Mempersoalkan Fatherless dalam Keluarga
Oleh: Wardah Abeedah
Dalam program keibubapaan (parenting) di sebuah sekolah Islam, kaum ibu memenuhi ruang di sudut bahagian kiri, mereka kelihatan serius mendengarkan pengisian daripada pembicara. Di bahagian deretan sebelah kanan pula, yang dihadkan dengan tirai merah, adalah tempat yang disediakan untuk kaum bapa. Berapa ramai kaum bapa yang hadir? Hanya 2 orang.
Ibu bapa sekalian, fenomena di atas sering kita temui. Mari kita jujur sahaja menjawab persoalan ini. Siapakah yang akan mendapatkan mesej WhatsApp daripada pihak sekolah saat pelajarnya bermasalah? Kemudian, siapakah yang paling banyak menjadi ahli grup WhatsApp kelas atau sekolah? Adakah ibu atau bapa? Tentu kita semua sepakat menjawab, ibu. Tanpa perlu melihat data, fakta ini cukup menggambarkan fenomena yang banyak disorot akhir-akhir ini, iaitu fenomena fatherless.
Fatherless bermakna keadaan di mana seorang anak tidak memiliki kehadiran figura bapa dalam hidupnya, baik secara fizikal mahupun psikologi, meskipun si bapa mungkin masih hidup. Fatherless tidak hanya dialami anak yatim. Si bapa ada, namun keberadaannya sama dengan ketiadaannya.
Peranan Bapa dalam Islam
Terdapat ramai di kalangan kaum bapa yang memahami bahawa kewajipannya terhadap anak hanyalah menafkahi. Sedangkan Islam menempatkan peranan bapa dengan begitu istimewa. Sarah binti Halil bin Dakhilallah Al-Muthiri, dalam tesis yang kemudian menjadi salah satu buku best seller berjudul Hiwar al-Abâ’ ma’a al-Abnâ fî al-Qur’ân al-Karîm wa Tathbiqatuhu at-Tarbawiyah (Perbualan Bapa dan Anak dalam al-Quran dan Penerapannya dalam Pendidikan), menyebutkan terdapat 17 dialog (berdasarkan tema) antara ibu bapa dengan anak dalam al-Quran yang terdapat dalam 9 Surah. Ke-17 dialog tersebut dengan perincian: dialog antara bapa dengan anaknya terdapat sebanyak 14 kali; dialog antara ibu dan anaknya pula terdapat sebanyak 2 kali; dialog antara kedua ibu bapa tanpa nama dengan anaknya ada 1 kali. Apakah maksudnya? Bapa mempunyai peranan dominan dalam proses pendidikan dan pembentukan keperibadian anak!
Syariah juga telah menjelaskan dengan jelas akan hak-hak anak daripada bapanya. Hak anak bermakna kewajipan bapa. Oleh itu, seorang bapa akan diminta pertanggungjawaban oleh Allah mengenai anak-anaknya di akhirat kelak. Rasulullah SAW bersabda, sebagaimana yang dituturkan oleh Ibn Umar ra. “…Seorang lelaki (bapa/suami) adalah pemimpin rumah tangga, yang akan dimintai pertanggungjawaban atas kepemimpinannya…” (HR al-Bukhari).
Hak Anak daripada seorang Bapa dalam Islam
Di antara hak anak daripada bapanya yang dijelaskan oleh syariah: memilih ibu yang baik, memberi nama yang baik, menyembelih kambing untuk akikah anak, menafkahi, berbuat adil di antara anak-anaknya, dan sebagainya.
Di antara hak anak yang sangat mempengaruhi pembentukan keperibadian Islamnya, namun sering dilalaikan oleh bapanya, di antaranya:
Pertama, hak pendidikan. Anak wajib dididik dengan tarbiyah yang baik dengan pendidikan Islam. Allah SWT berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا وَقُودُهَا ٱلنَّاسُ وَٱلۡحِجَارَةُ عَلَيۡهَا مَلَٰٓئِكَةٌ غِلَاظٞ شِدَادٞ لَّا يَعۡصُونَ ٱللَّهَ مَآ أَمَرَهُمۡ وَيَفۡعَلُونَ مَا يُؤۡمَرُونَ ٦
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” [TMQ at-Tahrim (66): 6].
Perkataan Ali bin Abi Thalib ra. menjelaskan ayat ini:
«عَلِّمُوْهُمْ وَأَدِّبُوْهُمْ»
“Ajari dan didiklah mereka”
Al-Hasan berkata:
« مُرُّوْهُمْ بِطَاعَةِ اللهِ، وَعَلِّمُوْهُمْ الْخَيْرَ »
“Perintahkan mereka untuk taat kepada Allah dan ajari mereka kebaikan.”
Ulama menjelaskan kadar kewajipan mendidik anak. Di antaranya dalam Mawsû’ah Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah dijelaskan:
«يُؤَدَّبُ الصَّبِيُّ بِالأْمْرِ بِأَدَاءِ الْفَرَائِضِ وَالنَّهْيِ عَنِ الْمُنْكَرَاتِ بِالْقَوْل، ثُمَّ الْوَعِيدِ، ثُمَّ التَّعْنِيفِ، ثُمَّ الضَّرْبِ، إِنْ لَمْ تُجْدِ الطُّرُقُ الْمَذْكُورَةُ قَبْلَهُ»
Anak hendaklah didisiplinkan dengan cara memerintahkan untuk melakukan kewajipan dan melarang dari melakukan kemungkaran dengan lisan, kemudian dengan ancaman, lalu dengan memarahi, seterusnya dengan memukul jika cara-cara yang disebutkan tadi tidak berhasil.
Masih dalam Al-Mawsû’ah disebutkan:
“Ibu bapa dan semua wali lainnya bertanggungjawab untuk mengajarkan anak-anak apa yang dituntut daripada mereka setelah mereka mencapai usia baligh. Anak perlu diajari apa yang menguatkan akidahnya, seperti iman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, dan hari akhirat, serta apa yang menguatkan ibadah kepada-Nya. Anak wajib diberi pengetahuan dan kesedaran tentang hal-hal yang berkaitan dengan solat, puasa, berhadas, dan sebagainya. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW, ‘Perintahkanlah anak-anakmu untuk solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka jika mereka tidak solat ketika mereka berusia sepuluh tahun, dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka.’ Baginda juga menjelaskan larangan zina, sodomi, pencurian, minum arak, berbohong, menggunjing (memfitnah, mengumpat), dan perbuatan seumpamanya; sebagaimana baginda mengetahui bahawa zina akan membawa seseorang pada pertanggungjawaban dan menjelaskan apa maknanya mencapai kedewasaan. Diriwayatkan bahawa ajaran ini sunnah. Ar-Rafi’i meriwayatkan daripada para imam bahawa hal ini wajib bagi para bapa dan para ibu. Ini adalah sahih daripada An-Nawawi.”
Sayangnya tugas besar ini banyak dilalaikan oleh kaum bapa masa kini. Peranan mendidik dicukupkan dengan menyekolahkan anak di sekolah Islam. Anak belajar membaca surah al-Fatihah dengan benar daripada guru agama, mengenal dan mengimani Allah serta mengetahui ibadah yang benar sesuai dengan syarat dan rukunnya melalui guru sekolah. Walaupun si anak mengetahui semua itu dari rumah, maka sebahagian besar peranan pendidik ada pada sosok ibu saja. Walaupun sudah tentu di antara bentuk tarbiyah bapa kepada anaknya adalah memilihkan sekolah atau madrasah yang mempunyai visi-misi dan kurikulum yang berlandaskan akidah Islam.
Kedua, hak keteladanan. Pendidikan anak akan lebih mudah menancap jika faktanya hadir pada indera anak, bahkan dilakukan bersama kedua ibu bapa. Pendidikan dan keteladanan ini akan sangat diperhatikan oleh bapa yang benar-benar memahami visi hidup dan perjuangan. Bapa pejuang Islam tentu berkeinginan besar membawa seluruh keluarga ke dalam medan perjuangan dan mempersiapkan anak menjadi penerus perjuangan yang jauh lebih baik daripadanya. Sosok seperti ini tampak pada Sang Abu al-Anbiyâ’, bapa para nabi, Ibrahim as. Allah memberi beliau berita gembira dengan kepemimpinan sebagaimana firman-Nya:
﴿وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ﴾
(Ingatlah) ketika Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan) lalu dia melaksanakannya dengan sempurna. Allah berfirman, “Sesungguhnya Aku menjadikan engkau sebagai pemimpin bagi seluruh manusia.” [TMQ al-Baqarah (2): 124]
Mendengarkan hal itu, Nabiyyullah Ibrahim lalu berkata, “dan daripada keturunanku.”
Ketika memperoleh kebaikan dan kemuliaan agung berupa kepemimpinan atas umat, beliau meminta juga untuk keturunannya. Dalam kehidupannya, beliau memberikan teladan dan melibatkan putera-puteranya dalam perjuangan. Sebagaimana dalam pembangunan Kaabah yang menjadi pusat peribadatan dan dakwah, beliau melakukan itu bersama putera tercintanya, Nabiyyullah Ismail as.
Ketiga, anak berhak mendapat pergaulan yang penuh rahmah (kasih-sayang) dan kelembutan. Bapa wajib mencintai dan berkasih-sayang dengan menunjukkan sikap dan perkataan yang memenuhi gharîzah an-naw’ anak. Mendukung, memeluk, mencium, membersamai anak bermain ketika kecil. Sebagaimana Sang Khairul Bariyyah mencium anak-anak dan cucu-cucunya, bahkan “menjadi kuda-kudaan” bagi Hasan dan Husain as. Bapa menjadi pendengar terbaik saat anak bercerita atau meluahkan perasaan, menasihati dan mendidik dengan lembut, serta mencukupkan keperluan kasih sayang mereka.
Dengan demikian bapa menjadi teladan bagi anak lelakinya untuk mencintai keluarga. Bapa juga menjadi cinta pertama anak perempuannya sehingga dia tidak mudah tertarik rayuan lawan jenis dan terpedaya dengannya.
Jika hak-hak ini terpenuhi, tidak akan ada fenomena fatherless. Para bapa memenuhi hak-hak anak sebagai bentuk sam’[an] wa thaa’at[an] terhadap perintah Allah SWT. Pemenuhan kewajipan ini bukan semata berdampak baik pada anak. Hal ini kerana, buah pelaksanaan syariah Islam walaupun tuntutannya bersifat individual, keberkahannya sentiasa terkait erat dengan kebaikan masyarakat dan negara. Besarnya peranan bapa dalam Islam berbanding dengan kemaslahatan agama dan dunia yang mereka pengaruhi.
Pengaruh Peranan Bapa bagi Generasi dan Peradaban
Tinta emas sejarah mengisahkan bagaimana peranan bapa yang maksimum— sudah tentu bersamaan dengan peranan ibu, masyarakat dan negara sebagaimana tuntutan Islam—telah menghasilkan generasi terbaik. Lihatlah bagaimana Zubair bin Awwam, walaupun telah bercerai dengan Asma’ binti Abu Bakar, mampu membentuk kelima-lima puteranya menjadi pejuang hebat. Abdullah bin Zubair sang pemimpin Mekah, hingga Urwah bin Zubair ulama muhaddis yang tersohor. Didikan tegas namun penuh kasih Umar bin al-Khattab ra. membentuk ulama dari kalangan para sahabat junior, Abdullah bin Umar yang pada usia kecilnya menangis saat dia tidak diizinkan mengikuti Perang Badar. Demikian pula tarbiyah Najmuddin Ayyub mampu mencetak Salahuddin al-Ayyubi, Panglima Pembebas Baitul Maqdis. Kesolehan dan kewarakan al-Mubarak berpengaruh besar pada lahirnya ulama fikh dan hadis Abdullah bin al-Mubarak.
Merekalah bapa generasi yang terbaik. Mereka bukan bapa yang tidak ada pekerjaan. Mereka adalah orang-orang yang mempunyai komitmen dalam pendidikan anaknya. Sesibuk apapun. Mereka sentiasa ada, membersamai dan menjadi teladan bagi anak-anak mereka.
Sebaliknya, fenomena fatherless menghasilkan bahaya yang mengerikan. Sebagaimana disebutkan Ustaz Iwan Januar (Pakar Parenting dari Indonesia) dalam website-nya: Sebanyak 63% kes bunuh diri yang dilakukan pemuda berasal dari rumah yang fatherless (US Dept. Of Health/Census); 90% anak-anak gelandangan dan lari dari rumah berasal dari rumah yang fatherless; 85% anak yang menunjukkan gangguan perilaku berasal dari rumah yang fatherless (Center for Disease Control); 80% pemerkosa dengan masalah kemarahan (anger problems) berasal dari rumah yang fatherless (Justice & Behavior, Vol 14, p. 403-26); 71% kes berhenti sekolah dialami anak yang berasal dari rumah yang fatherless (National Principals Association Report).
Inilah mengapa Allah dan Rasul-Nya begitu mementingkan peranan bapa. Melalaikan seruan Allah dan Rasul-Nya terkait peranan bapa akan mengakibatkan kerosakan generasi, manusia dan peradaban. Sebaliknya, peranan bapa yang dijalankan sesuai syariah akan membawa kepada kebaikan agama, generasi, manusia dan peradaban.
WalLâhu a’lam bi ash-shawâb.
#PerananBapa #Fatherless #Kekeluargaan #IsuKeluarga #Generasi #Peradaban #KeluargaMuslimIdeal #Ayah #Bapa

