Site icon MuslimahHTM News

ABI BOHONG

ABI BOHONG

 

Oleh: Ustaz M. Taufik NT

 

Abi bohong”, berkata Daud (5 tahun) ketika saya tiba di rumah. ‘Abi’ dalam bahasa Arab ertinya ‘bapaku’, mirip dengan panggilan ‘Abah’ yang dalam bahasa Arab bermakna ‘bapanya’.

 

Apa penyebabnya? Tidak lain adalah kerana pakciknya yang menjemputnya pulang dari sekolah, saya tidak jadi menjemputnya sendiri. Alasan bahawa jadual kuliah saya tertangguh sehingga tidak sempat bagi saya untuk menjemputnya tidak boleh diterima oleh akalnya.

 

Walaupun kenyataannya tidak berbohong, melainkan ada uzur yang menyebabkan tidak sempat menjemput, tetap sahaja sebagai ibu bapa perlu berhati-hati ketika ‘menjanjikan’ sesuatu kepada anak kecil. Jika kurang berhati-hati dalam berbicara, akan ter ‘framing’ dalam jiwa anak bahawa berbohong adalah hal yang lumrah kerana ibu bapanya mencontohkan yang sedemikian. Ini merupakan hal yang belum boleh dicerna oleh seorang anak bahawa hal tersebut bukan suatu kebohongan.

 

Adapun jika memang kenyataannya adalah berbohong, maka ibu bapa wajib menghindarinya, samada kita anggap remeh atau tidak, berbohong adalah tetap haram. Nabi SAW bersabda,

 

مَنْ قَالَ لِصَبِيٍّ: تَعَالَ هَاكَ، ثُمَّ لَمْ يُعْطِهِ فَهِيَ كَذْبَةٌ

 

Barangsiapa yang berkata kepada anak kecil, “Kemarilah, saya akan memberimu sesuatu”, lalu dia tidak memberinya, maka itu adalah sebuah kebohongan. [HR. Ahmad].

 

Termasuk yang baginda cela adalah berbohong dalam rangka bergurau, baginda bersabda:

 

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ بِالحَدِيثِ لِيُضْحِكَ بِهِ القَوْمَ فَيَكْذِبُ، وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ

 

Kecelakaan bagi orang yang telah bercerita dengan suatu cerita untuk membuat suatu kaum jadi tertawa, lalu dia dusta. Kecelakaan baginya, kecelakaan baginya”

[HR. At-Tirmidzi].

 

Salah satu hikmah dari larangan berbohong bermula dari hal-hal kecil adalah agar tidak digelarkan oleh Allah SWT sebagai pembohong. Hal ini kerana suatu kebohongan akan melahirkan kebohongan-kebohongan baru dalam rangka menutup kebohongan lama, lambat laun akan hilanglah rasa malu untuk berbohong, kalau sudah tidak malu berbohong, maka layaklah dirinya digelar sebagai pembohong.

 

Rasulullah SAW bersabda:

 

وَمَا يَزَالُ اْلعَبْدُ يَكْذِبُ وَ يَـتَحَرَّى اْلكَذِبَ حَتَّى يُكْـتَبَ عِنْدَ اللهِ كَـذَّابـًا

 

“…dan sentiasa seorang hamba berdusta dan memilih yang dusta sehingga akhirnya dia dicatat di sisi Allah sebagai pendusta”. [HR Bukhari dan Muslim].

 

Membohongi anak sama ertinya dengan mencelakakan anak. Jika anak sudah terbiasa dibohongi, lalu kebohongan itu ‘menular dan merasuk’ ke dalam diri anak, sekalipun ibu bapa tersebut berjaya menghantarkan anaknya ke tahap pendidikan tertinggi, menjadikan anaknya dipercayai memimpin manusia, namun ‘penyakit’ bohongnya tidak berjaya ‘diubati’, sama sahaja ibu bapa tersebut telah mengumpankan anaknya ke dalam neraka. Na’uzubillah.

 

Rasulullah SAW bersabda:

 

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

 

Tidak ada seorang hamba yang diberi amanah oleh Allah untuk memimpin rakyat, lalu dia mati ketika sedang menipu rakyatnya, kecuali Allah mengharamkan baginya syurga.”

[HR. Muslim]

 

Itu terkait kesan di akhirat nanti. Adapun di dunia, kebohongan akan merosak sendi-sendi kehidupan bermasyarakat. Bohong dalam melaporkan kewangan melahirkan rasuah. Bohong dalam melaporkan data pertanian berakhir dengan kebingungan: terdapat lebihan pengeluaran,  mengapa mesti  tetap import? lalu muncul ‘kebohongan’ baru untuk menjelaskan kebohongan lama.

 

Bohongnya jawatankuasa dalam ujian sekolah akan menularkan kebohongan ke dalam diri murid. Berbohong kepada doktor, masih sakit namun mengatakan sudah sihat, akan menjadikan sakitnya tidak sembuh-sembuh. Berbohong kepada guru, belum memahami, namun sudah menyebut sudah faham, ini akan menjadikannya merasai pahitnya kebodohan. Berbohongnya “ulama” kepada umat akan menyebabkan umat tertipu hingga masuk ‘syurga bohongan’. Jika hal-hal ini dibiarkan, maka rosaklah negara. Wallâhu A’lam.

 

 

 

#Parenting #Akhlak #Janji #Ibubapa #PendidikanAnak #KomunikasiKeluarga #Jujur #Pembohongan

Exit mobile version