wanita jika meninggalkan Islam, Baginda bersabda:
والله لو وضعوا الشمس في يميني، والقمر في يساري، على أن أترك هذا الأمر، ما تركته حتى يُظهره الله أو أهلك دونه.
“Demi Allah, seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini (Islam), aku tidak akan meninggalkannya sehingga Allah memenangkan atau aku binasa kerananya.”
Baginda (saw) tidak pernah berfikir sejenak pun bahawa dengan menyertai sistem politik bukan Islam, masyarakat akan berubah. Sebaliknya, Baginda dan para Sahabat (ra) terus teguh dan sabar menghadapi pelbagai penderaan dalam menyebarkan risalah Allah sehinggalah hari kemenangan tiba dengan datangnya nusrah (pertolongan) daripada kabilah Aus dan Khazraj. Selepas peristiwa tersebut, tertegaklah asas negara Islam yang melaksanakan syariat Allah (swt) sepenuhnya buat pertama kali. Sekarang bayangkan, perubahan radikal yang berlaku sangat besar—daripada masyarakat yang terdiri daripada pelbagai gabungan kabilah yang mengabaikan aspek keadilan, merendahkan kaum wanita dan kemiskinan berleluasa, berubah kepada masyarakat di mana kaum wanita dan golongan miskin dilayan dengan hormat dan bermaruah, manakala keadilaan Allah (swt) mengatasi mana-mana gabungan kabilah sekalipun. Dengan cara seperti itulah perubahan radikal juga boleh berlaku pada hari ini, di mana semua orang yang tertindas di seluruh dunia akan menangis kerana kelegaan, bukan kesakitan.
Dengan politik Islam yang berakar umbi di Madinah, Nabi Muhammad (saw), Ansar, dan Muhajirin memimpin negara tersebut ke seluruh Semenanjung Arab dan seterusnya. Walaupun jumlah mereka kecil berbanding Quraisy, Rom, dan Parsi, mereka tidak berhenti kerana takut kehilangan nyawa atau kekayaan mereka, atau kerana mereka tidak dapat membuka tanah tersebut kepada Islam kerana musuh Islam terlalu kuat. Sebaliknya, mereka berpegang teguh pada keimanan mereka kepada Allah (swt) dan keikhlasan dalam perjuangan untuk menyebarkan dan memimpin risalah Allah (swt) ke atas dunia. Dengan keikhlasan dan keyakinan itulah Allah (swt) mengurniakan kepada mereka kemenangan ke atas Quraisy dalam Perang Badar, ke atas Parsi dalam Perang Al-Qadisiyyah, dan ke atas Rom dalam Perang Yarmuk. Allah (swt) berfirman:
﴿أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَكَانُوا أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعْجِزَهُ مِن شَيْءٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلَا فِي الْأَرْضِ إِنَّهُ كَانَ عَلِيمًا قَدِيرًا﴾
“(Dan sebagai buktinya): tidakkah orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu telah mengembara di muka bumi, lalu mereka menyaksikan bagaimana kesudahan orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka, sedang orang-orang itu lebih kekuatannya dari mereka? Dan (sudah tetap) bahawa kekuasaan Allah tidak dapat dilemahkan atau dihalangi oleh sesuatupun sama ada di langit atau di bumi; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.” (Surah Fatir: 44)
Sesungguhnya ini adalah peringatan untuk kita, sebagaimana yang berlaku kepada para Sahabat (ra), Salahuddin Al-Ayyubi ketika tenteranya menewaskan pasukan Salib, dan Saifuddin Qutuz yang memimpin tentera mengalahkan pasukan Mongol yang sebelumnya diangga tidak dapat dikalahkan—bahawa tiada kekuatan yang lebih hebat daripada Allah (swt). Bahawasanya, tidak kira betapa maju dan dominannya sesebuah negara, apabila Allah (swt) menetapkan kehancurannya, ia boleh berlaku dengan cepat. Sebaliknya, ia adalah peringatan bahawa apabila Dia (swt) menetapkan kemenangan orang-orang yang beriman ke atas musuh mereka, tiada kekuatan politik, ekonomi, ketenteraan atau teknologi yang dapat menghalangnya.
Ini termasuk pemerintah yang khianat di negeri-negeri Islam dan pemerintah zalim di Amerika, Eropah, dan lain-lainnya. Sudut pandang Nabi (saw), para Sahabat (ra), dan para ulama serta pemimpin terdahulu yang kita hormati dalam melihat dunia adalah berdasarkan sudut pandang Islam dan hanya Islam satu-satunya. Mereka tidak takut kehilangan harta, nyawa, atau kedudukan. Sekalipun mungkin terbit rasa gentar, mereka tidak membiarkannya menghalang mereka, kerana Allah (swt) mengingatkan orang-orang yang beriman
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُواْ فِي سَبِيلِ اللّهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الأَرْضِ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الآخِرَةِ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الآخِرَةِ إِلاَّ قَلِيلٌ﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.” (Surah At-Taubah: 38)
Dan:
﴿انْفِرُواْ خِفَافًا وَثِقَالاً وَجَاهِدُواْ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ﴾
“Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (Surah At-Taubah: 41)
Halangan di hadapan kita sebenarnya dibentuk oleh propaganda Barat dan visi yang telah diselewengkan olehnya. Sebenarnya, umat Islam hari ini memiliki tenaga manusia, kepakaran ketenteraan, kecerdasan, sumber material, dan kekayaan. Apa yang perlu kita lakukan sekarang adalah, memastikan agar iman dan tawakal kepada Allah (swt) teguh ditempatnya ketika kita menerajui usaha untuk menghadapi semua masalah di dunia hari ini yang merupakan akibat (hasil) langsung sistem politik buatan manusia.
Kita juga perlu mengingatkan saudara-saudara kita dalam ketenteraan bahawa tugas dan kesetiaan mereka adalah kepada Allah (swt), bukan kepada pemerintah yang tunduk kepada Amerika. Mereka bertanggungjawab kepada Allah (swt) dan umat untuk membebaskan tanah-tanah umat yang tertindas dan diduduki, serta menegakkan syariah-Nya (swt). Kita juga perlu mengingatkan para ulama, pemimpin masyarakat, dan birokrat Muslim di Barat, serta mereka yang mempunyai kedudukan di negeri-negeri umat Islam, agar memberi perhatian khusus kepada situasi yang berlaku di dunia dalam bidang politik, melihatnya dari sudut pandang Islam, dan berusaha mencari penyelesaian bersumberkan Al-Quran dan Sunnah. Ini kerana, mereka mempunyai pengaruh besar terhadap umat, untuk membimbing umat ke arah yang benar, agar dengan izin Allah (swt), Allah (swt) akan memberikan kepada kita kemenangan ke atas para pelaku kejahatan, dan supaya kita dapat menggantikan sistem buatan manusia yang korup ini dengan sistem Islam yang adil.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Sarah Mohammed – Amerika
#VisiSejatiDemiPerubahan #TrueVisionforChange #PerubahanHakikidenganIslam
#MasyarakatMuslimIdeal #AyuhUmatBangkit

