Site icon MuslimahHTM News

Bagaimana Pragmatisme Menjadi Salah Satu Halangan Terbesar untuk Perubahan yang Berjaya

Bagaimana Pragmatisme Menjadi Salah Satu Halangan Terbesar untuk Perubahan yang Berjaya

 

Artikel ini membincangkan salah satu halangan yang menghalang pencapaian visi perubahan yang berjaya, yang mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh umat Islam dan manusia hari ini. Untuk tujuan tersebut, artikel ini meneliti asas falsafah yang membimbing tindakan politik di Barat moden dan membandingkannya dengan falsafah politik Islam. Dengan mengenal pasti batasan yang wujud dalam pendekatan Barat yang dominan, artikel ini menjelaskan mengapa pendekatan tersebut gagal memberikan penyelesaian sebenar kepada masalah sistemik. Seterusnya, ia mengemukakan visi politik Islam sebagai satu-satunya alternatif yang benar, dengan menggariskan kualiti yang diperlukan oleh individu Muslim, umat Islam, sebuah parti politik, dan sebuah negara untuk merealisasikan perubahan sebenar serta mengatasi halangan yang sedia ada.

 

Asas Falsafah Amalan Politik Barat

 

Amalan politik Barat sebahagian besarnya berakar umbi pada pragmatisme. Pragmatisme yang muncul pada abad ke-19 sebagai tindak balas kepada rasionalisme dan empirisme, yang sebelum itu mendominasi falsafah Barat.

 

Rasionalisme berpegang bahawa pengetahuan diperoleh daripada penaakulan deduktif berdasarkan idea semulajadi atau kebenaran intuitif, tanpa memerlukan pemerhatian langsung terhadap realiti. Tokoh utama aliran ini termasuklah Descartes, Spinoza dan Leibniz. Sebaliknya, empirisme berpendapat bahawa pengetahuan berasal daripada pengalaman deria dan pemerhatian, serta pemahaman yang dibentuk secara induktif. Antara tokoh empirisisme yang terkenal ialah Bacon, Locke, Berkeley, dan Hume.

 

Pragmatisme, yang diwakili oleh pemikir seperti Charles Peirce, William James, dan John Dewey, menggabungkan elemen daripada kedua-dua pendekatan tersebut. Pemerolehan pengetahuan bermula dengan pemerhatian terhadap realiti, diikuti dengan pembentukan teori secara rasional, dan kemudian diuji dalam amalan. Sesuatu teori dianggap sah hanya selagi ia sepadan dengan realiti yang diperhatikan. Apabila realiti berubah, teori tersebut boleh disemak semula atau ditolak. Oleh itu, pengetahuan dilihat sebagai bersifat sementara dan sentiasa tertakluk kepada perubahan.

 

Contoh yang sering dikemukakan ialah penemuan angsa hitam, yang membatalkan kepercayaan terdahulu, berdasarkan pemerhatian terhad, bahawa semua angsa berwarna putih. Dalam pragmatisme, realiti bukan sekadar subjek pemikiran tetapi merupakan sumbernya, dan kebenaran kekal bersifat bersyarat.

 

Dari segi etika, pragmatisme menolak kedua-dua absolutisme dan relativisme. Absolutisme menegaskan kewujudan standard tetap dan universal bagi kebaikan dan kejahatan, manakala relativisme berpendapat bahawa standard moral bergantung pada konteks budaya, sejarah, atau individu. Pragmatisme menafikan kewujudan standard moral yang kekal dan sebaliknya menegaskan bahawa penilaian moral perlu dinilai semula secara berterusan, berdasarkan keadaan dan hasil yang dilihat/dirasakan. Akibatnya, konsep benar dan salah berubah mengikut masa, mencerminkan norma sosial yang sentiasa berubah-ubah.

 

Pragmatisme sebagai Halangan dalam Amalan Politik Barat

 

Pragmatisme sangat mempengaruhi penggubalan dasar dalam politik Barat moden. Keputusan politik dibuat berdasarkan realiti semasa dengan andaian bahawa, keputusan tersebut mesti sentiasa dinilai semula apabila keadaan berubah. Dasar yang diguna pakai hari ini mungkin akan digantikan esok jika dianggap kurang berkesan berbanding alternatif yang baru dicadangkan.

 

Pendekatan ini menjadi sangat bermasalah terutamanya apabila punca krisis bukan terletak pada pelaksanaan dasar tetapi pada sistem itu sendiri. Jika sesuatu masalah berpunca daripada pelaksanaan yang cacat, penyesuaian atau penyelarasan pragmatik mungkin menawarkan kelegaan sementara. Logik ini menjadi asas kepada tadbir urus kapitalis, di mana pembaharuan undang-undang berterusan bertujuan memperhalusi dan memperbaiki sistem.

 

Walau bagaimanapun, apabila masalah adalah intrinsik (dalam) kepada sistem—seperti krisis kewangan dan hutang yang berulang dalam kapitalisme—penyesuaian atau penyelarasan dalam pelaksanaan gagal memberikan penyelesaian yang berkekalan. Kekerapan krisis yang berulang menunjukkan bahawa ia tertanam dalam sistem itu sendiri. Langkah seperti campur tangan negara atau nasionalisasi yang bercanggah dengan prinsip teras kapitalisme, menunjukkan lagi bahawa sistem tersebut tidak mampu menyelesaikan percanggahannya sendiri.

 

Apabila masalah berpunca daripada sistem, hanya transformasi sistemik (revolusi) yang boleh menangani masalah sebegitu. Perubahan sebegini secara semula jadi bersifat revolusioner. Namun, pragmatisme menolak penyelesaian revolusioner sebagai tidak realistik dan melabel penyokongnya sebagai idealis. Akibatnya, ahli politik pragmatik secara struktural tidak mampu menyelesaikan krisis sistemik. Sebaliknya, mereka menghalang perubahan sebenar dengan mengehadkan perbahasan kepada penyesuaian dalam kerangka sedia ada. Ini sekaligus mengukuhkan ilusi bahawa sistem itu sendiri adalah baik.

 

Inilah yang menjadi halangan utama untuk mencapai visi perubahan yang berjaya.

 

Visi Politik Islam sebagai Satu-satunya Alternatif yang Benar

 

Falsafah politik Islam diasaskan atas kepercayaan bahawa segala urusan mengenai alam semesta, manusia, kehidupan, kebenaran, kebatilan, kebaikan, dan kejahatan berasal daripada Allah (swt). Allah (swt) adalah Pencipta alam dan manusia, serta satu-satunya pemilik kedaulatan dan kuasa.

 

Islam membezakan antara dua sfera: satu di mana manusia tidak mempunyai kawalan dan tertakluk kepada hukum alam yang ditentukan oleh Tuhan, manakala satu lagi di mana manusia diberi kemampuan untuk memilih dan bertindak. Dalam kedua-dua sfera atau ruang ini, Allah (swt) tetap mempunyai hak eksklusif (mutlak) untuk menetapkan hukum dan menentukan bagaimana urusan harus diatur. Dalam ruang pilihan, manusia boleh taat atau ingkar, tetapi kekuasaan ilahi tetap mutlak.

 

Oleh itu, tadbir urus atau pemerintahan Islam adalah berasaskan keyakinan bahawa hukum Allah (swt) adalah adil dan sempurna, dan tiada kuasa manusia yang boleh menggantikannya secara sah. Al-Quran dan Sunnah para Nabi adalah sumber pengetahuan tentang hukum Ilahi yang dianggap sebagai hukum tertinggi. Mentadbir berdasarkan hukum ini dianggap sebagai satu-satunya bentuk tadbir urus yang benar.

 

Dalam kerangka ini, seorang Khalifah bertanggungjawab memelihara kedaulatan Allah (swt), dan kekuasaan politik difahami sebagai pelaksanaan hukum ilahi, bukannya pemerintahan manusia yang autonomi.

 

Oleh itu, dalam Islam, realiti adalah subjek pemikiran, bukan sumbernya. Wahyu Ilahi berfungsi sebagai kriteria untuk memahami dan menangani realiti. Apa yang baik kekal baik, dan apa yang buruk kekal buruk, tanpa mengira perubahan keadaan.

 

Oleh itu, masalah tidak diselesaikan dengan mengubah sistem atau meminjam elemen daripada sistem lain. Sebaliknya, penyelesaian dicari dengan kembali kepada sistem Islam itu sendiri dan memeriksa sama ada ia dilaksanakan dengan betul. Kelemahan atau kekurangan dikaitkan dengan kegagalan manusia dalam pelaksanaan, bukan pada sistemnya. Akauntabiliti dikuatkuasakan berdasarkan hukum Islam, baik di dunia mahupun akhirat.

 

Pragmatisme dan Islam

 

Apabila membandingkan antara pragmatisme dan Islam, perbezaanya bukan sahaja terletak pada cara menyikapi realiti, tetapi juga pada asas epistemologinya. Pragmatisme terhad kepada kapasiti akal dan persepsi manusia, manakala Islam berteraskan kepercayaan terhadap ilmu dan kebijaksanaan Allah (swt). Apa yang dianggap mustahil atau tidak realistik oleh pragmatisme mungkin sepenuhnya boleh dilaksanakan dalam kerangka hukum Ilahi. Apa yang ditolak sebagai idealisme mungkin sebenarnya merupakan realisme apabila dinilai berdasarkan prinsip Islam.

 

Perbezaan ini menonjolkan halangan utama dalam menghasilkan perubahan yang bermakna: kebergantungan kepada penaakulan berpusatkan manusia yang menolak bimbingan transenden.

 

Ilustrasi Sejarah dan Kontemporari

 

Satu ilustrasi dari sejarah awal negara Islam dapat dilihat dalam Perang Mu’tah. Selepas pembunuhan seorang utusan Muslim oleh sekutu Byzantine, Nabi (saw) menggerakkan tentera seramai tiga ribu orang. Apabila mengetahui bahawa mereka berhadapan dengan pasukan yang jauh lebih besar, sebahagian daripada mereka ada yang teragak-aagak. Abdullah ibn Rawahah mengingatkan bahawa kejayaan tidak bergantung kepada jumlah atau kekuatan material, tetapi kepada iman dan ketaatan kepada Allah (swt).

 

Dari perspektif pragmatik, menghadapi pasukan sebegitu kelihatan sia-sia. Namun, keputusan dibuat berdasarkan kewajipan ilahi, bukan perhitungan material. Walaupun berhadapan dengan kemungkinan yang sangat rendah, pertempuran tersebut mengekalkan kedudukan negara Islam dan menunjukkan keteguhannya.

 

Contoh kontemporari ialah serangan 7 Oktober. Dari sudut pragmatik, ia kelihatan tidak realistik bagi pasukan kecil untuk menentang salah satu entiti ketenteraan paling berkuasa dalam era moden. Namun, operasi itu tetap dilaksanakan dan diikuti dengan penentangan berterusan, sekali lagi menunjukkan perbezaan antara perhitungan pragmatik dan tindakan yang dipacu oleh visi kejayaan yang berbeza.

 

Kesimpulan: Mengatasi Halangan kepada Perubahan

 

Kesediaan umat Islam untuk mengutamakan akhirat secara asasnya mengubah pendekatan mereka terhadap tindakan politik dan tindakan lainnya. Keputusan yang kelihatan terlalu berisiko dari sudut rasional atau pragmatik menjadi munasabah apabila dipandu oleh iman dan kepatuhan kepada hukum ilahi.

 

Halangan utama untuk mencapai visi perubahan yang berjaya adalah dominasi pragmatisme, yang mengehadkan penyelesaian kepada apa yang kelihatan boleh dilaksanakan serta merta dalam sistem sedia ada. Islam sebaliknya menawarkan visi yang berbeza: menuntut komitmen tidak berbelah bahagi terhadap bimbingan Ilahi, kepastian moral, dan integriti sistemik.

 

Mengatasi halangan ini memerlukan individu, umat, gerakan politik, dan sebuah negara Islam untuk menzahirkan keyakinan, disiplin, dan kepercayaan kepada Allah (swt), dengan menyedari bahawa kejayaan sebenar terletak pada ketaatan kepada-Nya.

 

Sebagaimana hadis daripada Huzaifah, Rasulullah (saw) bersabda:

«لَا تَكُونُوا إِمَّعَةً تَقُولُونَ إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَحْسَنَّا وَإِنْ ظَلَمُوا ظَلَمْنَا وَلَكِنْ وَطِّنُوا أَنْفُسَكُمْ إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَنْ تُحْسِنُوا وَإِنْ أَسَاءُوا فَلَا تَظْلِمُوا»

“Janganlah kamu menjadi ‘imma’ah’ (pengikut buta) yang berkata jika manusia berbuat baik maka kami berbuat baik, dan jika mereka zalim maka kami juga zalim. Sebaliknya, tetapkan pendirian kamu. Jika manusia berbuat baik, maka berbuat baiklah. Jika mereka berbuat jahat, janganlah kamu berlaku zalim.” (HR al-Tirmidzhī).

 

Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir

oleh Sumaya Bint Khayyat.

 

#TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan

#KebangkitanIslam #PemikiranIslam #AyuhUmatBangkit

#MasyarakatMuslimIdeal #UmmatanWahidah #UmatBerjaya

 

Exit mobile version